08 June 2015

Setelah Sekian Lama Kau Kami Tinggalkan

Lama betul kami semua meninggalkan rumah ini, rumah yang dibina atas penat lelah ayah, emak dan kami adik-beradik. Rumah yang kami jadikan tugu dan tempat perlindungan. Rumah inilah dulunya pernah riuh rendah dengan pelbagai suara dalam pelbagai nada. Maklumlah kami keluarga yang agak besar. (Foto atas belakang rumah)

Semuanya berubah apabila ayahanda yang sangat kami kasihi perbi meninggalkan kami, balik untuk menemui Pencipta yang maha agung dan maha kekal abadi. Mulanya kami terpaksa tinggalkan emak sendirian di rumah ini, tetapi apabila berlaku beberapa insiden makanya kami mengambil keputusan untuk bawa emak tinggal dengan sesiapa yang mak suka. (Foto belakang rumah)

Emak mula duduk dengan adik bungsu kami, Ainee yang mengajar di Tampin dan apabila Ain ditawarkan menjadi pensyarah IPG Temenggung Ibrahim, Johor awalnya mak ikut sama tetapi mungkin rumah KIP (flat) yang Ain diami buat emak kurang selesa sebab sukar nak turun naik. Jadi mak pun ikut saya balik ke Kuala Lumpur. 

Kasihankan emak saya berusaha untuk memohon balik bertugas ke mana-mana pejabat Kerajaan di Melaka. Alhamdulillah Allah swt menyampaikan hasrat saya tu dan pada 12 Mei 2015 saya melapurkan diri ke KPDNKK Melaka.

Saya, mak dan kucing-kucing saya yang 11 ekor pun berpindah ke Melaka dan mendiami semual rumah yang dibina oleh ayah yang telah kami tinggalkan lebih 3 tahun. Melihat rumah yang tidak terpelihara memangnya meruntun hati dan jiwa. Rumah yang besar ini tidak mampu untuk diuruskan oleh saya dan mak yang telah kekurangan tenaga dan upaya.

Atas hasil perbincangan bersama dengan adik-adik, keputusan dicapai untuk membaiki dan membersihkan kawasan rumah. Alhamdulillah adik saya Hj Adnan dengan pertolongan seorang pekerja dia telah mula membersihkan rumah ini mulai 1 Jun 2015 yang lalu. Adnanlah yang banyak berusaha dari membeli semua peralatan yang diperlukan sehingga meletakkan seorang pekerjanya di sini.
Cahaya rumah mula menyerlah dan kami percaya ianya akan terus bersinar seperti semula. In Sha Allah....

07 June 2015

Buku: Akhirnya Ku Temui Cinta Mu . . lalu aku pun memeluk Islam

Dalam kesibukan dan keletihan kerana berpindah tempat kerja dan berpindah rumah, saya masih lagi meluangkan sedikit masa untuk menghabiskan buku ini. Akhirnya Ku Temui Cinta Mu . .  lalu aku pun memeluk Islam, itulah tajuk buku yang saya baca kali ini. Tajuknya sahaja sudah tentu dapat diteka oleh anda semua akan kisah yang dipenuhi di dada-dada muka surat yang berjumlah 206. Ya memang betul ianya adalah tentang perkongsian beberapa insan yang Allah swt berikan hidayah. Ada hidayah yang Allah berikan kepada insan yang kita sendiri rasa tidak mungkin mereka menjadi saudara kita, tetapi kuasa Allah siapa yang tahu.

Buku ini selesai saya baca pada 24 Mei 2015 jam 8.13 malam di kampong saya Felda Bukit Senggeh, Melaka.

Belilah buku ini dan bacalah kisah mereka yang mudah-mudahan memberikan keinsafan kepada kita terutamanya manusia yang sejak lahir telah muslim. 'Dengar'lah kisah mereka betapa sukarnya mereka mencari kebenaran tentang tuhan dalam hidup mereka, betapa sukarnya mereka melaksanakan hukum dalam Islam sebagai muslim, bagaimana Allah membolak-balikkan hati mereka, menduga mereka dan akhirnya menyanyangi mereka dan terus memberikan hidayah yang tidak dapat digoyahkan lagi.

Sesungguhnya ya Allah bimbinglah aku dan curahkanlah hidayahmu kepadaku seperti mana hidayah yang Kau berikan kepada mereka.

Allahuakbar!!! Allahuakbar!!! Allahuakbar!!!

06 June 2015

Abang Makin Manja

Aduhai sayangku Si Baby (abang), semakin manja dia. Badan dia yang dah besar panjang, walaupun baru berumur 1 tahun 6 bulan diletakkan dalam sebuah bakul yang bersaiz kecil. Akibatnya tidak semua badan boleh disumbatkan ke dalam bakul tersebut.

Bila dia sedar saya ada berhampiran dia minta saya urut dia. Urut leher, bahu dan perut dia antara kegemaran si abang. Sambil urut sambil dia berbunyi dan lambat-lambat bunyi dia mengendur dan akhirnya dia nyenyak.

Lihat saja kuku Si Baby yang lebih dari kebiasaan kucing lain. Itu menyebabkan kaki dan tangan dia nampak lebih besar.

Bergulung dia dalam bakul kecil. Syukur semua kucing saya dah boleh menyesuaikan diri dengan rumah ini. Alhamdulillah.

05 June 2015

Matahari Terbit di FBS

Kalau kat rumah saya di Ampang Selangor saya menyaksikan matahari membenamkan diri di kaki langit dan puncak bangunan, tapi kali ini di kampong saya, saya menyaksikan matahari terbit di hadapan rumah.

Melalui celah-celah pokok kayu cahaya matahari pagi menyengokkan diri. Cahaya yang kuat dan terik terasa sangat di dahi dan muka. Tapi inilah juga nikmatnya bangun pagi.

Langit yang masih berbalam kehitaman menjadikan semua benda kelihatan hitam dan kelabu. Kalau dulu semasa saya dalam Wataniah waktu-aktu begini pertahanan dan pengawalan lebih ketat kerana masa ini yang dipanggil stand-to ini merupakan masa penyusupan musuh ke dalam pangkalan kerana bias mata dengan cahaya dalam dua dimensi berbeza.

Mudah-mudahan saya, emak dan kucing-kucing saya betah dengan lokasi kehidupan baru kami.

04 June 2015

Coklat Kegemaranku

Inilah antara coklat kegemaran saya. Hampir kesemua coklat ini mengandungi kandungan coklat yang melebihi 60% sama ada 70 atau 75%. Rasanya??? rasanya sememangnya pahit dan baru terasa coklatnya. Jika tidak kebanyakan coklat lebih rasa susu dan gula sahaja. Ahli diet ada menyatakan bahawa coklat ini mampu membantu seseorang untuk fokus dan meningkatkan daya memikiran. Saya sendiri akan membawa bekalan coklat hitam (dark chocolate) ketika memandu jauh.

Manakala coklat After Eight, biasanya saya ambil selepas dinner. Coklat ini mengandungi mint yang manis dan berangin. Cubalah rasa dan nikmati akan coklat yang pahit dan sedap.

03 June 2015

Mimi Tidur Berbantalkan Tuala

Kenangan semasa di rumah Kuala Lumpur. Si Mimi kucing kesayangan saya yang suka tidur dengan berbantalkan sesuatu. Kali ini Mimi memilih untuk berbantalkan tuali mandi. Dia akan tidur di atas meja komputer dan semasa saya pula sibuk di meje tersebut.

Nyenyak betul dia tidur, segala bunyi-bunyian yang mengganggu macam tiada apa-apa kesan. Dia tidur terus walaupun saya cium dia berkali-kali. Dah besar dia, masa ni Mimi berusia 1 tahun.

02 June 2015

Breakfast Di Mydin Jasin

First time saya dengan emak breakfast di Mydin jasin selepas kami  berpindah balik ke Melaka. Ini berlaku pada hari Ahad 24 Mei 2015 yang lepas. Memang tak banyak pilihan tapi ini sahaja yang kami terfikir untuk pesan.

Emak makan sop dagning dan saya pesan nasi dengan tomyam seafood. Bolehlah dari mengalami rasa lapar hingga ke petang.

01 June 2015

Indahnya Bumi Ciptaan Allah Taalah

Saya tak ingat bila agaknya kali terakhir saya ke pantai, menjejakkan kali di atas pasir halus yang putih kekuningan. Tahun ni ada 2 kali saya berkursus di tepi pantai, iaitu di Avilion PD dan Mahkota Heotel Melaka, tetapi kaki saya tak dapat memijak pasir halus dengan air laut yang masin.

Indah betul ciptaan Allah saw ini. Syukur ke hadrat Illahi kerana saya masih lagi mampu untuk menikmati keindahannya. Masih mampu menghirup udara pantai yang berat dan menghidu bau garam laut yang kelak.

Syukur juga kerana Allah saw memberikan saya peluang untuk berkenalan dengan ramai lagi hamba-hambanya yang sama-sama diberi peluang untuk berada di bumi ini.

Maha suci Allah yang menjadikan segala apa yang ada di bumi dan di langit apa tah lagi yang ada di seluruh cakrawala yang tak akan terjangkau oleh akal. Syukur pada mu ya Allah kerana memberikan nikmat ini kepada aku.