10 May 2011

SERBA RINGKAS FUNGSI HOSPITAL ANGKATAN TENTERA TUANKU MIZAN (HAT TM)

Hospital Angkatan Tentera Kuala Lumpur (HATKL) dirancang pembinaannya bagi menggantikan 95 HAT di Kem Kinrara. Nama HATKL telah digantikan kepada HOSPITAL ANGKATAN TENTERA TUANKU MIZAN (HATTM) pada hari perasmiannya iaitu pada 20 Ogos 2009.

Selaras dengan namanya, hospital ini telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung Tuanku Mizan. Perancangan dan pembinaan hospital ini bermula pada tahun 2001 dan lokasi yang dipilih adalah di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Hospital ini telah siap dibina sepenuhnya pada Julai 2009. Hospital ini mempunyai sejumlah 282 buah katil dengan pelbagai displin perkhidmatan dan boleh ditambah kepada 354 buah katil sekiranya berlaku ‘Mass Casualty’. Hospital ini telah dan akan dilengkapi dengan pelbagai bidang kepakaran dan pengkhususan terutamanya dalam bidang perubatan ketenteraan.

Fungsi dan tanggungjawab utama HAT TM adalah untuk memelihara kekuatan tempur anggota ATM supaya menjadi sebuah angkatan yang mantap lagi kredibel bagi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara. Hospital ini juga akan berfungsi sebagai sebuah Hospital Pangkalan Utama dan merupakan pusat rujukan untuk hospital-hospital dan kemudahan-kemudahan kesihatan ATM yang lain. Yang paling utama untuk diketahui oleh orang awam ialah HOSPITAL ANGKATAN TENTERA TUANKU MIZAN adalah HOSPITAL RUJUKAN, tanpa mengira sama ada seseorang itu anggota tentera atau awam, mereka tidak sewenang-wenangnya boleh mendapat rawatan di hospital ini tanpa dirujukkan terlebih dahulu oleh hospital atau klinik lain.

Dengan keterangan di atas, jelas memperlihatkan fungsi utama hospital ini agak berbeza dengan hospital kerajaan yang lain. Walau bagaimanapun bagi kes-kes kecemasan hospital ini akan memberikan rawatan kecemasan sebagaimana yang diberikan oleh hospital kerajaan yang lain. Dan setelah pesakit stabil, ia akan dipindahkan ke hospital kerajaan yang lain. Banyak salah faham yang saya baca mengenai HAT, yang sebenarnya kesiapsiagaan tentera yang sihat dan mampu dikerah di barisan hadapan merupakan tanggungjawab semua HAT.

Visi hospital ini adalah ‘Sebagai sebuah Hospital Angkatan Tentera yang komprehensif menjadi pusat kecemerlangan perubatan ketenteraan untuk memenuhi aspirasi pertahanan negara’.

Misi hospital pula ialah ‘Menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk memenuhi keperluan ATM dengan kepakaran professional, penggunaan teknologi terkini, pendidikan berterusan dan penyelidikan. Menyediakan peluang kerjaya dan persekitaran yang terjamin, mencabar serta memuaskan kepada setiap warga HAT TM’.

No comments: