Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

10 April 2016

MENGGALI HARTA KARUN

Seorang ayah yang sedang nazak berwasiat kepada anak-anaknya, “Jika ayah meninggal, kamu bertiga bersihkanlah tanah hutan milik kita di belakang rumah ini. Carilah di dalamnya harta karun yang selama ini ayah simpan untuk kamu.”

Spontan anak yang sulung bertanya, “Bolehkan ayah beritahu secara tepat lokasi harta karun itu?” Si ayah hanya menggeleng-geleng kepala.

“Bang, tak payahlah kita paksa ayah. Ayah, kan tenat...’” kata anak bongsu. “Eh, kau ni! Bukan senang nak bersihkan kawasan seluas itu. Kalau ayah beritahu tempatnya, kan senang?” Sampuk anak keduanya.

Tidak lama kemudian ayah mereka meninggal dunia. Lalu, kedua-dua anak yang sulung dan anak kedua tanpa berlengah terus menebas kawasan hutan tanpa berlengah terus menebas kawasan hutan dan menggali di tempat-tempat yang mereka rasa harta karun itu berada. Setelah beberapa lama menebas dan menggali, harta karun masih tidak ditemui.

“Ah, mana ada harta? Agaknya ayah bercakap dalam keadaan buang tebiat ke...,” kata anak sulung.  “Mungkin ayah dah tak berapa waras lagi ketika memberi wasiat kepada kita itu.”

Mendengar kata-kata tidak sopan abang-abangnya, si adik bongsu berkata, “Kita kenal ayah. Kata-kata ayah selalu benar. Tidak ada sebab ayah hendak menipu kita.” “Baiklah kalau kau percaya sangat kau seorang sahajalah tebas hutan ni dan teruskan menggali,” ujar abangnya.

Si adik bongsu menyambung kerja menebas dan menggali tanah itu. Tidak lama kemudian, seluruh hutan dan tanah itu menjadi terang dan gembur.

“Macam mana, ada harta karun?” tanya abang-abangnya dengan nada mengejek. Namun si adik bongsu tetap yakin bahawa ayahnya bercakap benar. Tidak mungkin ayahnya berbohong. Cuma apakah hakikat sebenarnya yang dimaksudkan oleh ayahnya?

Lama-kelamaan, si anak sulung dan anak yang kedua pergi meninggalkan kampung untuk mencari pekerjaan di kota. Mereka kecewa kerana mengharap harta karun yang tidak ada. Tanah itu mereka serahkan sepenuhnya kepada adik bongsu mereka.

Melihat tanah kosong yang telah diterangi itu, timbul idea dalam benak si anak bongsu untuk bercucuk tanam. Dia mulai dengan menanam jagung, kacang dan sayur-sayuran, yakni yang cepat mendatangkan hasil. Hasil tanamannya dijual dan mendapat sedikit keuntungan.

Setelah mengumpul agak banyak modal, tanah itu ditanam pula dengan pokok buah-buahan.  Beberapa waktu kemudian, ladang buah-buahannya mengeluarkan hasil yang agak lumayan. Di samping menjadi pembekal sayur, kacang dan jagung, dia kini menjadi pengeluar buah-buahan yang agak besar. Dalam beberapa tahun, dia menjadi pengusaha yang maju dan kaya.

Kini barulah dia faham apa yang dimaksudkan oleh ayahnya mengenai harta karun yang terpendam di kawasan hutan belakang rumah mereka. Ayahnya tahu rahsia kerajinan, ketabahan dan sikap tidak putus asa dalam berusaha. Itulah “harta karun” yang dimaksudkan oleh ayahnya dulu.

Pengajaran:

Tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Semuanya perlukan usaha dan kesabaran. Jika kita berusaha dengan seluruh tenaga dan kemampuan diri, kita akan melihat ruang dan peluang sentiasa ada untuk dicapai.

Diadaptasi daripada Buku Angguk Geleng.

07 April 2016

SEGENGGAM GARAM

Jom kita kongsi kisah di bawah yang saya pinjam dari email KPDNKK, jadikan teladan ya.

Suatu pagi, seorang anak muda yang dirundung malang bertemu seorang tua yang bijaksana. Langkah anak muda itu longlai dan air mukanya kelihatan pucat tidak bermaya serta seperti orang yang tidak bahagia. Tanpa membuang masa, anak muda itu menceritakan semua masalahnya. Impiannya tidak tercapai dan gagal dalam kehidupan dan percintaan sambil Pak Tua yang bijak itu mendengarnya dengan teliti dan saksama.
Dia kemudian mengambil segenggam garam dan meminta anak muda itu mengambil segelas air. Dia menabur garam itu ke dalam gelas sebelum mengacaunya dengan sudu. "Cuba, minum ini dan katakan bagaimana rasanya...", ujar Pak Tua itu.
"Masin sampai pahit, pahit sekali," jawab anak muda itu sambil meludah ke sisinya sedangkan Pak Tua itu tersenyum melihat telatah tamunya. Kemudian, dia mengajak tetamunya itu untuk berjalan ke tepi telaga di dalam hutan berhampiran tempat tinggalnya. Mereka berjalan beriringan dan akhirnya sampai ke tepi perigi yang tenang itu.
Pak Tua itu menabur segenggam garam ke perigi itu dan menggunakan sepotong kayu untuk mengacau dan mencipta riak air yang mengusik ketenangan telaga itu. "Cuba ambil air dari telaga ini, dan minumlah". Sebaik anak muda itu selesai meneguk air, Pak Tua berkata: "Bagaimana rasanya?"
"Segar." sahut tamunya. "Apakah kamu rasa masin garam di dalam air itu?", tanya Pak Tua lagi.
"Tidak," jawab si anak muda. Pak Tua menepuk punggung anak itu lalu mengajaknya duduk berhadapan, bersimpuh di tepi telaga itu.
"Anak muda, dengarlah. Pahitnya kehidupan adalah umpama segenggam garam, tak lebih dan tak kurang. Jumlah dan rasa pahit itu sama dan memang akan tetap sama. Tapi, kepahitan yang kita rasakan sangat tergantung dari wadah atau tempat yang kita miliki. Kepahitan itu akan diasaskan daripada perasaan tempat kita meletakkan segalanya. Itu semua akan tergantung pada hati kita.
"Jadi, saat kamu rasakan kepahitan dan kegagalan dalam hidup, hanya ada satu hal yang boleh kamu lakukan. Lapangkanlah dadamu menerima semuanya. Luaskanlah hatimu untuk menampung setiap kepahitan itu. Luaskan wadah pergaulanmu supaya kamu mempunyai persekitaran hidup yang luas. Kamu akan banyak belajar daripadanya," katanya.
Pak Tua itu terus memberikan nasihat dengan berkata: "Hatimu adalah wadah itu. Perasaanmu adalah tempat itu. Kalbumu tempat kamu menampung segalanya. Jadi, jangan jadikan hatimu itu seperti gelas, buatlah laksana telaga yang mampu merendam setiap kepahitan dan merubahnya menjadi kesegaran dan kebahagiaan."
Lalu, kedua-duanya pulang. Mereka sama-sama belajar pada hari itu. Pak Tua, si orang bijak itu, kembali menyimpan 'segenggam garam' untuk anak muda yang lain, yang sering datang padanya membawa keresahan jiwa.

Pengajaran :  Setiap kehidupan di dunia ini sudah tentu ada cabaran dan halangan, namun semuanya bergantung bagaimana kita menguruskannya. Setiap rintangan perlu dihadapi dengan tenang, kita perlu belajar untuk menguruskan kehidupan dengan lebih bijak dan berhikmah.

15 January 2014

Buku: Cerita Cinta Ahmad Ammar


Buku ini adalah terbitan Karya Bestari Sdn Bhd. Saya bercadang untuk mendapatkannya sebuah nanti untuk mengetahui kisah arwah Ahmad Ammar bin Ahmad Azam Ab Rahman, seorang pemuda yang mempunyai kisah hidup yang sangat menarik. Anak muda ini tidak pernah melepaskan peluang dan tanggungjawabnya untuk membantu di mana sahaja ada umat Islam yang memerlukan bantuan.

Seperti mengetahui beliau akan kembali ke pangkuan Penciptanya, Ammar yang berjiwa mujahid melahirkan keinginannya untuk syahid. Seperti Allah swt menjawab permintaannya, selang beberapa hari dia kembali daripada trip bantuan ke Syria, Ammar telah dilanggar sebuah ambulan di Turki dan pemuda ini telah menghembuskan nafasnya di tempat kejadian. Singkat hidup AMmar tapi penuh berisi, hidupnya penuh jasa dan tidak dipersia-siakan.

Sungguh manis akhir hidupnya, dia bersemadi bersama dengan beberapa orang sahabat Rasulullah saw termasuk Sayyidina Abu Ayub al-Ansari di permakaman Eyub, Turki sebuah permakaman yang di mana bersemadinya sebahagian pahlawan Islam daripada angkatan tentera pertama muslimin semasa menakluk Kota Konstantinopel.

Semoga roh Ammar dirahmati Allah dan semoga bersemadilah dia dengan aman tenteram. Hebat ibubapa Ammar yang berjaya menghasilkan seorang pemuda Islam yang bersemangat jitu dan kukuh dengan pegangan Islam. Semoga menjadi sontoh kepada generasi-generasi saya dan sekelian Islam yang lain.

Banyak lagi cerita Ammar yang boleh dibaca daripada buku ini.. dapatkan segera. . .

14 January 2014

Cara Rasulallah saw Menjaga Kesihatan Diri

Jom kita cuba sedaya upaya untuk hidup secara Rasulullah saw, bukan sahaja sihat, ceria, gembira dan berkat tetapi kita juga akan sentiasa dikurniakan pahala, kerana mengikut cara Rasulallah saw ada sunat dan diberikan ganjaran pahala oleh Allah swt.

Terima kasih kepada Nor Abdullah Jeddah atas perkongsian Gambar di atas. Semoga diberikan ganjaran setimpal oleh Allah swt hendaknya.

27 March 2012

Iklan : Hargai Hidup (Insuran - Thailand)

Ini satu lagi iklan dari Negara Thailand (iklan Insuran) walaupun ianya hanya sekadar iklan tetapi mesej yang dibawanya sangat bermakna, Ibu ini diramal boleh hidup selama 2 tahun lagi, tidak 1 hari pun disia-siakan olehnya. Dia cuba merealisasikan setiap hari dengan impian semua anaknya yang mempunyai masalah hidup masing-masing. Walaupun kehidupan yang dilalui sukar - ibu ini membawa juga anak-anaknya ke pantai dan bersuka ria. Setelah dimasukkan ke hospital dia tetap membawa hidupnya dengan gembira dan kehadirannya membawa cahaya dan semangat kepada pesakit lain.

Bolehlah dikatakan hidup 2 tahunnya sangat bermakna dan bukannya mati sebelum masanya seperti sepatuh insan. Hargailah kehidupan kerana ianya bukan sahaja membawa sinar kepada diri kita tetapi juga kepada orang lain.

31 October 2011

Peta Hidup Oleh AnakkuSoleh.com

Saya tak sempat nak buka web ini tetapi dari apa yang dipaparkan di peta kecil dan ringkas ini, rasanya idea yang disampaikan agak menarik dan memberi manfaat kepada kita. Mulanya saya nak ucapkan syabas kepada penciptanya kerana berjaya menunjukkan perjalanan kehidupan dengan ringkas yang selama ini ramai tidak memikirkannya (termasuk saya). Melihat kepada peta ini rupanya dah separuh jalan saya berada di pentas sementara ini. Tapi bekalan yang dikumpul amat sedikit sekali. Nampak gaya saya kena buat operasi untuk tambahkan bekalan. Jom kawan-kawan kita buat bersama.

20 February 2011

Persediaan Untuk Pulang ke Negara Abadi

Dunia ini umpama pentas, di mana manusia pula adalah pelakon-pelakonnya. Secara mudahnya kehidupan kita di dunia sementara saja. Kita yang sebenarnya adalah dalam perjalanan untuk balik ke tempat asal kita, iaitu alam yang kekal abadi. Kita hanya ada dua sahaja pilihan tempat yang bakal kita diami iaitu bernama syurga atau neraka. Tetapi pemilihan tempat tersebut perlu dilakukan di dunia ini.

Oleh yang demikian sementara kita berada di dunia, kita perlu mencari seberapa banyak bekalan untuk dibawa balik. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. Begitu juga dengan kesusahan di dunia - sementara dan palsu.
Perlulah kita fahami bahawa kesenangan di dunia bukan betul-betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi bala, sementara kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan pula. Dunia adalah tempat kita ditipu dan menipu.

Akhirat sahaja tempat yang kekal di mana kesenangannya adalah mutlak 100% dan kesusahannya juga 100%. Menyedari hakikat ini, perlulah kita menyediakan perbekalan untuk satu perjalanan yang sangat jauh. Kekurangan bekalan akan amat menyulitkan perjalanan kita.

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering lupa akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. Lantaran itu Allah sering kali memberi peringatan (notis) supaya kita tidak lupa akan matlamat penghijrahan kita ke alam Baqa'. Notis demi notis dikenakan ke atas diri kita, tetapi kita tidak faham-faham atau tidak erti bahasa dan gembira malah semakin besar tawanya. Kalau TEN memberi notis pemotongan elektrik, kita menjadi kelam-kabut, tetapi bila Allah menghantar notis, kita buat acuh-tak-acuh saja.

Nabi Musa pernah memberitahu Malaikat supaya segera memberitaunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitaunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan.

Di antara peringatan (notis) yang dihantar oleh Allah ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih, gigi menjadi rongak, mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang, badan segar menjadi layu, kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin kendur dan sebagainya.

Ada 3 kategori manusia dalam menghadapi kematian:

Pertama : Bila teringat akan mati, terasa lapang hatinya. Hatinya menjadi suka. Kelompok manusia dalam kategori ini ialah mereka yang benar-benar berilmu dan telah penuh keimanannya terhadap Allah dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah. Ini ialah maqam tertinggi yang dimiliki oleh para wali.

Kedua: Apabila teringat mati, hatinya menjadi takut, kecut dan gementar. Mereka ialah orang-orang kafir yang tidak sanggup berjumpa dengan Allah. Mereka seumpama binatang-binatang liar kepunyaan seseorang. Apabila tuannya hendak mengambilnya, dia cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap secara paksaan. Kematian mereka amat menghinakan.

Ketiga: Golongan ini merasa dukacita dan takut terhadap kematian. Tetapi apabila telah mengalami mati, dia berasa sukacita. Malahan jika diberi pilihan, mereka tidak akan mahu kembali ke dunia semula. Mereka telah dapat mengecap dan menikmati alam yang lebih kekal dan lebih baik daripada alam fana yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan. Golongan ini ibarat seorang bayi yang baru lahir dari perut ibunya. Semasa akan keluar, bayi akan menangis kerana menyangka hidup di dalam perut ibunya lebih baik dan nyaman daripada alam dunia. Tetapi apabila telah lahir di dunia ini, dia tidak akan mahu kembali ke dalam perut ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang beriman yang belum mencapai taraf tinggi atau orang mukmin biasa.

Marilah kita berlumba-lumba mencari bekalan untuk akhirat. Janganlah kita asyik berlumba-lumba mencari bekalan dunia sehingga terlupa pertemuan kita dengan Allah. Kematian hanya penghijrahan atau perpindahan alam; berpindah dari negeri binasa ke negeri yang kekal abadi. Allah telah menghantar banyak notis kepada kita dan jadikanlah ia sebagai cemeti untuk menyedarkan diri tentang kematian yang sudah tentu akan menemui kita. Wallahu 'Alam.