Showing posts with label Nilai dan Etika. Show all posts
Showing posts with label Nilai dan Etika. Show all posts

08 December 2014

Etika Dan Nilai Murni Insan: Akauntabiliti Sepanjang Hayat

Ramai di antara kita yang bergelar pekerja semakin tipis dengan semangat positif dalam diri terutamanya anak-anak muda zaman ini. Setelah diperhatikan dan perbualan secara rambang bolehlah saya simpulkan ramai yang bekerja adalah kerana untuk menyara kehidupan masing-masing dan bukannya untuk menaburkan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Apa nak dihairankan kerana zaman ini adalah zaman kehidupan dunia yang mesti dicapai tanpa mengira apa caranya. 

Paling mengejutkan ramai kumpulan ini adalah dari penjawat awam yang bergelar guru. Jika dulu golongan guru adalah insan yang paling dihormati dan disanjung. Mereka dijadikan contoh oleh ibubapa, tetapi kini mereka menjadi contoh buruk kepada anak-anak murid mereka. Sikap tidak bertanggungjawab dan tiada akauntabiliti yang boleh dicontohi amat membimbangkan saya.

Apa ertinya seseorang penjawat awam yang beriltizam dengan memberi sepenuh tumpuan kepada kerjanya, bersikap dedikasi dan prihatin jika apa yang dilaksanakan dengan sempurna tidak disertakan dengan roh iman. Apa gunanya jika seseorang penjawat awam telah menunjuk dan membuktikan usaha dengan tabah dan bersemangat tanpa mengenal penat lelah tetapi tidak disertakan dengan keikhlasan, hasilnya tidak membuahkan hasil dengan roh, sebaliknya hasilnya adalah kosong kerana apa yang ingin dicapai adalah semata-mata kerana prestasi yang dikejarnya pada setiap akhir tahun.

Sukar juga rupanya untuk mencapai kepuasan yang mutlak dalam diri seorang penjawat awam. Bukankah setiap penjawat awam diajarkan bahawa kesukaran yang mendatang perlu dilihat dan diatasi secara objektif demi untuk membuahkan kejayaan yang cemerlang. Pekerjaan apa sekalipun perlu dilakukan bersama dengan roh iman dalam diri, kerana dengannya memastikan hasil dan/ atau upah yang diterima adalah halal dan menyeronokkan hidup. Tapi cuba tanyakan diri sendiri apa yang telah kita capai setelah sekian lama berkhidmat???? Itu jugalah yang sering saya tanyakan pada diri ini, apa tah lagi menjelang umur persaraan saya.

Tetapi yang perlu kita sentiasa ingatkan adalah bahawa semua pekerja yang mempunyai akauntabiliti pastinya akan sentiasa melaksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan kepadanya dengan roh diri dan kerja itu sendiri. Dia akan memastikan objektif dan sasaran kerja dan organisasinya insyaallah dicapai dengan sempurna dan berkesan. 

14 April 2013

Etika dan Nilai Murni: Kepimpinan Melalui Teladan

Dasar Kepimpinan Melalui Teladan (KMT) semakin dilupakan oleh rakyat marhain, paling menyedihkan ianya juga makin dilupakan oleh penjawat awam.  Dasar KMT adalah salah satu dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir, inspirasinya sangat murni iaitu segala sesuatu yang dilaksanakan oleh pemimpin adalah sentiasa terikat dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh fitrah manusia dan Islam, pelaksanaannya semata-mata bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat untuk semua manusia.

Apakah nilai utama yang ditentukan oleh Islam bagi seseorang pemimpin yang beragama Islam? ianya adalah mengenai akidah di mana pemimpin itu mestilah seorang yang taat kepada Allah serta mencontohi kepimpinan Rasulullah saw dalam melaksanakan tugasnya, kerana Rasulullah saw itu adalah contoh pemimpin yang terbaik di dunia ini. Di samping itu juga Islam menghendaki seorang pemimpin itu mempunyai akhlak tinggi, berwibawa, sabar, tegas, bertanggungjawab, bijak merancang dan bijak melaksanakan tugas serta memkotakan apa yang dikatakannya.

Saya amat yakin apabila seorang pemimpin mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang terbaik sudah setentunya ianya menghasilkan kesan dan contoh teladan yang positif kepada orang-orang bawahan atau orang-orang yang dipimpinnya, malahan kepimpinannya juga akan diikuti oleh golongan manusia lain baik di peringkat atasan mau pun di peringkat bawahan. Ingatlah bahawa sifat-sifat baik dan murni adalah modal untuk menjadikan mereka pemimpin yang unggul, dimuliakan lagi dihormati, dikasihi dan disanjung tinggi.

Orang-orang bawahan atau orang-orang yang dipimpinnya akan mencontohi dan mengamalkan contoh kepimpinan itu dan menjadi penggerak utama dan aspirasi kepada mereka untuk bergerak maju dan menyumbangkan khidmat bakti mereka ke jalan yang diredhai Allah demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

18 November 2012

Etika dan Nilai Murni

Dalam Kerajaan sudah tidak asing lagi perkataan etika dan nilai murni, malahan perkata-perkata ini akan terus diucapkan oleh ramai orang dalam bulan Integriti ini. Tetapi tahukah anda apa yang dikatakan dengan Etika? Jom kita lihat apa yang didefinisikan oleh sarjana bijak pandai, saya hanya meminjam kata-kata mereka.

Definisi Etika

Perkataan etika berasal daripada bahasa Yunani iaitu ethos, yang bermaksud watak atau adat. Etika adalah suatu cabang falsafah tentang pandangan dan persoalan dalam bidang moral, ia diungkap dalam bentuk moral seperti baik, buruk, jahat, suci, memalukan, bertanggungjawab dan sebagainya.

Etika juga juga merupakan suatu bidang dalam penyelidikan falsafah tentang kewajipan manusia serta tentang yang baik dan yang buruk. Ringkasnya, etika adalah falsafah tentang amalan dan norma-norma hidup manusia tentang amalan dan norma-norma hidup manusia [Abd Latif, 157].

Antara sikap dan sifat dalam bidang etika adalah berintegriti, berdisiplin, profesional, jujur, amanah, cekap, pro-aktif, menghargai masa, kreatif, innovatif, beriltizam, akauntabiliti, kolektif, sabar, sopan santun, berktrampilan, meningkatkan produktiviti, berdaya saing, kepimpinan dan banyak lagi. Pendek kata jika seseorang itu mempunyai etika dalam kehidupannya maka pekerjaan yang dilakukan adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. itu sudah tentu.


16 November 2012

Etika dan Nilai Murni: Usaha dan Daya Saing

Berusahalah sehingga berjaya
Jumpa lagi dalam siri Etika, Nilai Murni dan Bulan Integriti. Kali ini saya nak bercerita mengenai usaha dan daya saing secara ringkas.

Allah telah menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling sempurna di alam semesta ini.

Seseorang yang produktif tidak setakat berpuas hati dengan apa yang dicapainya sebaliknya mereka akan melipat gandakan usaha demi memperbaiki kualiti dan kuantiti produktiviti.

Begitu juga dengan seseorang yang mempunyai daya saing yang tinggi akan mengambil segala kesempatan yang datang kepadanya serta mencari peluang untuk terus meningkat.

Panduan dalam meningkatkan usaha dan daya saing seseorang adalah dengan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti, berusaha memperkemas dan menambahbaik sistem-sistem dan prosedur kerja sedia ada kepada yang lebih kompiten dan memastikan aset/ produk yang diguna/ dihasilkan mempunyai kualiti yang terbilang.

13 November 2012

Etika Dan Nilai Murni: Cekap, Cepat dan Tepat

Bismillahirahmanirahim....

Kita masih lagi dalam Bulan Integriti... jadi izinkan saya untuk berceloteh sedikit lagi isu yang berhubung kait dengan integriti. Kali ini saya pilih tajuk CEKAP. CEPAT dan TEPAT.

Agak-agaknya mengapa seseorang itu perlu cekap, cepat, betul dan tepat dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kalau dulu kita sering terdengar orang berkata "biar lambat asal selamat" dan "do it right at the first time", tetapi peribahasa tersebut sudah tidak relevan kepada beberapa perkara yang melibatkan masa dan produktiviti, namun begitu peribahasa itu mungkin boleh digunakan kepada pengguna jalanraya.

