Showing posts with label Borneo Oracle. Show all posts
Showing posts with label Borneo Oracle. Show all posts

02 March 2014

ALLAHYARHAM ROSLI BIN DHOBY 64 TAHUN DALAM KENANGAN

Hari ini 2hb Mac 2014 genaplah 64 tahun pemergian seorang negarawan dan pejuang revolusi kemerdekaan Bangsa Sarawak iaitu Allahyarham Rosli bin Dhoby. Namanya mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejarah ketokohannya tercatit dimana-mana sebagai antara pelopor revolusi kemerdekaan Negara Sarawak dibawah cengkaman Kerajaan British Borneo suatu waktu dahulu. Sebagai memberi penghormatan keatas perginya negarawan Bangsa Sarawak ini, Borneo Oracle akan membuat artikel istimewa pada hari ini dengan tajuk Allahyarham Rosly bin Dhoby 64 tahun Dalam Kenangan.

Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British Borneo mati di tali gantung pada 2hb Mac 1950. Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Borneo kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau “badek” di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Anak muda Bangsa Sarawak yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Daripada GPMS inilah terbentuknya Rukun 13 yang ditubuhkan bagi menentang tindakan Rajah Ketiga Negara Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang berpantang arang mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial British di London selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Ini kerana selepas peperangan itu, Sir Charles Vyner Brooke dikatakan sudah bosan memerintah dan ditambah lagi peperangan itu telah menyebabkan kerugian yang banyak akibat kemusnahan perang pada Negara Sarawak. Sir Charles Vyner Brooke yang sememangnya terkenal sebagai pemerintah Negara Sarawak yang gemar bersosial telah dikatakan menyerahkan Negara Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dengan sedikit imbuhan. Tindakan ini sebenarnya telah menyebabkan kemarahan dan bantahan daripada Bangsa Sarawak pada waktu itu kerana Sir Charles Vyner Brooke telah memungkiri janji iaitu untuk menyerahkan Negara Sarawak kepada pemerintahan Bangsa Sarawak sendiri. Sejajar dengan itu maka terjadilah apa yang dipanggil Anti-Penyerahan Negara Sarawak 1946.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu salah satu pembesar Melayu Sarawak yang tersohor di zaman Sir Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak Kingdom. Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka. Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala Gabenor yang baru dilantik itu membuat kunjungan kerja ke Sibu pada Disember 3, 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dipanggil Badik. Rosli dan Morshidi Sidik akhirnya ditangkap oleh anggota polis British Borneo pada waktu kejadian manakala rakan-rakannya yang lain telah diburu oleh pihak polis besar-besaran selepas kejadian tersebut. Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Gabenor Sir Duncan akhrinya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morshidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan di dalam kawasan penjara tersebut. Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor yang juga suatu waktu dahulu antara sahabat mereka di Sibu, Sarawak.

Inilah sekelumit ruang informasi tentang Perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 daripada Borneo Oracle untuk sumber perkongsian kita Bangsa Sarawak sekarang. Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 telah mengwujudkan satu fenomena kearah perjuangan anti-penyerahan kepada Kerajaan British Borneo pada waktu itu. Walaupun Allahyarham Rosli telah meninggalkan kita namun semangat juangnya tetap menjadi pembakar semangat kepada generasi Bangsa Sarawak di dalam menidakkan kebatilan yang ada sekarang. Al-fatihah untuk Almarhum Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.

Borneo Oracle love Rosli Dhoby

Sumber: Borneo Oracle

24 February 2014

SEJARAH HUBUNGAN KERAJAAN ISMAHAYANA LANDAK, KALIMANTAN BARAT DENGAN MASYARAKAT MELAYU SARAWAK YANG DIGELAR MELAYU LANDAK

Melayu Landak Sarawak…mungkin ramai Bangsa Sarawak sendiri tidak mengenal adanya kewujudan satu kumpulan etnik Melayu Sarawak yang dinamakan Melayu Landak.

Melayu Landak ini sekarang ada di mana-mana sahaja di seluruh bahagian di Sarawak. Kelompok Melayu ini tidak besar namun seperti etnik Melayu yang lain di Sarawak mereka juga mempunyai sejarahnya tersendiri.

Inilah artikel daripada Borneo Oracle tentang satu etnik Melayu Sarawak yang sebenarnya tidak ada perbezaan pun dengan Melayu Sarawak yang lain cuma kewujudan mereka di Sarawak mempunyai sejarah yang unik yang wajar dikongsi untuk pengetahuan kita bersama. Artikel kali ini bertajuk Sejarah Hubungan Kerajaan Ismahayana Landak, Kalimantan Barat dengan Masyarakat Melayu Sarawak yang digelar Melayu Landak.

Kerajaan Ismahayana Landak, Kalimantan itulah nama satu kerajaan yang pernah wujud di bumi Kalimantan, Indonesia suatu waktu dahulu. Kerajaan-kerajaan yang disebutkan di dalam sebuah buku yang bernama Negara Kertagama yang ditulis pada tahun 1365 oleh Empu Prapanca iaitu seorang penyair dan penulis sewaktu wujudnya Kerajaan Majapahit dibawah pemerintahan Raja Hayam Wuruk Rajasenegara ada menceritakan 21 Kerajaan yang menjadi tanah jajahan Kerajaan Majapahit waktu itu dan salah satu daripadanya adalah Kerajaan Landak atau pada waktu itu dikenali sebagai Nigrat Batur atau Angrat Batur.

Inilah permulaannya sejarah berdirinya Kerajaan Ismahayana Landak yang mempunyai era-eranya tersendiri iaitu sewaktu Hindu menjadi agama rasminya dan seterusnya Islam. Nigrat Batur pada asalnya diperintah secara turun temurun oleh bangsawan dari Singhasari dengan raja pertamanya adalah Ratu Sang Nata Pali 1 yang memerintah Nigrat Batur sehingga Ratu Sang Nata Pulang Pali VII. Perkahwinan antara Ratu Sang Nata Pulang Pali VII yang berketurunan Orang Laut (Melayu) dengan Ratu Permaisuri Dara Hitam, iaitu seorang puteri dari kalangan Dayak Kendayan Kalimantan telah mengurniakan seorang putera yang bernama Raden Ismahayana.

Pada ketika ini Kerajaan Landak masih lagi di bawah pengaruh Hindu. Setelah kemangkatan ayahandanya iaitu Ratu Sang Nata Pulang Pali VII maka naik takhtalah Raden Ismahayana menjadi raja pemerintah Kerajaan Landak. Bermula di sini, Raden Ismahayana telah memindahkan lokasi Kerajaan Landak ke lokasi yang baru iaitu di kaki bukit berhadapan dengan Sungai Menyuke, cabang Sungai Landak dan mengembangkan kuasa Kerajaan Landak ketika itu dengan ibukotanya yang dikenali sebagai Kota Ayu atau Munggu.

Pada ketika itu perpindahan lokasi Kerajaan Landak banyak didorong oleh hasil buminya iaitu intan yang banyak terdapat di Sungai Landak ketika itu. Raden Ismahayana naik takhta dengan menggelar dirinya sebagai Raja Adipati Karang Tanjung Tua Raden Iswaramahayana yang memerintah Kerajaan Landak dari 1472 hingga 1542. Kerana minatnya yang mendalam atas sahsiah rakyatnya yang telah memeluk Islam akhirnya Raden Ismahayana telah memeluk agama Islam berserta seluruh keluarganya dan ini diikuti oleh keseluruhan pembesar negeri serta rakyat jelatanya sekali. Dikala ini dia telah menggelar dirinya dengan nama Islam iaitu Raden Abdul Kahar.

Kerajaan Landak mencapai zaman kegemilangannya pada abad 1600M di bawah pemerintahan Anam Jaya Kesuma. Di kala itu Kerajaan Landak mendapat tempias kegemilangan daripada satu lagi kerajaan iaitu Kerajaan Tanjungpura yang juga gah pada masa itu. Kerajaan Tanjungpura pula mempunyai hubungan keluarga dengan Kerajaan Landak melalui perkahwinan adinda Anam Jaya Kesuma iaitu Ratu Mas Djaintan diperisterikan oleh Sultan Muhammad, raja Kerajaan Sukadana yang sememangnya antara pelopor kerajaan Islam di Kalimantan pada masa itu.

