Showing posts with label murah rezeki. Show all posts
Showing posts with label murah rezeki. Show all posts

14 June 2013

Si Kaya dan Si Miskin

Assalamualaikum dan selamat sahabat-sahabatku, mari kita 'lihat' salah satu kisah Nabi Musa as.

Nabi Musa as memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka yang panjang-panjang. Ada di antara mereka yang kaya dan ada juga yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa as. Dia begitu miskin sehinggakan pakaian orang itu compang- camping dan sangat lusuh serta berdebu. Si miskin itu kemudian berkata kepada baginda Nabi Musa as, "Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya. Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, "saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT. Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu dia berkata, "bagaimana aku mahu banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu helai ini saja". Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya. 

Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa as. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu. Nabi Musa as pun tersenyum, lalu ia berkata, "wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT. Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah SWT?. Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu. 

Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah SWT tambah kekayaannya karena ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaian pun yang melekat di tubuhnya. Ini semua karena ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.

Apa ikhtibar yang boleh kita peroleh dari cerita di atas? mudah bukan - iaitu hanya bersyukur kepada Allah, maka Allah pastinya akan mengurniakan rezekinya kepada kita. Maka janganlah berhenti bersyukur dan berusaha, kerana tanpa usaha rezeki yang dijanjikan tidak kunjung tiba atau lambat. Allah tidak akan merubah sesuatu kaum itu, jika kaum itu tidak merubahnya. Fikirkanlah....

27 November 2012

Sedekah - Mathematik Syurga

Kepada muslimin muslimat saudaraku, jika saya katakan bahawa sedekah adalah punca rezeki, jika kita berfikir secara lojik mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya tadi. Kerana bersedekah adalah kita memberi apa yang kita ada kepada orang lain. Jika dalam mathematik dunia (konvensional) bolehlah saya contohkan sebagai di bawah:

10 diberikan 1 kepada seseorang, yang tinggal pada kita adalah 9. Mengikut mathematik ini apa yang kita punya menjadi berkurangan. Manusia takut betul kepada kekurangan, kerana itulah sememangnya sifat manusia yang selalu tamak dan selalu inginkan kepada yang lebih banyak. Kalau beginilah mathematik yang kita belajar dari kecil hingga dewasa maka memanglah semakin kurang orang muslim akan terus memberi/ bersedekah.

Sepatutnya kita harus memberitahu anak-anak kita bahawa mathematik orang Islam atau mathematik syurga formulanya sangat berbeza, kunci utama kepada mathematik ini adalah bertambahnya rezeki di dunia dan di akhirat. Sebagai contoh jika kita bersedekah 1 kuantiti, maka kita tidak pernah hilang 1 itu, malahan bakinya akan bertambah; 10 - 1 = 19. Jika kita ada 10 dan kita sedekah 1 dengan ikhlas dan kerana Allah maka baki yang ada pada kita adalah 19 dan bukannya 9. Teman-teman tahu bagaimana bakinya menjadi 19?. Allah pernah berjanji bahawa setiap 1 yang kita sedekahkan kerana Dia, maka Allah akan menggantikan dengan 10, jadi baki 9 dicampurkan 10 maka menjadikan baki 19. Adakalanya apabila kita memberi/ bersedekah Allah memberikan kembali kepada kita lebih dari 10 kadang kala sehingga 70 dikembali setiap 1 kita memberi/ bersedekah - untung kan??? Percayalah akan kata-kata Allah swt.

Rasulullah Saw. bersabda: Bila engkau ingin dicintai Allah, takutlah kepada-Nya dan bertakwalah. Bila engkau ingin dicintai para makhluk, berbuat baiklah kepada mereka dan jangan berharap sesuatu dari yang mereka miliki. Bila engkau ingin diperkaya dalam harta, maka zakatilah harta bendamu. Bila engkau ingin disehatkan badanmu, maka perbanyaklah sedekahmu. Bila engkau ingin diperpanjang umurmu, maka bersilaturrahmilah kepada kaum kerabatmu. Bila engkau ingin dikumpulkan bersamaku di padang mahsyar, maka perpanjanglah sujudmu kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa.

Wahai teman sebenarnya apa yang kita ada adalah hakNya, kita hanya memiliki buat sementara sahaja. Jika Allah bermurah hati kepada kita dengan memberikan apa sahaja kepada kita, tidak bolehkah kita juga bermurah hati kepada manusia yang lain. Pernahkah teman-teman berjumpa dengan orang yang menjadi miskin kerana bersedekah di jalan Allah... jawapannya memang tidak ada.

Oleh itu jika teman-teman ingin amenjadi kaya, mulia dan bahagia, cuba-cubalah perbanyaklah sedekah yang ikhlas kerana Allah.

Waallahualam

26 August 2012

Sedekah Amalan Dalam Islam

Ada sesuatu sebab mengapa saya terpanggil untuk menulis mengenai sedekah... sebelum bermula elok rasanya kita menyelami apakah konsep sedekah dalam Islam?

Ramai scolar Islam bersependapat bahawa sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada dalam perlakuan ini adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Maka itu sedekah juga adalah ibadah selagi tidak timbul rasa riak dan ujub dalam diri.


Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan: Bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : "Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong seseorang adalah sedekah. Dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya ataupun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu adalah sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah.”

Perkataan sedekah berasal dari kata Arab shadaqa yang membawa maksud benar. Oleh itu orang yang  bersedekah adalah orang yang benar akan pengakuan imannya. Manakala menurut terminologi syariat, pengertian sedekah boleh juga disama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material. Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah. Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.

Bersedekahlah agar ianya dapat dirasai sama oleh sekecil ini
PERBANDINGAN SEDEKAH MENURUT AL-QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". (AlBaqarah : 261 )

Ringankanlah penderitaannya semoga Allah meringankan
penderitaan kamu kelak
DIPANJANGKAN UMUR DAN MENCEGAH AJAL YANG BURUK

Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" ( H.R. Tabrani )

MENOLAK BALA BENCANA

Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" ( H.R Al-Baihaqi )

Gambar hiasan
kesian si kucing, si anjing apatah lagi tuan mereka....
SELAGI PELUANG MASIH ADA…

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu (H.R Al-Bukhari)

Petikan dari buku : Duka Acheh Luka Kita Susunan Riduan Mohd Noor. 

05 January 2011

TIPS : 20 amalan murah rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak mensia-siakan pengabdian diri hamba Nya, seperti firman Nya dalam hadis kudsi: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah Ku maka Aku akan membuat hati mu kaya dan menutup kefakiran mu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tangan mu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiran mu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman Nya: "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w..: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambah nikmat Ku kepada mu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim) Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam erti kata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian Nya.