Hari ini 21.10.2011, adalah hari terakhir aku bertugas di HAT TM, lumrahlah sekiranya aku terasa sedikit sedih untuk meninggalkan pejabat ini, yang telah menjadi rumah kedua aku. Apa tidaknya kerana pejabat inilah yang menjadi saksi suka duka, rajin malas dan mengantuk dan segar bugarnya aku ketika melaksanakan tugas harian ku. Menjadi Pegawai Tadbir Awam (PTA)yang mengetuai seramai lebih kurang 264 orang kakitangan pelbagai gred dan perkhidmatan telah mengajar aku menjadi lebih matang, lebih gembira, lebih tegas dan lebih berani bagi mengambil beberapa tindakan yang mungkin pada pandangan mata orang lain agak kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tetapi hakikatnya aku sendiri terikat kaki tangan dengan pelbagai peraturan Kerajaan yang menjadi tanggungjawab setiap penjawat awam untuk mematuhinya. Itu juga yang sebenarnya aku lakukan.
Dan hari terakhir ini juga merupakan hari yang sangat sibuk bagi juga, kerana aku terpaksa menyempurnakan beberapa tugas yang masih terbengkalai dan penting. Dengan bantuan staf-staf aku yang sangat berkelibar dan berusaha akhirnya sebelum jam 5 petang semua tugas-tugas tersebut dapat dilaksana dengan baik. Terima kasih kalian semua terutamanya jutaan terima kasih kepada Nor (Nor Hazizah) kerana kekal di kerusinya untuk memastikan tugasan terakhir aku disempurnakan. Akhirnya pada jam 5.10 petang aku melangkah meninggalkan pejabat ku itu. Tanpa menoleh ke belakang aku doakan sesiapa sahaja penggantiku nanti akan berasa aman di pejabat ini serta dapat memberikan perkhidmatan terbaik beliau. Aku rakamkan beberapa shoot terakhir di pejabat ini sebagai kenang-kenangan.
Nota serah menyerah tugas PTA dan kunci pejabat aku telah serahkan kepada pengganti sementara aku, iaitu Puan Hafisah. Rupa-rupanya aku hanya bertugas di hospital ini selama 1 tahun 2 bulan sahaja, dan aku sendiri tidak dapat menilai sama ada aku berjaya membawa perubahan baik kepada organisasi ini atau sebaliknya. Rupa-rupanya pada hari ini juga, sahabat-sahabat aku di sini telah mengadakan jamuan perpisahan mengejut yang sangat meriah untuk aku, mereka juga bermurah hati untuk meninggalkan beberapa tanda ingatan untuk aku. Sudah tentu tanda-tanda ingatan ini akan menjadi pencetus ingatan aku kepada mereka. Kepada mereka semua terima kasih berjuta-juta kasih, terima kasih atas segala bantuan dan kerjasama, aku susun jari 10 mohon ampun dan maaf dari kalian dan aku juga mohon halalkan makan dan minum. Kalian semua akan tetap berada dalam lipatan ingatan saya.
Kepada semua sahabat-sahabatku, insyaallah jika kita sama-sama ada umur dan diberi peluang oleh Allah, kita pasti akan berjumpa lagi, setidak-tidaknya beberapa bulan sekali kerana aku terpaksa berjumpa beberapa orang doktor di hospital ini untuk mendapatkan rawatan. Pada masa itu jika kalian tidak sibuk, mungkin aku boleh menganggu sekejap untuk bersua muka. Jika rindu - blog ini adalah tempat bertemu. (Mengetip Kad Perakam Waktu masa balik)
Selamat tinggal sahabat-sahabat, selamat tinggal hospital..... semoga jumpa lagi nanti.
No comments:
Post a Comment