Showing posts with label Jerebu. Show all posts
Showing posts with label Jerebu. Show all posts

08 October 2014

Dari Jendela - Tkt 10 KIP Seri Seputih

Lihatlah keadaan Kuala Lumpur pada tengahari semalam (7 Oktober 2014) sangat buruk. Jarak pandangan menjadi pendek dan debu-debu halus meliputi beberapa ruang udara menjadikan bangunan yang tidak jauh sangat kelihatan berbalam-balam. 

Nampak gayanya jerebu di Malaysia amnya dan Kuala Lumpur khasnya menjadi fenomena. Bagi orang seperti saya agak merisaukan kerana keadaan ini menjadikan pernafasan saya lebih sukar dan terbatuk-batuk.

Dalam keadaan jerubu pun permandangan dari KIP ini tetap menarik.

Adakah anda dapat melihatjauh di sana sebuah bangunan tinggi. Apakah nama bangunan itu?

04 July 2013

Alhamdulillah Langit Kembali Cerah

Cantiknya langit, biru betul.... pada pandangan saya keadaan bencana jerebu sudah diatasi keseluruhannya setelah beberapa kali hujan turun dngan lebatnya. Hujan yang turun tu umpama mencuci kepada semua partikel-partikel halus, habut dan debu di udara akibat dari kebakaran besar yang berlaku di Indonesia.

Tetapi... pihak Kerajaan dan ASEAN tidak boleh berlengah lagi tanpa mengambil sebarang tindakan sewajarnya kerana, saya sangat yakin sekiranya tiada tindakan yang diambil, kejadian jerebu ini akan berlaku lagi pada tahun-tahun akan datang. 

Ramai yang pandai bercakap dan menuduh... tetapi tidak mampu/ mahu mengambil tindakan. Paling malang teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat tidak pula diambil kisah.

28 June 2013

Index Pencemaran Udara (IPU)

Di Malaysia setiap kali berlakunya jerebu maka IPU akan dirujuk bagi menunjukkan kualiti udara bagi sesebuah bandar. IPU ini menjadi penting apabila ianya meningkat ke angka 100. Pelbagai tindakan mula dilaksanakan apabila IPU mencecah 100 dan pelbagai nasihat kepada rakyat juga di keluarkan oleh Kerajaan.

Apa itu Indeks Pencemaran Udara (IPU)

IPU adalah satu sistem yang dibangunkan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai tahap kualiti udara dan impaknya terhadap kesihatan dengan cara yang termudah.

Ia juga adalah satu sistem kepekatan pencemar yang diukur dan ditukarkan kepada suatu nombor pada skala antara 0 hingga 500. Oleh itu, IPU dikategorikan kepada lima tahap iaitu baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya.

Julat IPU bagi kelima-lima tahan ini adalah seperti berikut:

SKALA IPUKUALITI UDARA
dari 0-50Baik
dari 51-99Sederhana
dari 100-199Tidak sihat
dari 200-299Sangat tidak sihat
300 ke atasBerbahaya

Bagaimana IPU dikira?

Terdapat lima jenis pencemaran yang diukur dalam menentukan IPU iaitu:

* Karbon monoksida (CO)
* Sulfur dioksida (SO2)
* Nitrus oksida (NO2)
* Ozone (O3)
* Habuk terampai 10 mikron ke bawah (PM10)

Setiap pencemar ini mempunyai indeksnya tersendiri yang juga dikenali sebagai subindeks.

Apakah alat yang digunakan untuk mengukur pencemaran udara?

Kepekatan kelima-lima pencemar ini diukur secara terus menerus setiap hari dengan menggunakan alat-alat penyukat yang saintifik dan jitu. Kaedah-kaedah yang digunakan adalah kaedah yang diiktiraf oleh ahli-ahli sains sedunia. Alat penyukat ini ditempatkan di dalam stesen-stesen udara yang dibina di seluruh negara iaitu sebanyak 50 stesen.

Definisi pembakaran terbuka

Pembakaran terbuka ialah pembakaran yang dibuat di luar atau proses penghasilan asap daripada pembakaran yang kemudiannya dilepaskan ke udara sekeliling secara terus tanpa melalui cerobong asap.

Sumber: http://www.tutor.com.my/tutor/estidotmy

26 June 2013

Pejabatku Diserang Jerebu

Apabila sesuatu bencana melanda, apakah yang terlintas di fikiran kita? ada manusia yang berfikir bahawa ini adalah dugaan Allah, maka mereka tercari-cari insiden yang hampir sama dengan dugaan yang melanda. Atau ada yang mencari kesalahan orang/ pihak lain, supaya ada orang/ pihak yang boleh dipersalahkan. Atau mungkin ada yang buat tidak tahu saja, dan berfikir adalah nanti orang/ pihak yang akan menyelesaikan isu/ masalah tu. Agak-agaknya kita di mana?

Semalam antara hari yang terburuk jerebu melanda Kuala Lumpur dan Selangor sehinggakan Kerajaan mengambil keputusan untuk menutup semua jenis sekolah. Keputusan ini dibuat setelah IPU mencecah ke angka 200. Pada saya tindakan ini sangat wajar bagi mengelakkan ramai anak-anak sekolah terdedah dengan asap, habuk dan partikel halus hasil kebakaran yang boleh menyebabkan gangguan kepada kesihatan. Walaupun begitu hujan turun walaupun tidak lebat pada sebelah malam, tetapi sedikit sebanyak dapat mengurangkan IPU pagi ini.

