05 June 2012

Luruskan Saf!

Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau kamu akan bercanggah (melakukan kesalahan) dengan arahan Allah di hadapan-Nya” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Acapkali bersolat jemaah di masjid, satu perkara yang menarik perhatian saya adalah tentang saf-saf jemaah yang bersolat. Saya memerhatikan perbezaan jemaah yang bersolat di Masjid di Cork dan juga di masjid di Malaysia. Satu perbezaan yang ketara dapat dilihat dari segi susunan saf antara jemaah-jemaah yang bersolat. Bukanlah perbezaan jemaah yang bersolat di Cork, safnya memanjang kebelakang dan di Malaysia memanjang ke tepi. Kedua-duanya sama, namun satu perbezaan yang sangat besar adalah dari sudut kerapatan saf antara jemaah-jemaah yang sedang bersolat.

Jika di Malaysia, jemaahnya lebih ‘selesa’ bersolat dengan jarak yang dikira menyelesakan antara satu sama lain sehinggakan wujudnya ruang-ruang. Jika dirapat-rapatkan semula masih muat 2 atau 3 orang lagi dalam satu barisan tersebut. Masyarakat di Malaysia kurang mementingkan kepentingan merapat-rapatkan saf. Di sesetengan tempat, imam tidak pun menyeru para makmum untuk merapatkan saf.

Kadangkala apabila bersolat menggunakan sejadah yang disusun satu persatu, para jemaah lebih ‘selesa’ memilih satu sejadah untuk dirinya sendiri sedangkan saiz sejadah tersebut besar dan jika setiap seorang menggunakan satu sejadah, maka pastilah ruang-ruang kosong terdapat pada saf tersebut.

Jika kita menilai hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari diatas, hadis ini amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf.

Begitulah kepentingan melurus dan merapatkan saf sehingga Allah dan Rasul-Nya memberikan ancaman kepada kita sekiranya leka dalam mengambil berat perihal saf ketika solat.
Rasulullah S.A.W bersabda:

“Luruskanlah saf kamu ketika solat, sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku” ( Hadit riwayat Imam Bukhari)

Rasulullah sentiasa mengingatkan para sahabat untuk meluruskan saf kerana pentingnya meluruskan dan merapatkan saf jemaah muslimin. Pada zaman Rasulullah S.A.W, sahabat-sahabat sering diingatkan, Sabda Rasulullah S.A.W:

“Hendaklah kamu luruskan saf-saf kamu atau Allah akan perselisihkan antara wajah-wajah kamu..” (Riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu dawud, Tirmizi, An-Nasai dan Ibn Majah)

Hadis diatas menggambarkan amaran keras oleh Allah kepada kita yang tidak mahu meluruskan dan merapatkan saf.

Pernah terjadi kepada diri saya sendiri. Apabila saya berselisih pendapat mahupun diselubung rasa marah teramat kepada sahabat, atau rasa tidak puas hati, tatkala solat disebelahnya, saya akan menjauhkan diri (tidak merapatkan saf)kepadanya. Rasa marah dan jahil menguasai diri, dan bersikap ego dan cuba menjarakkan saf yang akhirnya diisi oleh syaitan-syaitan. Namun, sikap demikian ditempelak Allah. Malah, ia hanya memburukkan keadaan. Jika dibiasakan bergitu Allah S.W.T akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran sesama masyarakat islam. Apabila ditegur oleh Ustaz, maka barulah tersedar kesilapan diri dan kelekaan diri dalam mementingkan saf. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan dijalannya dilakukan secara terseusun seperti satu saf seolah-olahnya nerepa merupakan sebuah bangunan yang kukuh.” ( As-Saff : 4)

Kita sering membaca dan mendengarkan ayat ini dibacakan. Allah menggambarkan kepentingan sebuah susunan saf yang baik dan rapi dalam perjuangan, begitulah juga dengan solat. Imam Qatadah memberikan pandangan yang sangat menarik berkenaan ayat tersebut. Beliau berkata:

“Tidakkah kamu melihat kepada pemilik sesebuah bangunan bagaimana dia benci bangunannya yang dibina secara tidak tersusun? Begitulah kiasannya dengan Allah. Dia tidak menyukai perintahnya dilaksanakan dengan cara yang tidak teratur. Allah memerintahkan agar barisan di medan perjuangan berada dalam keaadaan yang tersusun rapi sebagaimana tersusunnya saf ketika kita sedang melakukan solat berjemaah”

Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat jarak yang terbaik dalam meluruskan dan merapatkan saf ketika solat berjemaah ialah sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain di sebelah kita. Ia sekaligus mempertautkan ukhuwah dan membuang rasa keegoaan diri. Sebuah hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari berbunyi:

“Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki ” (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah dan para sahabat sentiasa merapatkan saf dan meluruskan saf sehingga bersentuhan bahu dan hujung kaki antara satu sama lain.

Meluruskan dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki. Justeru itu dalam keadaan tersebut, perlu diingat kadar jarak antara dua kaki kita yang telah diletaakan oleh para ulama. Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman didalam bukunya ‘Formula Solat Sempurna’ merumuskan 3 pendapat ulama berkenaan jarak diantara kedua-dua kaki kita.

Mazhab Hanafi : Kadar 4 jari tangan. Jika kurang atau terlebih adalah makruh
Mazhab Syafi’i : Kadar sejengkal
Mazhab Maliki dan Hanbali : Kadarnya adalah sederhana menurut ‘uruf, tidak terlalu luas dan tidak terlalu rapat.

Tanpa disiplin meluruskan dan merapatkan saf dengan bersentuhan hujung jari, manusia akan berada dalam rasa ego masing-masing hingga berasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah disebelah mereka.

Begitulah kepentingan meluruskan dan merapatkan saf, dan cara-caranya seperti yang dinukilkan diatas menurut pandangan ulama. Maka, marilah kita sentiasa mengambil berat tentang saf ketika solat jemaah kerana ia adalah sebahagian dari kesempurnaan solat. Takutlah Allah memperselisihkan kita dengan persengketaan antara kita disebabkan kelekaan kita merapatkan saf-saf kita.

Wallhu’alam.

Sumber: http://www.ataphijau.com/ melalui myibrah.com

No comments: