Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

02 March 2014

ALLAHYARHAM ROSLI BIN DHOBY 64 TAHUN DALAM KENANGAN

Hari ini 2hb Mac 2014 genaplah 64 tahun pemergian seorang negarawan dan pejuang revolusi kemerdekaan Bangsa Sarawak iaitu Allahyarham Rosli bin Dhoby. Namanya mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejarah ketokohannya tercatit dimana-mana sebagai antara pelopor revolusi kemerdekaan Negara Sarawak dibawah cengkaman Kerajaan British Borneo suatu waktu dahulu. Sebagai memberi penghormatan keatas perginya negarawan Bangsa Sarawak ini, Borneo Oracle akan membuat artikel istimewa pada hari ini dengan tajuk Allahyarham Rosly bin Dhoby 64 tahun Dalam Kenangan.

Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British Borneo mati di tali gantung pada 2hb Mac 1950. Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Borneo kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau “badek” di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Anak muda Bangsa Sarawak yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Daripada GPMS inilah terbentuknya Rukun 13 yang ditubuhkan bagi menentang tindakan Rajah Ketiga Negara Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang berpantang arang mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial British di London selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Ini kerana selepas peperangan itu, Sir Charles Vyner Brooke dikatakan sudah bosan memerintah dan ditambah lagi peperangan itu telah menyebabkan kerugian yang banyak akibat kemusnahan perang pada Negara Sarawak. Sir Charles Vyner Brooke yang sememangnya terkenal sebagai pemerintah Negara Sarawak yang gemar bersosial telah dikatakan menyerahkan Negara Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dengan sedikit imbuhan. Tindakan ini sebenarnya telah menyebabkan kemarahan dan bantahan daripada Bangsa Sarawak pada waktu itu kerana Sir Charles Vyner Brooke telah memungkiri janji iaitu untuk menyerahkan Negara Sarawak kepada pemerintahan Bangsa Sarawak sendiri. Sejajar dengan itu maka terjadilah apa yang dipanggil Anti-Penyerahan Negara Sarawak 1946.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu salah satu pembesar Melayu Sarawak yang tersohor di zaman Sir Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak Kingdom. Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka. Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala Gabenor yang baru dilantik itu membuat kunjungan kerja ke Sibu pada Disember 3, 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dipanggil Badik. Rosli dan Morshidi Sidik akhirnya ditangkap oleh anggota polis British Borneo pada waktu kejadian manakala rakan-rakannya yang lain telah diburu oleh pihak polis besar-besaran selepas kejadian tersebut. Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Gabenor Sir Duncan akhrinya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morshidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan di dalam kawasan penjara tersebut. Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor yang juga suatu waktu dahulu antara sahabat mereka di Sibu, Sarawak.

Inilah sekelumit ruang informasi tentang Perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 daripada Borneo Oracle untuk sumber perkongsian kita Bangsa Sarawak sekarang. Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 telah mengwujudkan satu fenomena kearah perjuangan anti-penyerahan kepada Kerajaan British Borneo pada waktu itu. Walaupun Allahyarham Rosli telah meninggalkan kita namun semangat juangnya tetap menjadi pembakar semangat kepada generasi Bangsa Sarawak di dalam menidakkan kebatilan yang ada sekarang. Al-fatihah untuk Almarhum Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.

Borneo Oracle love Rosli Dhoby

Sumber: Borneo Oracle

24 February 2014

SEJARAH HUBUNGAN KERAJAAN ISMAHAYANA LANDAK, KALIMANTAN BARAT DENGAN MASYARAKAT MELAYU SARAWAK YANG DIGELAR MELAYU LANDAK

Melayu Landak Sarawak…mungkin ramai Bangsa Sarawak sendiri tidak mengenal adanya kewujudan satu kumpulan etnik Melayu Sarawak yang dinamakan Melayu Landak.

Melayu Landak ini sekarang ada di mana-mana sahaja di seluruh bahagian di Sarawak. Kelompok Melayu ini tidak besar namun seperti etnik Melayu yang lain di Sarawak mereka juga mempunyai sejarahnya tersendiri.

Inilah artikel daripada Borneo Oracle tentang satu etnik Melayu Sarawak yang sebenarnya tidak ada perbezaan pun dengan Melayu Sarawak yang lain cuma kewujudan mereka di Sarawak mempunyai sejarah yang unik yang wajar dikongsi untuk pengetahuan kita bersama. Artikel kali ini bertajuk Sejarah Hubungan Kerajaan Ismahayana Landak, Kalimantan Barat dengan Masyarakat Melayu Sarawak yang digelar Melayu Landak.

Kerajaan Ismahayana Landak, Kalimantan itulah nama satu kerajaan yang pernah wujud di bumi Kalimantan, Indonesia suatu waktu dahulu. Kerajaan-kerajaan yang disebutkan di dalam sebuah buku yang bernama Negara Kertagama yang ditulis pada tahun 1365 oleh Empu Prapanca iaitu seorang penyair dan penulis sewaktu wujudnya Kerajaan Majapahit dibawah pemerintahan Raja Hayam Wuruk Rajasenegara ada menceritakan 21 Kerajaan yang menjadi tanah jajahan Kerajaan Majapahit waktu itu dan salah satu daripadanya adalah Kerajaan Landak atau pada waktu itu dikenali sebagai Nigrat Batur atau Angrat Batur.

Inilah permulaannya sejarah berdirinya Kerajaan Ismahayana Landak yang mempunyai era-eranya tersendiri iaitu sewaktu Hindu menjadi agama rasminya dan seterusnya Islam. Nigrat Batur pada asalnya diperintah secara turun temurun oleh bangsawan dari Singhasari dengan raja pertamanya adalah Ratu Sang Nata Pali 1 yang memerintah Nigrat Batur sehingga Ratu Sang Nata Pulang Pali VII. Perkahwinan antara Ratu Sang Nata Pulang Pali VII yang berketurunan Orang Laut (Melayu) dengan Ratu Permaisuri Dara Hitam, iaitu seorang puteri dari kalangan Dayak Kendayan Kalimantan telah mengurniakan seorang putera yang bernama Raden Ismahayana.

Pada ketika ini Kerajaan Landak masih lagi di bawah pengaruh Hindu. Setelah kemangkatan ayahandanya iaitu Ratu Sang Nata Pulang Pali VII maka naik takhtalah Raden Ismahayana menjadi raja pemerintah Kerajaan Landak. Bermula di sini, Raden Ismahayana telah memindahkan lokasi Kerajaan Landak ke lokasi yang baru iaitu di kaki bukit berhadapan dengan Sungai Menyuke, cabang Sungai Landak dan mengembangkan kuasa Kerajaan Landak ketika itu dengan ibukotanya yang dikenali sebagai Kota Ayu atau Munggu.

Pada ketika itu perpindahan lokasi Kerajaan Landak banyak didorong oleh hasil buminya iaitu intan yang banyak terdapat di Sungai Landak ketika itu. Raden Ismahayana naik takhta dengan menggelar dirinya sebagai Raja Adipati Karang Tanjung Tua Raden Iswaramahayana yang memerintah Kerajaan Landak dari 1472 hingga 1542. Kerana minatnya yang mendalam atas sahsiah rakyatnya yang telah memeluk Islam akhirnya Raden Ismahayana telah memeluk agama Islam berserta seluruh keluarganya dan ini diikuti oleh keseluruhan pembesar negeri serta rakyat jelatanya sekali. Dikala ini dia telah menggelar dirinya dengan nama Islam iaitu Raden Abdul Kahar.

Kerajaan Landak mencapai zaman kegemilangannya pada abad 1600M di bawah pemerintahan Anam Jaya Kesuma. Di kala itu Kerajaan Landak mendapat tempias kegemilangan daripada satu lagi kerajaan iaitu Kerajaan Tanjungpura yang juga gah pada masa itu. Kerajaan Tanjungpura pula mempunyai hubungan keluarga dengan Kerajaan Landak melalui perkahwinan adinda Anam Jaya Kesuma iaitu Ratu Mas Djaintan diperisterikan oleh Sultan Muhammad, raja Kerajaan Sukadana yang sememangnya antara pelopor kerajaan Islam di Kalimantan pada masa itu.

Namun begitu terdapat perselisihan berlaku ketika Ratu Mas Djaintan tidak lagi menjadi isteri kepada Sultan Muhammad sehingga Kerajaan Landak telah meminta dipulangkan kembali Intan Kobi yang merupakan Intan leluhur Kerajaan Landak. Atas perkara ini telah berlaku peperangan antara 2 kerajaan ini dan pada perang pertama Kerajaan Sukadana yang mendapat bantuan Inggeris telah berjaya mengalahkan Kerajaan Landak. Namun begitu pada peperangan kedua, Kerajaan Landak yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Banten yang disokong penuh oleh Belanda telah dapat mengalahkan Kerajaan Sukadana. Diceritakan bahawa Kerajaan Banten melalui sokongan Belanda telah dapat membunuh beratus-ratus tentera Inggeris sehingga ke Sukadana yang membenarkan Kerajaan Landak memenangi perang ke-2 tersebut. Saat inilah kerana terhutang budi, Kerajaan Landak telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada negeri naungan kepada Kerajaan Banten.

Sekitar tahun 1779M, seorang residen Belanda telah ditempatkan di Kerajaan Landak iaitu Residen Willem Andrian Palm. Hal ini tidak disenangi oleh raja dan rakyat Kerajaan Landak pada ketika itu sehinggalah berlakunya pemberontakan tempatan menentang penjajahan oleh Belanda. Menurut Belanda, Kerajaan Landak adalah di bawah campurtangan mereka memandangkan terhadapat satu perjanjian bertulis antara Kerajaan Banten dengan Belanda yang menyatakan bahawa Kerajaan Banten telah memberikan haknya kepada Belanda atas keseluruhan jajahannya.

Pada ketika ini raja dan seluruh rakyat jelata Kerajaan Landak tidak menyenangi atas apa yang berlaku ke atas Kerajaan Landak kerana dikatakan ianya diluar persetujuan Kerajaan Landak itu sendiri. Akibat daripada desakan dan kepungan daripada askar-askar Kerajaan Belanda pada ketika itu telah melemahkan Kerajaan Landak dan akhirnya ada di kalangan keluarga kerabat diraja serta rakyatnya melarikan diri ke Sarawak dan seterusnya meresapi penghidupan masyarakat Melayu Sarawak sekarang. Generasi yang dihasilkan oleh masyarakat Kerajaan Landak inilah yang digelar Melayu Landak Sarawak sekarang yang mungkin masih lagi mengekalkan budaya warisan daripada Kerajaan Landak.

Antara adat istiadat yang masih lagi digunapakai oleh mereka adalah di dalam adat perkahwinan Melayu Landak yang tidak ada pada masyarakat Melayu Sarawak yang lain contohnya apabila sewaktu upacara persandingan mempelai Melayu Landak akan ada 2 pahlawan lelaki memegang tombak bersalut kain kuning dan kedua-dua tombak ini diikatkan kain halus atau riben. Pada ketika pengantin lelaki hendak naik atas pelamin bagi disandingkan dengan pengantin perempuan adalah perlu untuk pengantin lelaki memotong riben tersebut dengan kapak yang tajam yang juga disalut dengan kain kuning. Inilah antara adat resam budaya masyarakat Melayu Landak yang agak berbeza dengan adat Melayu Sarawak yang lain.

Inilah sekelumit ruang informasi daripada Borneo Oracle untuk pembaca sekalian tentang Hubungan Kerajaan Ismahayana Landak dengan Melayu Sarawak yang digelar Melayu Landak. Sesungguhnya tidak dinafikan bahawa sentiasa ada hubungkaitnya antara masyarakat di Sarawak dengan masyarakat seBorneo yang lain memandangkan kita berada di satu pulau yang sama. Walau dimana jua asal-usul mereka namun sekarang mereka ini adalah salah satu masyarakat yang membentuk satu bangsa yang utuh dan hidup harmoni sebagai satu bangsa yang bergelar Bangsa Sarawak.

Sumber: Borneo Oracle Sarawakian

27 January 2014

SEJARAH LOMBONG ANTIMONI TEGORA, BAU, SARAWAK - The Untold History

Sejak berzaman lamanya semua rakyat Sarawak semestinya mengenali tentang lombong emas di kawasan Bau yang terkenal lebih-lebih lagi di kawasan Tasik Biru yang sekarang sudahpun menjadi antara pusat pelancongan terpenting di Sarawak.

Namun pernah tidak kita mendengar satu lombong antimoni bernama Tegora, Bau Sarawak. Lombong antimony ini sebenarnya mempunyai seribu satu rahsia yang wajar untuk diwar-warkan kepada dunia malah lombong ini merupakan lombong antimoni yang pertama dan lebih awal kewujudannya daripada lombong antimoni di Tasik Biru. Inilah paparan daripada Borneo Oracle pada kali ini iaitu Sejarah Lombong Antimoni Tegora, Bau, Sarawak.

Lombong Antimoni Tegora terletak di kawasan pedalaman di dalam kawasan hutan rimba yang menyelaputi Daerah Bau Sarawak iaitu ianya terletak di Bukit Tegora. Lembah Jambusan, Bau, Sarawak. Yang menariknya tentang lombong ini ianya dikatakan telah wujud sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak lagi. Pada asalnya lombong ini diusahakan secara tradisional iaitu dengan menggunakan kuasa manual kuasa manusia untuk menjalankan urusan perlombongan. 

Pada awal eksplorasi lagi lombong ini dikatakan diusahakan oleh pembesar Kesultanan Brunei yang berkuasa ke atas Sarawak pada masa itu. Tenaga-tenaga kerja untuk lombong ini adalah pada asalnya hamba-hamba yang terdiri daripada masyarakat pribumi Sarawak pada masa itu. Ada pelbagai siksaan dan deraan yang digunapakai ke atas hamba-hamba abdi ini. Dan kerana itulah, lombong antimoni Tegora ini berlainan daripada kawasan lombong yang lain kerana disinilah dimana adanya kegiatan hamba abdi dijalankan. Namun setelah James Brooke mengukuhkan kekuasaannya di Sarawak akhirnya lombong Tegora ini juga menjadi hakmilik kepada James Brooke. Dan James Brooke dikatakan telah membebaskan hamba-hamba abdi ini menjadi mereka yang bebas semua. Barangsiapa yang ingin meneruskan pekerjaan mereka sebagai pelombong akan dibayar upah dengan setarafnya pada waktu itu.

Pada asalnya pemilikan lombong ini diuruskan sendiri oleh James Brooke namun mungkin kerana tidak menang tangan kerana bergelut dengan pentadbiran Sarawak pada masa itu maka akhirnya beliau sendiri menyerahkan lombong ini untuk diuruskan dan diekplorasi oleh Borneo Company pada tahun 1860an. Dengan kedatangan Borneo Company di dalam mengurustadbir Lombong Tegora maka bermulalah eksplorasi secara moden dijalankan. Setelah melakukan penyelidikan yang lebih mendalam akhirnya pada tahun 1867, Lombong Tegora telah dibuka secara rasmi dan menjalankan perlombongan antimoni dengan lebih komprehensif dan komersial. Pada masa inilah Pengurus Borneo Company yang pertama iaitu LV Helms telah mula membawa masuk cara-cara perlombongan yang lebih berkesan dan moden sehingga memungkin lombong Tegora menjadi antara lombong yang paling produktif dan penyumbang kepada ekonomi Sarawak antara tahun 1872 hinggalah 1888. Namun setelah berlakunya penentangan oleh pelombong Cina dari Kongsi 12 di Bau, Lombong Tegora juga menerima tempias yang sama dan akhirnya lombong tersebut telah ditutup dengan rasminya pada tahun 1916 kerana dikatakan mempunyai banyak masalah.

Inilah sekelumit sejarah untuk sebuah lombong di Bau Sarawak yang sekarang ini sudah terbiar di tengah-tengah hutan rimba di Bau Sarawak. Tinggalan Lombong Tegora, Bau Sarawak boleh dilihat sekiranya ada yang sanggup meredah hutan di lokasinya kerana tiada siapa yang memperdulikan kewujudannya lagi sekarang. Tahun 2014 ini merupakan TAHUN MELAWAT SARAWAK jadi adalah baik sekiranya kawasan Lombong Tegora, Bau Sarawak ini dipulihara dan dijadikan antara tarikan pelancong di Sarawak seperti juga lombong Tasik Biru kerana ianya mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan unik yang wajar untuk diwar-warkan kepada dunia. Sesungguhnya Sarawak amat kaya dengan tinggalan sejarah yang tidak diketahui oleh dunia luar.

Sumber: Borneo Oracle Sarawak History

06 October 2013

MISTERI SEGI TIGA BORNEO – SURATAN ATAU SATU KEBETULAN


Bermuda Triangle atau Segi Tiga Bermuda, satu nama tempat yang mungkin tidak asing bagi rakyat di seluruh dunia. Misteri kehilangan kapal-kapal besar di kawasan yang dinamakan Segi Tiga Bermuda sudah tentu sering menjadi igauan ngeri bagi pelayar-pelayar yang melaluinya. Namun begitu, pernahkah kita terutama sekali rakyat Sabah dan Sarawak mengetahui tentang kewujudan sebuah tempat yang dinamakan SEGI TIGA BORNEO? Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan mengajak pembaca sekalian untuk mengenali sebuah kawasan yang dikatakan amat misteri yang dikenali sebagai MISTERI SEGI TIGA BORNEO – Suratan atau satu Kebetulan???

Segi Tiga Borneo sememangnya wujud di Pulau Borneo iaitu kedudukannya adalah antara Bario. Pa’Lungan dan Gunung Murut di Sarawak Bumi Kenyalang. Yang membezakan Segi Tiga Borneo dengan Segi Tiga Bermuda adalah Segi Tiga Borneo kedudukannya di atas daratan dengan diliputi oleh hutan belantara dan gunung ganang manakala Segi Tiga Bermuda merupakan hamparan lautan yang luas. Dan apabila memperkatakan kedudukan kawasan bergunung ganang dan hutan belantara sudah tentu Segi Tiga Borneo adalah satu yang menggerunkan untuk juruterbang-juruterbang kapal udara yang merupakan antara pengangkutan yang paling cepat serta kedua popular di Sarawak Bumi Kenyalang.

Menurut sumber, sejak pengangkutan udara diperkenalkan di Sarawak Bumi Kenyalang telah banyak kejadian kapalterbang dan helicopter terhempas di kawasan yang dikenali sebagai Segi Tiga Borneo ini. Yang terakhir adalah pada tanggal 12hb Julai 2004 yang mana sebuah helicopter jenis Bell 206 Ranger kepunyaan Hornbill Skyways yang di dalam perjalanan untuk meninjau projek hidro elektrik yang membawa seorang Menteri Sarawak iaitu Yang Berhormat Dr. Judson Sakai Tagai telah terhempas di kawasan ini. Kejadian ini telah mendapat liputan yang meluas dari media massa samada dalam atau luar negara. Ianya juga telah dibentangkan di Parlimen Malaysia pada masa itu dan hanya setelah 20 hari di dalam Operasi Mencari dan Menyelamat barulah bangkai helicopter ini ditemui.

Yang menjadi misteri adalah di dalam Operasi ini bantuan kepakaran daripada luar negara telah diperolehi daripada luar negara namun segala peralatan canggih dan moden tidak juga dapat membantu malah dikatakan tidak dapat berfungsi langsung. Inilah antara kejadian misteri yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyelamat. Dikatakan juga kejayaan operasi ini sebenarnya menemui noktahnya apabila bantuan mistik telah digunakan. Begitu “Keras” kawasan ini sehinggakan bantuan bomoh yang terkenal daripada masyarakat tempatan Ba’Kelalan telah digunakan dan akhirnya ia berjaya dilakukan. Mungkin jampi serapah dan khidmat pengantara yang digunakan di dalam dunia mistik untuk berkomunikasi dengan penunggu hutan tebal di Ba’Kelalan telah membenarkan mata manusia biasa untuk melihat dimanakah kedudukan sebenar lokasi kemalangan. Hanya Tuhan yang maha berkuasa mampu mengungkaikannya…..

Bagi yang hanya mempercayai hukum logik daripada mistik, kawasan Segi Tiga Borneo dikatakan antara salah satu kawasan penerbangan yang cukup mencabar kerana ia menjanjikan 1,001 kemungkinan kepada juruterbang yang bakal melaluinya. Tidak ada apa yang boleh dijangkakan dengan tepat jika melalui laluan itu, baik dari segi cuaca mahu pun tiupan angin kerana kedua-dua fenomena alam itu boleh berubah dengan pantas. Kedudukannya yang tinggi dari aras laut iaitu melebihi 600 meter, ditambah bentuk muka bumi bergunung-ganang menambahkan lagi kesukaran kerana ia menyempitkan ruang penerbangan yang ada. Sekiranya pesawat terhempas di kawasan tersebut, harapan mangsa untuk hidup adalah tipis jika lambat diselamatkan. Mangsa mungkin boleh bertahan beberapa hari dengan memakan serangga dan pucuk-pucuk kayu tetapi faktor cuaca yang tidak menentu serta sukar diramalkan akan menambah derita pada mereka yang masih hidup. Di situ, suhunya adalah antara 14 hingga 16 darjah Celsius dan di dalam hutan tebal tentunya lebih sejuk. Bentuk geografi yang bertebing curam pula menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR). Untuk sampai ke lokasi sejauh satu kilometer sahaja memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam. Bagi operasi dari udara, faktor cuaca yang berkabus dan pokok rendang menghadkan penglihatan juruterbang memantau lokasi kejadian.

Inilah sekelumit kisah Misteri Segi Tiga Borneo yang kedudukannya terletak di Sarawak Bumi Kenyalang yang telah banyak “memakan nyawa” manusia sejak di zaman Koloni British lagi. Segala kejadian mistik di dalam operasi menyelamat kemalangan mungkin juga adalah satu misteri atau mungkin juga satu suratan atau satu kebetulan di dalam kita memperkatakan hukum alam semulajadi di dunia ini. Sesungguhnya hanya Tuhan yang maha berkuasa mengetahui segalanya dan kita sebagai hambanya haruslah bertawakal dan berusaha sahaja.

Jangan Biarkan Hidup Anda Diliputi MISTERI!!!!!!

Sumber: Borneo Oracle

29 September 2013

LEGENDA PUTERI JUNJUNG BUIH

ASALNYA PUTERI DARI BUIH DI SUNGAI

Puteri Lela Menchanai adalah satu nama yang tidak asing bagi masyarakat di Brunei Darussalam malah ianya juga salah satu daripada ikon legenda di dalam masyarakat Kedayan.

Puteri Lela Menchanai dikatakan nenek moyang kepada masyarakat Kedayan sekarang yang mana mengikut teori kedua masyarakat Kedayan sekarang merupakan berasal daripada pengikut kepada Puteri Lela Menchanai yang bersama-sama di dalam rombongan perkahwinan Puteri Lela Menchanai, seorang puteri daripada tanah seberang yang berkahwin dengan baginda Sultan Bolkiah, sultan bagi Negara Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. 

Ini dapat dipastikan melalui tulisan daripada Drg Marthin Bayer yang menyatakan bahawa Puteri Lela Menchanai adalah sama dengan Kameloh Putak Janjulen Karangan yang terkenal di dalam masyarakat Dayak di Kalimantan Barat yang juga dikenali sebagai Puteri Junjung Buih. Inilah cerita legenda yang akan dipaparkan buat pembaca Borneo Oracle sekalian dengan tajuknya Legenda Puteri Junjung Buih – Asalnya Puteri Dari Buih Di Sungai.

Diriwayatkan suatu waktu dahulu terdapat sebuah Kerajaan lama bernama Amuntai yang terletak di Kalimantan Selatan. Alkisahnya Kerajaan Amuntai ini diperintah oleh dua orang raja bersaudara. Raja yang sulung bernama Patmaraga atau lebih dikenali dengan julukan Raja Tua. Manakala adiknya pula bernama Sukmaraga dengan julukan Raja Muda. Dikatakan walaupun kedua-dua raja ini telah mendirikan rumahtangga namun kedua-dua raja ini tidak dikurniakan dengan sebarang cahayamata bagi mewariskan kerajaan mereka. Dek kerana mengenangkan tiadanya waris maka kedua-dua raja ini telah mengambil kata sepakat untuk mendapatkan anak walau dengan apa cara sekalipun maka Raja Tua telah memerintahkan agar adindanya Raja Muda untuk mengusahakan apa yang perlu kerana ternyata Raja Muda lebih gagah dan lebih muda faktor usianya berbanding dengan Raja Tua. Dengan penuh tawakal, Raja Muda berserta dengan permaisurinya telah berusaha berjumpa dengan mereka yang pakar bagi mendapatkan zuriat dan pada suatu malam Raja Muda telah bermimpi didatangi oleh seseorang yang menyuruh baginda untuk pergi bertapa di sebuah pulau berdekatan dengan kota Banjarmasin.

Setelah terbangun daripada lenanya, Raja Muda pun menceritakan kisah mimpinya kepada permaisurinya dan tanpa ada berasa sangkal pada dirinya, permaisuri telah meminta Raja Muda untuk pergi ke lokasi yang diceritakan. Maka berangkatlah Raja Muda ke pulau yang dinyatakan untuk bertapa. Setelah sampai baginda pun mulalah bertapa seperti yang diajar di dalam mimpi baginda. Di dalam pertapaan inilah, Raja Muda telah mendapat firasat iaitu jika hendak mendapatkan zuriat maka hendaklah permaisurinya memakan bunga Kastuba. 

Maka Raja Muda pun mencari bunga kastuba yang tumbuh meliar di kawasan pertapaannya dan diberikannya kepada permaisurinya untuk makan. Kemudian pulanglah mereka ke istana di Kerajaan Amuntai bagi menanti berita baik yang akan tiba pada bila-bila masa. Setelah beberapa bulan berlalu, ternyata permaisuri Raja Muda telah hamil dan akhirnya setelah mengandung 9 bulan maka lahirlah putera kembar yang sangat elok rupa parasnya. Berbanggalah Raja Muda kerana ternyata Kerajaan Amuntai sekarang sudah mempunyai waris.

Berlainan kisahnya dengan Raja Tua yang mendengar perkhabaran gembira daripada Raja Muda juga mempunyai keinginan untuk mempunyai cahayamata sendiri. Maka Raja Tua dan permaisurinya pun berdoa dengan para dewa agar dikurniakan cahayamata juga. Pada malamnya, Raja Tua pula didatangi oleh seseorang di dalam mimpinya yang menyuruh baginda untuk bertapa di sebuah lokasi bernama Candi Agung yang terletak di luar kota Amuntai. Raja Tua dan permaisurinya pun tanpa berlengah-lengah telah mengikuti arahan yang diberikan. Walau bagaimanapun di sepanjang pertapaan tersebut, Raja Tua tidak menerima apa-apa firasat dan setelah tempoh pertapaan selesai baginda dan permaisurinya pun berangkat pulang ke istana dengan penuh sebak di dada. 

Di dalam perjalanan pulang ini, permaisuri merasa dahaga lalu mereka pun mengambil keputusan untuk berehat di sebatang sungai yang agak jernih. Ketika permaisuri mencedok air bagi menghilangkan dahaganya alangkah terkejutnya permaisuri secara tiba-tiba berbuih-buihlah di tengah sungai tersebut dan dengan tidak semena-mena timbullah seorang bayi perempuan yang terapung-apung dan mula menghampiri permaisuri. Rupa paras bayi perempuan tersebut terlalu indah dengan putih berseri-seri. Raja Tua dengan permaisuri percaya bahawa inilah zuriat yang diberikan kepada baginda lalu mengambil keputusan untuk mengangkat bayi perempuan tersebut sebagai puterinya. Dek kerana keindahan rupa paras bayi tersebut serta daripada mana asalnya maka bayi perempuan inipun diberikan nama Puteri Junjung Buih.

Setiba di istana Kerajaan Amuntai, Raja Tua telah memerintah menteri istana iaitu Datuk Pujung untuk membuat persiapan bagi Puteri Junjung Buih. Ketika diberikan kepada Datuk Pujung inilah tiba-tiba Puteri Junjung Buih yang masih bayi ini telah pandai berkata-kata iaitu beliau berkeinginan untuk diselimutkan dengan selembar kain tenunan yang harus dibuat dalam waktu ½ hari jika tidak kesaktiannya tidak akan berkesan. Mendengar atas perkara tersebut, Raja Tua pun bertitah untuk memanggil siapa juga wanita yang ahli di dalam membuat tenunan kain.

Pada masa itu, Puteri Junjung Buih hanya di dalam dakapan permaisuri Raja Tua tidak diletakkan di atas katil. Setelah mengadapnya 40 wanita Kerajaan Amuntai yang ahli menenun maka bertitahlah Raja Tua iaitu barangsiapa yang mampu menenun selembar kain seperti yang dimahukan oleh Puteri Junjung Buih di dalam masa ½ hari maka wanita itulah yang akan diangkat menjadi pengasuh utama Puteri Junjung Buih dan dikurniakan dengan segala hadiah daripada Raja Tua. Ternyata hanya seorang sahaja wanita yang mampu melangsaikan selembar kain tenunan di dalam waktu yang dibenarkan iaitu seorang wanita bernama Ratu Kuripan. Tenunan yang dihasilkan pun bukannya calang-calang kerana tenunan yang dihasilkan amat indah sekali. Akhirnya Puteri Junjung Buih diselimutkan dengan selembar tenunan itu dan diserahkan kepada Ratu Kuripan untuk dijaga dengan seelok-eloknya di dalam istana Kerajaan Amuntai.

Apabila meningkat dewasa, Raja Tua dan Raja Muda ingin menyerahkan kekuasaan Kerajaan Amuntai kepada zuriat-zuriat mereka maka berpakatlah mereka untuk menyatukan putera sulung Raja Muda dengan Puteri Junjung Buih. Namun begitu mengikut ceritanya putera kembar yang bongsu Raja Muda juga menaruh hati kepada Puteri Junjung Buih. Akibat tidak berpuashati kedua-dua putera kembar ini bertelagah di antara satu sama lain sehingga membenarkan Puteri Junjung Buih mengkhabarkan kepada ayahandanya Raja Tua bahawa jodohnya tidak boleh golongan bangsawan yang senegara dengannya kerana jika dilakukan kemudian malapetaka akan berlaku kepada Kerajaan Amuntai kelak. Jodoh Puteri Junjung Buih hanya pada golongan bangsawan atau raja daripada sebuah negara yang sedang berkembang dengan gah di Pulau Borneo. Maka diceritakan akhirnya Raja Tua telah menjodohkan Puteri Junjung Buih dengan seorang raja daripada Pulau Borneo dan Puteri Junjung Buih sewaktu perkahwinannya telah dibekalkan dengan beberapa pengikut yang ahli di dalam serba serbi sebagai membantu Puteri apabila di bumi asing nanti.

Inilah cerita legenda Puteri Junjung Buih mengikut versi daripada Kalimantan Selatan. Terlalu banyak versi Puteri Junjung Buih malah ada yang menyebut ianya juga puteri bangsawan daripada Kerajaan Banjar. Walau bagaimanapun ini hanyalah cerita legenda yang ada kebenarannya tetapi telah ditokok tambah bagi mencantikkan jalan cerita penglipurlara. Sebelum itu, bagi mencarikan kebetulannya di dalam mengatakan cerita legenda Puteri Junjung Buih ini adalah Puteri Lela Menchanai, permaisuri Sultan Bolkiah marilah kita bersama-sama menilai bait-bait indah daripada lagu melayu lama karangan Shukri Zain, seorang penyair daripada Negara Brunei Darussalam yang dihasilkan pada 10 Mac 1968.

Puteri Laila Mencanai
Serumpun kumpai di tengah lautan
Dalamnya terkandung buih nan indah
Darinya menjelma puteri rupawan
Dijadikan isteri Sultan Bolkiah

Puteri jelita Laila Mencanai
Didapat baginda dalam pelayaran
Kasih baginda tiada ternilai
Hajar isterinya dapat ditunaikan

Dalam Pelayaran isterinya menjahit
Jarum emas penyulam-nyulam
Baginda perhatikan begitu asyik
Sehingga tertidur di dalam pangkuan

Puteri pun terharu sulaman tak tentu
Jarum tercucuk ke tangan baginda
Bisanya jarum tawar tak selulu
Mangkatlah baginda di tangan jelita

Laila Menchanai berdukacita
Akhirnya puteri menikam dirinya
Meninggalkan wasiat bermakan sama
Makam selarong bernisan tiga

- Syukri Zain, 10/3/1968, Brunei -

Apakah kedua-dua nama ini adalah puteri yang sama hanya Allah yang tahu segalanya. Di harap cerita legenda ini akan menjadi sumber cerita untuk kita perturunkan kepada generasi kita yang seterusnya. Sesungguhnya kita yang berada di satu pulau yang sama mempunyai perkongsian cerita legenda yang agak sama yang wajar kita lestarikan menjadi karya agung buat tatapan generasi mendatangkan.

Sumber: Borneo Oracle

28 December 2012

Kenangan Bersama Mak Di Kuching

Saya bergambar bersama dengan emak saya di lobi hotel semasa menunggu kenderaan ke rumah Azizi untuk meraikan perkahwinan Azizi dengan Aisyah. Kami berdua serba hijau.

Di salah sebuah rumah tradisional, kalau tidak silap rumah Bidayuh di Perkampungan Budaya Sarawak. Masa ini kami berada di tingkat bawah rumah yang disediakan dengan beberapa pangkin. Rumah ini tinggi betul. tempat kediaman, dapur dan tempat tidur di tingkat atas. Cuba lihat di belakang kami ada tangga yang dibuat dari sebatang pokok.

