Showing posts with label Italia. Show all posts
Showing posts with label Italia. Show all posts

15 November 2014

Tanda Hati dari Luar Negara

Selepas habis mengemas, rupanya hanya 4 biji gelas ini sahaja yang tinggal, hairan juga mana perginya yang lain. Puas saya tinjau di mana-mana, tapi tak berjumpa. Tak apalah mungkin dah pecah dan dibuang. Gelas yang tinggal ini dari USA, London dan Itali sahaja.

Yang ini adalah topeng opera yang saya beli dari Venice, Itali. Di sana memang banyak dijual topeng ini dalam pelbagai warna. Seingat saya saya ada beli 2 topeng opera ini tetapi yang tinggal hanya ini.

09 November 2014

Koleksi Loceng Tanda Hati dari Luar Negara

Semalam saya mengemas almari perfume kerana dah terlalu sesak, saya ambil keputusan untuk keluarkan semua tanda hati yang saya beli dari luar negara semasa bertugas dulu. Masa tu saya di Kementerian Pertahanan kerap ke luar negara kerana bertugas dan berkursus. Terdapat beberapa tanda hati antaranya loceng, gelas kecil dan lain-lain benda/ barangan yang bersaiz kecil. Saya bersihkan dan lap semua benda/ barangan tersebut sebelum disimpan ke dalam kotak. Rasanya macam nak share dengan anda dan juga menjadi tatapan saya kelak bila terkenang nanti tanpa membuka kotak.

 Loceng di atas berbentuk lady-milk saya beli semasa ke Ansterdam tapi dah tak ingat di mana sebab masa tu dah lama sangat.  Manakala loceng yang 2 lagi tu saya beli semasa di London pada tahun 2008 semasa saya menghadiri kursus di RIPA London. Loceng Lady D saya beli di memorial dia dan loceng Big Ben saya beli di sebuah kedai berhampiran Oxford Road. 

Loceng yang bertanda ATLANTA saya beli semasa saya berkursus di USA pada tahun 2004 di Atlanta, manakala pada tahun yang sama saya beli loceng Charleston. Loceng Canada bila ya? 

Kumpulan loceng ini adalah dari beberapa tempat di negara Itali. Loceng besar berwarna grey saya beli di Genoa semasa melakukan pemeriksaan kilang dan ujian peralatan TLDM. Manakala loceng Venezia saya beli di Venice semasa bercuti selepas tamat tugas. Dan kedua-dua loceng kecil sebelahnya adalah loceng Milan yang mengambarkan Gereja Duomo.

Saya pernah beberapa kali ke France kerana bertugas dan semasa di sana saya beli beberapa buah loceng termasuk di Monte Carlo kerana berkesempatan ke Monaco. Tempat lain di France yang saya pernah bertugas adalah di Nice, Tuolon, Paris dan melawat di Grasse. Selepas bertukar ke Jabatan Pendidikan KL saya tidak pernah berpeluang untuk bertugas atau berkursus ke luar negara lagi.

Namun begitu terdapat beberapa tempat yang pernah saya pergi tetapi tiada loceng yang dijual, sebagai ganti saya beli beberapa tanda hati yang lain untuk kenang-kenangan.

22 December 2012

Venice Dalam Kenangan...


Boleh dikatakan bahawa bandarVenice dibina di atas timbunan kayu yang diatur rapat-rapat. Kebanyakan binaan ini masih utuh selepas beberapa abad struktur ini tengelam. Namun begitu tidak semua binaan tapak bandar ini dibangunkan dari kayu, selebih asas juga adalah dari batu. Tahukah anda bahawa apabila kayu ditengelamkan oleh air, dalam keadaan oksigen yang sangat kurang, pereputan kayu tidak berlaku dengan secepat seperti mana berlaku di permukaan. Ini disebabkan oleh aliran berterusan yang kaya dengan mineral menjadinya struktur yang kuat dan kukuh seperti batu.



Mengikut catatan kebanyakan asas ini telah dibuat dari batang pokok alder,  kayu yang mampu menghadapi rintangan air yang baik. Kayu alder ini datangnya dari bahagian yang paling barat di Slovenia. Sedikit mengenai asas Venice yang juga menjadi tandatanya kepada saya.

Di kedai cenderahati yang menjual Murano glass, Murano atau Venetian glass sangat popular di sini.

Dengan seorang kenalan - kami bergaya di salah sebuah jambatan. Beginilah rupa laluan di kebanyakan bandar ini, laluan kecil dan sempit di belakang dan di hadapan bangunan. Mulanya saya agak rimas juga tetapi inilah kenyataannya.

