Showing posts with label JPWPKL. Show all posts
Showing posts with label JPWPKL. Show all posts

01 January 2016

Tinggal Kenangan

Sedang saya membelek-belek beberapa gambar dalam folder gambar terjumpa dengan gambar-gambar ini. Kami bergambar selepas sending out mantan pengarah kami YBhg. Datin Nawal, seorang pengarah yang sentiasa mempunyai semangat waja dan membara.

Melihat wayah-wayah ini membuatkan hati rasa rindu kepada mereka dan semua sahabat-sahabat ku di sana. Apa khabar agaknya mereka, saya mendoakan semua mereka dirahmati Allah, diberikan kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah ruah, dipermudahkan segala urusan dan dipanjangkan usia dengan berkat.

Kata orang tua-tua memang betul. Jauh di mata di hati jangan. Walaupun tak dapat nak ingat hari-hari tapi bila terkenang sayu juga hati.....

20 July 2015

Makan Tengah Hari Bersama Hairi dan Mohd Nor

Memangnya sedap makan tengahari di sini, tapi kat mana ya??? saya pun dah lupa... masa ni saya dan 2 staf saya dari UPT selesai tugas kami di Putrajaya sebelum kami balik semula ke pejabat. Rasanya masa ni pun dah tengah hari jadi saya ajak mereka makan tengah hari bersama.

Yang tak boleh nak lupa adalah - makan di gerai ni memangnya sedap, tapi kedudukan gerai ni jauh dari hiruk pikuk bandaraya, tetapi penggunjungnya ramai sehinggakan tempat duduk pun boleh penuh. Nasib baik kami ada sedikit ruang hujung untuk menikmatai hidangan ini. Macam biasa saya menikmati nasi lemak dan sekeping roti canai... semuanya habis ... Kalau saya nak cari semula gerai ini memang tak akan berjumpa.

18 July 2015

Tinggal Kenangan: Hari Akhir Ketik Kad Kehadiran

8 Mei 2015 adalah hari akhir saya bertugas di JPWPKL. Saya mengetik kad saya terakhir pada jam 6.47 petang selepas hari mesyuarat terakhir saya di Jabatan ini. Banyak suka duka saya bertugas di sini dan banyak juga pengalaman baru yang saya timba.

Ramai sahabat-sahabat baru yang saya jumpa dan menjadi rapat. Banyak juga ragam yang saya pelajari dan fahami. Setiap pertemuan memang ada perpisahan di hujungnya. Dan inilah penghujungnya. Namun ianya bukannya erti perpisahan dengan sahabat-sahabat di sini. Mereka sentiasa ada dalam doa saya. Bahagian di dunia dan di akhirat, sesungguhnya kebahagian akhirat tiada galang gantinya.

Sistem Kehadiran Staf - ADNEE BINTI HAJI AHMAD - Selamat Pulang. Itulah yang tertera di atas skrin SKS.

Saya masih ingat di mana saya melapurkan diri ke Jabatan ini pada 15 Oktober 2011 dan terus di tempatkan di Unit Pentadbiran Am (UPT) dan saya pernah juga ditukarkan sekejap dalam 5 bulan ke Unit PTK dan kembali semula ke UPT sehingga tarikh saya bertukar ke Melaka. Saya hargai masa saya di Jabatan ini dan ianya akan kekal dalam lipatan kenangan.

16 July 2015

Tahniah Cif Zali Kerana Naik Pangkat

Tahniah Cif Zali kerana diberi kepercayaan kenaikan pangkat. Cif Zali ini adalah orang kanan saya semasa saya di UPT, JPWPKL seorang yang banyak ilmu dan pengalaman serta ringan tulang. Saya tak dapat bayangkan jika dia tiada memang agak sukar juga saya untuk menjayakan tanggungjawab saya sebagai KU UPT dulu. Dia memang layak untuk menerima kenaikan pangkat tersebut.

Semoga staf bawahan seliaannya dapat mengambil contoh baik daripada dia. Semangat Cif Zali kerja bersungguh dan tidak ambil sesuatu tugas sambil lewa patut dicontohi.

Selamat maju jaya Cif dan terima kasih kerana bertugas bersama saya.

14 July 2015

Kenangan Bersama YBhg Datin Nawal - Mantan Pengarah JPWPKL

Selak-selak external hard disk terjumpa dengan foto ini, saya bersama dengan YBhg Datin Nawal, mantan Pengarah JPWPKL, kalau tidak silap saya masa ini adalah hari amanat terakhir YBhg Datin sampaikan untuk kami warga JPWPKL kerana beliau bertukar ke Lembagai Peperiksaan menjawat jawatan Pengarah di sana. YBhg Datin banyak meninggalkan kesan pada saya terutamanya dengan ketegasan beliau dalam bertindak. Saya teringat akan bos lama saya iaitu YBhg Dato' Aziziah Abod yang juga banyak mengajar saya akan hal-hal pejabat.

Selamat berbahagia saya ucapkan kepada mereka berdua, semoga bahagia di dunia dan alam selepas ini. Terima kasih yang tidak terhingga kerana suka mengajar saya.

19 June 2015

Kenangan Bersama Rakan Unit Naik pangkat JPWPKL

Saya bersama dengan beberapa warga Unit Naik Pangkat (UNP) JPWPKL. UNP adalah jiran kepada UPT apa lagi apabila kami dalam sektor yang sama iaitu SK2P.

Selain dari staf UPT, mereka juga sangat dekat dengan hati saya. Mereka juga adalah tempat saya mendapatkan bekalan untuk sarapan saya apabila bekalan di unit saya terputus. EO Hjh Zuraidah mewakili semua staf UNP menyampaikan cenderahati untuk saya. Sungguh terharu saya. Nampak tak siapa kat belakang tu?

Saya bersama dengan EO Hjh Zuraidah dan Chief Kamaliah

Sahabat baik saya Niza yang juga pernah bersama-sama saya semasa kami berkhidmat di Unit PTK. Terima kasih semua sahabat-sahabat termasuk kepada KU En Nazzri, Zuraidah Muda, Ita, Abang Sam dan Ku.

17 June 2015

Isu Komunikasi Guru Dalam Komuniti

Ini adalah keluhan hati saya semasa saya berkhidmat di Jabatan lama saya. Semasa di sana saya banyak berurusan dengan para-para guru, terutamanya guru-guru yang berhasrat untuk mendapatkan kuarters yang lebih dikenali sebagai KIP. Sungguh saya terperanjat dengan apa yang saya alami. Nak tahu apa ceritanya jom bersama suara hati saya . . . semoga ianya dapat diubah ke arah kebaikkan kerana GURU adalah jasa terbesar semua manusia yang bertamaddun termasuk saya.

Saya telah berkhidmat di pejabat tersebut selama hampir 4 tahun, sejak itu saya didedahkan dengan ketidakbenaran tangapan lama tetapi kini ianya menjelma menjadi kebenaran. Macam teka teki, tetapi inilah yang akan saya luahkan.

Lama sudah saya fikirkan untuk menyatakannya di dalam medium ini, hanya sekadar untuk berkongsi rasa, penadangan dan pendapat. Bukan untuk mencari kesilapan dan kesalahan sesiapa, apa tah lagi kesilapan sekumpulan insan yang banyak jasanya. Kumpulan insan inilah yang berjasa membangunkan negara secara tidak langsung. tetapi kini saya berhadapan dengan kumpulan insan yang berjasa ini tetapi dalam ruang lingkup yang sangat berbeza ceritara dan kesan di hati.

Dah panjang lebar saya beteka teki, tetapi masih lagi kata-kata yang hendak diluahkan seakan tersekat di kerongkong, bagi tergajut di bibir, seperti ada sesuatu yang menghalang kata-kata itu meloncat dari peti suara ini seterusnya mematah-matahkan 2 jari dari terus menekan huruf-huruf di papan kekunci. Tetapi jika tidak dizahirkan bagaimana ianya dapat dibentangkan, bagaimana hati dapat diredakan dan bagaimana fikiran dapat direalisasikan. Dan paling utama bagaimana ianya dapat diubah !!!!

Dari Kementerian Pertahanan saya diarah bertugas di jabatan pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan. Rupanya iklim dan budaya yang sangat berbeza. Mulanya saya pujuk diri untuk memberikan masa untuk mengasimilasikan diri dengan suasana dan rakan-rakan baru. Tetapi semakin lama, semakin banyak yang terkumpul di dalam hati dan kini ianya seakan ingin meletup. Ada kemungkinan jika saya teruskan mendiamkan diri takut ianya mengundang sesuatu yang tidak wajar. nauzubillahhiminzalik, semoga dijauhkan Allah swt.

Apabila kita menyebut guru, yang terbayang pada kita adalah seorang insan yang mendidik dengan bahasa yang baik dan gaya penyampaian yang mudah diterima dan difahami oleh anak didiknya. Itulah yang saya katakan ketidak benaran di atas, saya terkejut apabila guru-guru yang berurusan dengan saya menggunakan bahasa yang kasar, menyindir, mencari kesalahan dan mengherdik staf saya dengan perkataan dan kata-kata yang bukan dari mulut seorang guru. Bukan seorang tetapi ramai yang bersikap begitu, dan hampir kesemuanya adalah guru-guru muda. Kenapa ini boleh berlaku? Adakah menjadi guru merupakan pilihan terakhir setelah lama mencari kerja? makanya guru dipilih untuk menyambung kehidupan walaupun tidak minat!!!

Akhirnya saya berjaya keluar dari Jabatan tersebut, berjaya untuk menghentikan tanggapan buruk dari berterusan, berjaya memalingkan wayah secara terhormat. Kerana inilah kelemahan saya yang tidak dapat terus menegur dengan lidah untuk kebaikkan kerana dalam usaha untuk menyatakan kebenaran saya sering diherdik dan disindir. Rupanya mereka maupun apa juga yang mereka idamkan tanpa mengira peraturan dan prosedur. Cuba mendapatkan apa yang bukan hak mereka, walaupun memangnya tidak semua tapi segelintir yang sedikit itu yang paling menyakitkan.

Semoga sesiapa yang terbaca luahan hati saya, yang terasa fikirkan semula . .  jangan cakap apa-apa sekarang . . .  fikirlah apa bila hati dah tenang . . . kerana fikiran yang marah selalunya dari hasutan syaitan ..

Saya juga nak minta maaf jika luahan hati saya ini mengganggu keteneraman rakan-rakan.


16 June 2015

Kawan Lama Tetap di Hati

Mana-mana jabatan Kerajaan kerja memangnya banyak. Macam tu juga di KPDNKK Melaka. Dari hari ke2 saya dah merasai akan tugas-tugas yang menunggu. Tapi alhamdulillah saya dapat bantuan dan sokongan dari staf di sini.

Tengah hari ini teringin unutk mengimbau semula kenangan di pejabat lama saya di UPT JPWPKL. Terpandang saya foto-foto yang saya uploadkan. Foto di atas saya bersama dengan Sam, terbayang gelagat dia yang suka bercerita, tak sunyi pejabat bila dia ada. Di atas saya bersama dengan cif-cif dari SK2P yang juga banyak membantu saya dan UPT dalam melaksanakan tugas kami. Thanks chiefs.

Sahabat-sahabat yang nakal . .  Ina dan Nurul manakala di belakang saya yang nampak kepala adalah Azura. 

Mereka adalah penyeri UPT dan kadang-kala sebagai bom jangka . . akan meletup bila-bila masa. Banyak sungguh kenangan manis bersama mereka.. Baru saya terperasan saya tak banyak berfoto bersama dengan jejaka-jejaka kami yang tak ramai.

Saya sangat bersyukur kerana mereka bersama dengan saya di Unit ini, tanpa mereka sukar juga saya nak laksanakan tugas seharian . . . Thanks girls . . . see you in my dreams

27 May 2015

KS SK2P Belanja Kami

Kenangan mengusik jiwa... Adat berkawan bila berjumpa baru kenal dan bersahabat.

Bila dah tiba masanya kita berpisah pula dan jumpa kawan baru. Tapi kawan lama tetap dalam ingatan.

Mantan KS yang belanja kami. Semua KU hadir ada beberapa KU yang tidak dapat hadir kerana hal-hal yang mustahak.

Inilah KS saya Encik Ahmad Kham bin Abu Kassim. Tak lama saya dapat berkhidmat di bawah beliau, belum banyak ilmu dapat ditimba.

Rakan seperjuangan semasa di Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur. Selamat tinggal sahabat dan semoga semuanya bertambah sukses.

25 May 2015

Kenangan Bersama Sahabat Baikku

Hari terakhir saya di JPWPKL saya bergambar bersama rakan baik saya Hairani, Masturah dan Cif Sofie. Kami bergambar di parkir KU PT di hadapan Jabatan.

Saya tinggalkan mereka, namun di hati tetap terjalin rasa persahabatan kami. Kalau ada umur in Sha Allah kita akan bertemu kembali.

24 May 2015

Tanda Hati: Dari Warga Unit Naik Pangkat

 
Tanda hati dari jiran saya iaitu warga Unit Naik Pangkat JPWPKL. Terima kasihlah sahabat-sahabatku kerana menghadiahkan saya degan sehelai tudung. Ianya bermakna bagi diri saya.

Saya mohon ampun dan maaf pada segala kesilapan percakapan dan perbuatan termasuk makan dan minum. Almaklumlah saya kerap kali mendapatkan bekalan air panas dan gula serta makanan yang sedap-sedap dari mereka.

