Tanpa saya sedari rupa-rupanya beberapa orang pegawai awam di HAT TM telah merancang untuk mengadakan majlis perpisahan mengejut untuk saya. Dan mereka juga telah didokong oleh semua staf-staf awam lain. Bukan setakat jamuan malahan mereka telah memberikan saya suatu tanda hati yang mahal. Sesungguhnya saya amat terharu dengan usaha tuan-tuan dan puan-puan ini.
Tak sangka pengenalan yang singkat ini telah mencetuskan ikatan hati yang kukuh antara kita. Saya amat berharap agar ikatan ini janganlah terlerai begitu sahaja. Bagi saya budi baik kalian saya simpan baik-baik dalam hati dengan diikat kukuh supaya tidak terhilang. Pada saya setiap pertemuan itu pasangannya adalah perpisahan. Selepas bertemu, kita sendiri tak tahu berapa lama kita dapat bersama untuk bertemu, berkomunikasi, bertukar fikiran, berdebat dan akhirnya idea kolektif terbentuk, kerana semuanya di tangan Allah SWT.
Namun begitu semua ini biarlah berjalan dengan rasa ikhlas dan kasih, kerana walau apa pun yang berlaku, masa itu kita masih dalam barisan yang sama. Kita berjuang untuk mencipta hasil terindah untuk organisasi, jangan sekali-kali kita membiarkan nafsu menawan akal fikiran waras - kerana jelas sekali ianya menjatuhkan sesebuah organisasi serta paling malang memisahkan sebuah ikatan persahabatan.
Terima kasih wahai sahabat-sahabatku atas pemberian ini yang mengembirakan saya. Rasanya saya tahu siapa punya idea kerana semacam faham-faham sahaja hadiah ini merupakan koleksi peribadi saya. Tanda hati ini telah berjaya memberi persepsi bahawa walaupun saya tidak berada di kalangan kalian, kalian mampu untuk terus bergerak mencapai yang terbaik untuk organisasi. Saya sentiasa mendoakan agar semua sahabat-sahabat saya di HAT TM berjaya dalam bidang masing-masing.
No comments:
Post a Comment