18 December 2010

The Death Day of My Dear Father



Dulu 18th Disember 2008, semasa azan solat Isyak, ayahanda yang sangat saya kasihi telah menyahut panggilan Illahi. Hari ini genap 2 tahun Masihi ayahanda saya telah meninggalkan kami. Tapi kami sekeluarga masih lagi merasa amat rindukan dia.

Semoga Allah sentiasa mengampunkan segala dosanya, peliharalah rohnya ya Allah seperti mana dia memelihara kami dari kecil hingga kami dewasa, tempatkan ayahandaku di sisi Mu ya Allah bersama para Rasul, Nabi dan kekasih Mu, lapangkan dan menerangkanlah pusaranya - jadikan pusaranya tempat rehatnya sehingga Kau menghidupkan kami semula di akhir zaman ya Allah, jauhkanlah ayahandaku dari segala siksa kubur ya Allah, siksa di padang masyar dan siksa neraka serta kurniakanlah kepadanya darjat tertinggi ya Allah kerana dialah ayah terbaik yang sentiasa mengajar kami solat, mengenal huruf, berpuasa, membimbing aku semasa mengerjakan fardhu haji. Segala tanggungjawabnya selesai di bumi ini, tiada apa yang tidak selesai dan tiada apa yang kami kesalkan. Aku dan keluargaku menyerahkan ayahanda kami kepada Mu ya Allah, lindungi dia sesungguhnya Kau maha pemberi ampun, pelindung, pengasih dan maha lembut. Amin

Al- Fatihah untuk ayah.............


Foto kenang-kenangan ayah dan emak

17 December 2010

Catatan Perjalanan - Canberra Australia

Masuk minggu ke2 di RMIT Melbourne, kami dikehendaki ke Canberra untuk mnghadiri beberapa perbincangan dan mesyuarat dengan beberapa pejabat Kerajaan Australia. Kami berada di Pusat Pentadbiran Kerajaan Australia itu selama 2 hari. Tak perlulah saya nyatakan pejabat mana yang kami kunjungi, takut-takut sensitif pulak. Foto ini diambil di salah sebuah pejabat kerajaan semasa berehat.

Saya dan teman sekursus setelah tamat mesyuarat dengan salah sebuah pejabat kerajaan Australia. Canberra seperti juga Putrajaya seperti padang jarak pada weekend, tak ramai orang, tetapi menjadi sibuk apabila tiba hari Isnin. Pada pandangan saya, mungkin Canberra diambil sebagai model semasa Putrajaya dibangunkan.

Walaupun begitu, kami masih ada masa untuk mengunjungi Muzium yang dikenali sebagai War Memorial. Muzium ini mempamirkan semua perkara yang terlibat dengan peperangan, terutamanya yang melibatkan Australia. Di suatu sudut, saya ternampak 1 model peperangan di Malaysia - tak ingat di mana. Kalau tak silap mereka berperang di kawasan berlumpur dan membuat pertahanan di kawasan tersebut. Saya begambar bersama Halijah, teman yang berkursus bersama.

Kami juga membuat kunjungan hormat kepada Duta kita di Kedutaan Besar Malaysia. Selepas diberi taklimat dan jamuan kuih muih negara Malaysia, kami merakamkan kenangan di bangunan ini. Saya bersama Cheryl di hadapan Kedutaan Besar Malaysia Australia.

Kami juga mengun- jungi bangunan Parlimen Australia. Macam di negara kita, mereka juga mepunyai lebih dari 1 dewan, tapi tak ingat berapa, macam parlimen di negara kita, kita ada 2 dewan sahaja, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Saya bergambar di dalam Dewan Rakyat kot(mereka panggil House of Common).

16 December 2010

Makan Satay Kita

Tiba-tiba rasa nak makan satay buat berbuka puasa tapi mana ada orang jual satay sekarang ni, lainlah kalau malam ni... tu pun di Kajang. Ok apa kata esok-esok kita buat satay sendiri. Saya bagi resipi ....

SATAY PALIMBANG

1 ekor ayam
7 ulas bawang putih )
5 ulas bawang merah ) giling halus
3 inci halia )
1 paun gula merah
air asam jawa
lidi (bukan lidi penyapu)

Kuahnya

1/2 kati kacang tanah (buang kulit dan goreng serta tumbuk)
2 inci halia )
6 ulas bawang merah ) giling halus
10 ulas bawang putih )
1 cawan air asam jawa
1 tin susu cair
1 batang serai (titik)
2 sudu besar serbuk lada kering
minyak menumis
air sejuk semangkuk
garam dan gula

1. Ambil daging ayam sahaja, potong 1/2 inci persegi. Gaulkan bahan giling dengan daging ayam, masukkan sedikit air asam jawa dan cucuk pada lidi, perap dulu sebelum dibakar.

2. Untuk kuah kacang - Panaskan minyak dan tumiskan bahan giling hingga kuning, masukkan serbuk lada, kacau dan masukkan air asam jawa dan susu, kemudian masukkan kacang masaklah hingga pekat.

Kemudian nikmatilah satay buatan sendiri yang sangat sedap...

Tanda-tanda Sebelum Hari Kematian

Artikel ini saya dapat daripada sahabat saya melalui email. Saya terpanggil untuk berkongsi artikel ini - tidak ada seorang pun yang telah meninggal dunia kembali semula ke dunia ini untuk menceritakan apa yang dialaminya menjelang kematian atau kehidupan di alam Barzah.

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah Taalah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.


Tanda 40 hari sebelum hari mati.

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah Taalah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.


Tanda 7 hari sebelum hari mati.

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.


Tanda 3 hari sebelum hari mati.

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.


Tanda 1 hari sebelum hari mati.

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.


Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak.

Sama-sama kita jadikan panduan jika kita diberikan Allah kelebihan merasai tanda-tanda di atas. Setiap orang akan merasai mati sekali sahaja.

15 December 2010

Percutian Kuching Sarawak - Dengan Mak

Pada Disember tahun 2009, Saya dan rakan-rakan pejabat Bahagian Perolehan,Kementerian Pertahanan merancang untuk bercuti bersama keluarga masing-masing ke Kuching. Percutian ini dilakukan juga untuk menghadiri perkahwinan 2 orang sahabat kami di Kuching. Emak telah menyatakan persetujuan untuk ikut sama, jadi aku berpeluang bercuti bersama mak.

Saya dan emak di Hotel Bayview Kuching, tempat kami menginap. Hotel ini terletak di tengah-tengah bandar dan agak dekat dengan Water Front dan kedai-kedai menjual cenderahati. Tanda jelas hotel ini adalah Tokong Cina berhampiran dengannya.

Bersama dengan mak di rumah kaum Bidayuh, rumah kaum ini dibina sangat tinggi dengan tiang-tiang yang diambil dari sebatang pokok yang besar dan tidak disambung- sambung, cuba perhatikan tiang di belakang kami - besar bukan????. Di tingkat atas seperti rumah-rumah yang lain dan bahagian bawah rumah adalah tempat keluarga melaksanakan aktiviti harian. Rumah ini mempunyai tangga yang dibuat dari sebatang pokok yang ditakik menjadikan tepat memijak.

Kami di salah sebuah rumah kaum di Sarawak. Boleh dikatakan kesemua rumah kaum Sarawak ada di sini.

Dalam salah sebuah kenderaan yang disewa oleh kami. Alhamdulilah kenderaan ini banyak membantu kami untuk bergerak di sekitar Bandar Kuching, antara tempat yang kami lawati seperti Perkampungan Budaya Sarawak, Serike untuk bershopping dan sekitar Bandar Kuching. Yang sebenarnya ayah Azizi yang telah menguruskan tempahan kenderaan ini, kenderaan ini selesa dan pemandunya cekap dan cermat.

Kami makan malam di rumah Azizi, mereka jamu kami dengan masakan dari Sarawak seperti ikan terubuk masin, siput ambal (siput yang panjang lebih kurang 1 hingga 1 1/2 inci), dan pelbagai lauk lagi. Tetapi saya perhatikan mak sangat sukakan siput ambal dan mak makan agak banyak juga pada malam itu.

Kami, rombongan daripada Semenanjung merakamkan gambar bersama dengan pengantin sebelum kami bertolak balik ke hotel. Sambutan yang diberikan oleh kedua-dua keluarga amat mesra, ikutkan hati ingin sahaja menunggu sehingga acara habis, tetapi apakan daya masa amat mencemburui kami. Kerana kebanyakan daripada kami terpaksa bergegas pulang untuk penerbangan balik ke Kuala Lumpur.

Inilah dia pengantin- nya Azizie dan Aisyah, sama cantik dan sama padan. Mereka berdua memang orang Kuching tetapi bertemu, berkenalan dan bercinta di Kuala Lumpur, lebih tepat lagi di pejabat. Itulah namanya jodoh.

Yang ini saya dan mak bergambar bersama dengan seekor kucing gergasi cina, kerana kucing ini seperti kucing-kucing yang banyak dijual di kedai-kedai, macam kucing yang ada ong mengikut kepercayaan orang Cina. Mungkin kucing ini dibuat oleh komuniti Cina kerana kucing ni dibina berhampiran Tokong Cina di Bandar Kuching ini.

Bersama dengan mak dan kucing-kucing gergasi yang nampak macam jinak je.

Catatan Perjalanan - City of Melbourne Victoria Australia

Saya dan beberapa orang pegawai dari pebagai Kemente- rian telah dipilih untuk megikuti Evaluation Program di Royal Melbourne Institute Technology (RMIT) University di Melbourne Australia. Kursus selama 1 bulan. Kursus yang sangat stress dengan persembahan assignment pada setiap minggu. Nasib baik kelas hanya 5 hari seminggu. Foto sebelah kami dalam kelas sedang tekun mendengar ceramah.

Saya bersama kawan- kawan sekursus bersama dengan tenaga pengajar Kursus (Mr. ---) selepas menghadiri sesi di Parliament House Victoria. Lawatan ke Parliament ini berkaitan dengan kursus yang kami jalani. Kami peserta wanita telah sepakat untuk mengenakan pakaian kebangsaan negara pada hari tersebut, walaupun cuaca sejuk kami terpaksa juga jalaninya. Percaya atau tidak dengan adanya kani ini bandar Melbourne nampak lebih bewarna-warni.

Saya mengambil kesempa- tan untuk bergambar kenangan dengan salah seorang petugas di Parliament House di Melbourne. Rasanya dia ni seorang polis yang menjaga keselamatan bangunan tersebut ataupun seorang polis peronda atau polis pelancung. Walaupun cuaca sejuk tetapi cahaya matahari agak terang, tetapi kita tak dapat rasakan kepanasan pancaran matahari pun.

Foto saya di Tugu Peringatan Adam Lindsay Gordon. Beliau dilahirkan pada 19 Oktober 1833 di Fayal, Azores dan meninggal dunia pada 24 Jun 1870 di New Brighton, Australia. Seorang penyajak terkenal Australia dan menjadi pujangga negaranya. Sebaik sahaja selepas menerbitkan sajak Bush Ballads and Galloping Rhymes pada 23 Jun 1870, pada keesokan harinya beliau menamatkan riwayat hidupnya dengan menembak diri - mati muda dalam usia 37 tahun. Walau bagaimanapun pada tahun 1934 statue beliau ini pernah diletakkan di Westminster Abbey, London.

Kadang-kadang selepas kelas, saya suka melepak di beberapa tempat seperti di depan RMIT University, iaitu di sepanjang Swanson Road. Lepas makan di gerai makanan segera seorang Lubnan yang beragama Islam, saya akan menghabiskan masa dalam setengah jam di depan Public Library. Di sana saya terjumpa dengan seorang kawan baru, kenalan ini dari Indonesia bernama Mufti Agung dan sedang menuntut di salah sebuah universiti di Melbourne.

Saya di tengah-tengah Bandar Melbourne... saja berjalan-jalan bersama rakan serumah saya semasa di Melbourne, iaitu Fabilah Ismail namanya, beliau juga menghadiri kursus yang sama. Beliau adalah sahabat baik saya, kami selalu berkongsi bilik hotel jika secara kebetulan kami menghadiri kursus/ seminar yang sama. Beliau juga bekerja di Kementerian Pertahanan.

14 December 2010

Catatan Perjalanan - Terumbu Layang-Layang

Boleh aku katakan bahawa Kementerian Pertahanan adalah tempat bertugas yang paling menarik, aku boleh bertaruh sesiapa yang tidak pernah bertugas di Kementerian ini tidak akan menemui kepuasan berkerja. Di sini kami didedahkan dengan pelbagai pengalaman, ilmu, keyakinan, keberanian dan yang paling utama melihat dan merasai sendiri pengalaman seperti menaiki pesawat tentera, belayar dengan kapal tentera laut dan mengunjungi pulau dan lokasi tentera yang agak pendalaman seperti Semantan Sarawak, Pulau Sipadan, Pulau Mabol dan Gugusan Kepulauan Terumbu Layang-Layang yang dikenali sebagai Gagasan Semarang Peninjau.

Kali ini aku nak berkongsi cerita semasa pelayaran aku pergi dan balik ke Pulau Layang-Layang di negeri Sabah. Aku ke sana atas tugas rasmi (tak perlulah aku ceritakan tugas apa). Dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu (KK) aku terbang dengan MAS, tidur semalam di KK, dan keesokan harinya, di awal pagi lebih kurang jam 5 dengan menaiki teksi aku terus ke Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar KK untuk menaiki Feri Sri Gaya ke Pulau layang-Layang. Itu dia Stesen Lima, salah sebuah terumbu daripada 4 buah terumbu kalau tak silap aku lah. Walau bagaimanapun pulau ini adalah pulau yang terbesar jika dibandingkan dengan pulau-pulai lain.

Kesemua pulau ini terjadi daripada batu karang, jadi pihak berkuasa mengambil inisiatif untuk menyesuaikan terumbu ini untuk menjadikannya sebuah pulau yang boleh didiami oleh manusia. Apa yang ada di terumbu ini.... agak-agaknya apa??? macam-macam ada. Oklah tak ramai orang yang nak sambut pengunjung di sini... jadi cukuplah dengan papan tanda Selamat Datang ke Stesen Lima TLDM... Ini adalah Menara Kawalan Stn Lima, sebagai medium komunikasi yang sangat berguna dalam pelbagai tugas dan fungsi.


Oklah, aku sambung balik cerita... bila tiba di jeti Pangkalan ini, kami terus melaporkan diri ke feri... rupanya ramai juga yang akan belayar bersama aku... masing-masing dengan tugas yang perlu disempurnakan di sana. Bersama aku adalah Dato' Dr Ghafar, iaitu Ketua Pengarah STRIDE dan beberapa orang lagi.

Pelayaran pergi agak aman dan tenang... kelajuan lebih kurang antara 9 - 15 knot kot... aku kurang pasti... tapi taklah laju sangat. Di bawah inilah Feri saya tumpangi pergi dan balik - Sri Gaya.

Feri ini boleh dikatakan besar juga, memandangkan perjalanan yang jauh, iaitu kira-kira 10 jam setiap perjalanan, ramai di antara penumpang yang mabuk, jadi ada yang terpaksa tidur dan ada yang duduk di buritan feri untuk mendapatkan udara yang segar. Nasib baik aku ni bukan yang jenis mabuk, jadi sepanjang perjalanan aku ok sahaja, siap dengan makan lagi.


Tapi nasib agak kurang baik apabila feri tidak boleh rapat ke jeti terumbu kerana air surut, jadi beberapa bot laju mengambil kami di tengah laut untuk dibawa ke terumbu tersebut. Semasa perpindahan dari feri ke bot amat mencemaskan aku... sebab aku takut terjatuh ke dalam laut yang sangat dalam, sementara aku sendiri tak pandai berenang.

Kami bermalam di terumbu dan keesokkan harinya kami menyempurnakan tugas masing-masing yang sepatutnya kerana feri akan bergerak balik ke KK sebelum tengahari.

Tiba masa yang dijadualkan, Feri Sri Gaya meninggalkan Jeti Stn Lima Terumbu Layang-Layang dan selamat tinggal... kalau ada umur saya berharap dapat mengunjunginya lagi.

Kami tiba di pangkalan TLDM di awal malam, lebih kurang jam 9.30 malam - aku lihat kesemua yang belayar bersama Sri Gaya nampak sangat letih termasuk aku. Bila tiba di hotel, selepas bersihkan diri dan tanpa makan malam aku terus tidur, nasib baik penerbangan balik ke KL tengahari esoknya, dapatlah ku berehat lebih sikit.

Tapi aku puas hati kerana dapat juga bertamu ke Terumbu Layang-Layang walaupun hanya sehari semalam..

Tafsir Talqin


Artikel dari koleksi myMasjid: http://www.mymasjid.com.my/article/show.asp?id=1962

Bukanlah perkara yang mudah setelah membaca atau menghafalnya begitu sahaja sesungguhnya hanya amalan baik yg kita lakukan selama hidup di dunia yg akan menjadi penyelamat, InsyaAllah.. WALLAHU A'LAAMM.

Bismillah hirrahman nirrahim. Maha suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Maha suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Maha suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian makhluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Binti IBU SAYA, wahai SAYA Binti IBU SAYA, wahai SAYA Binti IBUSAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa sanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Ingatlah wahai SAYA Binti IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat sebagai wakil Tuhan yang menemui kamu, iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Binti IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taalah, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taalah. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati. Hendaklah kamu jawab begini: Allah Taalah Tuhan ku, Muhammad nabi ku, Islam agama ku, kitab suci Al-Quran ikutan ku, Baitullah itu kiblat ku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammad dur rasulullah".

Wahai SAYA Binti IBU SAYA tetapkanlah hati mu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Binti IBU SAYA, bahawa sanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawa sanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu di sisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alal mursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Al-Fatihah..

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut". Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."

Surah Al-A'sr

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah pesan ku walaupun satu ayat..."

Sama-sama kita jadikan panduan untuk bersiap sedia dengan soalan yang bakal ditanyakan oleh malaikat tersebut. Soalan telah bocor tinggal lagi adakah jawapan yang bakal kita berikan betul dan boleh diterima. Semoga Allah memberikan kita kemudahan untuk hadir di alam Barzah. Amin....