Saya sangat tertarik dengan ucapan YBhg Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) semasa Majlis Penutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia pada 6 Oktober 2011 di Kuantan, Pahang.
Antara petikan ucapannya yang menarik hati saya adalah mengenai tindakan hukuman yang sepatutnya diambil tindakan oleh pelaksana perkhidmatan awam,katanya "Pengurusan modal insan yang efektif tidak tertumpu kepada aspek reward semata-mata. Aspek punishment perlu juga ditekankan, khususnya bagi anggota-anggota yang melakukan kesalahan serta menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, ia akan juga memberi pengajaran serta iktibar kepada anggota lain agar tidak melakukan lesalahan yang boleh menjejaskan integriti serta kredibiliti perkhidmatn kita". Katanya lagi "Dalam hubungan yang sama perlu diwujudkan exit policy yang jelas bagi anggota-anggota yang bermasalah, yang tidak berdisiplin, mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya. Mungkin aspek ini perlu dikaji untuk dimantapkan lagi pelaksanaanya, mahupun mendapatkan kaedah yang terbaik bagi 'melepaskan' anggota-anggota yang bermasalah dari terus berkhidmat di dalam perkhidmatan awam. Namun demikian, sebarang tindakan yang diambil hendaklah telus dan adil bagi mengelakkan sebarang penganiayaan"
Saya sejak dulu lagi mempersoalkan peraturan sedia ada seperti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlakuan & Tatatertib), 1993 yang rasanya dah cukup jelas untuk menangani isu/ masalah perlakuan dan tatatertib,namun ianya kurang dipraktikkan mungkin kerana menjaga nama baik organisasi. Terdapat organisasi yang beranggapan sekiranya ada warganya yang diambil tindakan tatatertib ianya seakan-akan memberi bayangan bahawa organisasi tersebut tidak cemerlang. Pada saya ini adalah anggapan yang salah kerana tiada siapa yang dapat menentukan sikap dan perlakuan seseorang sama ada dia sentiasa baik atau sebaliknya.
Terdapat juga Ketua Jabatan yang tidak sampaihati untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang jelas telah melakukan kesalahan. Alasan yang biasa saya dengar ialah tak sampai hati, takut berdosa, takut pada 'kabel' seseorang dan ingin memberi peluang, maka banyak kalilah peluang diberi dan makin menjadi-jadilah mereka-mereka yang terlibat.
Yang sebenarnya, sebagai Ketua Jabatan yang bertanggungjawab tindakan perlu diteruskan walaupun nanti Ketua Jabatan tersebut akan menjadi tidak popular. Masih ramai lagi kakitangan yang lain memahami tindakan tersebut dan Ketua Jabatan akan lebih dihormati sekiranya beliau berani atau sanggup bertindak. Ingatlah semua Ketua Jabatan tanggungjawab tuan/ puan adalah berat kerana ianya adalah amanah Kerajaan, Negara dan lebih lagi amanah Allah Rasbuljalil.
No comments:
Post a Comment