Catatan pengalaman, pendapat dan curahan hati untuk dijadikan bacaan ringan sanak saudara dan kawan-kawan - tiada rahsia. Semua dijemput.
26 October 2011
Tanda Hati Sahabat HAT TM - Matron Daram
Hello semua sahabat-sahabatku terutamanya seorang sahabat saya yang bernama Matron Daram, salah seorang sahabat yang masih bertugas di HAT TM. Apa khabar agaknya dia, saya harap dia sihat-sihat aje. Saya yang sebenarnya tak berapa yakin dia akan baca blog saya ini, tapi tak apalah harap sahabat-sahabat yang lain boleh menyampaikan apa yang saya nak pesankan ini kepadanya nanti.
Saya cuma nak ucapkan ribuan terima kasih banyak-banyak kepadanya atas kesudian dia menghadiahkan kepada saya gelas kristal yang comel ini, warna dan bentuknyanya yang sangat menarik akan saya sisipkan kenangan ini di dalam hati saya. Setiap kali melihat gelas ini akan terbayanglah wajah dia yang kadang kala serius tetapi selalunya mesra dan kelakar, tapi tak tahulah dengan orang lain dia macam mana. Sebagai Ketua Jabatan kepadanya saya tak menghadapi banyak masalah bertugas dengannya.
Suka saya nak tinggalkan sedikit pesanan untuk sahabat saya ini - Saya amat berharap kepada Nita, Gee, Vidia, Nur, Nieza atau Liza tolonglah sampaikan kepadanya. Kata-kata itu ialah "Matron ini akan menjadi seorang yang lebih popular dan dikasihi di kalangan stafnya jika dia menukar sedikit caranya menangani staf-stafnya kepada cara yang lebih menyayangi dan mengasihi mereka. Semua staf klinikal yang ada di HAT TM semuanya baik-baik belaka, mereka hanya menunggu kelahiran seorang pemimpin yang terbaik untuk membawa mereka ke mercu kegemilangan". Saya nampak ciri-ciri itu ada dalam diri Matron Daram hanya dia perlu menukar sedikit cara komunikasi beliau. Cara yang sekarang ini bukan tak bagus, tetapi lebih bagus lagi jika ada perubahan.
Saya adalah salah seorang pengkaji manusia, saya tahu apa yang disukai manusia dan apa yang paling mereka tidak suka. Dalam diri setiap manusia mesti ada sedikit rasa ego dan harga diri. Sekiranya ego manusia dicemar, akan timbul pelbagai masalah dan isu. Jadi untuk tangani manusia ada cara tertentu. Manusia akan berasa aman dan nyaman jika berdampingan dengan ketua yang selesa dengannya. Jauhi sikap pilih kasih kerana ianya tidak pernah terbukti membantu setiap ketua memenangi hati pekerja. Dengan peningkatan tahap akademik, staf tidak layak dilayan seperti dulu-dulu dan perubahan mesti berlaku.
Perubahan dalam tingkah laku manusia akibat dari peningkatan taraf akademik tidak boleh dipandang remeh. Percayalah jika ianya dipandang remeh, sesebuah organisasi itu tidak akan berjaya dalam melayari bahtera organisasinya ke pulau impian. Kita perlu menyedari ke mana negara ini ingin dibawa oleh pemimpin negara. Negara ini sedang menuju ke negara maju, oleh itu rakyat negara ini juga berubah dari segi taraf kehidupan, taraf pendidikan, taraf kesihatan dan banyak lagi. Jangan terlalu lama berpegang kepada "sekolah lama" kita. Berubahlah. Itu saja yang saya nak pesan, dan pesanan ini juga kepada semua sahabat-sahabat yang lain. Bye jumpa lagi.....
Labels:
HATTM,
sahabat,
Tanda Hati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment