Kereta sewa kami - tapi buruk kan.... |
Perjalanan dengan kereta dari Jetty Point ke Gunung Mat Cincang lebih kurang 40 minit. Ini adalah 2 kereta sewa kami. Sebuah dipandu oleh Ain dan sebuah lagi dipandu oleh Shima.Apabila tiba di Stesen Cable Car, kedua-dua anak saudara ku Ammar dan Amir mengadu mereka telah kelaparan, dengan persetujuan bersama kami bercadang untuk makan tengahari terlebih dahulu sebelum menaiki Cable Car.
Kami makan di kedai makan pertama yang kami temui. Makanan yang dihidangkan bolehlah tahan, sekurang-kurangnya dapat mengalas perut kami. Tetapi bagi aku masakannya agak kurang kerana kebanyakan masakan mereka terasa manis dan kurang pedas. Biasalah aku orang Melaka yang sejak kecil dah dihidangkan dengan masakan pedas. Ada keistimewaannya kedai ini, iaitu mereka menyediakan tempat makan - seakan-akan pangkin - kata orang Melaka. Kami duduk bersila dan di sinilah kami melegakan urat-urat kaki dengan melunjurkan kaki.
Selepas makan kami terus ke tempat menjual tiket Cable Car. Dengan menggunakan My Kad tambang kereta kebal agak murah, iaitu RM 15.00 bagi dewasa dan RM 5.00 bagi kanak-kanak. Jika tidak menggunakan My Kad harganya dua kali ganda. Rasanya memang patut kerana rata-rata pelancung luar negara yang datang adaah dari negara yang mempunyai nilai mata wang yang tinggi jika dibandingkan dengan nilai mata wang negara kita. Foto Emak, Shima, Ammar dan Amir dalam Cable Car. Aku pernah menaiki Cable Car ini sebelum ini, jadi perasaan cemas dan bimbang dah berkurangan, tetapi tak sama dengan ahli keluarga ku yang lain, masing-masing rasa teruja dan cemas.
Manakala foto di sebelah adalah foto mak yang diambil di atas jambatan tersebut dan membelakangkan laut, kelihatan pulau-pulau kecil yang kelam bertabur di sepanjang perairan Langkawi. Kalau lihat wajah Mak nampak macam biasa sahaja, mungkin disebabkan mak tak ada perasan gayat jadi tak terasa ngeri. Permandangan dari atas jambatan ini sangat indah dan sahdu, angin yang bertiup tidaklah kuat sangat tetapi cukup untuk rasakan nyamanya suasana walaupun pada masa itu sudah lewat tengahari.
Walau bagaimana pun untuk sampai ke sini kita terpaksa menghadapi laluan yang sangat mencabar bagi aku, curam dan amat memenatkan. Hentian kereta kabel mempunyai dua hentian, dan jambatan ini berada di hentian kedua, kita terpaksa jalan menurun bukit dan apabila balik kita terpaksa mendaki pula, inilah cabaran yang terbesar. Penat dan lelah untuk sampai ke stesen ke dua.
Tunggu ekspidisi kami seterusnya selepas ini .............