Dalam mencapai produktiviti terbaik seseorang perlu sentiasa peka terhadap masa, kualiti dan kuantiti kerjanya dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh sehingga sempurna dan mencapai matlamatnya dalam jangka waktu yang lebih awal dari masa yang ditetapkan. Jadi bagaimana panduan untuk melakukan sesuatu dengan cekap, cepat dan tepat, antaranya adalah dengan menyegerakan tindakan atau tugas mengikut keutamaan, hendaklah sentiasa bersikap positif dan peka terhadap kualiti dan kuantiti kerja, mempunyai iltizam untuk menyiapkan kerja dengan sempurna lebih awal daripada masa yang diperuntukkan, menumpukan perhatian ke arah pencapaian objektif dan matlamat yang lebih jelas, menguasai skil dalam komunikasi dan bertekad untuk memberikan kesempurnaan pada kali pertama melakukan sesuatu tugas. 

Seperkara lagi bahawa dalam Islam melaksanakan sesuatu pekerjaan adalah juga sebagai amal salih dan ibadah kepada Allah jika ianya dilakukan semata-mata kerana keredhaanNya, oleh yang demikian bagi menjadapatkan keuntungan dunia dan akhirat setiap pekerjaan itu hendaklah diniatkan kerana Allah sahaja. 

Setakat ini sahaja... nanti jumpa lagi.

11 November 2012

Etika dan Nilai Murni: Menghargai Masa

Bismillahirahmanirahim.
(Artikel ini saya sediakan untuk menasihati diri sendiri dan sesiapa yang sudi)

Wahai diriku dan kepada kawan-kawan yang beragama Islam mestinya masih ingat lagi dengan ayat Al Quran Surah ke 103, iaitu Surah Al-Asr. Melalui surah ini Allah bersumpah "Demi masa bahawa kita manusia sesungguhnya dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". Menunjukkan betapa pentingannya masa Perkhidmatan Awam melalui Tonggak 12 meletakkan menghargai masa di awal tonggak tersebut.

Malahan pepatah orang tua-tua ada berkata bahawa "masa itu emas", tetapi bagi saya masa itu lebih bernilai dari emas kerana kehilangan masa tidak mungkin akan dapat diganti semula walaupun dengan sekilo emas. Oleh itu apabila kehilangan 1 minit tiada minit lain yang dapat diganti. Bukan mudah untuk menjaga masa....., namun begitu ada caranya untuk kita menghargai/ menjaga masa. Di bawah saya senaraikan antara caranya;

1.   Membuat perancangan/ jadual terlebih dahulu. Bagi teman-teman yang suka bershoping, sekiranya tiada jadual atau senarai barangan yang hendak dibeli alamatnya akan berjam-jamlah kita berlegar-legar di dalam Mall. Itu yang membuatkan solat terlepas dan tertinggal;

2.   Bagi seseorang penjawat awam atau pekerja memelihara masa patut dijadikan peraturan utama. Penggunaan masa terutamanya dalam waktu bekerja kerana gaji dibayar mengikut masa tersebut serta dibimbangi gaji yang kita terima terkeluar dari kehalalannya.

3.   Cuba kira masa produktiviti dan keberkesanan hasil sesebuah tugasan, adakah ianya setimpal dengan gaji yang kita terima? adakah tugasan yang kita lakukan terlibat dengan sikap berlengah-lengah atau sambil lewa. Kita harus untuk sentiasa berusaha ke arah meningkatkan mutu kerja dan keberhasilan. 

4.   Tentukan tarikh sasaran tugasan untuk diselesaikan. Saya menggunakan perisian Outlook bagi mengingatkan saya bagi melaksanakan sesuatu tugas. 

Wallahualam.......

04 November 2012

Nilai Murni: Amanah dan Integriti

Salam Integriti untuk semua,

Sempena Bulan Integriti bagi negara saya, saya ingin mencoretkan artikel ringkas mengenai amanah dan integriti. Semua nilai-nilai murni yang ada pada diri setiap manusia adalah kejadian fitrah oleh Allah. Allah menjadikan manusia dengan sifat terbaik, oleh itu manusia adalah jadian yang paling sempurna di alam semesta ini. Setelah dilahirkan di dunia ini, Allah mengirim bersama 'fikiran', 'iman' dan 'nafsu' untuk menguji dan membentengi seseorang itu.

Insan di dunia hidup dan dikenali dengan sifat-sifat yang dijana bersma dengan fikiran, iman dan nafsu. Jika seseorang itu hidup dengan landasan fikiran dan iman maka terselamatlah dia tetapi sebaliknya jika seseorang itu hidup mengikut nafsu maka amat celakalah hidupnya. Kita boleh umpamakan insan yang hidup tidak di atas landasan mereka umpamakan pokok yang tidak berdaun hanya yang ada dahan-dahan yang tidak mampu menjadi perlindungan untuk insan maupun haiwan.

Yang sebenarnya bukanlah begitu sukar untuk hidup secara bersih, jujur, amanah dan berintegriti, modalnya hanya satu iaitu memiliki seketul hati yang baik dan ikhlas serta jiwa yang murni. Maka dari itu lahirlah setiap perbuatan, keputusan dan tindakan penuh dengan kemurnian budi, ikhlas, adil dan saksama. Insan sebegini akan sentiasa mentaati undang-undang penciptanya dan undang-undang dunia di mana dia bermastautin. Hasil dari tindakan insan ini maka mereka diberi lebel seperti boleh dipercayai, berintegriti dan mempunyai akauntabiliti.

Antara amalan-amalan terpuji yang menjadi pegangan insan-insan jenis ini adalah adil, saksama dan tidak pilih kasih, ikhlas, boleh diharap dan dipercayai, menjaga kepentingan harta benda awam, Oleh yang demikian sempenan bulan baik ini saya menyeru diri saya, sanak saudara dan semua sahabat-sahabat saya untuk mendidik diri menjadi insan berintegriti.

Sekian dari saya, terima kasih..

13 October 2012

Kursus Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam JPWPKL - Part 1

Sekali lagi saya dijemput untuk memberikan ceramah kepada peserta-peserta Kusus Pembantu Am Pejabat yang berkhidmat di bawah jabatan ini. Kali ini kursus berlanjutan selama 3 hari, iaitu pada 8 hingga 10 Oktober 2012 di Pusat Kegiatan Guru Sentul yang letaknya di Segambut Kuala Lumpur. Seperti kursus yang pertaa dulu saya diminta untuk menyampaikan topik yang berkaitan dengan Nilai Murni dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Memandangkan slot saya adalah di waktu petang, iaitu selepas makan tengahari, maka 'ceramah' akan menjadikan peserta mengamtuk dan tertidur, menjadi kebiasaan saya sekiranya di waktu petang saya lebih gemar untuk melakukan aktiviti berpasukan.

Saya amat berharap agar objektif subjek ini tercapai di mana di akhir slot ini diharap ianya dapat meningkatkan kefahaman mengenai nilai dan etika terutamanya berkaitan dengan Perkhidmatan Awam serta nilsi murni dan etika yang dikeluarkan oleh Kerajaan dapat dihayati oleh peserta serta mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Semoga kefahaman dan praktikal akan memudahkan lagi pembentukan penjawat awam yang bermoral dan beretika tinggi.

Saya dimaklumkan oleh kesemua peserta kursus bahawa mereka sudah lama tidak menghadiri kursus, terdapat yang telah tidak menghadiri kursus hampir 10 tahun lamanya dengan alasan PAP sekolah hanya seorang dan kerana ketiadaan mereka menyukarkan operasi sekolah-sekolah berkenaan. Pada saya, latihan atau kursus kakitangan merupakan keperluan dalam sesebuah organisasi kerana melalui latihan dan kursus sesebuah organisasi dapat digerakkan dengan lebih licin dan bersepadu.

Apa yang anda semua faham tentang Nilai?. Saya menceduk definisi nilai yang diberikan dalam buku terbitan INTAN iaitu, Nilai adalah ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Mengikut kajian sejarah, ilmu, kebijaksanaan, keadilan dan iktidal ( temperance ) merupakan nilai-nilai utama masyarakat. (Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam INTAN,1991)

Bagaimana pula dengan definisi Etika. Etika bermaksud nilai akhlak, tingkah laku, tanggungjawab, peraturan yang perlu diikuti dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap organisasi, komuniti dan masyarakat. Etika merupakan sesuatu pegangan bagi sesebuah organisasi. Seseorang anggota perkhidmatan awam berkewajipan memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku seseorang pekerja dalam kerajaan.