Showing posts with label Sedekah. Show all posts
Showing posts with label Sedekah. Show all posts

20 February 2014

KEUTAMAAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA

Ianya Amalan Berbentuk Sedekah.

Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ

وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ

وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

Maksudnya:

Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. (Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720)

Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang Siang Hari.

Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang siang hari. Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.

Maksudnya:

Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Hadith Riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1097)

Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah.

Bagi mereka yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu tetap berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah dan mengerjakan solat Dhuha pada awal terbitnya matahari maka dia mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:

Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. (Hadith Riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535)

Ia Solat Bagi Orang Yang Bertaubat.

Solat Dhuha adalah termasuk bagi solat untuk orang-orang yang bertaubat (Sholat Awwabin). Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.

Maksudnya:

Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. (Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 748)

TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA.

Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah sewaktu matahari mulai naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat setelah solat Subuh (12 minit setelah matahari terbit atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya setelah 15 minit) sehingga sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit) menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’.

Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan saat tengah hari.

Namun demikian waktu yang afdal adalah pada saat matahari panas terik. Demikian adalah dalil-dalil tentang waktu mengerjakan solat Dhuha:

Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:

Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat. (Hadith Riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535)

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.

Maksudnya:

Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. (Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 748)

Jumlah Rakaat Solat Dhuha.

Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimal adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang tertentu. Sebelum ini penulis telah memaparkan hadith-hadith berkaitan solat Dhuha yang dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang menunjukkan ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan dua belas rakaat.

Daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam rakaat. (Hadith Riwayat Imam al-Tirmidzi dalam kitab al-Syamaail, Bab Sholat al-Dhuha, no: 273)

أُمِّ هَانِئٍ فَإِنَّهَا قَالَتْ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ

فَاغْتَسَلَ وَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ.

Maksudnya:

Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam beranjak menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat. (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1176)

Di dalam Fathul Baari al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah membawa sebuah riwayat seperti di bawah:

وَعِنْد اَلطَّبَرَانِيّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي اَلدَّرْدَاءِ مَرْفُوعًا مَنْ صَلَّى اَلضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ اَلْغَافِلِينَ ,

وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعًا كُتِبَ مِنْ اَلتَّائِبِينَ , وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ اَلْيَوْمَ ,

وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِيًا كُتِبَ مِنْ اَلْعَابِدِينَ , وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَة بَنَى اَللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي اَلْجَنَّةِ

Maksudnya:

Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadith Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. Rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadith Shahih al-Bukhari no: 1176. Namun status hadith ini diperselisihkan olah para ulamak hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadith ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilai tsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadith Abu Dzar yang diriwayatkan oleh al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang lebih tepat hadith ini dha’if. Wallahu’alam.

Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu adalah:

مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:

كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي صَلاَةَ الضُّحَى؟

قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ.

Maksudnya:

Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Dhuha?
Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. (Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 719)

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha

Rakaat Pertama

1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua

1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

28 May 2013

7 MACAM PAHALA YANG DAPAT DINIKMATINYA SELEPAS MATI

Dari Anas r.a. berkata bahawa ada 7 macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.

1.   Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.

2.   Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.

3.   Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.

4.   Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.

5.   Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.

6.   Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.

7.   Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Quran maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :

1.   Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)

2.   Ilmu yang berguna dan diamalkan.

3.   Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

27 November 2012

Sedekah - Mathematik Syurga

Kepada muslimin muslimat saudaraku, jika saya katakan bahawa sedekah adalah punca rezeki, jika kita berfikir secara lojik mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya tadi. Kerana bersedekah adalah kita memberi apa yang kita ada kepada orang lain. Jika dalam mathematik dunia (konvensional) bolehlah saya contohkan sebagai di bawah:

10 diberikan 1 kepada seseorang, yang tinggal pada kita adalah 9. Mengikut mathematik ini apa yang kita punya menjadi berkurangan. Manusia takut betul kepada kekurangan, kerana itulah sememangnya sifat manusia yang selalu tamak dan selalu inginkan kepada yang lebih banyak. Kalau beginilah mathematik yang kita belajar dari kecil hingga dewasa maka memanglah semakin kurang orang muslim akan terus memberi/ bersedekah.

Sepatutnya kita harus memberitahu anak-anak kita bahawa mathematik orang Islam atau mathematik syurga formulanya sangat berbeza, kunci utama kepada mathematik ini adalah bertambahnya rezeki di dunia dan di akhirat. Sebagai contoh jika kita bersedekah 1 kuantiti, maka kita tidak pernah hilang 1 itu, malahan bakinya akan bertambah; 10 - 1 = 19. Jika kita ada 10 dan kita sedekah 1 dengan ikhlas dan kerana Allah maka baki yang ada pada kita adalah 19 dan bukannya 9. Teman-teman tahu bagaimana bakinya menjadi 19?. Allah pernah berjanji bahawa setiap 1 yang kita sedekahkan kerana Dia, maka Allah akan menggantikan dengan 10, jadi baki 9 dicampurkan 10 maka menjadikan baki 19. Adakalanya apabila kita memberi/ bersedekah Allah memberikan kembali kepada kita lebih dari 10 kadang kala sehingga 70 dikembali setiap 1 kita memberi/ bersedekah - untung kan??? Percayalah akan kata-kata Allah swt.

Rasulullah Saw. bersabda: Bila engkau ingin dicintai Allah, takutlah kepada-Nya dan bertakwalah. Bila engkau ingin dicintai para makhluk, berbuat baiklah kepada mereka dan jangan berharap sesuatu dari yang mereka miliki. Bila engkau ingin diperkaya dalam harta, maka zakatilah harta bendamu. Bila engkau ingin disehatkan badanmu, maka perbanyaklah sedekahmu. Bila engkau ingin diperpanjang umurmu, maka bersilaturrahmilah kepada kaum kerabatmu. Bila engkau ingin dikumpulkan bersamaku di padang mahsyar, maka perpanjanglah sujudmu kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa.

Wahai teman sebenarnya apa yang kita ada adalah hakNya, kita hanya memiliki buat sementara sahaja. Jika Allah bermurah hati kepada kita dengan memberikan apa sahaja kepada kita, tidak bolehkah kita juga bermurah hati kepada manusia yang lain. Pernahkah teman-teman berjumpa dengan orang yang menjadi miskin kerana bersedekah di jalan Allah... jawapannya memang tidak ada.

Oleh itu jika teman-teman ingin amenjadi kaya, mulia dan bahagia, cuba-cubalah perbanyaklah sedekah yang ikhlas kerana Allah.

Waallahualam

18 October 2012

Cerita Sedekah Lagi

Agaknya tentu teman-teman tertanya-tanya kenapalah pulaknya sidia ni cerita hal sedekah je masa ni?. kalau teman-teman nak tau sebabnya minggu depan kita akan menyambut Aidil Adha, di mana amalan korban dan sedekah adalah sinonim saja. Korban untuk diri kita dan sedekah untuk orang lain. Artikel di bawah saya terjumpa dalam simpanan saya yang dihantar oleh seorang teman melalui email. Saya ada buat sedikit perubahan dan pertambahan idea.

Perkataan sedekah berasal dari perkataan Arab 'shadaqa' yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar akan pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian 'infaq' iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material.

Dalam satu riwayat, Rasullullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa sedekah itu bukanlah semata-mata dalam bentuk wang ringgit tetapi ia juga boleh diperluaskan kepada sebarang amal soleh seperti mengalihkan duri dari laluan, membantu seorang tua berjalan, tersenyum kepada seseorang dan sebagainya. Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah.

Diceritakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tarmidzi dan Ahmad - Tatkala Allah Ta’ala menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung. Dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumi pun terdiam. Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya. “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung?” Allah menjawab, “Ada, iaitu besi.” (Kita mafhum bahawa gunung batu pun boleh menjadi rata ketika dikorek dan diratakan oleh buldozer atau sejenisnya yang dibuat dari besi).

Para malaikat bertanya lagi, “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi?” Allah yang Maha Suci menjawab, “Ada, iaitu api.” (Besi walau sekeras manapun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api). Para malaikat kembali bertanya, “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api?” Allah yang Maha Agung menjawab, “Ada, iaitu air.” (Api membara sedahsyat apapun niscaya akan padam jika disiram air).

Para malaikat pun bertanya kembali, “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air?” Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, “Ada iaitu angin” (Air di samudera yang luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat).

Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi, “Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat dari itu semua?” Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab, “Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya”. Ertinya, yang paling hebat, paling kuat dan paling dahsyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus dan ikhlas tanpa ada unsur menunjuk-nunjuk ataupun supaya diketahui orang lain. Subhanallah.

17 October 2012

Fadhilat Sedekah

Masih lagi cerita bersedekah, ramai ahli-ahli agama Islam yang menyusun fadhilat bersedekah seperti berikut:

1.    Dipanjangkan umur dan mencegah ajal yang buruk. Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya” ( Hadis Riwayat Tabrani )

2.   Mengelakkan bala. Sabda Nabi saw: “Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah” ( Hadis Riwayat Al-Baihaqi )

3.   Menghapuskan kesalahan-kesalahan dan dosa. “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan pada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah : 271). Rasulullah saw juga ada bersabda yang bermaksud, “Sedekah menghapus dosa seperti air memadamkan api.” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi dan selainnya)

Bersedekah secara psikologi membuatkan kita berasa seperti orang berada, tetapi perlu diingatkan jangan sekali-kali perasaan itu menimbulkan rasa riak, nanti pahala yang diharap akan mendapat dosa pula. tetapi apabila sedekah telah menjadi amalan kita tidak terasa apa-apa pun apabila kita menghulurkan sesuatu untuk membantu. Ada orang mengatakan bahawa perasaan itulah kelebihannya dalam amalan bersedekah yang kadang-kala kita sendiri tidak perasan atau sedar kerana kebanyakan daripada kita berasa bahawa manfaat bersedekah ialah hanya untuk mendapat pahala di akhirat. Apabila kita berasa kaya dan berasa lebih senang sedikit daripada orang lain, itulah “kekayaan” sebenarnya. Perasaan kaya ini sebenarnya satu langkah untuk menuju kekayaan berdasarkan Hukum Tarikan (Law of Attraction.). Walallahualam.

Dengan bersedekah juga sebenarnya kita melepaskan energi positif ke alam semesta yang akan menarik perkara positif terjadi dalam hidup kita. Mungkin antara kita tidak perasan betapa hebatnya sedekah terhadap kehidupan kita. Sebagai contoh, kita selalu menyedekahkan wang walaupun hanya RM1 kepada peminta sedekah di tepi jalan. Pada suatu hari, kita nak belajar di luar negara dan memerlukan bantuan kewangan. Tanpa disangka-sangka kita dapat tajaan daripada seorang jutawan. Secara tak sedar, itulah sebenarnya balasan yang Allah beri kepada kita yang selalu bersedekah. Lihatlah sekeliling anda dengan mata hati, adakalanya kita tak nampak balasan sedekah yang Allah berikan pada kita.

Bagaimana memulakan kehidupan dengan bersedekah? Pertama-tama belajarlah bagaimana nak maniskan muka dengan senyuman, kan senyuman itu juga adalah sedekah; selepas itu cuba tekat untuk bersedekah kepada haiwan yang berkeliaran di sekeliling rumah kita seperti burung dan kucing kemudian sedekahlah pada yang memerlukan sekurang-kurangnya RM1 seminggu. InsyaAllah jika istiqomah kita lakukan perkara-perkara ringan di atas, teman-teman akan terasa akan perubahannya. Moga mudah-mudahan, impaknya turut dirasai dalam urusan bisnes kita. wallahu alam

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! sedekah mana satu yang lebih besar? Nabi saw menjawab: Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata: Aku mahu bersedekah untuk si fulan, sekian untuk si fulan dan sekian lagi untuk si fulan ( Hadis Riwayat Al-Bukhari )

16 October 2012

Kisah Belalang Emas Dan Ikhtibarnya

Generasi belalang inikah?
Semasa kita kecil-kecil dulu apabila diceritakan mengenai kisah Nabi Ayub yang dikurniakan oleh Allah dengan kekayaan dunia maka kita juga memohon kepada Allah agar kita diberikan kurniaan yang sama. Maknanya kita nak jadi kayalah tu...

Tetapi sebelum baginda Nabi Ayub as diberikan kurnia begitu, baginda telah diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian yang berat seperti kehilangan ahli keluarga, kehilangan kekayaan dan kedudukan, ditimpakan penyakit serta disingkirkan oleh kaumnya dan isterinya meninggalkan dia seketika.

Semua ujian Allah itu dihadapinya dengan tenang dan redha sehingga baginda menjadi malu untuk meminta-minta yang berlebihan dari Allah. Sikap redha dan ketaqwaannya akhirnya Allah mengurniakan kepada baginda segala sebagai menganti apa yang baginda hilang dulu.

Di suatu saat, ketika Nabi Ayub as sedang mandi dengan perintah Allah SWT seekor belalang emas hinggap di lengan bajunya. Baginda menepis-nepis lengan bajunya agar belalang itu jatuh. Lalu Allah SWT berfirman: “Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?” Nabi Ayub as menjawab: “Ya benar, wahai Tuhan Segala Pencipta! Demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkahanMu.”

Dulu saya juga berhasrat untuk punya kapal layar sendiri
Cuba teman-teman bayangkan jika kita yang mendapat kurnia sebegitu, adakah kita kisah untuk memikirkan sama ada apa yang kita terima itu membawa kepada kehidupan yang berkah atau sebaliknya?. Dan bandingkan pula dengan kehidupan kita sehari-hari, di mana harta menjadi fokus utama, sebaik sahaja kita buka mata, kita bergegas untuk keluar mencari harta dan begitu juga di awal malam dan mungkin ada di lewat malam baru seseorang itu balik/ selesai mencari harta. Tetapi dapatkah harta menentukan kita hidup berkat di dunia dan di akhirat.

Harta kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkahan. Dengan adanya keberkahan, harta dan rezeki yang sedikit akan teras mencukupi dan berlebihan sehinggakan dapat dikongsi dengan insan yang lain. Sebaliknya, tanpa keberkahan harta kekayaan yang banyak dirasakan tidak mencukupi, merasi dan kelihatan hidup dalam kesempitan.

Oleh itu teman-temanku sekelian, percayalah bahawa rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita bukan dikira pada bilangannya sahaja malahan lebih ajaib dikira pada keberkatannya, sedangkan keberkatan tidak dapat dilihat, tidak mampu dikira dan ianya dinikmati oleh insan yang Allah kurniakan sahaja. Oh ya, bagaiman untuk kita dapatkan keberkatan itu? Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk memperoleh keberkatan dalam hidup, maka memperbanyaklah bersedekah seperti mana sabda baginda Rasulullah SAW: “Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah.”

Ditambah pula penjelasan keberkahan ini melalui hadis lain, apabila Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, ‘Ya Tuhanku, karuniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerena Allah’. Yang satu lagi menyeru, ‘Musnahkanlah orang yang menahan hartanya.”

Sedekah yang ikhlas walaupun sedikit tetapi ianya amat berharga di sisi Allah SWT. Orang yang kedekut dan sukar untuk mengeluarkan sedekah sebahagian dari hartanya amat rugi di dunia lebih-lebih lagi akhirat kerana segala harta dan kekayaan yang dimilikinya tidak ada keberkahan. Jadi, apa tunggu lagi kawan-kawanku jom kita melembutkan hati dengan bersedekah pada hari ini, tengahari ini kalau terjumpa orang yang dalam kelaparan belanja dia makan roti, atau kalau terjumpa kucing campakkan dia kepala ikan. Semakin kita biasa dengan amalan sedekah lama-lama tiada menjadi masalah dalam hidup, kerana tiba-tiba harta dunia jadi nombor 2 pada kita dan bukannya nombor 1 lagi.

Yang sebenarnya bersedekah adalah caranya untuk kita mensucikan harta kita di samping melampiaskan keburukan dan kecelakaan dalam hidup kita.

JOM BERSEDEKAH KITA.

26 August 2012

Sedekah Amalan Dalam Islam

Ada sesuatu sebab mengapa saya terpanggil untuk menulis mengenai sedekah... sebelum bermula elok rasanya kita menyelami apakah konsep sedekah dalam Islam?

Ramai scolar Islam bersependapat bahawa sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada dalam perlakuan ini adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Maka itu sedekah juga adalah ibadah selagi tidak timbul rasa riak dan ujub dalam diri.


Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan: Bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : "Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong seseorang adalah sedekah. Dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya ataupun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu adalah sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah.”

Perkataan sedekah berasal dari kata Arab shadaqa yang membawa maksud benar. Oleh itu orang yang  bersedekah adalah orang yang benar akan pengakuan imannya. Manakala menurut terminologi syariat, pengertian sedekah boleh juga disama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material. Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah. Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.

Bersedekahlah agar ianya dapat dirasai sama oleh sekecil ini
PERBANDINGAN SEDEKAH MENURUT AL-QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". (AlBaqarah : 261 )

Ringankanlah penderitaannya semoga Allah meringankan
penderitaan kamu kelak
DIPANJANGKAN UMUR DAN MENCEGAH AJAL YANG BURUK

Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" ( H.R. Tabrani )

MENOLAK BALA BENCANA

Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" ( H.R Al-Baihaqi )

Gambar hiasan
kesian si kucing, si anjing apatah lagi tuan mereka....
SELAGI PELUANG MASIH ADA…

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu (H.R Al-Bukhari)

Petikan dari buku : Duka Acheh Luka Kita Susunan Riduan Mohd Noor. 

12 December 2011

MINTALAH KEPADA YANG TIDAK JEMU MEMBERI

Dari kesempurnaan tauhid ialah meninggalkan perbuatan meminta-minta dari manusia dan seorang muslim hanyalah meminta dari Allah سبحانه وتعالى sahaja didlm semua keadaan. Ini adalah kerana Allah سبحانه وتعالى sendiri yang memohon para hamba-Nya agar meminta dariNya dengan firman Allah:

وَلا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ

نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" Dari: Ayat 32: سورة النساء

Telah diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dari Nabi صلى الله عليه وسلم yang bersabda "Pintalah dari Allah dari kelebihan-Nya kerana sesungguhnya Allah amat suka jika (para hamba-Nya) meminta dari-Nya".

Dan Dialah Allah سبحانه وتعالى yang tidak pernah jemu terhadap setiap permintaan dan permohonan dan tidak pernah jemu memberi dan memperkenankan kurniaan-Nya. Lantaran khazanah-Nya sentiasa penuh dan tidak akan kehabisan. Firman Allah:

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan". Dari;: Ayat 96: سورة النحل

Sebaliknya, Allah سبحانه وتعالى amat murka sekiranya hamba-Nya tidak berdoa dan meminta dari-Nya. Telah diriwayatkan oleh At-Tirmidzi bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa tidak meminta dari Allah, Allah murka terhadapnya. Justeru itu hendaklah seseorang dari kalangan kamu memohon dari Tuhannya agar menunaikan kesemua hajatnya hinggakan sekiranya tali seliparnya terputus sekalipun."

Adakah selepas itu atau sehingga itu sekalipun semestinya seseorang insan meminta dari sesama insan sedangkan Allah سبحانه وتعالى tidak pernah jemu dalam memberi, mengurniakan dan mengkabulkan segala permintaan? Allah سبحانه وتعالى merahmati barang siapa yang berkata:

لَا تَسْأَلُنَّ بُنِيَّ آدَمَ حَاجَةً وَسَلِ الَّذِيْ أَبْوَابُهُ لَا تَحْجَبُ الله يَغْضَبُ

إِنْ تَرَكْتَ سُؤْالَهُ وَبُنِيَّ آدَمَ حِيْنَ يُسْأَلُ يَغْضَبُ

"Janganlah kamu meminta dari Anak Adam untuk memenuhi keperluanmu dan pintalah dari Dia yang pintu-pintunya tidak tertutup, Allah murka jika kamu tidak meminta dari-Nya". Dan (sebaliknya) anak Adam jika dipinta kepadanya marahlah ia".

~ ~ Albanna Mutiara Ilmu ~ ~ ~ — with Joan Ahsan.