Ini yang buatkan saya miss mereka semua. Terima kasih kepada En Nazzri KU NP dan juga kepada Hajh Zuraidah serta kepada semua warga mereka.

23 May 2015

Jamuan Perpisahan Buat Aku

Ini adalah jamuan perpisahan yang dibuat oleh warga UPT untuk diri sama yang akan bertukar ke Melaka. Jamuan ini dibuat pada 7 Mei 2015 iaitu pada hari Khamis. Di atas adalah Tuan Ahmad Kham, Ketua Sektor SK2P memberikan sedikit ucapan.

Saya juga diminta untuk meninggalkan pesanan, tapi saya sendiri pun tiada pesanan yang nak dikatakan kerana semua staf UPT dah semacam keluarga saya dan sudah tentunya ini bukan perpisahan sebaliknya silaturahim masih kukuh. Kita dah ada pelbagai mekanisme perhubungan jadi tak susah untuk bercakap atau berjumpa.

Hadiah untuk saya dari staf UPT, tapi yang dapat gunakan adalah kucing-kucing saya. Alhamdulillah ianya sangat berguna.

Antara staf yang hadir termasuk Din dan ANi yang lebih dulu meninggalkan UPT. Kepada semua staf UPT khasnya dan warga JPWPKL amnya saya mohon ampun dan maaf pada semua kesilapan yang pernha saya lakukan.

21 May 2015

Tanda Hati : Kuih Tat Nenas Dari Nizam

Ini adalah kukis Jem Nenas yang dihadiahkan oleh Nizam kepada saya sempena pertukaran saya dari JPWPKL ke KPDNKK Melaka. Nizam adalah bekas staf saya yang pernah berkhidmat di UPT sebelum ditukarkan ke Unit Pembangunan. Banyak jasa Nizam pada saya dan UPT, tanpa dia memang operasi kami pastinya pincang.

Nizam, mak saya dah makan kukis yang Nizam hadiahkan dan rasanya dia juga yang akan habiskan kukis ni. mak saya memang sangat suka pada tat nenas ni. Terima kasih Nizam atas ingatan dan pemberian ini. Maaf pada segala kesilapan dan dan saya doakan semoga Nizam dan keluarga dirahmati Allah swt serta dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.

Ada umur kita akan jumpa lagi.

17 May 2015

Tanda Hati: Dari Puan Raja Salsabila

 
Ini adalah tanda hati yang dititipkan oleh rakan saya Puan Raja Salsabila, pegawai dari Sektor Jaminan Kualiti, JPWPKL.

Sehelai tudung dan 2 peket coklat serta sebuah kotak yang comel merupakan pengganti dirinya. Setiap kali melihat benda-benda ini, saya akan mengigati beliau dan mentitipkan pula doa untuknya dan keluarga.

Inilah sahabat saya tu, kami sempat bergambar di hari-hari akhir saya di JPWPKL. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana menjadi sahabat saya semoga persahabatan ini kekal hingga ke syurga. Ameen. . . .

15 May 2015

Tanda Hati: Staf UPT

Terima kasih saya ucapkan kepada semua staf UPT atas tanda hati yang diberikan sempena pertukaran saya dari JPWPKL ke KPDNKK Melaka. Tanda hati yang bererti untuk kesayangan saya yang 11 ekor tu.

Sebaik dikeluarkan daripada kotak, beberapa ekor dah ada di hadapan saya untuk mencuba board tersebut. Bujang, Acik dan Zizi terhidu-hidu untuk mengetahui apa bendanya yang menarik hati mereka.

Akhirnya masing-maisng mengambil sudut masing-masing dan cuba memasukkan muka masing-masing di celah kaki board tersebut.

Memang mereka beruntung saya yang bertukar mereka yang dapat hadiah. Terima sekali lagi ya semua . . .

08 May 2015

Selamat Tinggal Sayang

Selamat tinggal sayang itu ucapan saya kepada semua sahabat saya di JPWPKL kerana hari ini adalah hari akhir saya. Dengan perasaan bercampur suka dan duka mengakhiri perkhidmatan saya di sini. Walaupun begitu saya teruja untuk berpindah ke negeri tanah tumpah darah ayahanda dan bonda dan menyerahkan diri untuk berkhidmat di sini kelak. Semoga hajat untuk bersara di Melaka menjadi kenyataan.

Kepada rakan sejawat saya di JPWPKL, saya dengan penuh takzim menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf serta mohon dihalalkan makan dan minum. Saya juga telah memafkan dan menghalalkan segalanya.

Jika ke melaka dan ada masa terluang hubungilah saya nanti. Jika ada umur kita akan berjumpa lagi.
SELAMAT TINGGAL SAYANG.