21 February 2017

Apa valet Doa?

Baru-baru ni sibuk dengan isu valet doa, saya suka nak berkongsi dengan pandangan S.S Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai perkara ini.

Alhamdulillah, kami merafa’kan setinggi kesyukuran kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW begitu juga kepada keluarga, Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami menerima persoalan berhubung Valet Doa yang sedang tular di media sosial beberapa hari ini. Justeru, kami merasakan isu ini perlu dijawab dengan segera agar ia tidak membarah dan menjadi perkara yang boleh mengundang pelbagai persoalan dan kekeliruan kepada masyarakat. Maka, atas dasar inilah kami namakan Bayan Linnas Siri Ke-85 ini dengan tajuk “Valet Doa: Penjelasannya”. Semoga penjelasan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita semua, Amin.

Definisi Valet

Parkir valet adalah khidmat untuk meletakkan kenderaan oleh petugas valet. Pemandu tidak mencari tempat parkir yang kerana ia dilakukan oleh petugas valet parkir. Pemandu kendaraan hanya perlu turun dari mobil di depan lobi sesebuah hotel, pusat beli belah atau sebagainya, dan menyerahkan kenderaan kepada petugas valet.


Definisi Doa


Kami tertarik dengan definisi doa yang dikemukakan oleh Imam al-Khattabi. Antara lain beliau mendefinisikan dengan:

“Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.” (Lihay Sya’n al-Dua’, hal. 4)


Beberapa Isu Yang Timbul Dalam Perniagaan Valet Doa


Sebelum menyatakan pandangan kami berhubung isu ini, kami sempat meneliti copywriting yang diletakkan di Facebook Valet_Doa. Kami dapat mengesan beberapa masalah yang timbul pada bentuk perniagaan Valet Doa ini.

Pertama: Etika Pengiklanan Dalam Islam

Kami melihat, individu berkenaan kurang memerhatikan aspek etika pengiklanan dalam Islam. Antaranya:
Seni pengiklanan yang berlebih-lebihan.
Terdapat beberapa keraguan di dalam perniagaannya iaitu
Memberikan jaminan 100% pemakbulan doa, sedangkan ianya tidaklah sesuatu yang pasti dan pemakbulan Allah adalah hak mutlak Allah. 
Berhubung ‘servis doa’, barang yang diniagakan dan diupahkan adalah kemakbulan doasedangkan makbul atau tidaknya doa itu adalah hak Allah secara mutlak serta ianya bersifat tidak jelas kerana kemakbulan adalah mutlak bergantung kepada-Nya. Ia tetap tidak boleh dilakukan sekalipun ada jaminan wang dikembalikan. Ia juga tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.
Servis berkaitan dengan ibadah amat perlu kepada nas kerana asal ibadah itu adalah tawaqquf dan ta’abbudi. Kaedah menyebut الأصل في العبادة التوقف (Asal bagi ibadah adalah terhenti kepada al-Qur'an dan al-Sunnah.)
Mengkomersialkan doa dibimbangi termasuk dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ

Maksudnya: Jangan kamu menjual ayat-ayat-Ku dengan harga benda yang murah
(Surah al-Baqarah: 41)


Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Jangan kamu ambil secara tamak untuk sedikit harta benda sehingga kamu menyembunyikan nama Allah. Maka yang termasuk dalam harga itu adalah ketamakan.” Lihat Tafsir al-Tabari, 1/565.

Al-Alusi berkata: “Jangan kamu tukar iman dengan ayat-ayat-Ku atau ikut untuk mendapatkan habuan dunia yang sedikit lagi binasa dengan ganjaran akhirat.” Lihat Ruh al-Ma’ani, 1/389.

Dr. Wahbah al-Zuhaily: “Jangan kamu jual ayat-ayat Allah yang menunjukkan atas kebenaran Muhammad pada kenabiannya dan dakwahnya dengan sedikit harta benda dunia.” Lihat Tafsir al-Munir 1/150.

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan unsur perniagaan serta menjaja dan menggunakan acara ibadah dan doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Kedua: Hak Mutlak Allah Sebagai al-Mujib

Kami tidak menafikan, terdapat pelbagai hadis berkenaan tempat-tempat makbul di Tanah Haram seperti doa di Multazam dan Hajar al-Aswad. Antara hadis berkenaan kemustajaban doa di Multazam. Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, berkata:

طُفْتُ مَعَ عَبْدِ اللَّهِ فَلَمَّا جِئْنَا دُبُرَ الْكَعْبَةِ قُلْتُ: أَلَا تَتَعَوَّذُ؟ قَالَ: «نَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ النَّارِ»، ثُمَّ مَضَى حَتَّى اسْتَلَمَ الْحَجَرَ وَأَقَامَ بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْبَابِ، فَوَضَعَ صَدْرَهُ وَوَجْهَهُ وَذِرَاعَيْهِ وَكَفَّيْهِ هَكَذَا وَبَسَطَهُمَا بَسْطًا، ثُمَّ قَالَ: «هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُهُ»

Maksudnya: “Aku sedang bertawaf bersama Abdullah (Abdullah bin Umar). Ketika kami berada dibelakang Baitullah, aku bertanya, “Tidakah kamu memohon perlindungan?”Abdullah pun berkata: ‘Kami berlindung kepada Allah dari panasnya siksaan api neraka.” Setelah selesai, Abdullah menyentuh Hajar al-Aswad dan berdiri antaranya dan pintu Ka’bah, lalu merapatkan dada, muka, kedua siku, dan kedua telapak tangan nya dan berkata: “Seperti inilah aku melihat Rasulullah SAW melakukannya.” 
(Riwayat Abu Daud, no. 1899)


Kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

مَا بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْبَابِ يُدْعَى الْمُلْتَزَمَ لَا يَلْزَمُ مَا بَيْنَهُمَا أَحَدٌ يَسْأَلُ اللهَ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Antara rukun Hajar Aswad dan pintu Ka’bah terdapat Multazam. Tidak seorang pun hamba Allah SWT yang berdoa di tempat ini, kecuali dikabulkan doanya.”
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, no. 3769)

Kami tidak nafikan betapa mulianya Mekah terutamanya Masjidil Haram yang terdapat banyak-banyak mulia seperti hadith di atas. Justeru, Rasulullah SAW pernah mengirim doa melalui Saidina Umar ketika beliau mahu menuju ke Mekah. Antaranya sabda Nabi SAW:

أَيْ أُخَيَّ أَشْرِكْنَا فِي دُعَائِكَ وَلَا تَنْسَنَا

Maksudnya: “Hai saudara yang kukasihi, sertakan kami dalam doa kamu dan jangan lupa kami.”
(Riwayat al-Turmuzi, no. 3562) dan beliau berkata, hadis ini hasan sahih.

Untuk mendapat kepastian dan lebih luas lagi pengetahuan berkenaan dengan isu ini, maka sewajarnya kita melihat kitab-kitab berkaitan adab doa dan juga kitab khusus seperti al-Azkar oleh Imam al-Nawawi dan juga al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-'Umrah oleh Imam al-Nawawi juga yang menyebut tempat-tempat yang mustajab doa. Tetapi, semuanya didoakan dengan penuh keikhlasan daripada seseorang tanpa sebarang bentuk perniagaan doa. Ini kerana, Allah sahaja yang bersifat penerima doa yang yang memakbulkannya.

Benarlah firman Allah SWT:

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.”
(Surah al-A'raf: 73)

Maka, jelas di sini bahawa hak memakbulkan doa itu hanya milik mutlak Allah SWT. Tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah SWT dalam keadaan hak tersebut bukan hak dirinya. Apatah lagi jika menetapkan tempoh masa tertentu untuk kemakbulan doa, seolah-olah individu terbabit memaksa Allah SWT untuk mengabulkan doa pada tempoh yang ditetapkan. Sedangkan, tempoh untuk memakbulkan doa terpulang mutlak kepada-Nya tanpa boleh dipaksa mana-mana hamba-Nya.

Perlu kami nyatakan di sini beberapa adab doa untuk panduan bersama. Antaranya:
Seseorang yang berdoa itu perlu mentauhidkan Allah dan tidak mempersekutukan-Nya.
Ikhlas kepada-Nya dalam doa.
Memohon kepada-Nya dengan nama-nama Allah yang mulia.
Memuji Allah sebelum berdoa
Berselawat ke atas Nabi SAW.
Mengadap kiblat.
Mengangkat kedua tangan.
Yakin kepada Allah akan kemakbulannya.
Memperbanyakkan memohon kepada-Nya.
Khusyuk dalam berdoa.
Mengulang-ulangi permohonan doa.
Mengelokkan makanan dan minuman.
Merendahkan suara ketika berdoa.

Ketiga: Akhlak Dengan Allah SWT

Oleh kerana acara doa merupakan ibadah yang sewajarnya dilakukan dengan syarat yang benar lagi tepat, maka sewajarnya kita mempunyai akhlak kepada Allah. Antara bentuk akhlak yang sesuai adalah, selayak dan seafdhalnya orang yang mempunyai hajat itu sendiri yang berdoa. Ini berdasarkan kepada perintah Allah dan suruhan-Nya kepada kita. Mohon pertolongan kepada Allah dapat difahami dengan konsep:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami minta pertolongan.”
(Surah al-Fatihah: 5)

Ibn Kathir berkata: “Allah memerintahkan kamu supaya mengikhlaskan dalam ibadah dan hanya meminta tolong kepada-Nya dalam urusan kamu.” Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/39.

Dalam kisah Nabi Zakaria yang melihat karamah dan kemuliaan Maryam dengan rezeki yang luarbiasa, maka Allah rakamkan kisah yang menarik ini:

كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ. هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira". Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”
(Surah Ali Imran: 37-38)

Ayat ini menunjukkan adab yang diajar kepada kita iaitu apabila berhajatkan sesuatu, masing-masing bertawajjuh, munajat dan berdoa kepada Allah SWT. Itulah petunjuk Ilahi dan itu lebih menampakkan kesungguhan seseorang yang berhajat.

Keempat: Salahfaham Konsep Doa

Dalam al-Qur’an bagaimana Allah mengajar Rasul-Nya SAW yang beliau sendiri tidak mempunyai kuasa untuk memberi manfaat dan mudarat kecuali Allah SWT.

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah.”
(Surah al-A’raf: 188)

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dan sangat bertepatan dan kekeliruan yang timbul di sebabkan isu Valet Doa ini. Sekiranya Rasulullah SAW sendiri menafikan dirinya berkuasa untuk mendatangkan mudarat dan manfaat kecuali Allah SWT, bagaimana pula seorang individu lain mampu menjamin kemakbulan doa secara yakin, dengan bersandarkan beberapa buah hadis yang disalahfahami? Justeru, semua doa yang kita pohon kepada-Nya yang memakbulkan hanyalah Dia yakni Allah SWT. Kerana itulah berkali-kali Allah menamakan diri-Nya dengan sami' al-dua' (yang mendengar doa).

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat. Ini kerana, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan salafussoleh berbuat demikian. Hatta bila Nabi SAW mahu menyertakan doa Saidina Umar RA dengannya, tiada sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran yang dikenakan oleh Saidina Umar RA. 

Kami juga melihat, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah sangat tidak berakhlak dan mengelirukan. Sementelahan lagi, ia jelas menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa.

Berkenaan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said RA, sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ : إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ

Maksudnya: “Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturrahim kecuali Allah kurniakan kepadanya salah satu daripada tiga iaitu samada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya. Kemudian sahabat berkata: ‘Kalau begitu, kami akan membanyakkannya. Sabda Baginda: ‘(Maka balasan) Allah lebih banyak.” 
(Riwayat Ahmad, no. 10749)

Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dipohon oleh seseorang akan diterima, tetapi bentuk penerimaannya itu pelbagai berdasarkan nas di atas. Samada dimakbulkan segera, ditangguhkan ke hari Akhirat atau dihilangkan keburukan seumpamanya. Inilah yang ditafsirkan oleh Ibn Hajar dalamFath al-Bari (11/95). Justeru, penggunaan kalimah mustajab atau jaminan makbul yang difahami itu akan mengelirukan lebih-lebih lagi jaminan dan had masa tertentu untuk mendapatkannya. Ini menyalahi nas yang sahih lagi jelas.

Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah DIBATALKAN agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua dan menjadikan kita golongan yang benar-benar mengikut syariat-Nya, Amin. 

Akhukum fillah, 

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Februari bersamaan 18 Jamadil Awal 1438

01 December 2016

Selamat Mengadap Penciptamu Oyen

Sambungan kisah Oyen.... Oyen suka makan makanan yang lembut, mungkin mudah untuk ditelan... walaupun begitu dia makan tak banyak. Tetapi saya perasan Oyen jarang minum. Selepas baik sedikit Oyen mula makan kibbles walaupun tak banyak.

Saya dapat rasakan ada benjolan di tekak dia, mungkin disebabkan kekurangan air menjadikan tonsil dia sedikit membengkak. Oyen berjalan dengan lemah dan kebanyakkannya saya dukung dia.

Vitamin yang saya berikan Oyen dan selepas itu dia kuat makan dan dalam beberapa hari dah boleh makan kibbles. Kesihatan Oyen dah bertambah baik, lika dia dah sembuh, bisul di telinga dia pun dah pulih. Walaupun Oyen tak mesra bersama Itam MB, Miz Lulu dan Acik tetapi mereka boleh hidup harmoni dalam satu tempat.

Seekor kucing yang cantik, baik dan sangat manja. Tapi umur dia tak panjang. Tiba-tiba pada malam Jumaat  25 November 2016 Oyen jatuh sakit dan terus meninggalkan saya pada 28 November 2016. Saya ada orderkan Tranfer Factor (TF) susu untuk kuatkan imunisasi dia tetapi Oyen tak sempat ambil. Saya masih tertanya-tanya kenapa tiba-tiba dia jatuh sakit yang teruk, selsema dia datang balik dengan teruk dan membawa kepada maut dia. Mungkinkah dia diserang oleh Porvo??

Selamat jalan sayangku Oyen, walaupun baru 3 minggu hidup bersama mommy tetap sayangkan Oyen dan mommy doakan agar kita jumpa nanti... Mommy sayang pada Oyen seperti juga sayang pada arwah Comel dan Mizz.

30 November 2016

Kenangan Berkereta Bersama Oyen

Oyen seekor kucing jantan yang saya ambil dari salah sebuah bank di Melaka. Kucing yang sangat manja tetapi kenapa dia berada di bank tersebut yang tiada kedai makan? adakah dia berkenala sehingga ke bank tersebut atau dibuang oleh manusia durjana?

Tetapi Oyen tetap sabar menunggu tuannya datang semuala mengambilnya, malangnya tidak kunjung tiba. Semasa saya jumpa dia, Oyen selsema dan mulut dia bermasalah. Dia sukar untuk makan, saya beranggapan mungkin dia sukar untuk menggigit makanan keras.

Oyen memangnya budak yang baik, dia pandai duduk dalam kereta, dia diam dan tidak mengeow dan boleh nyenyak sehingga sampai di rumah. Agaknya dia dah biasa berjalan-jalan dengan menaiki kereta.

Sebaik tiba sahaja di rumah, Oyen bangun dan perlahan-lahan turun dari kereta. memang baik budak ini. 

29 November 2016

Kesedihan Semalam

Allahhuakbar, semalam selepas magrib saya kehilangan seekor kucing yang baru saya cuba selamatkan. Oyen nama yang saya berikan kepada dia. Saya ambil Oyen kerana sangat kasihankan dia yang sedang menderita sakit. Dia susah nak makan dan kurus serta tidak berdaya untuk berjalan.

Badan, telinga kanan, atas mata kanan dan hidung dia cedera dan berkudis, seperti lama tidak dirawat.

Semasa di tempat dia dijumpai, rakan sekerja saya belikan ayam goreng tetapi Oyen tidak mampu mengigit dan ayam tersebut terlepas dari mulut dia. itulah sebabnya saya ambil dia takut dia tak makan

Yang sebenarnya Oyen kucing yang berbulu tebal dan sederhana panjang, tetapi disebabkan oleh kesakitan yang ditanggung dia nampak kotor dan sedikit berbau.

Saya bawa dia balik pada 9 November 2016, mulai tarik itu saya dan mak cuba rawat dia sebaik mungkin. Rupanya Oyen selsema, sakit mulut, luka-luka dan sukar bernafas.

Nasib baik ubat batuk dan selsema kucing-kucing saya masih berbaki dan saya berikan kepada Oyen dalam 2 hari dia dah boleh makan kibbles dan minum.

Oyen dah boleh berjalan dan minta diusap. Disebabkan dia sakit saya berikan tumpuan kepada dia, setiap kali balik saya akan hadap dia dulu, dan sebelum tidur bercakap dan berikan dia ubat serta sapukan ubat luka.

Yang sebenarnya kesihatan Oyen dah mula baik, luka dah 90% sembuh, saya dah mandikan dia dan dia dah bersih.

Tiba-tiba pada malam Jumaat yang lepas (25 November 2016) sakit dia menjadi teruk, hidung dia tersumbat semula dan nafas dia kuat. Saya tidak boleh tidur mengadap dia.

Dan semalam saya balik lewat, sampai rumah dah hampir jam 7 malam. Saya nampak Oyen tunggu depan grill depan dan bukan tempat selalu dia tunggu saya. Selepas solat asar saya terus dukung dia untuk berikan air minum dan ubat. Tiba-tiba dia kejang dan tersentap. Terkejut saya tengok dia dan masa tu juga dia terus menghembuskan nafas terakhir dia.

Oyen tunggu saya balik untuk ucapkan selamat tinggal. Pergilah sayang kepada pencipta kita dan nanti jumpa mommy di syurga.

25 November 2016

Proces Kurantin Miz K

Saya namakan anak kucing yang saya ambil dari Kendong N9 sebagai Miz K, iaitu sempena nama Kendong. Lebih kurang 2 minggu saya kurantinkan dia supaya dia menjadi biasa dengan kawasan rumah ini dan biasa dengan pasir litter dia. Macam biasa kucing yang dipungut di tempat awam akan buncit perutnya kerana mengandungi cacing.

Dalam masa yang sama Miz K diberikan ubat cacing, vitamin dan mandian kering untuk mengelakkan sakit perut, najis busuk, hama dan kutu. Disebabkan dia kucing bebas memang menduka kesabaran betul apabila dia dikurung. Bising dan mencakar sekeliling kandang serta membingitkan telingan.

23 November 2016

Aku Selamatkan Kau Dari Di Sepak

Anak kucing ini saya pungut semasa kami berhenti makan tengah hari di Food Court Kendong N9. Kejadiaan lebih kurang pada 12 Mei 2016. Rasanya umur dia lebih kurang sebulan setengah dan saiz badan yang kecil kerana saya boleh sembunyikan dia dalam tudung saya.

Memandangkan saya terpaksa balik ke pejabat saya simpan dia dalam opis saya dengan menutup pintu bilik, takut-takut dia berlari keluar kerana suasana luar opis yang agak bising. Di dalam bilik budak ini sempat buang air kecil dan besar, budak ni memang baik sebab dia berikan saya tanda dia nak melepas, jadi saya letakkan surat khabar lama untuk dia selesaikan hajat dia.

Tengoklah, dia sangat manja itulah sebabnya dia kerap kena sepak sebab suka sangat duduk dengan kaki manusia, Sampai sekarang dia tetap suka berlari dan berjalan di kaki manusia.

22 November 2016

Dari Jendela : Hotel I-City (malam)

Lain sekali permandangan di malam hari. Ada orang kata malam adalah segala kejahatan, betul ke? atau mungkin kah malam ada kebaikkan dan keindahan yang tersendiri.

Lihat sahaja dalam kegelapan malam bandar ini dilimpahi dengan cahaya neon menjadikan ianya seperti lukisan di atas sekeping kanvas hitam.

Foto ini adalah Bandar I-City di Shah Alam yang saya rakamkan dari Hotel I-City semasa saya menghadiri kursus pada awal tahun ini. 

06 September 2016

Dari Jendela : Hotel I-City Shah Alam - Pagi

Pada bulan Mac 2016 yang lalu saya dan  Mardiana, rakan sepejabat telah menghadiri kursus di I-City Hotel, hotel ini terletak di Shah Alam. Kalau dari Melaka memang agak jauh juga. Saya sendiri pun walau telah menetap di Kuala Lumpur melebihi 30 tahun tidak pernah ke hotel ini. Rupanya banyak juga jabatan kerajaan dan agensi swasta yang melaksanakan kursus di hotel ini. Tentu ada keistimewaan tertentu.

Macam biasa saya akan bangun awal pagi dan meninjau apa yang ada di sebalik langsir tebal bilik hotel tersebut. Macam yang saya jangkakan memang betul, saya menikmati keindahan alam ciptaan Illahi yang tidak ada tolok bandingnya dengan ciptaan manusia. Ditambah dengan kerdipan lampu-lampu malap kerana disinari dengan cahaya matahari yang mengintai dari balik banjaran. Wah sungguh sahdu.

Di kejauhan sana kelihatan banjaran gunung dengan langit yang redup, suasana masa itu sangat sahdu dan mengembirakan hati. Keadaan ini sahaja boleh menjadikan semangat baru mengalir dalam tubuh seseorang dan sudah tentu akan mencambahkan idea-idea yang bernas kelak.