Suka saya menegaskan di sini bahawa lesen besar yang diberikan oleh YAB PM menangguhkan SBPA perlu digenggam dengan kemas dan penuh kesyukuran, maka dengan itu usaha perlu diikuti bagi merealisasikan apa yang diperlukan oleh penjawat awam (pa). Yang sebenarnya ramai pa yang tidak memahami sepenuhnya SBPA, ini disebabkan oleh JPA tidak sepenuh hati dan telus dalam memberikan taklimat SBPA kepada semua peringkat pa, pada pandangan saya ada sesuatu yang disembunyikan, pandangan saya ini dikuatkan lagi dengan perilaku oleh pegawai-pegawai yang memberikan taklimat apabila pa cuba ditanyakan sesuatu yang melibatkan gaji dan laluan kerjaya, maka pegawai tersebut akan cuba memesongkan jawapan kepada perkara lain. Perkara ini dialami sendiri oleh saya. Satu lagi yang menjadi tanda tanya mengapa JPA mengedarkan Pekeliling yang tidak lengkap di mana Lampiran C, iaitu jadual gaji pa tidak ada dalam pekeliling tersebut. Begitu juga dengan Borang Option (BO) yang diserahkan kepada pa tidak berserta dengan jadual gaji dalam SBPA. Apa yang boleh dilakukan oleh pa memandangkan masa yang diberikan terhad, iaitu sehingga 30 Disember 2011, maka ramai pa yang terpaksa menandatangani BO tanpa menyemak kesahihan gaji baru yang ditawarkan. Ini merupakan kali pertama option yang ditawarkan Kerajaan kepada pa seperti paksaan tanpa dokumen yang sempurna.
Walaupun kini mungkin sudah terlewat untuk saya mewarwarkan pandangan saya kepada pa lain, tetapi dengan cara ini sahaja saya dapat menyampaikan rasa berat hati dan kecewa yang ada dalam diri saya. Apakan daya saya orang kecil dalam Perkhidmatan Awam (PA), saya tiada suara dalam PA, hanya medium ini saya gunakan untuk menyatakan pandangan saya.
Secara mengendeng kepada kawan-kawan baik saya kumpulkan jadual gaji untuk melihat perbandingan gaji-gaji pa. Memang seperti yang saya jangkakan berlakunya ketidakadilan dalam penyediaan jadual gaji. Yang saya nampak jelas adalah kenaikan gaji skim M menunjukkan kenaikan yang jauh melebihi tinggi dari skim lain terutamanya skim N. Manakala dalam skim N pula ada gred yang kenaikan Gaji Tahunan (KGT) hanya bertambah RM16.65 sahaja berbanding dengan tambahan KGT skim M yang terendah adalah RM62.67, sebaliknya dalam skim N tambahan KGT yang paling tinggi hanya RM56.67 sahaja. Jadi apabila disusun kedudukan gaji dari Gaji Sufian hingga SBPA, kelihatan pergerakan gaji skim M makin jauh jurangnya dari skim N. Sedangkan secara sedar atau tidak, pa di skim N adalah rakan sejawat pa skim M, sepatutnya skim gaji mereka tidak di ambang jurang yang jauh. Sekiranya pegawai skim M menunjukkan kecemerlangannya dalam tugasnya, adakah kecemerlangan itu milik dia seorang, jawapannya tentu tidak kerana dia akan mendapat maklumat dan kesempurnaan tugas dari staf yang membantunya, dengan kata lain pegawai skim N. Jadi mengapa nampak sangat perbezaan antara skim-skim ini.
Saya tak dapat untuk membuat analisis skim-skim yang lain kerana tiada maklumat. Kawan-kawan skim lain berhentilah menuduh skim-skim yang ada dalam PA mementingkan diri sendiri, disebabkan oleh masing-masing hanya dapat mengadap dan mempelajari skim sendiri serta membuat perbandingan dengan skim lain yang dilihat ada persamaan maka hasilnya terjumpalah jurang dan perbezaan yang mustahil diterima oleh pa. Bagi saya SBPA tidak dilakukan dengan sempurna kerana apabila dikaji semula terdapat banyak ketidakadilan di dalamnya khususnya kepada pa di gred rendah. Apa maknanya gaji tinggi, tetapi jurang gaji antara pa jurang tinggi. Kalau saya diberi kuasa untuk menyatakan pendirian saya, saya lebih selesa memilih skim terdahulu (Gaji Sufian) kerana ia lebih adil dan ada peluang bagi skim EO.
Untuk pengetahuan kawan-kawan, saya teruja untuk membuat analisis mengenai laluan kerjaya EO selepas ini.
Kata hikmat penulis "SBPA umpama ada pa makan nasi beras wangi dan ada yang makan nasi beras campur"
No comments:
Post a Comment