Agaknya tentu teman-teman tertanya-tanya kenapalah pulaknya sidia ni cerita hal sedekah je masa ni?. kalau teman-teman nak tau sebabnya minggu depan kita akan menyambut Aidil Adha, di mana amalan korban dan sedekah adalah sinonim saja. Korban untuk diri kita dan sedekah untuk orang lain. Artikel di bawah saya terjumpa dalam simpanan saya yang dihantar oleh seorang teman melalui email. Saya ada buat sedikit perubahan dan pertambahan idea.
Perkataan sedekah berasal dari perkataan Arab 'shadaqa' yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar akan pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian 'infaq' iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material.
Dalam satu riwayat, Rasullullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menjelaskan bahawa sedekah itu bukanlah semata-mata dalam bentuk wang ringgit tetapi ia juga boleh diperluaskan kepada sebarang amal soleh seperti mengalihkan duri dari laluan, membantu seorang tua berjalan, tersenyum kepada seseorang dan sebagainya. Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah.
Diceritakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tarmidzi dan Ahmad - Tatkala Allah Ta’ala menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung. Dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumi pun terdiam. Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya. “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung?” Allah menjawab, “Ada, iaitu besi.” (Kita mafhum bahawa gunung batu pun boleh menjadi rata ketika dikorek dan diratakan oleh buldozer atau sejenisnya yang dibuat dari besi).
Para malaikat bertanya lagi, “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi?” Allah yang Maha Suci menjawab, “Ada, iaitu api.” (Besi walau sekeras manapun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api). Para malaikat kembali bertanya, “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api?” Allah yang Maha Agung menjawab, “Ada, iaitu air.” (Api membara sedahsyat apapun niscaya akan padam jika disiram air).
Para malaikat pun bertanya kembali, “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air?” Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, “Ada iaitu angin” (Air di samudera yang luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat).
Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi, “Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat dari itu semua?” Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab, “Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya”. Ertinya, yang paling hebat, paling kuat dan paling dahsyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus dan ikhlas tanpa ada unsur menunjuk-nunjuk ataupun supaya diketahui orang lain. Subhanallah.
No comments:
Post a Comment