Mak di tempat tidur orang Bidayuh - nampak selesa dan antik.

13 September 2012

Kenangan: Entikong Indonesia

Bergambar bersama kawan-kawan yang sama-sama bertugas sementara di Serawak, Kalau tidak silap foto ini diambil pada tahun 2003, di mana ketika itu saya telah ditugaskan untuk membuat pemantauan pembinaan 7 buah pejabat Pegawai tadbir Awam (PTA) di beberapa kem tentera di negeri ini. Boleh dikatakan pada tahun itu setiap 2 bulan sekali saya akan ke Serawak atas tujuan tersebut. Dan di masa lapang kami akan ke Entikong, iaitu sempadan antara Sarawak dan Indonesia, manakala daerah sempadan Malaysia adalah Tebedu. Dulu Entikong menerima ramai pelancong kerana ia merupakan syurga membeli belah kerana harga barang-barang di kawasan ini sangat-sangat murah manakala buatannya hampir-hampir sama dengan barangan asal.

Kini Entikong sunyi kerana Sarawak telah membuka satu lagi lokasi membeli belah juga merupakan sempadan Malaysia dan Indonesia di Sariken. Saya juga pernah di Sarikent bersama emak saya pada tahun 2009 dah macam biasalah kami juga membeli-belah di sini walaupun tidak banyak.

15 December 2010

Percutian Kuching Sarawak - Dengan Mak

Pada Disember tahun 2009, Saya dan rakan-rakan pejabat Bahagian Perolehan,Kementerian Pertahanan merancang untuk bercuti bersama keluarga masing-masing ke Kuching. Percutian ini dilakukan juga untuk menghadiri perkahwinan 2 orang sahabat kami di Kuching. Emak telah menyatakan persetujuan untuk ikut sama, jadi aku berpeluang bercuti bersama mak.

Saya dan emak di Hotel Bayview Kuching, tempat kami menginap. Hotel ini terletak di tengah-tengah bandar dan agak dekat dengan Water Front dan kedai-kedai menjual cenderahati. Tanda jelas hotel ini adalah Tokong Cina berhampiran dengannya.

Bersama dengan mak di rumah kaum Bidayuh, rumah kaum ini dibina sangat tinggi dengan tiang-tiang yang diambil dari sebatang pokok yang besar dan tidak disambung- sambung, cuba perhatikan tiang di belakang kami - besar bukan????. Di tingkat atas seperti rumah-rumah yang lain dan bahagian bawah rumah adalah tempat keluarga melaksanakan aktiviti harian. Rumah ini mempunyai tangga yang dibuat dari sebatang pokok yang ditakik menjadikan tepat memijak.

Kami di salah sebuah rumah kaum di Sarawak. Boleh dikatakan kesemua rumah kaum Sarawak ada di sini.

Dalam salah sebuah kenderaan yang disewa oleh kami. Alhamdulilah kenderaan ini banyak membantu kami untuk bergerak di sekitar Bandar Kuching, antara tempat yang kami lawati seperti Perkampungan Budaya Sarawak, Serike untuk bershopping dan sekitar Bandar Kuching. Yang sebenarnya ayah Azizi yang telah menguruskan tempahan kenderaan ini, kenderaan ini selesa dan pemandunya cekap dan cermat.

Kami makan malam di rumah Azizi, mereka jamu kami dengan masakan dari Sarawak seperti ikan terubuk masin, siput ambal (siput yang panjang lebih kurang 1 hingga 1 1/2 inci), dan pelbagai lauk lagi. Tetapi saya perhatikan mak sangat sukakan siput ambal dan mak makan agak banyak juga pada malam itu.

Kami, rombongan daripada Semenanjung merakamkan gambar bersama dengan pengantin sebelum kami bertolak balik ke hotel. Sambutan yang diberikan oleh kedua-dua keluarga amat mesra, ikutkan hati ingin sahaja menunggu sehingga acara habis, tetapi apakan daya masa amat mencemburui kami. Kerana kebanyakan daripada kami terpaksa bergegas pulang untuk penerbangan balik ke Kuala Lumpur.

Inilah dia pengantin- nya Azizie dan Aisyah, sama cantik dan sama padan. Mereka berdua memang orang Kuching tetapi bertemu, berkenalan dan bercinta di Kuala Lumpur, lebih tepat lagi di pejabat. Itulah namanya jodoh.

Yang ini saya dan mak bergambar bersama dengan seekor kucing gergasi cina, kerana kucing ini seperti kucing-kucing yang banyak dijual di kedai-kedai, macam kucing yang ada ong mengikut kepercayaan orang Cina. Mungkin kucing ini dibuat oleh komuniti Cina kerana kucing ni dibina berhampiran Tokong Cina di Bandar Kuching ini.

Bersama dengan mak dan kucing-kucing gergasi yang nampak macam jinak je.