09 January 2012

Pandangan Saya: Skim Separa Profesional dalam SBPA

Berhubung dengan cadangan untuk penambahbaikan skim-skim PA saya bercadang mewujudkan kumpulan separa profesional. Ini bagi mengkelompokkan skim-skim yang kemasukan asasnya adalah STPM, Diploma dan SPM+Sijil. Bagi kemasukan menggunakan kelayakan asas PMR dan SPM dikekalkan sebagai kumpulan pelaksana. Apa pandangan rakan-rakan semua.

Kebanyakan penjawat awam (pa) memberikan pandangan dan komen yang gembira serta sangat bersetuju dengan cadangan YBhg Tan Sri di atas, tak terkecuali ada juga yang memberikan pandangan-pandangan lain dari pandangan mereka demi kebaikan skim masing-masing. Bukan sedikit skim perkhidmatan di dalam Perkhidmatan Awam (PA), dan jika JPA melayani semua cadangan, pandangan dan komen saya rasa akan memeningkan kepala semua pa yang bertugas di JPA.

Khususnya untuk Skim Penolong Pegawai Tadbir (EO), cadangan KPPA ini akan membawa kita balik kepada Laporan Gaji Sufian (LGS) dan Laporan-Laporan Gaji sebelumnya. Kepada EO-EO yang memulakan kerjaya ini seawal 1980an tentu masih ingat lagi bahawa dulunya PA (tidak termasuk tentera dan polis) diwakili oleh 3 kumpulan besar iaitu Kumpulan A, Kumpulan B dan Kumpulan C. Kumpulan A terdiri daripada pegawai-peawai kemasukan ke PA dengan menggunakan kelayakan Ijazah, manakala Kumpulan B dengan STPM, Diploma dan Sijil-Sijil setaraf dengan Diploma dan Kumpulan C adalah mereka yang memasuki PA dengan kelayakan SPM serta Sijil yang setaraf atau ke bawah.

Semasa Kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) Kerajaan membahagiakan PA kepada 2 kumpulan, iaitu Kumpulan PnP dan Kumpulan Sokongan, hairannya dalam Kumpulan Sokongan ada pula Sokongan 1 dan Sokongan 2. Kalau dilihat betul-betul masih ada lagi 3 kumpulan dalam PA. Terus terang saya maklumkan bahawa saya tidak faham mengapa pada ketika itu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) beriya-iya untuk mengwujudkan 2 kumpulan sahaja dalam PA, sedangkan secara operationalnya kumpulan yang melaksanakan tugas-tugas masih nyata terbahagi kepada 3 kumpulan. Apakah rasionalnya JPA mengwujudkan hanya 2 kumpulan sahaja? Tindakan JPA ini telah meletakkan skim EO dan skim yang sekumpulan dengannya di tempat yang tidak sepatutnya, di mana skim EO yang sebelum ini adalah kumpulan Pengurus Pertengahan dan merupakan penyelia adalah jambatan penghubung antara Kumpulan PnP dengan Kumpulan Pelaksana. Mana ada pegawai yang menyelia dalam satu kumpulan dengan pegawai yang diselia? Nampak macam tidak cerdik tindakan ini.

Kini KPPA seperti mencadangkan untuk menwujudkan satu lagi kumpulan di atas Kumpulan Pelaksana dengan nama Kumpulan Separa Profesional kalau di dalam LGS kumpulan ini dikenalai sebagai Separa Iktisas. Pendapat peribadi saya kedua-dua kumpulan menunjukkan pegawai-pegawai dalam kumpulan ini mempunyai ilmu, kepakaran, kemahiran dan apa sahaja yang merujuk kepada setengah, separuh, sebahagian profesional. Tapi kalau EO kanan dan EO tinggi pegawai ini mestilah telah mempunyai taraf keprofesionalisme yang penuh, itu sebabnya dalam LGS EO lebih mudah dinaikkan pangkat ke Kumpulan A.

Saya memang teruja nak melihat apa akhirnya cadangan KPPA ini.



No comments: