5- PADA KURUN KE-9 HIJRAH
Dalam cubaan ini seramai 40 lelaki cuba melarikan jasad Baginda tetapi dapat ditangkap oleh penguasa Islam zaman tersebut.
Di
masa peperangan antara orang Islam dengan orang-orang kafir Kristian
yang dikenali dengan perang Salib dan telah berlangsung sekian lama.
Kemenangan dan kekalahan silih berganti pada kedua belah pihak. Umat
Islam berjuang dengan habis-habisan menentang musuhnya. Segala kekuatan
dikerahkannya. Kerana pada waktu itulah kesempatan yang paling baik
untuk memperolehi syahid di medan perang sebagaimana yang diperolehi
para sahabat Rasulullah dalam perjuangan menentang orang kafir yang cuba
melenyapkan Islam.
Raja-raja
dari semua kerajaan Islam memberikan sokongan padu kepada setiap
panglima perang yang tampil memimpin para pahlawan Islam menentang kaum
kafir Kristian yang datang dari Eropah. Salah seorang raja yang banyak
jasanya dalam perang Salib ini adalah Sultan Nuruddin Zangki (Zenggi),
keturunan bangsa Kurdi dan berkedudukan di Mosul. Baginda yang
diputerakan tahun 1118 Masihi dan wafat 1174 Masihi, adalah seorang raja
yang terkenal dengan taqwa, warak dan adil. Kerana keadilannya pula hingga
digelari Malikul Adil (Raja yang adil). Pada waktu malam baginda bangun
untuk solat tahajjud dan berdoa agar rakyatnya hidup bahagia dalam
keredhaan Allah dan terselamat di akhirat nanti. Pada sebelah siang
beliau banyak berpuasa dan selepas solat, wiridnya sentiasa panjang.
Seluruh
kekuatan yang dimilikinya adalah untuk menentang serangan tentera Salib
agar tidak dapat menjajah negara Islam. Beliaulah yang membentangkan
jalan kepada Shalahuddin Al-Ayyubi, panglima perang Salib di pihak Islam
yang telah berjaya membebaskan bumi Palestin dari cengkaman kaum Salib.
Baginda sentiasa tenang dan gembira melayan semua rakyat dan
menteri-menterinya, sekali pun negara dalam keadaan darurat perang,
kerana beliau telah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW pada suatu malam.
Dalam mimpi itu Sultan Nuruddin melihat Rasulullah dalam keadaan
gembira, menandakan perjuangan kaum Muslimin yang dipimpinnya dalam
berjihad akan berhasil.
Selanjutnya, suatu hari Malikul Adil
kelihatan tidak seperti biasanya, kali ini baginda nampak sangat risau,
seolah-olah ada yang tidak kena pada dirinya. Menteri-menterinya
menyedari hal ini, namun mereka tidak berani bertanya. Kerisauan dan
kegelisahan tersebut berpunca daripada mimpinya beberapa malam yang
lalu. Mimpi itu sangat mengerikan dan sukar ditafsirkan. Dalam mimpi
itu, baginda memakai baju yang cantik gemerlapan dan berada di hadapan
Rasulullah. Rasulullah memegang tangan Nuruddin dan menunjuk kepada dua
orang lelaki yang berada di hadapannya dan bersabda: Kenalilah aku.
Bebaskan aku dari dua orang itu! Nuruddin terbangun, namun wajah
Rasulullah dan dua orang lelaki itu kelihatan jelas di hadapannya
seperti bukan mimpi. Wajah kedua lelaki itu kelihatan kemerah-merahan.
Tidak
seorang pun yang diberitahu tentang mimpi itu, dan beliau yakin bahawa
yang datang itu benar-benar Rasulullah SAW. Kerana baginda saw sendiri telah
bersabda: Siapa yang melihat aku dalam mimpi, samalah ertinya dengan
melihat aku di waktu bangun, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai
aku. Keyakinan Raja Nuruddin akan kesahihan mimpinya itu dikuatkan lagi
oleh mimpinya yang dahulu sehubungan dengan peperangan. Ketika itu
Rasulullah kelihatan sangat gembira sekali. Tapi mengapa kali ini
baginda kelihatan amat sedih? Dan siapakah gerangan dua lelaki yang
ditunjuk oleh Rasulullah itu? Nuruddin tidak habis-habis merenung dan
berfikir: Ah, ini tentu ada yang tidak mengena pada keperibadian Baginda
yang mulia atau akan ada sesuatu yang mengancam maruah umat Islam, kata
Nuruddin dalam hatinya.
Hampir seminggu lamanya Raja adil itu
memikirkan mimpinya dengan risau. Tiba-tiba mimpi itu berulang lagi, peristiwa
seperti mimpi yang pertama dan Rasulullah memanggil-manggil Nuruddin
lagi: Kenalilah aku dan bebaskan aku dari dua orang itu! Baginda
terkejut dan bangun kemudian langsung berwudhu, terus bersolat tahajjud
dan berzikir sebanyak-banyaknya di malam sunyi itu. Kerana terlalu lama
berzikir, baginda tertidur dalam duduk dan wajah Rasulullah menjelma
lagi. Dalam masa yang tidak seberapa lama, sudah tiga kali beliau
berjumpa Rasulullah dalam keadaan muram. Perkara ini benar-benar serius
agaknya dan tidak boleh ku simpan seorang sahaja, kata Nuruddin pada
dirinya sendiri. Apabila baginda tergerak hatinya untuk memanggil orang
kepercayaannya, baginda teringat akan sabda Rasulullah: Bahawa apabila
seseorang bermimpi buruk, hendaklah jangan diceritakan kepada sesiapa
pun. Insya Allah tidak akan terjadi apa-apa. Nuruddin berfikir sekejap.
Sanggupkah dia menyimpan mimpi itu seorang diri? Tidak, mimpi itu sudah
tiga kali datang, dan yang datang adalah manusia termulia.
Selepas
solat Subuh di pagi hari Raja Nuruddin memanggil seorang menteri
kepercayaannya, Jamaluddin Al-Mushly. Lelaki itu sangat warak, taqwa dan
amanah seperti Rajanya juga. Oleh kerana itu, dialah satu-satunya orang
yang dipanggil oleh Nuruddin sehubungan dengan mimpinya. Kerana Nuruddin
yakin, bahawa walau bagaimanapun Jamaluddin tidak akan membocorkan
rahsia negara dan raja. Hari masih terlalu pagi, suasana masih gelap, di
sana sini kedengaran kokok ayam silih berganti dan waktu kerja pun
masih lama lagi akan bermula. Namun menteri Jamaluddin Al-Mushly sudah
berangkat ke istana negara kerana menjunjung titah baginda.
Engkau
adalah orang yang paling ku percaya untuk menyimpan rahsia negara
selama ini. Oleh kerana itu aku tidak merasa ragu lagi menceritakan
mimpiku padamu, kata Raja kepada Jamaluddin dan menceritakan mimpi yang
dialaminya. Jamaluddin mendengarkan dengan serius. Ia sendiri turut
merasa gerun mendengarkan cerita Rajanya. Kemudian Jamaluddin berkata:
Ini memang betul-betul mimpi yang benar wahai tuanku, kerana syaitan
tidak akan dapat menyerupai Rasulullah. Betul itu. Aku pun ingat
demikian, kata Nuruddin menyokong pendapat Jamaluddin. Nuruddin
bertanya: Jadi, agak-agak apakah pendapatmu tentang mimpiku itu.
Jamaluddin menjawab: Menurut pendapat hamba, ada rancangan jahat dari
orang tertentu yang ditujukan kepada Rasulullah, dan Rasulullah tidak
menyenanginya. Tuanku diberi tugas untuk menggagalkan rancangan jahat
tersebut.
Nuruddin seolah-olah dikeluarkan dari kebuntuannya
setelah mendengar tafsiran daripada Jamaluddin. Baginda percaya bahawa
pendapat menterinya itu benar belaka. Berkata Nuruddin: Pendapatmu
betul, sekarang ke mana dan bagaimana kita mesti mencari dua lelaki yang
ditunjuk oleh Rasulullah itu? Jamaluddin mengajukan usul: Bagaimana
kalau sekiranya baginda raja yang pergi ke Madinah Al-Munawwarah
terlebih dahulu. Di sanalah tuanku dapat berdoa di makam Rasulullah yang
mulia, memohon petunjuk kepada Allah di sisi makam kekasihNya.
Mudah-mudahan, di sana tersingkap rahsia mimpi paduka itu.
Semua
persediaan dan perbekalan segera dipersiapkan. Maka pada hari yang telah
ditetapkan, beribu-ribu rakyat ibu kota berpusu-pusu di hadapan istana
negara untuk mengucapkan selamat jalan kepada Raja yang mereka hormati.
Berangkatlah Raja yang adil bersama beberapa pegawai tinggi negara
menuju Madinah.
Di setiap kampung yang dilaluinya, baginda
disambut mesra oleh rakyatnya. Baginda merasa puas dapat berjumpa dengan
berbagai rakyatnya. Rakyat pun berasa gembira melihat Raja yang berjiwa
rakyat dan tidak putus-putusnya tersenyum kepada semua rakyat. Namun,
di sebalik senyuman raja yang dilepaskan kepada rakyatnya, ada perasaan
risau dan ngeri yang menghantui baginda secara berterusan. Yakni wajah
kedua lelaki yang dilihat dalam mimpinya selalu membayangi ke mana sahaja
baginda pergi. Tidak sesaat pun wajah itu hilang dari pandangan
baginda. Baginda juga dapat menggambarkan dengan jelas tentang
perwatakan kedua lelaki itu baik dari bentuk wajahnya, matanya, susunan
giginya, mulutnya, janggutnya bahkan kesemua seluruh tubuh kedua mereka
itu. Kalau, kedua lelaki itu melintas di hadapan baginda maka sudah
pasti, baginda akan menangkapnya. Disebabkan baginda sentiasa asyik
memikirkan tentang kedua lelaki itu, kadang-kadang baginda terpisah dari
rombongannya. Baginda tidak putus asa untuk mencari kedua lelaki itu,
baginda pergi secara persendirian mengembara antara bukit-bukit.
Para
pengawal tidak berani menegur apa-apa sebaliknya mereka hanya
memerhatikan Raja mereka dari jauh. Hanya menteri Jamaluddin sahaja yang
sesekali mengingatkannya apabila beliau terpisah jauh dari rombongan.
Setelah beberapa hari perjalanan, rombongan baginda sampai di sempadan
Madinah. Jamaluddin memberitahu baginda: Tuanku, sekejap lagi kita akan
memasuki ke kota Rasulullah SAW, oleh itu bersiap sedialah tuanku.
Berkata Raja: Apakah cara yang harus aku lakukan untuk memasuki kota
yang mulia itu? Berkata Jamaluddin: Pertama hendaklah tuanku mandi dan
bersuci, kemudian masuklah ke masjid Quba dan bersolat tahiyyatul
masjid, ini adalah untuk menghormati masjid yang dibina dengan tangan
Rasulullah SAW sendiri. Kemudian Raja dan rombongannya mengikut arahan
Jamaluddin, setelah selesai mengerjakan solat di masjid Quba, rombongan
diraja menuju ke taman Raudhah. Di taman yang mulia inilah jasad yang
teramat mulia Rasulullah SAW bersemadi.
