18 August 2010

Tak Percaya Ke?

Hari ini (18 Ogos 2010) adalah hari ke16 saya bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT TM), Wangsa Maju. Di opis, sahabat-sahabat saya mencetuskan cerita tentang benda-benda ghaib yang ada di hospital ini. Saya sedia maklum bahawa bumi Allah ini bukan sahaja didiami oleh manusia, sebaliknya juga didiami oleh makhluk Allah yang lain seperti haiwan, iblis beserta anak pinaknya syaitan dan juga jin. Iblis, syaitan dan Jin dijadikan oleh Allah dari api dan berjisim halus, manakala manusia dijadikan daripada tanah dan dalam bentuk kasar yang boleh dilihat dan disentuh.

Selaras dengan ajaran Islam yang murni ini, saya memang percaya adanya makhluk lagi selain dari manusia yang dijadikan oleh Allah Taalah. Dalam Al'Quran jelas penerangan dan banyak kali pula Allah menyebut tentang malaikat, iblis dan syaitan dan jin. Makhluk yang suka mengacau dan mengganggu manusia biasanya terdiri daripada jin, manakala iblis dan syaitan adalah makhluk menggoda manusia untuk jauh dari ajaran agama Islam. Walaupun dari satu sudut seperti jin ini mempunyai kelebihan tertentu (seperti boleh ke sesuatu tempat dengan terbang dan boleh melihat manusia tanpa manusia dapat melihat mereka dengan mata kasar). Tapi Allah sendiri telah menjelaskan bahawa kejadian manusia adalah kejadian yang paling elok sekali. Dengan janji Allah ini, mengapa manusia perlu merasa takut dan bimbang kepada makhluk-makhluk seperti iblis, syaitan dan jin.

Namun begitu manusia perlu tahu bagaimana untuk menepis rayuan dan ancaman dari makhluk-makhluk ini. Dalam sejarah perkembangan Islam yang dibawa oleh kesemua Nabi dan Rasul, ada panduan-panduan yang menunjukkan bagaimana mereka berhadapan dengan makhluk ini. Kita kena bina perisai yang kuat dan kukuh, jangan biarkan makhluk-makhluk tersebut dapat menguasai kita. Sesungguhnya sekiranya kita sangat yakin dengan janji Allah bahawa kita lebih sempurna, maka makhluk lain akan segan dan takut kepada kita. Yang sebenarnya mereka juga takut kepada kita. Dia takut dan kita juga takut - siapa yang lebih berani secara langsung dapat menguasai lawannya. jangan biarkan kita kalah - kalau bertemu dengan mereka katakan kepada mereka "kamu tak malu ke dengan kejadian kamu yang hodoh dan hina" pasti dia cabut lari. Walallahualam.

16 August 2010

Konsep 1 Malaysia 1 MinDef

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Kerajaan bertujuan untuk membentuk satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengambil kira komposisi bangsa yang menganggotainya, dengan bangsa Malaysia yang satu, kita akan dapat hidup bersama dengan harmonis. Sebelum ini konsep ini telah diperkenalkan oleh bangsa Yahudi melalui 1 Israel, walaupun di Israel, bangsa yang mendominasi negara tersebut terdiri daripada bangsa Yahudi, tetapi konsep ini diperkenalkan untuk mencapai muafakat dan seterusnya mudah untuk mencapai kejayaan. Walau apa pun, konsep ini secara umumnya adalah untuk membentuk satu masyarakat yang sehati dan sejiwa.

Selepas konsep 1 Malaysia, Kementerian Pertahanan (MinDef) membentuk pula konsep 1 MinDef, seperti yang dimaklumi oleh semua, MinDef mempunyai dua (2) bentuk perkhidmatan iaitu awam dan tentera, dengan konsep 1 MinDef, pengurusan berhasrat untuk menjadikan MinDef sebuah organisasi yang utuh dan perkasa. Saya pulak melihat kita sebagai warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) boleh juga membentuk 1 HATTM. Secara relatifnya kesemua konsep di atas adalah untuk mencapai kesamaan dalam sesebuah negara dan organisasi. Kesamaan yang dapat menjamin kukuhnya sense of belonging kita kepada kumpulan tersebut. Tetapi untuk mencapainya bukan satu perkara yang mudah, pelbagai jurang dan onak terpaksa dilalui bersama oleh semua. Bayangkan kita dari pelbagai bangsa dan agama diadun dan diuli - untuk menghasilkan satu komuniti yang sebati.

Allah menjadikan manusia dengan 1001 sifat, pemikiran dan kemahuan, tetapi sekiranya setiap dari kita mahu/ bersedia untuk berubah, saya sangat yakin, inspirasi ini boleh dicapai.

Mengikut kajian sosiologi, sesuatu bangsa untuk melahirkan bangsa yang lebih baik atau lebih buruk mengambil masa lebih kurang 50 tahun. Tetapi sekiranya setiap dari kita telah maklum tentang apa tindakan dan hala tuju, maka 1 Malaysia 1 MinDef akan dapat dicapai dalam masa yang lebih singkat. Apa yang penting adalah kerjasama serta sifat tolak ansur.

Saya secara peribadi amat kagum dengan pandangan jauh oleh YAB PM, bukan senang untuk melancarkan 1 Malaysia, kerana kita dari pelbagai bangsa dan agama sedangkan Israel dengan konsepnya 1 Israel juga melalui jalan yang bukan mudah walaupun mereka dari bangsa dan agama yang sama. Kalau kita berjaya dalam masa yang singkat, rakyat Malaysia benar-benar hebat. Dan jika MinDef juga boleh capai dan ujudkan 1 MinDef, kita sebagai warganya patut berbangga kerana kita juga dari pelbagai perkhidmatan yang berbeza. Dan lebih bersyukur jika kita di HATTM dapat ujudkan pula 1 HATTM, maka kita juga hebat dan selain kita yang merasa nikmat keseronokan bekerja pelanggan kita akan menikmati perkhidmatan yang terbaik.

Banyak dasar dan konsep yang dilancarkan oleh Kerajaan, setiap kali sesuatu dasar dan konsep dilancarkan, maka terdengar pula komen yang pelbagai bentuk. Jangan bersikap terlalu defensive dan negatif kerana ianya melambagkan sikap seseorang individu yang malas, tidak berpandangan jauh dan negatif. Fahami sesuatu konsep walaupun tidak sepenuhnya.

12 August 2010

Organisasi Ini Kepunyaan Kita Bersama

Tak kiralah di mana kita berkhidmat, kita kena menadaptasi diri kita dengan organisasi, bukan organisasi adaptasi dengan diri seseorang individu, kerana ianya akan menimbulkan banyak konflik kelak. Pada saya sekiranya seseorang itu gagal untuk meletakkan organisasi, iaitu tempat dia cari makan dalam hati dan akhirnya sebati dengan jiwa, maka saya jamin bahawa seseorang itu akan menghadapi saat, minit dan jam yang sangat lama sementara menunggu waktu habis kerja. Begitu juga dia terpaksa menunggu hari, minggu, bulan dan tahun yang dirasanya berjalan seperti semut. Jadi apa perlu kita lakukan ya? tak kan nak buat tak tau atau buat bodoh saja. Saya tak percaya ujudnya insan seperti ini, kerana Allah Talah menjadikan fitrah manusia itu suka akan perkara yang elok, yang baik, yang cantik, yang menarik, yang merdu dan segala-galanya yang sempurna, tetapi malangnya untuk mendapatkan yang sempurna adalah sukar. Dalam usaha untuk mencapai kesempurnaan, saya percaya bahawa setiap dari kita yang pernah memijak bumi ini tidak lari dari melakukan kesilapan melainkan insan-insan yang dipelihara Allah iaitu para nabi dan rasul.

Oleh itu, tak perlulah kita menentang fitrah, sebaliknya kita harus berusaha untuk memastikan kita menjadi aset yang penting bagi diri, keluarga, organisasi dan bumi ini sebelum kita berhijrah ke alam yang kekal abadi.Bagi sahabat-sahabat yang beragama Islam tentu amat memahami akan ganjaran dan balasan Allah. Ustaz Zahazan ada maklumkan bahawa, jika kita bekerja sambil lewa, tidak setia kepada organisasi dan tidak berintegriti, takut-takut gaji/ upah yang kita terima tidak halal untuk diri kita, untuk isteri/ suami, anak-anak, ibubapa dan sebagainya. Malahan mengikut beliau para pekerja yang ikhlas, berintegriti dan tekun akan dimasukkan ke dalam golongan yang terlepas dari Al Fazak Al Akbar.

Saya berharap kita sama-sama dapat menjadi cermin di antara kita untuk nasihat menasihati agar perjalanan kita ini dalam landasan yang benar dan diredai Allah. Hingga jumpa lagi nanti.

11 August 2010

Janji Allah Taalah

Selamat berpuasa saya ucapkan kepada semua, saya mengingatkan diri sendiri dan kepada semua yang membaca bahawa dunia ini hanya tempat kita menumpang sementara sahaja. Bukan nak bertazkirah tapi sempena 1 Ramadan - kan bagus kalau kita boleh ingat mengingati sesama insan. Ramai yang mungkin lupa bahawa dunia ini BUKAN KITA PUNYA, Allah pinjamkan sahaja kat kita untuk jadikan modal, mudah-mudahan hasilnya dapat kita bawa balik ke alam kekal kita, iaitu SYURGA. Tapi ada yang lupa bahawa dunia yang Allah pinjamkan ini adalah hak bersama. Kita berjalan di atasnya dengan sombong dan menafikan hak orang lain.

Betul kata Tun Mahathir bahawa orang Melayu mudah lupa, yang sebenarnya bukan orang Melayu je yang mudah lupa tapi, manusia memang bersifat macam tu. Bila kita lupa dan ditambah dengan tak ade pesanan atau teguran kekawan maka makin hanyutlah kita. akibatnya ramai yang mula tersinggong dan berusaha menjauhkan diri dari kita. Tapi itu bukan perkara yang janggal Allah memanng dah berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 36 bermaksud "lalu syaitan memperdayakan kedua-duanya (Adam dan Hawa) dari syurga sehingga kedua-duanya dikeluarkan dari (segala kenikmatan) ketika keduanya di sana (syurga) Dan Kami berfirman, "Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan." Itulah janji Allah, jadi kita sahaja yang nak pilih dapat kesenagan di dunia dan di akhirat, negara kekal abadi kita.