Showing posts with label Umrah. Show all posts
Showing posts with label Umrah. Show all posts

28 December 2014

MASALAH "OVERACTIVE BLADDER"

Gambar hiasan - Kenangan Haji 2006 
Semasa melayari fb saya terjumpa dengan artikel dari fb rakan-rakan yang saya rasa amat perlu dikongsikan dengan para muslimat terutamanya yang bakal mengerjakan haji dan umrah. Jangan abaikan dan tolong baca kerana ianya amat penting terutamanya bagi yang telah berusia dan mempunyai penyakit yang sama. Apa kata kita baca bersama ...

Ketika menunaikan haji pada musim yang lepas, saya berkenalan dengan seorang hajjah berusia dalam lingkungan lewat lima puluhan. Beliau menceritakan, antara kegusaran utamanya sewaktu hendak menerima tawaran mengerjakan haji adalah kerana masalah kerap hendak buang air kencing, dan adakalanya tidak dapat dikawal. Bahkan alasan seperti ini adalah alasan utama ramai kaum wanita yang berusia teragak-agak untuk menunaikan haji.

Masalah yang dihadapi beliau adalah apa yang dipanggil pundi kencing yang terlalu aktif atau “overactive bladder”. Ia biasanya melanda wanita berusia, tetapi tidak jarang juga dideritai wanita yang lebih muda terutamanya yang mempunyai ramai anak.

Mereka yang mengalami overactive bladder terpaksa ke bilik air lebih daripada 7 atau 8 kali sehari dalam keadaan tergesa-gesa. Adakalanya mereka tidak sempat menyebabkan mereka terkencing di dalam seluar. Oleh kerana itu, kaum wanita yang menderita keadaan ini terpaksa bergantung kepada pemakaian tuala wanita hampir setiap hari, terutama mereka yang bekerja. Disebelah malam, mereka kerap terjaga tidur 1 atau 2 kali semalam untuk bangun kencing. Dari segi amal ibadat, sudah tentulah masalah ini amat dikhuatiri.

Apakah punca "overactive bladder"?

Ia berpunca dari saraf yang terlalu mudah menerima rangsangan (teruja). Saraf ini merangsang otot detrusor, otot bagi pundi kencing yang sepatutnya berkontraksi (mengepam) hanya apabila jumlah air kencing cukup banyak. Namun, didalam keadaan "overactive bladder", jumlah air kencing yang sedikit di dalam pundi sudah berupaya merangsang, menyebabkan pengidap terpaksa segera ke tandas.

Saraf yang teruja ini dikatakan berpunca dari jangkitan kuman ke atas saluran kencing, batu karang, kencing manis, kesan kecederaan akibat trauma atau pembedahan pelvik, angin ahmar, Parkinsonism dan kesan sampingan sesetengah ubat. Namun, terdapat banyak kes dimana puncanya tidak diketahui.

Bagaimana mengatasinya?

Bagi kes-kes yang tidak teruk, mengubah gaya pemakanan adalah satu langkah permulaan.

♡   Penjadualan pengambilan air. Walaubagaimanapun tidak perlu keterlaluan kerana air kencing yang sedikit dan pekat juga merangsang pundi kencing.

♡   Menjauhi minuman berkafein seperti kopi dan minuman berkarbonat. Kafein dikatakan berupaya merangsang saraf.

♡   Menjauhi makanan seperti tomato dan buah sitrus seperti oren dan anggur. Buah-buahan ini mengandungi asid sitrik yang boleh merangsang pundi kencing.

♡   Mengambil makanan berserat. Ini boleh mengelakkan sembelit yang juga boleh merangsang pundi kencing.

♡   Melatih diri sendiri dengan tidak melayan atau melewatkan ke tandas apabila terasa ingin kencing. Bagi sesetengah kes, ketakutan jika terkucil yang amat sangat sebenarnya mendorong kita tidak dapat mengawal perasaan ingin ke tandas.

♡   Pengidap digalakkan menunggu beberapa minit selepas membuang air kencing kali pertama, bagi membuang kali kedua agar pundi benar-benar kosong. Dan ini kita dapati bertepatan dengan salah satu adab di dalam Islam dalam membuang air kecil ialah istibrak secara berdehem-dehem selepas selesai. Ini bertujuan meningkatkan tekanan abdomen secara mengeraskan otot perut, yang dapat mengeluar saki baki air kencing di dalam pundi.

♡   Menjadualkan pembuangan air kencing setiap 2-3 jam adalah lebih baik dari ke bilik air hanya bila telah terdesak.

♡   Melakukan senaman otot lantai pelvik. Ada berbagai jenis senaman lantai, tetapi yang paling mudah saya gambarkan ialah mengesot ke hadapan dalam keadaan duduk dilantai dengan kedua-dua kaki dilunjurkan. Pergerakan ini melatih otot-otot pelvik yang menyokong pundi dan saluran kencing (uretra).

Dalam keadaan yang lebih serius di mana pengidap terlalu malu menghadapi situasi ini, adalah digalakkan berjumpa dengan doktor dimana rawatan secara pengambilan ubat dan pembedahan mungkin dicadangkan.

Sebaiknya wanita yang mengalami keadaan ini tidak terlalu risau dan memencilkan diri kerana keadaan ini dihadapi oleh ramai wanita. Dengan menjadualkan pemakanan dan kekerapan ke tandas, lama-kelamaan ia akan dapat di atasi.

Berbalik kepada kisah hajjah yang khuatir akan kelancaran ibadahnya, terutama dalam hal menyimpan wuduk bagi dua waktu solat (lantaran jarak masjid yang jauh dari tandas), beliau telah membawa satu beg besar dari Malaysia, yang hanya dipenuhi tuala wanita. Namun beliau sentiasa bersungguh-sungguh berdoa agar Allah mempermudahkan beliau. Berkat doa, dan panduan seperti yang saya ceritakan tadi, dengan izin Allah, beliau hanya menggunakan 10% dari jumlah tuala wanita yang dibawanya kerana ibadat beliau tidak terganggu dek overactive bladder, sekerap yang biasa beliau alami di Malaysia.

Ia menjadi pengajaran kepada saya. Jika kita mengalami situasi overactive bladder, berusahalah mengatasinya sebaik mungkin. Jangan jadikan ia alasan yang menghalang kita ke tanah suci kerana insya Allah, tetamu Allah dipermudahkanNya bagi banyak urusan.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Baca lanjut di www.imedik.org.

25 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Ribut Pasir

Pada hari kami semua akan berangkat kembali ke tanah air - maka berlakulah ribut pasir di ertengahan jalan. Kami bertolak dari Mekah menuju ke Jeddah pada sebelah tengahari.... selepas menyempurnakan tawaf wida' (tawaf selamat tinggal) dengan hati yang sapu kami meninggalkan kota Mekah.

Setelah memasuki daerah Jeddah, kami lihat kereta bergerak perlahan, rupa-rupanya ribut pasair sederhana sedang berlaku. Permandangan menjadi berkabur dan kurang jelas kerana jarak penglihatan menjadi terhad. Di atas jalan raya terutamanya di tepi-tepi/ bahu jalan pasir-pasir halus berkumpul, manakala di tengah jalan kelihatan pergerakan pasir halus.... bahaya juga rasanya kerana pasir bertiup sehingga ke cermin kenderan.

Melihatkan keadaan ini, saya teringat akan hadis Rasulallah saw bahawa nanti apabila menjelas hari kiamat amat berlaku asap yang tebal menyelubungi tanah Arab.... 

Sebaliknya melihat keadaan semasa ribut pasir seperti juga asap hitam yang menutupi matahari.... adakah ini petunjuk atau permulaan asap hitam yang dimaksudkan????

Jarak penglihatan yang semakin krurang...

Pancaran matahari di awal petang kelihatan seakan-akan menjelas waktu maghrib...

Pancaran matahari yang seakan ditutupi oleh asap hitam...

Semasa merentasi perjalanan ini membuatkan hati saya juga bimbang takut jika berlaku perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah semuanya (7 buah bas kami) selamat akhirnya...
Terima kasih ya Rabbi...

22 April 2013

Permandangan Selepas Subuh Mac 2013 di Masjidil Haram

Sehari sebelum bertolak balik ke tanah air, saya dan emak bersolat subuh di halaman Masjidil Haram - kami tiba lebih kurang 45 minit lagi untuk masuk waktu subuh, jadi banyak tempat solat yang strategik boleh kami pilih. Apabila hampir masuk waktu solat dalam masjid dan di halaman masjid mula penuh dan sukar untuk mendapatkan tempat.....

Pagi itu cuaca tidak sejuk sangat lebih kurang 30 darjah C, tetapi tidak juga panas kerana awal pagi..... sebaik sahaja selesai sahaja solat... jemaah dah mula beredar dengan yujuan masing-masing.... begitu juga dengan saya dan emak, pagi itu kami bersarapan pagi di D'Saji tak jauh dari masjid.

Yang sebenarnya photo ini saya ambil dari bangunan yang terletaknya D'Saji. Jauh-jauh kelihat kren-kren pembinaan berceracak menunjukkan kepesatan pembangunan di Kota ini.

20 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Bersama Kenalan Baru

Semasa saya dan emak mengerjakan umrah pada bulan Mac 2013 yang lalu, kami telah berkenalan dengan 1 keluarga yang berasal dari Johor. Mungkin disebabkan kami dalam satu kumpulan yang sama, iaitu Kumpulan/ Bas No. 4, maka kami menjadi sangat rapat. Saya berkawan baik dengan Faezah. Faezah bersama ibunya dan ayahnya, juga bersama dengan seorang sepupu, 2 ibu sandara dan seorang bapa saudara. Foto di atas Faezah di sebelah emak saya dan sebelahnya adalah ayahnya dan di hadapan adalah ibunya.

Kesempatan ini kami merakamkan foto untuk dijadikan kenang-kenangan. 

Inilah antara keluarga Faezah melainkan emak saya.

Saya dan emak saya semasa kami berkumpul di hadapan hotel untuk menuju ke Masjidil Haram.

19 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Masjid Jiranah

Seperti juga denganprogram umrah dan haji, Ji'ranah adalah salah satu tempat yang mesti dilawati kerana, tempat ini juga mempunyai serajahnya yang tersendiri. Ji'ranah adalah tanah halal yang menjadi miqat Rasulallah saw, manakala Tana'im adalah miqat isterinya Aishah ra. Emak di hadapan Masjid Ji'ranah selepas solat sunat ihram di sini. Pada masa ini cuaca agak panas dan pancaran matahari terik sekali. Langit kelihatan biru tanpa ada awan melindunginya.

Emak bergambar bersama dengan Mutawif kami, iaitu Ustaz Shaiful yang banyak menasihati, mengajar dan membantu jemaah kami bukan sahaja dari segi ibadah tetapi juga perkara-perkara lain.

Semasa kami ke sini, tidak ramai lagi pelawat dari mana-mana kumpulan, oleh itu masjid banyak ruang untuk solat dan tidak berlaku berebut-rebut. Musim panas yang baru bermula telah dirasai oleh kami, mungkin itulah sebabnya muka saya dan emak jadi macam tu disebabkan oleh pancaran matahari yang terik, hilang sudah senyuman kami...

Lagi foto emak bersama dengan Ustaz Shaiful berlatar belakangkan bukit/ gunung batu.

18 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - D'Saji Mekah Al Mukkaramah

Emak sedang menjamu selera di Restorant D'Saji Mekah. Emak memang suka bersarapan pagi dengan roti canai dan selepas seminggu emak dapat melepaskan rindunya kepada roti canai di Mekah. Rasanya memang sedap dan harganya sedikit mahal.

Tengok tu licin roti canai dengan kuah dalnya.... 2 keping setiap orang....

Inilah rupanya Restorant D'Saji yang terletak di tingkat 1, sorrylah nama bangunan tu dah lupa tetapi bangunannya tidak jauh dari Masjidil Haram, bangunan betul-betul selepas pintu keluar kalau ikut pintu King Abdul Aziz kalau dulu Pintu yang berhadapan dengan jam besar.

Malaysian Cuisine... sedap kalau lambat sikit, barisan beratur dah panjang

Selain dari itu saya juga ke restorant ini bersama dengan kawan lama Puan Mazinah binti Abdullah bersama dengan adik iparnya.

Selamat menjamu selera....



17 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Bersama Jemaah Indonesia

Emak bergambar dengan beberapa orang jemaah wanita Indonesia di hadapan hotel. Kami gembira dapat berjumpa dengan mereka walaupun hanya dapat bermesra sekejap sahaja. Maklumlah kitakan serumpun, bahasa hampir sama dan apabila berkomunikasi pasti dalam memahami antara satu sama lain.

Allah maha mengetahui rupanya rumpun Melayu berjumpa di tanah yang berkat. Kepada teman-teman baru ku itu... sekiranya datang ke Malaysia nanti, hubungilah saya melalui blog ini agar kita boleh ketemu lagi... insyallah. Terima kasih sebab baik terhadap saya dan ibu saya.

15 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Di Halaman Masjidil Haram


Di  hari akhir-akhir kami di sini, seperti juga di Madinah saya memaklumkan kepada emak untuk bersolat sunat di dataran Masjidil Haram sahaja. Solat-solat lain kami masih lagi melaksanakannya di dalam Masjidil Haram, hanya kini kaum wanita tidak dibenarkan bersolat di tingkat 1 di mana kita boleh/ berpeluang memandang Kaabah.

Untuk solat di dalam Masjidil Haram, kaum wanita diarah untuk bersolat di tingkat bawah, kawasan yang sangat luas dan sangat selesa kerana hanya untuk wanita sahaja. Kalau bernasib baik kita mungkin akan dapat tempat di kawasan belakang tingkat 1, tetapi masih lagi tidak dapat memandang Kaabah. Kalau tidak silap saya 2 kali saya, emak dan sahabat dapat solat di sini tetapi semakin hampir masuk waktu, semakin itulah jemaah datang berduyun-duyun dan berhimpit-himpit.

Lain kisahnya kalau bersolat di halaman, kawasan yang sangat luas di sekeliling Masjidil Haram, kita boleh pilih di mana nak solat, di sini juga kawasan solat lelaki dan wanita diasingkan, walaupun masih ada lagi pasangan yang cuba bersolat bersama, tetapi pegawai bertugas mengarahkan jemaah lelaki beredar dari sini. Kalau dulu semasa tahun 2006, menjadi pemandangan biasa apabila lelaki dan wanita bercampur baur dalam 1 saf, tetapi kini keadaan semakin tersusun dan teratur.

Beginilah tenangnya kawasan halaman Masjidil Haram setiap kali selepas selesai waktu solat. Melihatkan foto ini, saya terasa macam nak terbang je ke sana..... 

Sejurus sebelum azan subuh berkumandang, jemaah wanita dan mula ramai, dan masa ini jika untuk mencari ruang untuk solat agak sukar sedikit terutamanya yang datang berkumpulan kerana jika ada pun ruang untuk seorang dan di celah-celah saf. Untuk kawan-kawan yang akan ke sana nanti tidak mengapa kalau kita pergi awal sedikit untuk keselesaan dalam mengerjakan ibadat.

Bilalah lagi saya akan kembali ke sini? semoga dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki agar setiap tahun paling kurang sekali saya akan kembali... Ameen

13 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Mekah dan Masjidil Haram Dalam Pembinaan

Semasa saya berada di tanah suci Mekah pada bulan Mac 2013 yang lalu, permandangan yang jelas saya lihat adalah pembangunan dan pembinaan berada di mana-mana. Sekiranya anda berdiri di pintu masuk utama Masjidil Haram (Pintu King Abdul Aziz) dan anda berpusing 360 darjah anda mendongak ke atas dan anda akan lihat kren-kren berceracak di sekeliling anda.

Kren-kren ini saya umpamakan sebagai indikator pembinaan kerana setiap pembinaan akan memerlukan kren bagi pelbagai fungsi.

Dari dataran Kaabah sekalipun akan akan melihat kren-kren yang tinggi sedang bergerak di pelbagai arah.

Entah bila agaknya pembinaan-pembinaan ini akan tamat. Semoga segalanya siap dibina sebelum musim haji yang akan datang kerana di musim haji umat Islam akan berhimpun dalam skil yang sangat besar.

Naun begitu saya sedari bahawa pembinaan-pembinaan adalah untuk kemudahan dan keselesaan uamat Islam juga.

12 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Jam Besar Mekah

Jam besar Mekah berdiri dengan begitu megah sekali. Jam ini boleh dilihat dari jauh terutamanya di waktu malam kerana cahayanya berwarna hijau yang sangat terang. Ada yang menygatakan bahawa besarnya muka jam itu adalah lebih kurang sebesar padang bola sepak.... wah besarnya patutlah dari jauh dah kelihatan....

Saya juga mendengar desas desus mengatakan bahawa  Kerajaan Arab Saudi bercadang untuk merobohkan jam besar ini kerana didakwa bahawa jam ini membuatkan jemaah yang datang ke Mekah terlalu leka melihat jam ini sehinggakan memesungkan kekusyukan jemaah untuk beribadat. Betul atau tidak itu tidak dapat saya pastikan. Namun begitu jika benarlah berita itu dan sekiranya keputusan tersebut dilaksanakan sudah tentu pembaziran akan berlaku. Urusan kekusyukan seseorang letaknya di hati setiap jemaah dan ianya sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan... tepuk dada tanyalah iman....

Foto ini saya ambil semasa saya mengerjakan tawaf daripada dataran Kaabah. Waktu siang jam ini kurang jelas mungkin juga disebabkan oleh debu yang hampir menutupi kota ini.

11 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Tawaf dan Saie Umrah

Umrah Mac 2013 yang lalu saya dan emak mengikutinya selama 12 hari, boleh dikatakan jemaah umrah yang berada di kedua-dua kota memang ramai, sukar juga untuk mendapatkan ruangan solat di dalam masjid-masjid yang kami lawati. Semasa tawaf dan saie juga jemaah memenuhi ruang-ruang berkenaan. Setelah berbincang dengan emak, saya mencadangkan supaya emak melakukan tawaf dan saie umrah dengan mengupah seseorang untuk menolak mak dengan menggunakan kerusi roda. 

Memandangkan pergerakan kami tidak sama, jadi saya terpaksa berpisah dengan emak. Mengikut kata Ustaz - mutawif kami, biasanya kerja tawaf dan saie yang diupah akan disempurnakan dengan cepat sekali. Tawar pertama saya lakukan dengan seorang sahabat baru iaitu Faezah dan ibunya.

Faezah dengan ibunya selepas kami sempurna melaksanakan tawaf umrah kami yang pertama. Masa ini sudah tengah malam. Namun begitu jemaah masih lagi terlalu ramai dan keadaan di hadapan Kaabah agak sesak juga.

Emak sedang berehat sambil penunggu Pak Arab untuk menolak emak mengerjakan tawaf dan saie umrah yang ketiga. Kali ini saya menyertai emak kerana kali saya terseliuh akibat terpijak lubang semasa balik dari solat subuh. Rupanya kita boleh melaksanakan tawaf dan saie dengan mengupah orang walaupun keadaan kita sihat walafiat. Patutlah dari dulu lagi saya pernah melihat ramai orang yang sihat walafiat mengubah orang menolak mereka.

Bersaie bersama-sama dengan jemaah dari pelbagai negara. Saya selalu melaksanakan saie seorang diri dan biasanya saya lakukan di tingkat bawah, di mana tingkah bawah adalah merupakan tingkat yang paling ramai pengunjung. Kali ini saya mengambil masa yang lama iaitu hampir setengah jam juga untuk menyempurnakan saie 7 kali dari Safa ke Marwah. Kalau dulu pada tahun 2006 saya mampu menyempurnakannya dalam masa 15 minit sahaja. Maklumlah usia pun dah meningkat......

Sambil berehat saya merakamkan gambar saya di Bukit Safa sebelum meneruskan saie yang seterusnya. Pada kali pertama saya ke sini, Bukit Safa ni tidak dikepung, oleh itu ramai orang yang memanjat dan duduk-duduk di atas batunya. Kini bukit ini telah dikepung dengan cermin.

10 April 2013

Catatan Perjalanan: Umrah 2013 - Senja Di Padang Pasir

Pada 10 Mac 2013 adalah hari perjalanan kumpulan kami dari Madinah ke Mekah. Sebanyak 7 buah bas bergerak serentak. Memandangkan jarak yang jauh iaitu lebih kurang 400 km maka kami tidak sempat sampai ke Kota Mekah sebelum maghrib.

Kami maghrib dengan melaksanakan solat jamak isyak di salah satu R&R, selepas solat dan makan malam kami berangkat semula menuju ke Mekah. Senja di padang pasir berlainan dengan senja di negara kita.

Senja di negara kita matahari bersembunyi di sebalik pokok dan daun kayu, tetapi senja di padang pasir matahari memancar tanpa halangan sehingga ianya turun dan bersembunyi di sebalik bukit-bukit yang tidak ada tumbuhan di atasnya.

Cahaya matahari nampak kekuningan dan keemasan seperti mata raksaksa yang baru buka dari tidurnya yang lena, tak sampai 10 minit cahaya ini makin hilang dan meninggalkan kesan-kesan cahaya berwarna kemerah-merahan. 

Masyallah indahnya kejadian alam yang dijadikan oleh Allah.... lain tempat lain warna dan gayanya... syukur alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk menikmati keindahan alam ini. Terima kasih wahai Allah... semoga umurku dipanjangkan dengan nikmatmu dan keimanan yang semakin bertambah. Ameen...