Perasaan mereka yang
berada di hadapan tempat jenazah baginda Rasulullah SAW disemadikan
adalah amat berlainan sekali, mereka berasa seolah-olah berada di satu
alam yang lain. Lalu Raja mengangkat tangannya tinggi-tinggi dan memohon
kepada Allah SWT supaya rahsia di sebalik mimpinya itu di perlihatkan
kepadanya sebelum kedua manusia jahat melaksanakan niat jahat mereka.
Degupan hati Raja yang begitu khusyuk dalam doanya menyebabkan air mata
mengalir tanpa disedarinya. Memang di sinilah salah satu tempat
diperkenankan doa. Wajah Rasulullah SAW semakin jelas di mata Raja
seolah-olah Rasulullah SAW menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan
Raja. Baginda terdengar suara dekat telinganya yang berbunyi: Kenalilah
aku, dan bebaskanlah aku dari kedua lelaki ini.
Setelah baginda
raja berdoa dengan penuh khusyuk di taman Raudhah, kemudian datang
petunjuk dari Allah seolah-olah beliau dapat menyingkap tafsir mimpinya
itu di kota mulia tempat bersemayamnya Rasulullah SAW. Oleh kerana Raja
Nuruddin ingin segera mengetahui makna mimpinya yang menakutkan itu,
lalu beliau memanggil gabenor Madinah dengan berkata: Saya mahu kamu
kumpulkan kesemua penduduk Madinah tanpa ada sesiapa pun yang
dikecualikan, saya ingin bersalaman dengan mereka. Berkata gabenor
Madinah: Baik tuanku, segala titah raja akan dijalankan. Gabenor Madinah
pun segera menyampaikan pesanan raja kepada penduduk Madinah dan
penduduk yang berhampiran dengan kota Madinah.
Berkata gabenor
Madinah kepada penduduk kota Madinah dan sekitarnya: Atas perintah Raja
Nuruddin, semua rakyat Madinah dan kawasan yang berhampiran denganya,
sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda dari berbagai jenis agama
dikehendaki hadir di dewan orang ramai, kerana baginda Raja Nuruddin
hendak bertemu dengan semua penduduk di sini. Setelah berita disebarkan
maka orang ramai bersama seisi keluarga segera pergi ke dewan orang
ramai dengan perasaan gembira, tidak seorang pun yang tertinggal. Mereka
yang tua dan uzur diusung sehingga banyak sekali usungan yang kelihatan
dalam perjalanan menuju ke dewan orang ramai. Apabila seluruh penduduk
kota Madinah telah berkumpul, gabenor Madinah pun melapurkan kepada
Raja: Tuanku, semua rakyat telah berkumpul dan mereka sedang menunggu
kehadiran tuanku. Berkata Raja Nuruddin: Apakah kamu yakin bahawa semua
rakyat telah datang untuk bersalaman dengan saya? Berkata gabenor
Madinah. Insya Allah. Setelah Raja mendengar penjelasan dari gabenor,
Madinah, maka Raja pun segera pergi ke tempat orang ramai yang sedang
menunggunya. Wajah kedua lelaki yang datang dalam mimpinya semakin
mencabar di hadapannya.
Setelah baginda Raja sampai di tempat
dewan orang ramai, maka baginda pun memandang kepada rakyat sebagai
penghormatan. Mata Raja Nuruddin sentiasa mencari-cari wajah yang
menjadi buruannya, tetapi tidak juga kelihatan. Raja Nuruddin semakin
risau, beliau duduk sekejap dan berbincang dengan pegawai-pegawai dari
Madinah. Berkata Raja, Nuruddin: Apakah masih ada rakyat yang melepaskan
peluang untuk bertemu dengan saya? Cuba siasat sekali lagi. Kemudian
para pegawai dari kota Madinah berbincang sesama mereka, mereka cuba
mengingati wajah-wajah yang tidak hadir. Tiba-tiba seorang pegawai
berkata dengan serius dan bersemangat: Betul tuanku, hamba ingat masih
ada dua orang kenamaan di Madinah yang tidak hadir di sini, mungkin
kedua mereka tidak mendengar berita tentang ketibaan baginda tuanku ke
sini.
Raja Nuruddin berkata: Di mana mereka berada, dan
siapakah mereka itu? Denyutan jantung Raja Nuruddin semakin cepat,
tetapi beliau menahan perasaannya. Orang yang mengenali kedua lelaki itu
berkata: Mereka berdua adalah ahli tasawwuf dan ahli hikmah, sangat
wara dan sangat banyak ibadahnya, sesiapa sahaja yang pergi kepada
mereka akan menerima fatwa-fatwa yang menyejukkan dan menerima sedekah.
Dan kedua mereka juga adalah dermawan dan telah banyak sekali membantu
fakir miskin. Raja Nuruddin sangat tertarik dengan huraian pegawainya
dan beliau berkata: Saya ingin sangat untuk bertemu dengan kedua mereka,
jemputlah mereka sekarang juga.
Tidak berapa lama kemudian
kedua mereka itu pun datang ke dewan orang ramai setelah diundang. Kedua
mereka berjalan dengan tunduk dan tawadhu, sementara mulut mereka tidak
berhenti-henti berzikir kepada Allah SWT. Apabila kedua mereka berdiri
di hadapan Raja Nuruddin, Raja Nuruddin terperanjat kerana kedua mereka
itulah yang muncul dalam mimpinya. Dalam hati Raja Nuruddin berkata:
Demi Allah orang inilah yang datang dalam mimpiku. Walaupun kedua mereka
itu berada di hadapan beliau, beliau belum pasti sama ada beliau
bermimpi atau tidak, lalu beliau menggosok kedua biji mata beliau dan
dibukanya mata beliau terang-terang. Ternyata kali ini beliau tidak
mimpi, beliau kini berada betul-betul di hadapan orang yang menjadi
buruan beliau. Raja Nuruddin memandang mereka dari semua segi, dari segi
bentuk muka mereka, susunan gigi, mata dan lain-lain. Akhirnya beliau
meyakini dengan seratus peratus bahawa memang sah kedua lelaki itulah
yang muncul dalam mimpinya. Kalau ikutkan hati Raja Nuruddin hendak
ditanya sahaja: Siapakah kamu berdua ini. Raja Nuruddin bertambah hairan
melihat kedua mereka, ini adalah kerana kedua mereka itu begitu khusyuk
dan tawadhu, gerak-geri mereka tidak sedikit pun mencurigakan.
Segi
rambut pula ikut sunnah, serban pula ikut cara Rasulullah. Sewaktu
bersalaman menunjukkan adab seorang alim dan ahli tasawwuf, tutur
katanya pula penuh hikmah dan selalu berasaskan Al-Quran dan Al-Hadith.
Tetapi mengapa Rasulullah minta dibebaskan dari dua orang itu? Apakah
dosa yang telah diperbuat oeh keduanya? Begitulah pertanyaan yang keluar
dari hati Raja Nuruddin. Beliau hairan dan tidak tahu apa yang hendak
dibuat, namun demikian tidak seorang pun yang dapat membaca perasaan
Raja Nuruddin. Raja Nuruddin serba salah kerana orang ramai mengenali
kedua mereka sebagai orang yang alim dan menunjukkan sikap yang penuh
tasawwuf, baginda Raja juga menghormati kealiman dan ketasawwufan
mereka. Oleh kerana Raja Nuruddin tidak dapat membuat apa-apa keputusan
maka majlis pada hari itu bersurai setelah baginda Raja bersalam dengan
semua rakyatnya seperti yang dijanjikan. Setelah majlis perhimpunan yang
pertama selesai, orang ramai pun bersurai dan mereka merasa puas hati
kerana dapat bersalam dengan Raja mereka. Gebenor Madinah merasa sangat
gembira kerana majlis itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.
Satu-satunya orang yang tidak puas hati ialah Raja Nuruddin, kerana
teka-teki yang menghantuinya belum terjawab.
No comments:
Post a Comment