Saya di kedai menjual hasil kraf rakyat tempatan. Kaca yang dibuat dengan kreativiti yang sangat menarik. Teringin juga tetapi sukar untuk dibawa kerana takut pecah.

Padang ini adalah Piazza San Marco (kalau tidak silap saya) di mana ianya menjadi tumpuan para pelancung, saya juga tidak ketinggalan bersama dengan pelancung yang lain dengan tujuan tersendiri.

13 January 2011

Catatan Perjalanan - Milan, Itali


Kata orang bandar fesyen adalah Milan, New York, Londan. Tetapi setelah saya berada di Milan, saya dapati ianya macam bandar biasa sahaja. Maka pada suatu petang saya meronda Milan untuk melihat sendiri akan perkembangan fesyennya. Saya cuba-cuba melihat kalau-kalau ada sekolah/ institut yang melahirkan ramai pemaipemain dalam bidang ini, tapi tak jumpa atau mungkin saya kurang faham bahasa yang digunakan.

Saya bertolak dari Venice ke Milan dengan menaiki keretapi. Perjalanan agak jauh juga, keretapi mereka laju dan moden dengan beberapa kemudahan seperti mana yang disediakan oleh Keretapi Tanah Melayu hanya keretapi mereka lebih lancar pergerakan mereka dan tidak bising. Goncangan juga tidak kuat dan hampir tidak terasa. Saya rasa seronok memerhatikan tamadun Itali melalui perjalanan saya dengan keretapi, tetapi yang sangat jelas adalah satu... iaitu negara mereka sangat bersih, tidak seperti negara kita yang akan menjumpai beberapa semak samun yang tidak terurus dan sampah sarap buatan manusia merata-rata tempat di sepanjang laluan keretapi. Maaflah tetapi ini adalah kenyataan.

Ini adalah stesen pengangkutan Milan, menyediakan beberapa pengangkutan dari keretapi, trem, teksi dan bus. Saya turun di sini dan dari sini hanya berjalan kaki ke hotel, perjalanan tidak jauh sangat, tetapi mada masa itu musin panas jadi penat sedikit. Semasa saya nak balik ke Paris dari sini, saya mengambil bus dari Stesen tadi ke Lapangan Terbangan Milan.


Ini adlah gereja lama dan rasanya yang terbesar dan tertua di Milan, dipanggil dengan nama Duomo, dalam bahasa Inggeris di kenali sebagai The Duomo, gereja Gothic cathedrals yang terbesar di dunia. Saya tak dapat nakmengambil gambar di sini hanya sempat snap dari jauh sahaja.

07 January 2011

Catatan Perjalanan - Venice, Itali


Antara bandar-bandar di Eropah yang saya suka lawati adalah Venice. Salah satu bandar dalam negara Itali atau Italia panggilan oleh rakyat Itali. Saya ke Venice dengan penerbangan - menaiki kapal terbang Easy Jet dari Lapangan Terbang Charles De Gore, Paris. Penerbangan merentasi banjaran Alps, tetapi macam kurang salji di banjaran tersebut sebab pada masa itu adalah musim panas. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 45 minit atau 1 jam.


Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Venice, lapangan terbang yang kecil sahaja. Daripada sini saya terpaksa berjalan kaki sedikit untuk sampai ke stesen Water Bus - Dari lapangan terbang tadi hanya water bus sahaja yang boleh membawa pengunjung untuk ke tengah-tengah Bandar Venice. Saya ni fobia dengan air terutamanya yang mempunyai kedalaman seperti kolam, sungai dan laut. Jadi bila nak melangkah naik ke Water Bus saya dan mula bimbang, takut terjatuh ke dalam air. Perasaan je tu... bukannya mudah nak jatuh, tetapi biasalah perasaan takut akan mengatasi fikiran yang waras. Dengan hati-hati saya melangkah ke water bus yang lebih kurang macam feri di negara kita.


Perjalan dengan Water Bus tidaklah lama sama, iaitu lebih kurang 40 minit... dan apabila tiba sahaja di salah satu jeti yang hampir dengan hotel yang dah disewa... wow...wow ramainya manusia... macam-macam warna, bentuk dan rupa... Memandangkan pada masa itu musim panas, jadi ramai yang berpakaian secara santai sahaja. Rata-rata di bandar ini ramai orang, jadi agak susah untuk berjalan dengan menarik beg pakaian, tersangkut-sangkut dan terlanggar orang.


