Showing posts with label London. Show all posts
Showing posts with label London. Show all posts

15 November 2014

Tanda Hati dari Luar Negara

Selepas habis mengemas, rupanya hanya 4 biji gelas ini sahaja yang tinggal, hairan juga mana perginya yang lain. Puas saya tinjau di mana-mana, tapi tak berjumpa. Tak apalah mungkin dah pecah dan dibuang. Gelas yang tinggal ini dari USA, London dan Itali sahaja.

Yang ini adalah topeng opera yang saya beli dari Venice, Itali. Di sana memang banyak dijual topeng ini dalam pelbagai warna. Seingat saya saya ada beli 2 topeng opera ini tetapi yang tinggal hanya ini.

09 November 2014

Koleksi Loceng Tanda Hati dari Luar Negara

Semalam saya mengemas almari perfume kerana dah terlalu sesak, saya ambil keputusan untuk keluarkan semua tanda hati yang saya beli dari luar negara semasa bertugas dulu. Masa tu saya di Kementerian Pertahanan kerap ke luar negara kerana bertugas dan berkursus. Terdapat beberapa tanda hati antaranya loceng, gelas kecil dan lain-lain benda/ barangan yang bersaiz kecil. Saya bersihkan dan lap semua benda/ barangan tersebut sebelum disimpan ke dalam kotak. Rasanya macam nak share dengan anda dan juga menjadi tatapan saya kelak bila terkenang nanti tanpa membuka kotak.

 Loceng di atas berbentuk lady-milk saya beli semasa ke Ansterdam tapi dah tak ingat di mana sebab masa tu dah lama sangat.  Manakala loceng yang 2 lagi tu saya beli semasa di London pada tahun 2008 semasa saya menghadiri kursus di RIPA London. Loceng Lady D saya beli di memorial dia dan loceng Big Ben saya beli di sebuah kedai berhampiran Oxford Road. 

Loceng yang bertanda ATLANTA saya beli semasa saya berkursus di USA pada tahun 2004 di Atlanta, manakala pada tahun yang sama saya beli loceng Charleston. Loceng Canada bila ya? 

Kumpulan loceng ini adalah dari beberapa tempat di negara Itali. Loceng besar berwarna grey saya beli di Genoa semasa melakukan pemeriksaan kilang dan ujian peralatan TLDM. Manakala loceng Venezia saya beli di Venice semasa bercuti selepas tamat tugas. Dan kedua-dua loceng kecil sebelahnya adalah loceng Milan yang mengambarkan Gereja Duomo.

Saya pernah beberapa kali ke France kerana bertugas dan semasa di sana saya beli beberapa buah loceng termasuk di Monte Carlo kerana berkesempatan ke Monaco. Tempat lain di France yang saya pernah bertugas adalah di Nice, Tuolon, Paris dan melawat di Grasse. Selepas bertukar ke Jabatan Pendidikan KL saya tidak pernah berpeluang untuk bertugas atau berkursus ke luar negara lagi.

Namun begitu terdapat beberapa tempat yang pernah saya pergi tetapi tiada loceng yang dijual, sebagai ganti saya beli beberapa tanda hati yang lain untuk kenang-kenangan.

08 April 2011

Catatan Perjalanan - Procurement Course at RIPA International London

Kursus Perolehan yang diadakan di RIPA International, Westminster London telah dihadiri oleh ramai peserta dari seluruh dunia. Yang mendominasi kelas kami adalah pegawai-pegawai dari benua Afrika. Melalui kursus ini kami diberikan pendedahan mengenai tatacara perolehan dan penganugerah tender kepada syarikat yang berkelayakan. Yang sangat berharga bagi saya adalah kaedah-kaedah yang dilaksanakan dan telah menunjukan kejayaan di United Kingdom. Kaedah pembelajaran di sini lebih kepada perbincangan mengenai kaedah perolehan di setiap negara peserta dan melalui perbincangan ini kami mempelajari banyak ilmu baru walaupun ada di antaranya yang mungkin tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara kita.