Namun begitu terdapat perselisihan berlaku ketika Ratu Mas Djaintan tidak lagi menjadi isteri kepada Sultan Muhammad sehingga Kerajaan Landak telah meminta dipulangkan kembali Intan Kobi yang merupakan Intan leluhur Kerajaan Landak. Atas perkara ini telah berlaku peperangan antara 2 kerajaan ini dan pada perang pertama Kerajaan Sukadana yang mendapat bantuan Inggeris telah berjaya mengalahkan Kerajaan Landak. Namun begitu pada peperangan kedua, Kerajaan Landak yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Banten yang disokong penuh oleh Belanda telah dapat mengalahkan Kerajaan Sukadana. Diceritakan bahawa Kerajaan Banten melalui sokongan Belanda telah dapat membunuh beratus-ratus tentera Inggeris sehingga ke Sukadana yang membenarkan Kerajaan Landak memenangi perang ke-2 tersebut. Saat inilah kerana terhutang budi, Kerajaan Landak telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada negeri naungan kepada Kerajaan Banten.

Sekitar tahun 1779M, seorang residen Belanda telah ditempatkan di Kerajaan Landak iaitu Residen Willem Andrian Palm. Hal ini tidak disenangi oleh raja dan rakyat Kerajaan Landak pada ketika itu sehinggalah berlakunya pemberontakan tempatan menentang penjajahan oleh Belanda. Menurut Belanda, Kerajaan Landak adalah di bawah campurtangan mereka memandangkan terhadapat satu perjanjian bertulis antara Kerajaan Banten dengan Belanda yang menyatakan bahawa Kerajaan Banten telah memberikan haknya kepada Belanda atas keseluruhan jajahannya.

Pada ketika ini raja dan seluruh rakyat jelata Kerajaan Landak tidak menyenangi atas apa yang berlaku ke atas Kerajaan Landak kerana dikatakan ianya diluar persetujuan Kerajaan Landak itu sendiri. Akibat daripada desakan dan kepungan daripada askar-askar Kerajaan Belanda pada ketika itu telah melemahkan Kerajaan Landak dan akhirnya ada di kalangan keluarga kerabat diraja serta rakyatnya melarikan diri ke Sarawak dan seterusnya meresapi penghidupan masyarakat Melayu Sarawak sekarang. Generasi yang dihasilkan oleh masyarakat Kerajaan Landak inilah yang digelar Melayu Landak Sarawak sekarang yang mungkin masih lagi mengekalkan budaya warisan daripada Kerajaan Landak.

Antara adat istiadat yang masih lagi digunapakai oleh mereka adalah di dalam adat perkahwinan Melayu Landak yang tidak ada pada masyarakat Melayu Sarawak yang lain contohnya apabila sewaktu upacara persandingan mempelai Melayu Landak akan ada 2 pahlawan lelaki memegang tombak bersalut kain kuning dan kedua-dua tombak ini diikatkan kain halus atau riben. Pada ketika pengantin lelaki hendak naik atas pelamin bagi disandingkan dengan pengantin perempuan adalah perlu untuk pengantin lelaki memotong riben tersebut dengan kapak yang tajam yang juga disalut dengan kain kuning. Inilah antara adat resam budaya masyarakat Melayu Landak yang agak berbeza dengan adat Melayu Sarawak yang lain.

Inilah sekelumit ruang informasi daripada Borneo Oracle untuk pembaca sekalian tentang Hubungan Kerajaan Ismahayana Landak dengan Melayu Sarawak yang digelar Melayu Landak. Sesungguhnya tidak dinafikan bahawa sentiasa ada hubungkaitnya antara masyarakat di Sarawak dengan masyarakat seBorneo yang lain memandangkan kita berada di satu pulau yang sama. Walau dimana jua asal-usul mereka namun sekarang mereka ini adalah salah satu masyarakat yang membentuk satu bangsa yang utuh dan hidup harmoni sebagai satu bangsa yang bergelar Bangsa Sarawak.

Sumber: Borneo Oracle Sarawakian