Yang bagusnya kat sini tak ada kereta, yang ada hanya basikal dan kereta tarik, serta gondola sahaja. Hendak tak hendak, terpaksalah saya tarik beg sendiri hingga ke hotel. Jauh juga dan bukan main banyak jambatan kecil-kecil dekat 5 ke 6 atau 7 jambatan yang terpaksa dilalui. Dah la macam tu jambatan-jambatan tu di buat macam berbukit... mana nak tarik beg yang berat. Mula tu saya menyungut juga tapi baru saya faham jambatan tu dibina sedemikian rupa adalah untuk membolehkan bot dan gondola melalui di bawahnya.


Lepas penat berjalan... alhamdulillah aku tiba juga di hotel .... yahooooooo... boleh berendam dalam air panas untuk relaxkan badan dan kaki.. Hotel di sini kecil-kecil dan kesemuanya di tepi laluan/ terusan, dari luar nampak macam buruk sahaja, tetapi apabila dah masuk ke dalam hotel, suasana yang selesa dan dihias dengan cantik dan menarik. Sayangnya hotel yang saya sewa tak ada lif dan saya di tempatkan di tingkat 3, dengan beg yang berat mengangkak juga saya naik tangga.

Satu lagi masalah, di sini tiada satu restoran muslim yang saya jumpa, tetapi ada beberapa pekerja restoran yang muslim. Apa nak buat makan pasta je la dan memang tak kenyang selama 2 hari saya di Venice.

02 January 2011

Catatan Perjalanan - Genoa, Italia

Genoa atau Genova adalah sebuah bandar yang agak lama di Itali, bandar yang popular dengan pelabuhan kerana kedudukannya di pinggir teluk. Walaupun bandarnya agak lama, tetapi pembangunan dan permodenan jelas kelihatan. Untuk mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai bandar ini kawan-kawan boleh melawat web berikut:- http://en.wikipedia.org/wiki/Genoa. Saya ke bandar ini pun kerana tugas rasmi yang perlu diselesaikan.

Saya bergambar di antara lorong-lorong yang banyak di bandar ini, yang rata-ratanya mempunyai banyak pula kedai-kedai kecil atau gerai-gerai cenderahati. Cenderahati yang dijual di sini adalah lebih murah jika dibandingkan di kedai-kedai besar. Diperhatikan kebanyakan pengunjung luar negara lebih suka membeli di kedai/ gerai sebegini kerana harga masih lagi boleh ditawar. Walau bagaimanapun urusan tawar menawar agak sukar kerana kebanyakan orang Itali tidak suka/ tidak tahu berbahasa Ingeris. Jadi berkomunikasi secara signal tangan sahaja.


Foto ini diambil di salah sebuah restoran di pantai Genoa, kami diundang oleh salah seorang sahabat yang sama-sama bertugas disini, beliau adalah rakyat tempatan - kami diundang untuk makan malam bersama mereka, sayangnya kami tiba di sini awal petang malangnya restoran ini masih lagi tutup, semua payung, meja dan kerusi belum dibuka dan disusun. Saya terlupa nama pantai dan restoran ini, tetapi ianya agak popular juga.

Kapal di belakang saya adalah kapal lama, macam tongkang je dari sudut pandngan saya. Kapal ini dijadikan pertunjukan kepada orang ramai. Dipercayai kapal ini tidak digerakkan dan dijadikan seperti muzium. Genoa adalah merupakan bandar pelabuhan, jadi kapal dan bot adalah kenderaan yang sinonim dengan bandar ini. Genoa juga adalah bandar yang berkepakaran dalam membuat dan membina pelbagai jenis kapal serta membaiki kapal. Salah sebuah shipyard yang kami jumpa adalah Fincantieri Shipyard.

Bergambar di hadapan Hotel Antiche Dimore di waktu pagi, sementara menunggu kenderaan yang disewa tiba untuk membawa kami ke lokasi bertugas. Kami bertugas selama 3 hari - dari pagi sehingga petang. Hotel ini adalah merupakan bangunan lama yang terpelihara, reka bentuk yang unik dan antik serta terpencil. Kedudukannya di atas sebuah bukit yang kecil. Laluan untuk ke hotel ini agak kecil dan berbengkang bengkok.


Permandangan teluk yang cantik dari Hotel Antiche Dimore yang terletak di atas sebuah bukit.

Kerana tugas yang banyak dan perlu disiapkan, kami tak dapat nak meronda bandar Genoa. Rasanya macam kena pergi semula untuk melancong. Tapi entah bilalah agaknya......