
Perjalanan bermula daripada Kota Tinggi oleh adik iparku Norshimah bersama anak lelakinya Ammar. Mereka memandu ke Melaka pada hari Jumaat 26 November 2010 untuk mengambil emak kemudian ke Tampin ke rumah adik ku Ainee di Sekolah Menengah Arab (JAIM)Al-Asyraf Tampin.
Pada keesokkan harinya mereka berlima Emak, Shima, Ain, Ammar dan Amir menaiki keretapi dari Tampin ke KL Central, mereka tiba jam 3.30 petang. Foto atas Ammar bersama Amir dalam keretapi dari Tampin.

Aku bergerak dari Taman Saga ke KL Central untuk bergabung dengan mereka jam 6.45 petang. Setelah memanggil teksi sebanyak dua kali dan teksi tak kunjung tiba akhirnya abang Jaafar dan anaknya menghantar aku ke Spektrum Ampang, dari sana aku mengambil teksi ke KL Central dan tiba jam 7.20 malam. Sementara Noraini teman sekuliah Ain (pengajian Sarjana Psikologi di UKM) semasa tiba di KL Central dari Bangi jam 7.30 malam. Di atas adalah foto kami yang diambil oleh Noraini.

Kami semua bertemu lebih kurang jam 7.30 malam di pintu masuk KL Central. Di sini kami mengambil kesempatan untuk menunaikan solat maghrib dan solat jamak dan qasar isyak. Keretapi Mutiara bertolak dari KL Central tepat jam 9.15 malam dan tiba di Arau, Perlis jam 7.15 pagi keesokan harinya.
Kebanyakan daripada kami, ini merupakan pengalaman pertama menaiki keretapi dengan tempat tidur, perasaan kami adalah excited dan seronok. Kami berposing sakan rasanya ramai yang mungkin berbisik dalam hati....teruknya mereka ni...macam orang kampong je.... Photo di atas, aku bersama Shima di KL Central menunggu ketibaan keretapi.

Kami mengambil makan malam di sini dan ada beberapa di antara kami membawa bekalan untuk dimakan di atas keretapi. Sepanjang perjalanan sukar untuk kami melelapkan mata, dan di setiap stesen keretapi akan berhenti untuk menurun dan menaikan penumpang. Apabila masuk waktu solat subuh (kami mempraktikkan solat subuh secara duduk di tempat tidur) ada di antara kami yang menunggu untuk melihat matahari terbit. Cuba lihat foto di bawah yang diambil oleh Ammar, matahari terbit di kawasan sawah padi antara Gurun dan Arau.

Sebaik tiba sahaja di Stesen Arau kami terus mencari teksi. Dengan kekuatan kami seramai 7 orang, kami perlukan dua buah teksi untuk menghantar kami ke Kuala Perlis. Kami sempat berkenalan dengan pemandu teksi Cikgu Mawi dan Pakcik Md Nor - sambil itu kami melihat hamparan sawah padi, ada pokok padi yang masih cantik hidupnya tetapi ada yang telah musnah akibat dari bencana banjir bulan lepas, melihat kehancuran ini saya merasa kasihan kepada rakyat di negeri Kedah dan Perlis. Semoga mereka tabah menghadapi cubaan dari Allah taalah.
Setibanya di Kuala Perlis kami berunding mengenai keperluan kami semasa di Langkawi dengan wakil yang menyediakan beberapa perkhidmatan seperti sewaan kenderaan semasa di Langkawi dan sewaan bot untuk melihat kawasan tanaman bakau (mangrove). Mengikut kata agen di sini harga tempahan di sini adalah lebih murah daripada harga tempahan di Langkawi. Kemudian kami mengambil keputusan untuk membeli tiket feri ke Langkawi jam 10.00 pagi

Setelah selesai urusan tersebut, barulah kami mencari tempat untuk bersarapan pagi. Sarapan yang ringkas tetapi agak mengenyangkan menunggu makan tenghari di Langkawi, Mak belanja kami sarapan pagi. Selepas sarapan kami masuk ke ruang menunggu. Ruang yang agak selesa dan mempunyai banyak tempat duduk. Feri yang akan membawa kami ke Langkawi adalah Star City, feri tersebut telah tiba dan aku dapat rasakan kedua-dua anak saudaraku itu mungkin teruja untuk belayar.

Foto kami semasa di ruang menunggu, foto diambil oleh Amir. Boleh tahan juga walaupun sedikit kabur. Semasa tiba waktu untuk menaiki feri, selepas pengumuman disiarkan, macam biasa kita orang Malaysia akan berebut-rebut dan berpusu-pusu. Nasib baik tempat duduk di dalam feri mempunyai nombor, jadi tak kisahlah kalau masuk lewat sikit. Walau bagaimanapun nasib kami baik sebab dapat masuk awal, kerana Ammar dan Amir telah ada di depan barisan jadi kami satu kumpulan dapatlah laluan mudah sikit.

Foto semasa di dalam feri. Juru fotonya adalah saya sendiri. Kalau lihat pada foto ini, wajah kami masih lagi ceria dan teruja, tetapi apabila tiba di Langkawi, iaitu selepas lebih kurang satu jam pelayaran, wajah masing-masing agak suram disebabkan oleh kepenatan dan kelaparan. Akhirnya lebih kurang jam 11.15 pagi, alhamdulillah kami semua menjejakkan kaki di bumi tanah tumpahnya darah Mahsuri. Shima dan Ain menguruskan mengambilan 2 buah kereta sewa, tak sangka urusan tersebut mengambil masa yang agak lama, iaitu lebih kurang 1 jam.

Ikuti pengalaman cuti kami di bahagian ke II nanti.