Semasa jerebu menyerang dengan teruk kelmarin, sekolah di KL dan Selangor telah diarah tutup. Walaupun pejabat-pejabat Kerajaan tidak terlibat dan penjawat awam terpaksa menempuh udara yang tidak sehat ini, tetapi mereka dinasihatkan untuk menggunakan topeng mulut dan hidup bagi meminimakan asap, habuk dan sebagainya dari memasuki tubuh. Terus terang saya katakan, semalam saya dan rakan-rakan pejabat merasai sakit tekak, batuk dan mata berair.

Lihatlah betapa teruknya kualiti udara. Semoga segala ini cepat berlalu dan pulih seperti sedia kala. pagi ini keadaan lebih baik dan diharap Allah swt mengasihani kita dengan mengirimkan beberapa siri hujan lebat supaya semua pencemaran udara dapat diatasi. InsyaAllah.

25 June 2013

Jerebu Di Jalan Duta Pada 24 Jun 2013

Gambar-gambar ini saya ambil semalam lebih kurang jam 11.00 pagi. Keadaan jerebunya semakin buruk menjelang tengah hari, kalau tidak silap saya Index Pencemaran Udara (IPU) adalah lebih kurang 200. Keadaan ini sangat membimbangkan saya kerana saya terpaksa terdedah dengan udara yang tidak sihat ini. Apa yang merisaukan saya adalah serangan asthma yang mungkin boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.

Menara Masjid Wilayah Persekutuan dan tiang lampu limpah Stadium Hoki nampak berbalam-balam sahaja, ini menunjukkan berapa tebalnya habuk, asap dan partikel terampai yang ada di dalam udara yang terpaksa disedut dan dihidu oleh warga Kuala Lumpur dan Selangor. Saya amat berharap agar pihak Kerajaan tidak leka, sebaliknya mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

Begitu juga dengan ketiga-tiga bangunan Kerajaan yang berada di seberang sana, nampak berbalam-balam. Adakah ini melambangkan dunia sudah hampir sampai ke penghujung? Kerana salah satu alamat kiamat adalah asap hitam yang memenuhi ruang angkasa. Sudah tentunya kita bimbang dengan keadaan ini bukan? Apa lagi insaf dan bertaubatlah semasa kita masih lagi mampu berbuat demikian.

Matahari pagi di Kuala Lumpur.... nampak terlalu sakit. Sebagai manusia yang Allah kurniakan akal dan fikiran, manusia boleh menentukan keutamaan dalam mencari keuntungan dan kesejahteraan alam sejagat. Apa yang berlaku di Indonesia perlu ditangani bersama oleh semua ahli ASEAN. Kebakaran besar-besaran yang berlaku tidak patut disalahkan kepada negara tertentu sahaja, sebaliknya kajian dan penyelidikan perlu dilakukan.... apa yang sangat saya kesali adalah sikap ASEAN yang tidak mengambil ikhtibar daripada kejadian jerebu yang berlaku pada tahun 1997 dulu.  

Saya maklum akan persetujuan dan resolusi yang terhasil di mana Pelan Tindakan Jerebu Serantau (1997) dicapai. Sayangnya negara Indonesia sahaja yang tidak menandatangani Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada tahun 2002, mengapa perkara ini berlaku?. Disebabkan asal jerebu boleh dikatakan  bermula di Indonesia pada setiap tahun, namun banyak negara sepatutnya bertanggungjawab bersama kerana mereka mempunyai kepentingan dan keuntungan di negara itu. Maka ASEAN sepatutnya mencari jalan penyelesaian supaya perjanjian tersebut dipersetujui oleh semua negara anggota termasuk Indonesia. Ini bermakna Win Win situation di semua pihak.

Akibat daripada sikap ASEAN dapat kita lihat pada hari ini di mana pencemaran udara akibat kebakaran secara besar-besaran masih merupakan masalah pada hari ini. Maaflah kalau saya katakan bahawa ASEAN gagal dalam menangani isu alam sekitar akibat kebakaran tersebut.

23 June 2013

Jerebu: Makin Buruk?

Subhanallah!!! tengok tu keadaan jerebu (haze) semakin buruk hari ini kerana keadaan di luar rumah sentiasa  berbau kebakaran. Biasanya dari rumah saya boleh melihat Twin Towers tetapi hari ini hanya abuk-abuk yang terampai di udara. Walau pun hanya sekejap di luar rumah untuk menjemur pakaian saya sudah merasa kesukaran untuk bernafas.

Tengok tu!! pemandangan hanya setakat selang 4 rumah sahaja, biasanya boleh melihat hingga ke hujung jalan. Memang buruk keadaan jerebu tahun ini. Saya terfikir jika pemandangan ini berlarutan ianya akan mengakibatkan kemalangan jalan raya. Oleh itu kepada semua kawan-kawan di tanah air, hati-hatilah semasa memandu.

Keadaan jerebu ini memang menakutkan.... bila agaknya keadaan akan reda... sama-samalah kita berdoa agar ianya dapat dipulihkan......