Selain daripada aktivit dalam kelas, kami juga di bawa ke Jabatan Pengangkutan London untuk mendengar taklimat daripada pegawai Perolehan mereka. Selain dari itu kami juga ke Daerah Epsom, salah sebuah Daerah yang ditadbir oleh Kerajaan Tempatan. Seperti yang kita maklum, kerajaan tempatan adalah agensi yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk menduduknya. Kegagalan agensi ini akan mengakibatkan kehidupan rakyat jelata akan terancam dengan sampah, pembentongan dan sebagainya.

Foto di atas sekali, gambar ramai di foyer Epsom, selepas tamat taklimat. Manakala foto selepas itu adalah sebahagian daripada peserta bergambar kenangan dalam kelas. Foto sebelah semasa kami sedang berehat dan makan, bergambar dengan jejaka handsome di belakang kami. RIPA tidak menyediakan makanan, sebaliknya menyediakan kopon makanan yang boleh ditukar di beberapa kedai dan restaurant makan yang berhampiran.

Nasib kami yang beragama Islam sangat baik, kerana terdapat beberapa kedai makan yang menyediakan makanan yang halal yang mana kebanyaknya disediakan oleh warga India Muslim dan masyarakat Arab. Walau bagaimanapun RIPA menyediakan makanan ringan seperti tea, coffee, biskut - makanan ringan ini sentiasa ada jadi kami boleh minum pada bila-bila masa dan paling mudah minuman boleh dibawa masuk ke kelas, cuba tengok gambar 2 di atas setiap meja ada bekas kopi. Di ruang rehat ini juga RIPA menyediakan banyak komputer dengan kemudahan internet bagi memudahkan kami mengakses mail masing-masing serta mendapatkan maklumat lain.

Maka setiap hari kami berlumba-lumba datang awal untuk mendapatkan komputer terbaik, begitu juga ketika waktu rehat - kami berpusu-pusu menyerbu terminal komputer dulu sebelum minum.

Setiap peserta diwajibkan untuk membuat persembahan Kertas Cadangan Melaksanakan Sesuatu Perolehan. Saya sedang menyampaikan persembahan tersebut. Malangnya pada hari tersebut saya pula diserang oleh asthma, jadi penyampaian saya agak tersekat-sekat dan terganggu dengan batuk dan kelelahan. Nasib baik rakan-rakan sekelas dan penyelaras kursus memahami keadaan saya yang kurang selesa.

09 March 2011

Kereta Terpanjang Yang Saya Pernah Jumpa

Di London saya berjumpa dengan kereta yang panjang. Panjangnya hampir sama dengan bus. Saya terfikir juga kenapa agaknya kereta sebegini dibuat, mungkin untuk membolehkan ramai keluarga dimuatkan dalam sebuah kenderaan, jadi tak perlu menggunakan 2 atau 3 buah kenderaan yang lain.

ATAU mungkin, untuk kegunaan lain seperti menletak sebuah katil, TV, peti sejuk dan sebagainya.

Kereta ini mengambil parkir untuk 3 kereta yang saiz biasa. Diambil dari Hotel penginapan saya.

07 March 2011

Catatan Perjalanan - Sehari Sekeliling London Dengan Big Bus Company

London merupakan tempat terakhir kursus luar negara yang saya hadiri pada tahun 2008. Kursus yang saya hadiri adalah mengenai Kaedah Perolehan dan Tender di RIPA International, Westminster London. Kursus tersebut selama 2 minggu sahaja. Saya bergambar di hadapan Westminster Chaterdral yang akan menjadi tempat perkahwinan antara Prince William (anak Princess Diana dengan Prince Charles) dengan pasangannya.

Dalam kursus tersebut hanya 4 orang sahaja penuntut dari Asia, iaitu 2 dari Malaysia (saya dan Azizah), Yana dari Indonesia dan seorang wanita dari Korea Selatan. Jadi hari Sabtu minggu pertama kami merancang untuk mengelilingi kota London dengan menaiki Big Bus Company yang memberikan tiket percuma kepada foreign students RIPA. Kami mengambil masa lebih kurang 4 hingga 5 jam untuk pusing-pusing dan berhenti di beberapa tempat yang menarik - bergambar - kemudian naik bus semula. Bergambar dengan pengawal berkuda istana - dapat menyaksikan pertukaran guard di akhir acara.

London Eye dari tebing Sungai Themes, masa ini kami sedang menunggu feri untuk river cruse sepanjang Sungai Themes. London Eye merupakan kincir raksasa tertinggi di Eropah dan merupakan daya tarikan pelancung yang paling popular di UK, ia telah dikunjungi oleh lebih dari 3.5 juta orang sejak ia dilancarkan pada tahun 1999. London Eye terletak di hujung barat Jubilee Gardens, di South Bank dari Sungai Thames di London Borough of Lambeth di Inggeris, antara Westminster Bridge dan Hungerford Bridge. Sayangnya kami tak berkesempatan mengunjungi London Eye kerana terlalu ramai pengunjung dan untuk menunggunya akan mengambil masa yang berjam-jam.

Tempat saya sangat suka saya lawati di London adalah Tower of London. Berbagai-bagai cerita yang kita dengar mengenai istana lama ini. Menara London ini kononnya adalah bangunan yang paling berhantu di England. Hantu Ratu Anne Boleyn, dipenggal kepalanya pada tahun 1536 atas tuduhan pengkhianatan terhadap Raja Henry VIII.

dikatakan masih lagi kelihatan di kawasan ini dan juga menghantui gereja kecil St Petrus-ad-Vincula, di mana dia dikuburkan. Didakwa juga hantu ini berjalan-jalan sekitar Menara Putih membawa kepala di bawah lengannya. Terdapat juga hantu yang lain termasuk Henry VI, Lady Jane Grey, Margaret Pole, dan para Putera di Menara.

Bergambar di atas feri berlatar belakangkan London Bridge, sebuah jambatan lama yang saya jangkakan telah ada atau setidak-tidaknya jambatan yang berhampiran lokasi ini selama tempoh pendudukan Rom di negara ini iaitu hampir 2,000 tahun yang lalu. Dikatakan jambatan pertama mungkin sebuah jambatan ponton tentera untuk kegunaan peperangan, dan ianya dibina dari kayu oleh Rom sekitar 50 AD.

Kini jambatan ini menjadi kebanggaan England kerana menjdi antara lokasi mesti dilawati oleh pengunjung apabila menjejakkkan kaki di London. Saya teringatkan lagu kanak-kanak yang sering kita nyanyikan masa kanak-kanak dulu - Where have you been, I been to London to see a Queen.

Dalam kesejukan saya gagahi juga untuk berdiri di atas bas dan bergambar sambil bas bergerak perlahan-lahan menyusuri jalan raya bandar London termasuk istana Queen, Pusara Puteri Diana, Hotting Hill, Istana Lama (Tower of London), Old London dan lain-lain.

Royal Albert Hall merupakan tempat pertunjukan kesenian terletak di Kensington selatan Royal Borough Kensington dan Chelsea, London, United Kingdom, paling terkenal dalam mempersembahkan konsert musim panas tahunan sejak tahun 1941. Royal Albert Hall merupakan salah satu bangunan di Inggeris yang paling berharga dan khas, ia dikenali di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Sejak dibuka oleh Ratu Victoria pada 1871, seniman terkemuka di dunia dari semua jenis genre persembahan telah menunjukkan prestasi dengan muncul di panggung yang ternama ini. Setiap tahun ia telah menghostkan lebih dari 350 persembahan termasuk konsert klasik, rock dan pop, balet dan opera, tenis, upacara penghargaan, acara sekolah dan masyarakat, persembahan amal dan jamuan makan mewah. Antara seniman kita yang pernah membuat persembahan di sini adalah Allahyarham Dato' Sudirman Hj Arshad dan Dato' Siti Nurhaliza.

Belakang saya Big Ben dan Westminster Chaterdral dari Sungai Thames.

Yang sebenarnya secara peribadi saya sangat tidak gemar dengan cuaca yang sejuk, bersalji dan kering. Tambahan pula London pada masa itu kadang-kadang dituruni hujan dan berangin, menjadikan cuaca bertambah sejuk. Saya rasa tambah tidak selesa. Hari akhir saya di London, saya telah diserangi oleh asthma yang agak teruk, nasib baik apabila nak bertolak ke Airport Heathrow saya menjadi sihat semula. Alhamdulillah.