Showing posts with label Kucing. Show all posts
Showing posts with label Kucing. Show all posts

01 December 2016

Selamat Mengadap Penciptamu Oyen

Sambungan kisah Oyen.... Oyen suka makan makanan yang lembut, mungkin mudah untuk ditelan... walaupun begitu dia makan tak banyak. Tetapi saya perasan Oyen jarang minum. Selepas baik sedikit Oyen mula makan kibbles walaupun tak banyak.

Saya dapat rasakan ada benjolan di tekak dia, mungkin disebabkan kekurangan air menjadikan tonsil dia sedikit membengkak. Oyen berjalan dengan lemah dan kebanyakkannya saya dukung dia.

Vitamin yang saya berikan Oyen dan selepas itu dia kuat makan dan dalam beberapa hari dah boleh makan kibbles. Kesihatan Oyen dah bertambah baik, lika dia dah sembuh, bisul di telinga dia pun dah pulih. Walaupun Oyen tak mesra bersama Itam MB, Miz Lulu dan Acik tetapi mereka boleh hidup harmoni dalam satu tempat.

Seekor kucing yang cantik, baik dan sangat manja. Tapi umur dia tak panjang. Tiba-tiba pada malam Jumaat  25 November 2016 Oyen jatuh sakit dan terus meninggalkan saya pada 28 November 2016. Saya ada orderkan Tranfer Factor (TF) susu untuk kuatkan imunisasi dia tetapi Oyen tak sempat ambil. Saya masih tertanya-tanya kenapa tiba-tiba dia jatuh sakit yang teruk, selsema dia datang balik dengan teruk dan membawa kepada maut dia. Mungkinkah dia diserang oleh Porvo??

Selamat jalan sayangku Oyen, walaupun baru 3 minggu hidup bersama mommy tetap sayangkan Oyen dan mommy doakan agar kita jumpa nanti... Mommy sayang pada Oyen seperti juga sayang pada arwah Comel dan Mizz.

30 November 2016

Kenangan Berkereta Bersama Oyen

Oyen seekor kucing jantan yang saya ambil dari salah sebuah bank di Melaka. Kucing yang sangat manja tetapi kenapa dia berada di bank tersebut yang tiada kedai makan? adakah dia berkenala sehingga ke bank tersebut atau dibuang oleh manusia durjana?

Tetapi Oyen tetap sabar menunggu tuannya datang semuala mengambilnya, malangnya tidak kunjung tiba. Semasa saya jumpa dia, Oyen selsema dan mulut dia bermasalah. Dia sukar untuk makan, saya beranggapan mungkin dia sukar untuk menggigit makanan keras.

Oyen memangnya budak yang baik, dia pandai duduk dalam kereta, dia diam dan tidak mengeow dan boleh nyenyak sehingga sampai di rumah. Agaknya dia dah biasa berjalan-jalan dengan menaiki kereta.

Sebaik tiba sahaja di rumah, Oyen bangun dan perlahan-lahan turun dari kereta. memang baik budak ini. 

29 November 2016

Kesedihan Semalam

Allahhuakbar, semalam selepas magrib saya kehilangan seekor kucing yang baru saya cuba selamatkan. Oyen nama yang saya berikan kepada dia. Saya ambil Oyen kerana sangat kasihankan dia yang sedang menderita sakit. Dia susah nak makan dan kurus serta tidak berdaya untuk berjalan.

Badan, telinga kanan, atas mata kanan dan hidung dia cedera dan berkudis, seperti lama tidak dirawat.

Semasa di tempat dia dijumpai, rakan sekerja saya belikan ayam goreng tetapi Oyen tidak mampu mengigit dan ayam tersebut terlepas dari mulut dia. itulah sebabnya saya ambil dia takut dia tak makan

Yang sebenarnya Oyen kucing yang berbulu tebal dan sederhana panjang, tetapi disebabkan oleh kesakitan yang ditanggung dia nampak kotor dan sedikit berbau.

Saya bawa dia balik pada 9 November 2016, mulai tarik itu saya dan mak cuba rawat dia sebaik mungkin. Rupanya Oyen selsema, sakit mulut, luka-luka dan sukar bernafas.

Nasib baik ubat batuk dan selsema kucing-kucing saya masih berbaki dan saya berikan kepada Oyen dalam 2 hari dia dah boleh makan kibbles dan minum.

