22 December 2011

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN ‘SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM’ (SBPA)

Kertas kerja ini saya peroleh dari fb Club perkhidmatan kami yang disediakan oleh Timbalan KEPAK - Tuan Haji Rozaini, pagi ini beliau bersama dengan Cuepecs akan mengadap YAB PM untuk menyuarakan pandangan dari majoriti Penjawat Awam mengenai SBPA. Saya masukkan ke dalam blog ini untuk tatapan kekawan dan mohon agar memanjatkan doa untuk kejayaan mereka. Amin.

1.0 PENDAHULUAN

1.1 YAB Perdana Menteri telah mengumumkan ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 bahawa penjawat awam (PA) akan menikmati kenaikan gaji dari 7% hingga 13% dengan kenaikan gaji tahunan (KGT) ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Kerajaan akan mewujudkan lebih banyak mata gaji, iaitu gaji maksimum akan lebih tinggi dan dinaikkan sehingga kepada 37.7%. Had umur persaraan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada umur 60 tahun.

1.2 Namun, apabila pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling berhubung dengan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) didapati ianya telah terpesong dari apa yang telah diumumkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri di Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2012. Ianya juga jauh dari hasrat dan matlamat YAB Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

1.3 Tujuan YAB Perdana Menteri memberi perubahan dan kenaikan gaji di dalam SBPA untuk PA adalah untuk mempertingkatkan pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 setahun dalam tempoh 10 tahun sehingga 2020, berdasarkan Model Baru Ekonomi (MBE). Di dalam RMK10 pula YAB Perdana Menteri telah menyatakan bahawa pendapatan perkapita rakyat akan meningkat kepada US$12,140 (RM38,900) sehingga tahun 2015.

2.0 PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

2.1 Pihak JPA telah mengedarkan tiga (3) Pekeliling SBPA pada 7 Disember 2012, iaitu untuk Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan (PP Bil. 11/2011), Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Persekutuan (PP Bil. 13 Tahun 2011) dan Anggota Perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia (PP Bil. 14 Tahun 2011).

2.2 CUEPACS mendapati bahawa pihak JPA tidak mengikut dan tidak melaksanakan keputusan YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2012. Secara umumnya, didapati tiada perubahan dan peningkatan keatas skim-skim perkhidmatan dan struktur gaji di dalam Kumpulan Pelaksana.

2.3 Sepatutnya pihak JPA hendaklah mengambil tangga gaji di P3 bagi gred lantikan dan P2 bagi gred kenaikan pangkat sebagai asas untuk mengira kadar kenaikan gaji minima dan maksimum dalam SBPA. Kadar KGT pula hendaklah berbeza dari T1 hingga tangga gaji terakhir supaya gaji pegawai yang ‘junior’ tidak rapat dengan gaji pegawai ‘senior’.

2.4 Sebagai contohnya, bagi Gred N36 mata gaji P2T1 (RM3211.64) dan P2T11 (RM4911.67) adalah asas untuk perpindahan gaji minima dan maksimum dalam SBPA. Gaji baru minima SBPA untuk gred gaji setaraf dengan N36 hendaklah sekurang-kurangnya RM3,597.04 (iaitu peningkatan 12 % atau RM385.40) dan gaji maksimum SBPA dinaikkan kepada RM6,763.37 (iaitu peningkatan 37.7% atau RM1,851.70). Namun, di dalam SBPA gaji minima untuk gred yang setaraf dengan N36 ialah RM3,035 (kurang dari RM3211.64 dalam SSM) dan gaji maksimum ialah RM5,555 (hanya meningkat sebanyak RM643.33 atau 13.10%).

2.5 Manakala, KGT sekarang adalah berbeza dari T1 hingga T11 dan ianya perlu diambil kira dalam kenaikan KGT di dalam SBPA. Bagi Gred N36, KGT untuk P2T1 kepada P2T2 adalah RM107.39, manakala KGT untuk P2T10 kepada P2T11 adalah RM176.96. Oleh itu prinsip berbezaan KGT untuk tangga gaji awal hingga gaji tertinggi sebagaimana dalam SSM hendaklah dikekalkan di dalam SBPA.

2.6 Jadual Gaji untuk semua gred skim perkhidmatan dari yang terendah hingga tertinggi hendaklah diedarkan di dalam SBPA. Perubahan dan kenaikkan gaji hendaklah seperti berikut;

2.6.1 Kumpulan Pelaksana:

2.6.1.1 13% untuk Tamat Tingkatan 5 atau Lulus SPM;
2.6.1.2 12% untuk kelayakan STPM; dan
2.6.1.3 12% untuk kelayakan Diploma.

2.6.2 Kumpulan P&P:

2.6.2.1 11% untuk Gred 1-1 dan Gred 1-2;
2.6.2.2 10% untuk Gred 1-3, 1-4 dan
2.6.2.3 9% untuk Gred 1-5, 1-6.

2.6.3 Kumpulan Pengurusan Tertinggi:

2.6.3.1 8% untuk Jusa A, B dan C
2.6.3.2 7% untuk Turus I,II dan III.

2.6.4 Kumpulan Premier

Gaji kumpulan ini hendaklah tidak melebihi 10% dari mata gaji
tertinggi dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

3.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN SBPA

3.1 Adalah dicadangkan supaya kelayakan minima untuk memasuki perkhidmatan awam dinaikkan dari kelayakan SRP kepada ‘tamat Tingkatan Lima’ untuk semua skim perkhidmatan yang terendah di dalam semua Klasifikasi Perkhidmatan, contohnya Skim Perkhidmatan Pembantu Operasi (di dalam SSM gelaran jawatan adalah Pembantu Am Pejabat dan Pemandu Kenderaan).

3.2 Manakala, kelayakan masuk ke Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) hendaklah ditambah baik iaitu sebagaimana Skim Perkhidmatan Pembantu Setiausaha Pejabat/ Setiausaha Pejabat, Gred SBPA : N4-1, N4-3, N3-1, N3-2, N3-4 (SSM: Gred N17, N22, N27/ N28, N32, N36). Kelayakan masuk untuk semua skim perkhidmatan yang setaraf dengan Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) adalah kelayakan STPM/ Sijil Politeknik/ Sijil Matrikulasi/ Sijil Asasi.

3.3 Skim-skim Perkhidmatan dalam Kumpulan Pelaksana hendaklah dikurangkan iaitu dengan kelayakan masuk seperti berikut:

3.3.1 Tamat Tingkatan Lima/ Kelayakan SPM;
3.3.2 Kelayakan STPM/ Sijil Politeknik/ Sijil Matrikulasi/ Sijil Asasi; dan
3.3.3 Kelayakan Diploma.

3.4 CADANGAN MEMINDA KELAYAKAN MASUK SKIM PERKHIDMATAN YANG MENGGUNAKAN KELAYAKAN ‘STPM’ KEPADA KELAYAKAN ‘DIPLOMA’. DAN MENINGKATKAN KELAYAKAN MASUK TERENDAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM.

SKIM PERKHIDMATAN (Sedia ada) SKIM PERKHIDMATAN (Pindaan Baru)
JAWATAN GRED JAWATAN KELAYAKAN JAWATAN GRED JAWATAN KELAYAKAN
Pembantu Tadbir (P/O) N17 N22 N26 SPM Pembantu Tadbir N4-1, N4-3, N3-1, N3-2, N3-4
(SSM:
N17, N22,
N27/28,
N32, N36) STPM /
Sijil Politeknik /
Sijil Matrikulasi /
Sijil Asasi

Penolong Pegawai Tadbir N27
N32
N36 STPM /
Diploma Penolong Pegawai Tadbir N2A-1
N2A-4
N2A-6 Diploma

3.5 Semua Skim Perkhidmatan yang menggunakan kelayakan masuk ‘STPM / DIPLOMA’ (SBPA : 3) hendaklah dipinda kepada kelayakan masuk ‘DIPLOMA’ iaitu Gred SBPA : N2A-1 (Gred Lantikan ), N2A-4 (Gred Kenaikan Pangkat) dan N2A-6 (Gred Kenaikan Pangkat). Contoh Skim-skim Perkhidmatan yang menggunakan kelayakan masuk STPM adalah:-

3.5.1 Penolong Pegawai Penguat kuasa,
3.5.2 Penolong Pegawai Tadbir,
3.5.3 Penolong Pegawai Belia dan Sukan,
3.5.4 Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat,
3.5.5 Penolong Pegawai Penerangan, dan
3.5.6 Penolong Pegawai Antidadah.

3.6 Semua Skim Perkhidmatan di atas hendaklah dipinda kelayakan masuk dari kelayakan STPM kepada kelayakan DIPLOMA. Skim perkhidmatan ini hendaklah dijadikan sebagai ‘Skim Perkhidmatan Bersepadu’ sebagaimana ‘Skim Perkhidmatan Pendidikan’ di dalam SBPA. Ianya supaya tidak wujud ‘double standard’ dalam perkhidmatan awam.

3.7 Gred N2A-6 (SSM: Gred N40) hendaklah diwujudkan untuk gred kenaikan pangkat bagi Kumpulan Pelaksana. Ini disebabkan penjawat Kumpulan Pelaksana tidak ada peluang untuk meningkat ke gred jawatan yang lebih tinggi lagi dalam kumpulan berkenaan. Penjawat-penjawat yang memegang Gred N2A-6 merupakan pakar rujuk bagi skim perkhidmatan berkenaan dan skim-skim perkhidmatan yang lebih tinggi di dalam sesuatu kementerian/jabatan/agensi. Penjawat berkenaan juga merupakan penyelia untuk semua gred skim perkhidmatan di dalam Kumpulan Pelaksana. Beban tugas skop jawatan telah menjadi semakin kompleks yang memerlukan komitmen tinggi dan kepakaran (multi tasking).

4. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN SBPA KEATAS SEMUA SKIM PERKHIDMATAN KELAYAKAN MASUK ‘STPM’ (GRED 3) DENGAN DINAIK TARAF KEPADA KELAYAKAN MASUK ‘DIPLOMA’ (GRED 2)

CADANGAN PINDAAN SKIM PERKHIDMATAN PEN. PEGAWAI TADBIR DI DALAM SBPA

STPM DIPLOMA CADANGAN BARU
PENOLONG PEGAWAI TADBIR KELAYAKAN MASUK KGT
SSM SBPA SSM SBPA SBPA
(PINDAAN BARU)
27 N3-1 29 J2-1 N2A-1 DIPLOMA RM200
32 N3-2 36 J2-4 N2A-4 Gred Kenaikan Pangkat RM225
36
----------
40 N3-4
---------
N3-5 38 J2-5 N2A-6
(SSM: Gred 40) Gred Kenaikan Pangkat RM260

4.1 Penjawat awam yang telah memiliki kelayakan Ijazah atau lulus Peperiksaan KPSL hendaklah di tukar lantik ke skim perkhidmatan di dalam Kumpulam P&P. Proses tukar lantik hendaklah fleksibel dengan mengambil kira gred sekarang dan tempoh pengalaman berkhidmat.

4.2 Contohnya, Penolong Pegawai Tadbir (PPT) Gunasama Persekutuan yang telah memiliki kelayakan Ijazah atau lulus Peperiksaan KPSL hendaklah di tukar lantik ke Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir Korporat. Proses tukar lantik hendaklah fleksibel dengan mengambil kira gred sekarang seperti gred kenaikan pangkat, bakat/pengalaman dan tempoh perkhidmatan.

5. ‘Persaraan Paksa’ hendaklah digantikan dengan ‘Persaraan Wajib’ iaitu bagi mencerminkan tahap perkhidmatan awam yang bertaraf dunia. Perkataan ‘Persaraan Paksa’ (Force Retirement) adalah tidak sesuai digunakan dan perkataan ‘Persaraan Wajib’ (Compulsary Retirement) adalah sangat sesuai selaras dengan kempen budaya murni kerajaan.

6. Pihak kerajaan tidak sepatutnya mewujudkan Kumpulan Primier kerana ianya memberi impak negatif kepada perkhidmatan awam dan dipertikaikan kewajarannya. Ketua-ketua Jabatan yang menjawat jawatan sebagai KSU sesebuah kementerian didapati tidak sebagaimana seseorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari Kelayakan, Bakat dan Kreativiti. Contohnya, seseorang CEO akan memberikan taklimat terus kepada pemegang saham atau menjawab terus segala perkara berhubung dengan pencapaian dan perancangan/hala tuju syarikat. Selain itu, dipersoalkan tentang masalah kesihatan, mobiliti dan keterampilan seseorang KSU berbanding dengan seseorang CEO.

7. CADANGAN MEWUJUDKAN JAWATANKUASA KHAS SARAAN DAN MAJLIS PERUNDINGAN PEKERJA CUEPACS – JPA.

7.1 Memohon pihak kerajaan untuk melantik perkhidmatan ‘Juru Perunding’ untuk mengkaji dan menyediakan satu laporan baru ‘Saraan Baru Perkhidmatan Awam (Pindaan)’ berhubung dengan skim perkhidmatan, gaji dan lain-lain kemudahan untuk Penjawat Awam.

7.2 Sekurang-kurangnya lima (5) orang wakil CUEPACS hendaklah dilantik menganggotai sebuah ‘Jawatankuasa Khas Saraan’ bersama dengan JPA untuk meneliti, mengkaji, menyemak dan memperakukan segala cadangan yang dibentangkan oleh pihak Juru Perunding, sebelum dipertimbang dan diluluskan oleh pihak kerajaan, khususnya YAB Perdana Menteri.

7.3 Justeru, suatu ‘Majlis Perundingan Pekerja CUEPACS - JPA’ perlu diwujudkan segera untuk membincangkan hal-hal berkaitan dengan Skim-skim Perkhidmatan, Gaji, Elaun dan Kemudahan-kemudahan Penjawat Awam. Presiden CUEPACS dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam adalah Pengerusi Bersama majlis ini dan kedua-dua pihak mempunyai wakil/ahli yang sama bilangannya.

7.4 Di masa hadapan majlis ini adalah badan yang perlu dirujuk jika ada sebarang cadangan keatas skim perkhidmatan, gaji, elaun dan lain-lain kemudahan. Persetujuan majlis ini diperlukan sebelum pihak kerajaan memperkenalkan sesuatu struktur saraan baru kepada penjawat awam.

No comments: