02 February 2011

Mencari Akar Keturunan

Setiap kali saya balik ke kampong di Melaka, saya pasti teruja untuk mencari semula akar keturunan saya. Siapakah mereka?, dari mana asal mereka? dan bagaimana budaya dan anutan mereka. Dari dengar-dengar cakap dan cerita mak serta saudara-saudara, keturunan saya berasal dari pelbagai bangsa dan agama. Ini adalah proses asimilasi yang berlaku di Melaka dulu-dulu, apabila Melaka menjadi pelabuhan penting dalam peta dunia pada masa itu. Di sini bermulanya proses pertembungan budaya, pertukaran ideologi dan perkembangan budaya melalui proses perkahwinan. Agaknya itu yang berlaku kepada asal keturunan saya.

Yang sangat pasti keturunan sebelah emak saya berasal dari dua buah negara yang sangat asing, iaitu ayah emak (atuk saya - Haji Mamood bin Omar) dari keturunan Cina dari negeri China, mereka menganut agama/ bangsa tionghua, Bapa atuk saya [Moyang Omar adalah seorang Cina dan memeluk Islam serta berkahwin dengan Moyang Sakdi yang juga dipercayai seorang Cina Islam (keturunan moyang Sakdi tidak dapat dikesan)]. Lim adalah nama pangkal keturunan Cina moyang lelaki saya.

Semasa kecil saya pernah ke rumah nenek saudara yang bukan Islam di Simpang Pajak dan pastinya dalam rumahnya ada gambar tuhan Cina dengan misai dan janggut yang panjang. Di hadapan gambar itu diletakkan sepiring buah limau yang saya suka ambil dan makan. Kalau tak salah saya di belakang rumahnya ada sepasang kubur Islam yang selalu dikunjungi oleh mereka dengan mengadakan kenduri. Maklumlah saya tak faham apa-apa masa itu sebab masih kanak-kanak, apa lagi makan je la.

Keturunan sebelah atuk saya ini masih lagi ada di Kesang Pajak, Jasin Melaka dan masih ramai lagi di Bukit Rambai. Beberapa kali saya cuba untuk cari tapi tak berani sebab tak tahu nak dimulai dari mana.

Sebelah emak, emak saya (nenek saya Chik binti Manap) adalah bangsa Jawa, keturunan inilah yang membuka kampung Kesang Tua, Jasin Melaka. Itulah sebabnya boleh dikatakan satu kampong ini adalah saudara mara kami. Sayangnya nenek saya ini meninggal dunia dalam usianya yang sangat muda iaitu 32 tahun semasa melahirkan anak bungsunya yang juga meninggal dunia.

Asal keturunan sebelah ayah juga macam sebelah emak, di mana terdapat 2 bangsa, iaitu Melayu dan Cina. Bapa ayah saya (Haji Lesut bin Muslim) juga berketurunan Cina, tetapi asal keturunan mereka telah memeluk Islam agak lama jika dibandingkan dengan sebelah atuk emak. Ayah saya adalah anak tunggal dari perkahwinan atuk saya dengan nenek saya (Nenek Munab binti Raidin).

Kebanyakan kaum kerabat Nenek Munab (dalam gambar Nenek Munap adalah sebelah kiri) berada di Kampong Kemengkang Jasin, seperti juga kaum kerabat di Kesang begitu jugalah dengan di sini, boleh dikatakan seluruh kampong adalah saudara mara kami. Yang sebenarnya masih ramai lagi cabang dan ranting keluarga yang perlu dilukis...... tapi..... apakan daya tiada tenaga....

Dah banyak kali saya cuba bangunkan family tree, tapi susah nak cari roots. Jadi projek itu masih terbengkalai, kalau ada keturunan selepas ini yang sanggup untuk meneruskannya. Selamat mencuba.

Kisah Mazhab Hanafi

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam. Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya. Dari kejadiannya ini, tahulah Khalifah bahawa Baghdad sudah ketiadaan ulama yang benar-benar berwibawa dan tinggi ketaqwaannya.

Lalu Khalifah memerintahkan beberapa orang menteri meninjau ke daerah lain, kalau-kalau masih ada ulama yang boleh dibawa berdepan dengan Dahri. Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asyari, seorang ulama yang tidak kurang juga ketokohannya. Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan.

Majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum pertemuan itu lagi, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satunya ulama yang diharapkan. "Subhanallah.... Subhanallah .... Walauhaulawala quwwata illa billahi aliyyil azim....!" Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam-macam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadab dan materialis itu.

Mempertikaikan KeEsaan Allah SWT bukanlah perkara kecil dalam Islam. Ini
kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipenggal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan mata yang turut hadir dalam majlis itu.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu' man, yang ketika itu usianya masih lagi remaja. Bila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar. Dalam pada itu teringat Hammad akan mimpinya malam tadi, lalu dikhabarkan kepada muridnya itu. Abu Hanifah mendengarnya dengan penuh khusyuk.

"...Aku bermimpi ada sebuah dusun yang amat luas lagi indah. Di sana ku lihat ada sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba, di situ keluar seekor khinzir dari hujung sebuah kampung. Lalu habis dimakannya buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Hingga ke daun dan dahan-dahannya habis ditutuh. Yang tinggal cuma batangnya sahaja. Dalam pada itu juga keluar seekor harimau daripada umbi pohon rendang tadi lalu menerkam khinzir itu dengan gigi dan kukunya yang tajam. Lalu,khinzir tadi mati di situ juga."

Hammad termenung seketika. Kekalutan pemikiran yang telah dicetuskan Dahri, yang boleh menggugat pegangan akidah umat ini, tidak boleh di biarkan. Mesti dihapuskan segera. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih, masih nampak bercahaya walau di saat sebegitu genting. Satu kelebihan Abu Hanifah ialah beliau juga dikurniakan Allah ilmu mentadbir mimpi, sebagai mana Nabi Allah Yusuf. Pada pengamatannya juga, mimpi tersebut akan memberi petanda baik bahawa si Dahri pasti akan menerima padahnya nanti. Dan setelah mendapat keizinan gurunya, dia pun cuba mentafsirnya: " Apa yang tuan lihat dalam mimpi tuan sebagai dusun yang luas lagi indah itu adalah tamsilan kepada agama Islam kita. Pokok yang berbuah lebat itu adalah tamsilan kepada sekalian ulamannya. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah tuan sendiri. Dan khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon tersebut ialah si Dahri. Manakala harimau yang keluar lalu membunuh khinzir tadi... adalah saya..." jelas Abu Hanifah.

Beliau juga memohon izin untuk membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Betapa gembiranya hati Iman Hammad bila tercetusnya hasrat itu dari hati muridnya sendiri. Maka berangkatlah ilmuan budak itu bersama gurunya untuk pergi ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah.

Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan memperleceh-lecehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas. " Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!" Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah.

" Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaran ku. Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!" Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah. " Wahai Dahri," balas Abu Hanifah," sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa." Abu Hanifah lalu membacakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud:

" Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu antara kamu beberapa darjat." Al-Mujadalah : 11 )

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog. Perdebatan antara Abu Hanifah dengan tokoh Ad-Dahriayyah, yang terkenal dengan pemikiran materialisme dan ateisnya itu, berlangsung dengan mendebarkan.

"Benarkah Allah itu wujud?," soal Dahri memulakan majlis dialognya.

"Bahkan Allah memang wujud," tegas Abu Hanifah.

"Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..??" Suara Dahri semakin meninggi.

"Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!" jelas Abu Hanifah.

"Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?" bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.

"Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa..." Abu Hanifah mula berhujah.

Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat.

"Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!" sahut Dahri.

"Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?" Kata Abu Hanifah,

Terserentak Dahri seketika. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri. Setelah itu Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan pada Dahri, seraya berkata: " Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?"

Pantas Dahri menjawab, "Ya, bahkan!"

Abu Hanifah bertanya lagi, "Kalau begitu di manakah lemak itu berada? Di bahagian atasnyakah atau di bawahkah...?"

Sekali lagi Dahri terserentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

"Untuk mencari di manakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip di manakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah SWT di alam maya ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaanNya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaanNya Yang Maha Agung...!"

Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi. Terbungkam lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan.

"Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti..." Semua mata tertumpu pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini.

"Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepasNya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir", tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

"Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan Wujud tanpa ada permulaanNya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepasNya....?" Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, "Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?" Sambil menuding ibu jarinya ke langit. Dan beberapa hadirin turut berbuat demikian. "Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya..." Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.

"Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah SWT Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahuluiNya dan tiada sesuatu yang kemudian selepasNya."

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, ia pun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah menggelegak. "Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!" Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok. "Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhan mu ketika ini ?"

Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang. "Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang," Katanya. Pemuda ideologi Ad- Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

"Wahai sekalian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !"

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali ke serata dunia sebagai seorang
Fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar'iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.

01 February 2011

Pesanan Imam Al- Ghazali

Beberapa panduan Imam Al- Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.

3. Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.

4. Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui..

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan di dalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.

31 January 2011

40 Nasihat Saiyidina Ali Ibn Abi Talib

40 nasihat Saiyidina Ali Ibn Abi Talib sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Nahjul Balagh oleh Saiyidina Ali Ibn Abi Talib dan kitab Al Bayan Wattabyeen oleh Al Imam Abu Othman Amru Ibn Bahr Al Jaahidh r.a.

1. Pendapat seorang tua adalah lebiih baik daripada tenaga seorang muda.

2. Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran.

3. Kebesaran seseorang itu bergantung dengan qalbunya yang mana adalah hanya sekeping daging.

4. Mereka yang bersifat pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.

5. Jagailah ibubapamu, nescaya anak anakmu akan menjagai kamu.

6. Bakhil terhadap apa yang ditangan adalah tidak mempunyai kepercayaan terhadap Allah s.w.t.

7. Kekayaan seorang bakhil akan turun kepada ahli warisnya atau ke angin. Tidak ada yang lebih terpencil daripada seseorang bakhil.

8. Seorang arif adalah lebih baik daripada arif. Seorang jahat adalah lebih baik dari kejahatan.

9. Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan harus dijagai, sedangkan ilmu menjaga kamu.

10. Jagalah harta bendamu dengan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahanmu dengan mendirikan solat.

11. Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam.

12. Mengajar adalah belajar.

13. Berkhairatlah mengikut kemampuanmu dan janganlah menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan.

14. Insan terbahagi kepada 3 : mereka yang mengenal Allah, mereka yang mencari kebenaran dan mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran. Golongan terakhir inilah yang paling rendah dan tidak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta seperti kambing.

15. Insan tidak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawadhu' dan lemah.

16. Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu terhadap Allah.

17. Mereka yang mencari kesilapan dirinya sendiri adalah selamat daripada mencari kesilapan orang lain.

18. Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang ia lakukan untuk memperbaiki dirinya.

19. Manusia sebenarnyasedang tidur tetapi akan bangun apabila ia mati.

20. Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan akan Al Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak akan berubah walaupun terbuka rahsia rahsia kebenaran itu.

21. Allah s.w.t merahmati mereka yang kenal akan dirinya dan tidak melampaui batasnya.

22. Sifat seseorang itu tersembunyi disebalik lidahnya.

23. Seseorang yang membantu adalah sayapnya seseorang yang meminta.

24. Insan tidur diatas kematian anaknya tetapi tidak tidur diatas kehilangan hartanya.

25. Barangsiapa yang mencari qpq yqng tidak mengenainya nescaya hilang apa yang mengenainya.

26. Mereka yang mendengar orang yang mengumpat terdiri daripada golongan mereka yang mengumpat.

27. Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran.

28. Seorang yang hamba kepada syahwatnya adalah seorang yang lebih hina daripada seorang hamba kepada hamba.

29. Orang yang dengki, marah kepada orang yang tidak berdosa.

30. Putus harapan adalah satu kebebasan, mengharap (kepada manusia) adalah suatu kehambaan.

31. Sangkaan seorang yang berakal adalah suatu ramalan.

32. Seorang akan mendapat teladan diatas apa yang ia lihat.

33. Taat kepada perempuan (selain ibu) adalah kejahilan yang paling besar.

34. Kejahatan itu mengumpulkan kecelakaan yang memalukan.

35. Jika berharta, berniagalah dengan Allah dengan bersedekah.

36. Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihatlah apa yang dikatakannya.

37. Tidak ada percintaan dengan sifat yang berpura pura.

38. Tidak ada pakaian yang lebih indah daripada keselamatan.

39. Kebiasaan lisan adalah apa yang telah dibiasakannya.

40. Jika kamu telah menguasai musuhmu, maafkanlah mereka, kerapa perbuatan itu adalah syukur kepada kejayaan yang telah kamu perolehi.

30 January 2011

What is this?



Dear friends,

From the picture above, please tell me - what do you understand? what is the perfect title for it?

Wasiat Imam Syafie

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

1. Hak Kepada Diri. Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak Kepada Malaikat Maut. Mengqadha’kan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3. Hak Kepada Kubur. Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak Kepada Munkar Dan Nakir. Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

5. Hak Kepada Mizan (Neraca Timbangan Amal Pada Hari Kiamat). Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

6. Hak Kepada Sirat (Titian Yang Merentangi Neraka Pada Hari Akhirat). Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7. Hak Kepada Malik (Penjaga Neraka). Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

8. Hak Kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga)

Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9. Hak Kepada Nabi SAW. Berselawat ke atas baginda, berpegang! dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10. Hak Kepada Allah SWT. Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan. Sudahkan anda menunaikan SOLAT ? Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sampaikanlah pesan ku biarpun satu ayat..."

28 January 2011

Sejarah Solat 5 Waktu

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

Subuh:

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Wahai sahabat-sahabatku, email yang aku peroleh dari seorang sahabat, yang di dalamnya ada ilmu dan kebarkahan. Sila baca dan doakan untuk sesiapa yang menyampaikannya.

Walallahualam.

27 January 2011

Ayahanda dan Bondaku Semasa Muda

Ini adalah gambar ayahanda dan bonda saya. Mengikut emak, gambar ini diambil selepas 3 bulan mereka berkahwin. Emak dan ayah yang sebenarnya adalah bersaudara, kedua-dua mereka berasal dari Jasin Melaka, dari kampong yang sama iaitu Kampong Kesang Tua. Sudah ditakdirkan oleh Allah Taalah, mereka bertemu jodoh di Singapura, kerana pada masa itu emak tinggal semasa ibubapanya, datok saya (ayah kepada emak saya) bertugas sebagai polis di Singapura. Manakala ayah saya pula bertugas sebagai tentera British yang berpangkalan di Singapura juga. Datok saya sebelah ayah juga bertugas sebagai seorang polis. Dengan persetujuan kedua-dua keluarga, mereka melangsungkan perkahwinan di Singapura pada tahun 1957.









Yang ini pula adalah gambar emak saya semasa beliau muda remaja.

















Sayang gambar-gambar ini rosak kerana tidak berjaga.