Oyen dah boleh berjalan dan minta diusap. Disebabkan dia sakit saya berikan tumpuan kepada dia, setiap kali balik saya akan hadap dia dulu, dan sebelum tidur bercakap dan berikan dia ubat serta sapukan ubat luka.

Yang sebenarnya kesihatan Oyen dah mula baik, luka dah 90% sembuh, saya dah mandikan dia dan dia dah bersih.

Tiba-tiba pada malam Jumaat yang lepas (25 November 2016) sakit dia menjadi teruk, hidung dia tersumbat semula dan nafas dia kuat. Saya tidak boleh tidur mengadap dia.

Dan semalam saya balik lewat, sampai rumah dah hampir jam 7 malam. Saya nampak Oyen tunggu depan grill depan dan bukan tempat selalu dia tunggu saya. Selepas solat asar saya terus dukung dia untuk berikan air minum dan ubat. Tiba-tiba dia kejang dan tersentap. Terkejut saya tengok dia dan masa tu juga dia terus menghembuskan nafas terakhir dia.

Oyen tunggu saya balik untuk ucapkan selamat tinggal. Pergilah sayang kepada pencipta kita dan nanti jumpa mommy di syurga.

25 November 2016

Proces Kurantin Miz K

Saya namakan anak kucing yang saya ambil dari Kendong N9 sebagai Miz K, iaitu sempena nama Kendong. Lebih kurang 2 minggu saya kurantinkan dia supaya dia menjadi biasa dengan kawasan rumah ini dan biasa dengan pasir litter dia. Macam biasa kucing yang dipungut di tempat awam akan buncit perutnya kerana mengandungi cacing.

Dalam masa yang sama Miz K diberikan ubat cacing, vitamin dan mandian kering untuk mengelakkan sakit perut, najis busuk, hama dan kutu. Disebabkan dia kucing bebas memang menduka kesabaran betul apabila dia dikurung. Bising dan mencakar sekeliling kandang serta membingitkan telingan.

23 November 2016

Aku Selamatkan Kau Dari Di Sepak

Anak kucing ini saya pungut semasa kami berhenti makan tengah hari di Food Court Kendong N9. Kejadiaan lebih kurang pada 12 Mei 2016. Rasanya umur dia lebih kurang sebulan setengah dan saiz badan yang kecil kerana saya boleh sembunyikan dia dalam tudung saya.

Memandangkan saya terpaksa balik ke pejabat saya simpan dia dalam opis saya dengan menutup pintu bilik, takut-takut dia berlari keluar kerana suasana luar opis yang agak bising. Di dalam bilik budak ini sempat buang air kecil dan besar, budak ni memang baik sebab dia berikan saya tanda dia nak melepas, jadi saya letakkan surat khabar lama untuk dia selesaikan hajat dia.

Tengoklah, dia sangat manja itulah sebabnya dia kerap kena sepak sebab suka sangat duduk dengan kaki manusia, Sampai sekarang dia tetap suka berlari dan berjalan di kaki manusia.

27 July 2016

Makanan Yang Tidak Sesuai Untuk Sicomel!

Assalamualaikum dan Salam Isnin buat pelanggan baru dan sedia ada kami yang dikasihi, followers, bloggers, warga sahabat FB, pelawat dan tidak lupa pada pencinta kucing tegar yang dikasihi. Semoga dengan info yang dikongsi ini dapat memberi manfaat sebaiknya pada sicomel anda.

Mungkin ada di antara anda masih tidak tahu makanan yang tidak sepatutnya diberikan kepada sicomel tanpa menyedari makanan tersebut boleh mengancam kesihatan dan membahayakan kesihatan sicomel itu sendiri.

Antara makanan-makanan yang merbahaya :

• Tuna (ikan tongkol)
Ikan tuna tidak mengandungi nutrisi dan zat yang diperlukan oleh kucing, tidak sesuai pada sicomel malah boleh menyebabkan keracunan merkuri (mercury poisoning) jika ianya diberi secara berlebihan.

• Segala jenis bawang dan daun bawang
Bawang dan daun bawang boleh menyebabkan kurang sel darah merah, anemia, keracunan dan masalah 'gastrointestinal upset'

• Susu dan produk tenusu
Menghidangkan susu dan keju kepada kucing dewasa boleh menyebabkan masalah pada sistem penghadaman kerana kebanyakan kucing dewasa tidak boleh menghadamkan susu dan akan menyebabkan cirit-birit.

• Alkohol
Keburukan alkohol sama seperti kesannya pada manusia dan boleh menjejaskan hati dan otak. 2 sudu alkohol boleh menyebabkan seekor kucing yang seberat 2kg mengalami koma. Dan sesudu lagi boleh membunuhnya!

• Anggur dan kismis
Anggur dan kismis merupakan makanan ringan kegemaran arnab, hamster, dan haiwan-haiwan kecil yang lain. Tetapi jika diberikan kepada kucing, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan membunuhnya.

• Kafein
Pemberian kafein boleh memudaratkan dan kesannya tidak dapat akan dapat dibati. Antara simptom-simptom keracunan ialah lesu, bernafas dengan laju, kejang otot dan sawan. Kafein bukan saja terdapat dalam minuman seperti teh, kopi dan coklat, tetapi juga terdapat dalam minuman tenaga seperti Red Bull. Selain itu, kafein terdapat dalam ubat selsema untuk manusia dan ubat tahan sakit (painkiller) manusia.

• Coklat
Coklat boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda keracunan sama seperti keracunan lain, iaitu degupan jantung tak stabil, kejang otot, dan sawan.

• Gula-gula dan manisan
Gula-gula, gula getah, ubat gigi, dan apa saja manisan yang mengandungi xylitol boleh mengakibatkan peningkatan insulin dalam badan kucing anda, dan menyebabkan paras gula dalam badan merosot. Xylitol boleh mengakibatkan kegagalan hati. Tanda keracunan ialah muntah, lesu, hilang keseimbangan badan, sawan dan kegagalan hati.

• Lemak dan tulang haiwan
Lemak dan tulang boleh menyebabkan muntah dan cirit-birit. Selain itu, tulang boleh menyebabkan masalah tercekik dan mencederakan sistem penghadaman kucing.

• Telur mentah
Telur mentah mengandungi bakteria seperti salmonella dan E.coli. Protein dalam telur putih yang mentah yang dipanggil avidin menghalang penyerapan vitamin B biotin dan akan menyebabkan keguguran bulu, dan masalah kulit pada kucing.


• Daging dan ikan mentah
Seperti telur mentah, daging dan ikan mentah boleh mengandungi bakteria penyebab keracunan. Enzim dalam ikan mentah boleh menghapuskan thiamine, iaitu penyumbang vitamin B untuk kucing anda. Kekurangan thiamine boleh menyebabkan kerosakan otak dan koma.

• Makanan anjing
Sekali sekala memakan makanan anjing tak mengapa. tetapi perlu diingatkan makanan anjing tidak direka khas untuk keperluan kucing anda dan isi kandungan kedua-dua makanan ini adalah berbeza. Makanan kucing mengandungi lebih banyak protein, vitamin dan fatty acids. Pemberian makanan anjing secara berterusan menyebabkan kucing anda kekurangan zat dan nutrisi.

• Hati ayam
Kuantiti yang kecil tidak mengapa. Tetapi jika berlebihan akan menyebabkan keracunan vitamin A. Keadaan ini boleh menjejaskan tulang kucing anda. Tumbesaran tulang akan terbantut dan kucing akan mengidapi osteoporosis. Keracunan vitamin A juga boleh membawa maut.

• Terlalu banyak 'treats'
Seperti manusia, terlalu banyak makan treats boleh menyebabkan obesiti dan diabetes.

• Yis/ ragi roti
Kegunaan yis/ragi adalah sebagai penaik roti/kek. Sekiranya di makan oleh kucing, perut kucing anda akan membengkak dari dalam dan menyebabkan kesakitan. Yis/ragi juga boleh menyebabkan keracunan alkohol pada kucing.

• Ubat-ubatan manusia
Kesilapan yang biasa dilakukan oleh pemilik kucing ialah memberi makan ubat-ubatan manusia kepada kucing mereka yang sakit. Jangan memberi ubat yang diberi dari farmasi kecuali telah mendapat pengesahan dari doktor. Ubatan seperti paracetamol, acetaminophen dan ibuprofen boleh menyebabkan kematian pada kucing.

• Dapur: Kucing Tidak Dibenarkan
Banyak barangan lain yang biasa ditemui di rak dapur boleh membahayakan kesihatan sicomel anda. Menyimpan barang-barang makanan di mana kucing anda tidak boleh mendapatkan barang-barang dapur tersebut dan hendaklah disimpan dalam almari yang bertutup akan membantu melindungi kucing anda daripada penyakit berkaitan dengan makanan yang serius.

• Jika Sicomel Anda keracunan, Apa Tindakan Anda?
Tidak kiralah apa situasi keadaan sekeliling anda, berkemungkinan kucing anda boleh mencari dan menelan apa yang tidak sepatutnya. Tindakan yang bijak adalah dengan menyimpan telefon klinik veterinar yang beroperasi 24jam, jika berlakunya kecemasan. Dapatkan bantuan khidmat dan nasihat dari doktor veterinar anda.

Notakaki: Kucing adalah karnivor dan perlukan daging sebagai makanan asas. Sebagai pemilik haiwan, adalah menjadi tanggungjawab anda menyediakan makanan yang seimbang untuk memastikan kucing anda berada dalam keadaan sihat. Makanan seperti daging lembu dan beras perang (brown rice) boleh diberikan dalam jumlah yang kecil dan tidak kerap. Cuba elakkan dari memberi makanan yang telah disenaraikan di atas demi kesihatan yang maksimum untuk sicomel.

25 July 2016

Rewang Si Meow

Macam ni mereka bila saya pindahkan kibbles mereka ke dalam botol-botol dari plastik makanan yang besar. Mereka ramai-ramai berlonggok dan sama-sama menyebuk macam nak tolong.

Adik, Hero dan Tuah mengadap bekas makanan yang kosong tunggu untuk diisi.

Botol-botol yang dah sedia untuk diisi dengan makanan kering mereka.

Si Baby aka Abang memerhatikan mommy yang sibuk alihkan biskut., sementara tu Hero dan Zizi dah cuba biskut.

Mimi pula ambil tempat selepas Zizi dan Hero masih lagi makan

Keletah di meow saya yang ada kalanya rasa macam menyebuk dan ada kalanya macam menghiburkan.

Last Si Adik yang makan dan mungkin habiskan biskut yang ada.

22 July 2016

Kucing dan Kotak

Kucing memangnya tidak boleh dipisahkan dengan kotak kertas. Kotak-kotak ini umpamakan ruang permainan, tempat bersembunyi dan yang paling popular adalah tempat mereka mengasah kuku. Photo di atas dan di bawah adalah Oky yang memuatkan dirinya dalam kotak kertas A4.

Masa ni Oky masih anak kucing lagi dan dia akan rasa sangat selamat bila berada dalam kotak tersebut.

Yang ini adalah Jiji, kotak ini saya bawa dari pejabat untuk dijadikan tempat bermain mereka. Kotak ini diterbalikkan dan dia berdiri dengan megah di atasnya.

Saya lebih suka membuka kotak supaya mereka boleh bermain di dalamnya. Selalu juga ada di antara mereka yang menjadikan kotak tempat tidur. Jiji dalam kotak, Manakala Nini, Kiki dan Bujang mengintai dari luar.

Abnag dan Hero juga suka bermain dengan kotak, agaknya Hero harap Abnag keluar dari dalam kotak untuk dia masuk, tapi si Abang terus menerus duduk dalam kotak.

Abang masih menguasai kotak dan akhirnya Hero putus asa.

11 April 2016

Sikecil Berkelana di RnR Nilai

Kasihan melihatkan sikecil ni yang hidup sendiri di RnR Nilai. Rasanya kucing ini dibuang orang. Ramai manusia yang tidak melihat nyawa haiwan ini dan haiwan-haiwan yang lain bernilai. Mereka dibuang sesuka hati tanpa belas kasihan. 

Demi kelangsungan hidup, anak-anak kucing dan kucing-kucing dewasa yang bergelandangan terpaksa menagih simpati dan belas ehsan untuk dapatkan sedikit makanan. Malang nasib mereka jika bertemu dengan manusia yang tidak suka kepada haiwan atau jijik dengan mereka. Semoga Allah swt memudahkan kehidupan haiwan-haiwan seperti ini dan diselamatkan mereka.

09 April 2016

Port Baru Miz Lulu

Letak saja balding cat yang dah dicuci bersih, Ms Lulu terus melompat masuk. Dasar baldi cat tu muat-muat untuk badan Lulu yang comel tu. Bila saya jenguk dia, terkebil-kebil mata dia dan seakan dia berkata "Lulu nak duduk kat sini la mommy" Tak sampai hati nak suruh dia keluar, jadi saya biarkan dia.

Lepas 10 minit saya jenguk lagi, Ms Lulu masih lagi selesa di dalam baldi tu. .  wah kacau kalau dia betul=betul jadikan port baru dia.

06 April 2016

Rehat Selepas Lunch

Disuatu waktu, masa tu adalah tengahari dan mereka dijamukan dengan makanan yang istemewa sedikit sempena menyambut ulang tahun hari lahir Mimi, Zizi, Jiji, Kiki dan Nini yang ke2 pada 12 Mac 2016 yang lalu.

Mereka sangat sukakan udang yang digoreng dengan sedikit minyak, tapi tak boleh kerap sangat sebabnya takut mereka dapat penyakit gout pulak.

Selepas semua dah kenyang maka bertaburan mencari tempat tidur menunggu dinner pulak.

04 April 2016

Kenapa Kucing Kurus? Apa Puncanya?

Kali ini saya nak kongsikan artikel dari Zul & Azizi Bording Pets. Artikel yang sangat berguna untuk pencinta kucing:

Seringkali kami mendengar keluhan dari pelanggan sedia ada dan baru melalui media social seperti facebook, email, komen di blog, twitter, instagram dan sebagainya mengenai sicomelnya yang kurus dan tidak gemuk seperti anak-anak bulus kami. Di harap pengkongsian yang berdasarkan pengalaman ini dapat sedikit mengungkai permasalahan sicomel yang kurus sehingga menjadi sihat (gemuk). Baca perkongsian entri kami ini sehingga ke penghabisan dan tinggalkan komen yer... :-D

Kami akan kongsikan punca kurus sicomel anda dan cara menyelesaikan permasalahan sebegini. Berikut adalah masalah yang di hadapi sicomel menjadi kurus, antaranya:

Tekanan - keselesaan sicomel anda adalah bergantung kepada tahap emosinya dan gangguan emosi kerana tekanan akan menyebabkan sicomel hilang selera makan. Makanan dan minuman yang terdedah dengan kekotoran, gangguan dari haiwan lain seperti anjing dan suasana bising adalah faktor penyebab tekanan.

Umur - Faktor umur juga memainkan peranan penting dalam kurangnya ia makan di sebabkan sicomel sudah tua kerana kadar metabolisma bertambah kurang dan hilang selera makan.

Faktor yang menyebabkan tumor pada thyroidnya. Ini kerana kucing yang berselera untuk makan seperti biasa tetapi tidak menambahkan berat badannya.

Sakit gigi - Salah satu faktor penyebab kucing menjadi kurus. Sekiranya kucing kurang makan, mungkin sicomel menghidapi sakit gigi kerana ini menyebabkan sicomel akan kurang untuk makan makanan kibbles yang keras.

Diabetes - Penyakit ini bukan pada manusia juga, tetapi sicomel juga kan menghadapi penyakit seperti ini kerana kegagalan sistem proses air kencing serta kehilangan air dalam badan menyebabkan kucing 'de-hydrate'. Ini akan membuatkan sicomel akan hilang selera makan kerana minum air yang berlebihan.

Kecacingan - Parasit seperti cacing yang berada di dalam usus juga faktor sicomel menjadi kurus kerana cacing akan menumpang di dalam usus dan akan memakan sumber makanan yang telah dimakan oleh sicomel.

Penyakit - Ini adalah faktor penyebab utama kucing menjadi kurus sekiranya sicomel anda di kesan dan menghadapi penyakit FIP (Feline Infectionus Peritonitis), masalah usus (Gastrointesnial) dan kanser.

Jika sicomel anda mempunyai masalah seperti yang bincangkan di atas ini, sila rujuk kepada doktor veterinar yang bertauliah. Anda juga boleh rujuk pada senior CatLover atau OTAI CatLover untuk berkongsikan permasalahan kesihatan sicomel. Di sini kami ada beberapa cara untuk menyelesaikan masalah sicomel kurus. Antaranya:

Tekanan - Pastikan sicomel mendapat kasih sayang sepenuhnya. Selain itu kebersihan perlu di utamakan seperti di ruang sangkar atau bilik tempat bermain. Membawanya ketempat-tempat awam atau taman atau turut serta mana-mana perjumpaan komuniti sicomel yang melibatkan santai sicomel.

Hpyerthyroidisme, sakit gigi, diabetes, penyakit - Dapatkan khidmat nasihat dan perubatan dari doktor veterinar. Jika nasihat doktor untuk Put To Sleep sicomel anda, kami nasihatkan anda supaya buat keputusan sebaik mungkin atau usaha untuk mencari rawatan alternatif untuk sicomel anda.

Kecacingan - Masalah ini anda boleh dapatkan tablet cacing dari kami. Arahan dan dos yang dibenarkan mengikut umur dan berat sicomel anda. Kami sedia membantu anda...

Umur - Adalah di luar bidang kuasa kami dan doktor vet. Ianya adalah lumrah alam. Begitu juga dengan manusia. Kita tidak mampu melawan takdirNya..

Satu lagi permasalahan akan selesai jika sekiranya sicomel anda sihat sepenuhnya, anda boleh mandulkan @ kembirikan sicomel anda kerana Fatwa Majlis Agama Islam menyatakan hukum kembirikan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing adalah HARUS kerana demi menjaga kemuslahat ummah. Di dalam entri Perlukah Kucing Dikembirikan? ada menyatakan kebaikan dari kekurangan. Anda boleh baca sampai habis nanti yer...Kami mempunyai panel untuk membuat servis kembiri ini dengan pakej harga seperti berikut:
Jantan- RM99.00
Betina- RM179.00

Untuk mendapatkan servis kembiri ini, anda boleh datang terus ke premis kami, Hotel Kucing & Spa Kinrara, Zul & Azizi Boarding Pets di alamat seperti berikut:

Blok K-02-08, Jalan PPK 2,
Kinrara Town Centre,
Taman Kinrara Seskyen 3,
47180 Puchong Selangor.
H/P @ SMS: 014-7206120

Atau anda boleh menggunakan Apps Waze, cuma taip "Zul & Azizi Boarding Pets". Kami telah rekodkan alamat di dalam sistem waze. Perlu di ingat! Semua urusan adalah dengan TEMUJANJI. Datang ke premis tanpa pengetahuan kami akan menyebabkan anda perlu menunggu 10 atau 15 minit. Harap maklum....

Sumber : Zul & Azizi Boarding Pets

09 February 2016

Bujang Nak Bawa Ke Mana Jubah Mommy Tuuuuu

Suatu pagi yang nyaman, hari Sabtu rasanya, saya keluarkan sehelai jubah yang saya beli di Mekah untuk disingkatkan. Elok-elok jubah tersebut dibentang ramai pula yang terus berbaring dengan selesa.

Lain halnya dengan si Bujang, dia terus menggigit hujung lengan jubah dan menggonggong dan mengheret jubah tersebut menuju ke dapur. Terkejut emak saya melihatkan aksi si Bujang. 

Bila dah sapai ke pintu menuju ke dapur, dia lepaskan jubah tersebut dan terus berbaring di atas jubah itu, rupanya dia nak kuasai keseluruh jubah tu untuk diri sendiri.

Namun keselesaan Bujang tidak lama, kerana Tuah Fitri dan Hero datang untuk berkongsi sama. Inilah gelagat anak-anak saya yang pantang bila saya bentangkan sesutu di atas lantai dalam sekelip mata mereka dan berkumpul. Apa nak buat biarkan je la....

08 February 2016

Jubah Mommy Jadi Sasaran

Macam yang saya pernah ceritakan dulu, kucing-kucing saya ni pantang jika kita bentangkan sesuatu di atas lantai, dengan segera mereka dan memilikinya dan tanpa segan silu terus berehat dan bersenang lenang di atasnya.

Itulah juga yang berlaku apabila saya nak pendekkan jubah yang saya baru beli. Bujang dan Hero yang merasmikannya siap Hero tidur dengan lena..

Bujang tentunya tidak puas hati kerana dia tak dapat duduk sepenuhnya di atas jubah itu.

Bujang sedang berfikir macam mana nak halau Hero dari jubah mommy. Kita tengok apa yang akan dilakukan oleh Bujang.