Showing posts with label Buah. Show all posts
Showing posts with label Buah. Show all posts

03 February 2015

Pokok Buah Naga Berbunga Sulung

Tak sangka belum pun besar sangat pokok naga ni, dia dah berbunga dan bunga dia nampak besar. Pokok naga ini adalah pokok kedua, pokok pertama yang lebih besar dan menjalar masih lagi belum menunjukkan bakat nak berbunga dan berbuah.

Macam lawan tpkeh je pokok ni pada abang sulung dia. tapi saya dan mak tak sabar-sabar nak tegok berapa besar dia boleh pergi. Benih pokok ini saya ambil dari pokok naga yang ditanam ayah di kampung.

Sayangnya dia berbunga di luar pagar, kalau ada rezeki kami in sya Allah akan merasalah nanti.

16 July 2013

Pokok Mangga Ku Berbuah Lagi

Kali ini pokok mangga ku berbuah lebat... sayangnya banyak kumbang kecil yang mengganggu buah-buah tersebut. Setiap hari Sabtu dan Ahad saya akan menyemburkan cecair serai kepada buah-buah tersebut. Buat seketika serangga-serangga tersebut hilang tetapi mereka datang kembali.

Kalau saya sarungkan buah-buah tersebut nanti saya pula susah untuk memerhatikan serangga yang merosakkan buah.

Kelihatan buah-buah mangga yang rendang hampir mencecah bumi.

23 August 2012

Pokok Zaitun Ku

Inilah dia pokok zaitun (olive tree) saya, sudah 5 tahun saya tanam pokok ini dan baru sekali dia berbuah. Pokok ini datangnya dari Itali yang di bawa masuk oleh seorang kawan saya. Pada mulanya saya sendiri bercadang untuk membeli sebatang pokok olive semasa saya bertugas di Nice, France tetapi prosedur untuk membawa keluar dari France dan membawa masuk ke Malaysia agak sukar dan cerewat, jadi hasrat saya saya pendamkan sahaja. Selepas itu saya ditugaskan ke Itali selama seminggu dan saya menzahirkan hasrat saya kepada seorang rakan sekerja di Itali untuk menanam pokok olive di rumah saya di KL, dia berjanji untuk mengusahakannya dan membawanya ke KL nanti semasa mesyuarat yang akan datang. Dan inilah dia olive tree yang sangat saya sayang dan saya berhasrat untuk menganti pasunya kepada pasu yang lebih besar nanti. Saya juga pernah ke Grasse, France dan melihat sebatang pokok olive ditanam di dalam pasu besar dan berbuah lebat.

Kalau kawan-kawan nak tahu, olive tree ni boleh bertahan sehingga seribu tahun.... jadi saya harap pokok olive saya ni akan dijaga dan dirawat oleh keturunan saya nanti selepas ketiadaan saya.


11 June 2012

Percutian Langkawi 2012 Part 7 - Gerai Buah

Pada 4hb Jun 2012, adalah hari pertama kami di Langkawi, seperti yang sudah disepakati kami breakfast di resort sahaja. Jadi semalam kami terpaksa singgah sekejap di Mall selepas maghrib untuk mencari roti, sardine, limu kasturi, cili padi, kaya dan sebagainya..... sebabnya esoknya kami akan mengambil Shima dan Ammar dari jeti Kuah... mereka akan tiba lebih kurang jam 11.00 pagi.
Disebabkan itu, semua kami terbangun lambat. Selepas breakfast dan berkemas sikit lebih kurang kami keluar menuju ke Jeti Kuah, semasa kami tiba kereta sudah banyak di luar jeti dan jam menunjukkan pukul 10.00 lebih. Setelah menalipon Shima ferinya masih lagi dalam perjalanan ke Kuah dan dijangka tiba dalam 20 minit lagi. 
Selepas mengambil mereka dan dengan persetujuan semua kami bercadang untuk tidak makan tengahari dulu kerana masing-masing masih kenyang, jadi kami bercadang untuk memulakan dengan aktiviti pertama iaitu ke Underwater World, namun begitu perut perlu dialas alah kadar dan semua setuju untuk makan buah sahaja.
Jadi inilah dia Gerai Buah di dalam daerah Padang Mat Sirat dan tidak jauh dari resort kami. Bukan main banyak kami beli buah-buahan di sini semuanya hampir RM64.00. Apa tidaknya semua nak makan buah yang jadi kegemaran masing-masing. 7 orang 7 jenis buah antara buah yang kami beli durian, nangka, manggis, papaya, langsat, honey dew dan pisang.


Tu bukan main... masing-masing memilih buah-buahan yang hendak dibeli.... Saya memang sukakan buah manggis sibuk dengan memilih buah manggis selepas merasa beberapa biji, memang manis. Manakala Shima tertarik dengan buah pisangnya yang mengikut Shima manisnya extra jika dibandingkan dengan di tanah besar... ye ke???? 
Mungkin disebabkan oleh cuaca yang panas atau mungkin buah honey dew ini nampak sangat mengancam, kami sepakat untuk membelinya. Kami berharap agar buah ini juga akan manis seperti buah-buah yang lain yang telah kami rasa. Kata orang kalau nak beli honey dew kita kena cium dan jika bau dia manis dan wangi, maka isi buah itu akan manis juga. Memang susah untuk dikaitkan antara cium dan bau buah itu dengan rasanya yang sebenar, tapi itu sahaja makanisme untuk kami memilih buah yang harap-harap elok. Maka tercium-ciumlah kami. Mula-mula saya cium - tak bau pun, pilih buah lain - pun tak bau juga.
Kali ini Shima pula mencuba, lebih kurang macam saya juga - tak ada bau juga. Mungkinkah kami ini tidak pakar jadi tidak dapat untuk camkan bau wangi honey dew tersebut. Bila kami tanyakan kepada orang gerai, mereka pun tidak dapat nak membantu kami, terpaksalah kami usahakan sendiri.


Kali ini Ain pula cium dan bau, pun sama juga, akhirnya Amir kata buah yang ada di tangan dia berbau wangi dan manis, tetapi apabila saya cium tidaklah pula ada baunya, sahlah hidung saya yang tersumbat agaknya.
Acara cium dan bau buah honey dew diteruskan lagi, kami masih tidak putus asa, berharap agar dapat sebiji buah honey dew yang betul-betul manis dan sedap. Akhirnya kami ambil sahaja keputusan untuk beli sebiji buah honey dew yang Amir kata ok. Kalau tidak manis dan wangi pun tidak apa-apalah sebabnya sukar untuk jangkakan buah yang belum dikupas.
Sayang sekali rupanya honey dew ini memang tidak manis langsung, rasanya tawar dan kering saja. Tetapi tidakmengapalah walaupun nampak dari luar kulitnya cantik dan bersih tetapi ianya kurang masak, mungkin dipetik terlalu awal agaknya. Begitu juga dengan buah papaya yang keras dan belum masak betul, tapi kalau diperam 1 hari mungkin ok kot.
Buah terakhir yang kami beli adalah buah durian. Mengikut peniaga gerai ini durian yang dijual di gerai ini adalah daripada Negara Thailand. Besar-besar buahnya dan nampak cantik. Memandangkan cuaca yang panas di pulau ini, jadi kami tidaklah membeli buah durian banyak hanya sekadar untuk melepaskan keinginan sahaja.

Durian ini elok kot kata Ain... Bukan yang itulah, durian inilah yang elok... kata saya. Walaupun buah durian yang dijual di sini tidaklah begitu banyak seperti yang biasa saya lihat di Ampang Selangor (dekat rumah saya) tetapi duriannya besar-besar dan segar. Kalau dilihat pada mata kasar mungkin isi buah durian ini sedap kot.

Memang seperti yang dijangkaan durian ini memang elok dan manis, puas kami makannya. Tidak lupa untuk kami mengamalkan amalan orang tua-tua minum air dari pangsa durian untuk elakkan panas badan.

13 December 2011

Buah Dokong Special

Ini adalah pokok dokong yang ditanam oleh keluarga sahabat baik saya Lt Kol Noor Sabrina di sebelah rumah mereka. Di KL ni mana kita boleh tanam banyak pokok, kerana kawasan yang kita adapun sangat terhad - umpamanya sekangkang kera je. Mereka menanam 2 batang sahaja pokok dokong ini. Tapi tak sangka buah pokok-pokok ini banyak juga, kalau nak menjamu saudara mara dan sahabat handai rasanya lebih dari cukup. Yang istimewanya kita boleh ambil sendiri dari pokok. Ini pun saya pengunjung akhir buah dah nak habis.

Rasa buahnya sangat manis, tak taulah mungkin sebab makan free kot. Tapi memang lain dari buah dokong yang saya pernah beli, kulitnya lebih tebal dan isinya lebih putih tak macam yang pernah saya beli, ianya lebih kekuning-kuningan dan kuningnya nipis - saya pernah bertengkar dengan penjual buah dengan mengatakan buah yang saya beli tu bukan buah dokong tetapi langsat dan dia beriya-iya mengatakan bahawa itu buah dokong - akhirnya saya mengalah dan kerana nak makan sangat belilah jugak. Tak taulah mungkin sebab saya pun kurang ilmu tentang buah ini - mana tau kalau buah yang saya beli tu dah lama dan yang ini dipetik dari pokok... memang ada bezanya.