05 January 2012

Kahwin Sejenis Undang Bala Allah

KAUM Nabi Luth ditimpa azab bencana serta penghinaan daripada Allah s.w.t kerana keingkaran serta sifat melampau mereka mengamalkan hubungan homoseksual. Keadaan itu dilihat muncul kembali pada zaman ini selepas banyak sekali kemungkaran serta salah laku yang dilakukan golongan yang mendahulukan hawa nafsu daripada takut ditimpa azab kemurkaan Allah. Mereka sering kali ‘melaungkan’ kecenderungan mereka itu sebagai hak asasi yang perlu dihormati dan diiktiraf. Semua itu adalah budaya kebebasan dan keterbukaan yang diamalkan di negara Barat yang tidak boleh diterima.

Apa pun alasannya, perkara itu perlu segera ditutup dan disekat. Penonjolan watak songsang itu cukup memalukan, ditambah pula golongan yang melakukan perkara itu mempunyai asas agama yang baik. Perbuatan itu bukan saja salah daripada pandangan agama, malah menjadi kutukan kepada budaya sesebuah masyarakat bertamadun. Memang di negara Barat seperti Amerika Syarikat, perkahwinan seperti itu dibenarkan.Golongan homoseksual diangkat dan dirai dan mereka turut berbangga mengadakan festival berskala besar-besaran seperti ‘gay pride parade’ yang menjadi titik tolak kepada perkembangan gay di seluruh dunia.

Perubahan sosial itu menyebabkan perubahan dalam struktur, bentuk dan fungsi keluarga dan masyarakat. Selain itu, perubahan sosial seperti gerakan untuk memperjuangkan hak asasi individu menyebabkan kewujudan ‘perkahwinan baru’ yang didasari gelojak hawa nafsu semata-mata.

Benarlah, apabila nafsu menguasai diri, akan hilang perasaan bersalah dan malu atas perbuatan terkutuk yang dilakukan. Namun pintu dan peluang bertaubat tidak pernah tertutup buat mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan dan meneruskan hidup berlandaskan fitrah.Ketahuilah, tujuan Allah menciptakan manusia secara berpasang-pasangan itu untuk mereka saling berkenal-kenalan dan menikmati kehidupan sebagai pasangan terbaik dalam mengembangkan zuriat serta keturunan.Perkahwinan antara lelaki dan perempuan itu antara nikmat tertinggi Allah kurniakan kepada hamba-Nya supaya mereka dapat bersenang-senang dan dapat mengecapi bahagia bersama pasangannya. Hakikatnya, jika perkahwinan sejenis diterima dan diamalkan dalam kehidupan, itu amat melampau! Dalam Islam, tidak dinamakan perkahwinan jika ia berlaku antara dua individu yang sama jantinanya. Kemurungan antara kesan fizikal yang ‘terpancar’ daripada amalan perkahwinan sejenis, selain mereka menerima kesan lemahnya tenaga batin dan sentiasa dilihat kurang cergas.

Selain itu, ia pasti menjejaskan susur galur institusi kekeluargaan. Jangan disebabkan terlalu ‘melayan’ perasaan syaitan, mereka memalit kotoran menjatuhkan maruah ahli keluarga dengan kecenderungan songsang.Adakah mereka yang mencari kepuasan daripada perbuatan yang bertentangan dengan norma kehidupan itu akan mendapat ketenangan dan kepuasan yang dicari-cari? Sudah tentu tidak, malah ‘perkahwinan’ itu menjadi punca pupusnya zuriat manusia secara perlahan-lahan. Bagi mereka yang terbabit dengan amalan luar tabii itu, perlu diberikan bimbingan supaya mereka mengerti dan faham kesalahan yang mereka lakukan itu berdosa besar.Allah melaknat perbuatan seks songsang hinggakan kaum dan kawasan yang mereka diami lenyap dari muka bumi ini. Bala Allah tidak mengira sesiapa pun sama ada mereka lakukan atau tidak tetapi ia diturunkan kepada keseluruhan umat.

Lihat saja, bukti yang termaktub dalam al-Quran mengenai kisah kaum Nabi Luth yang dilenyapkan dari muka bumi ini. Kisah itu perlu dijadikan iktibar buat umat masa kini. Dalam kisah Nabi Luth, Allah menurunkan hujan batu dan tanah liat panas berapi serta gempa bumi dengan kekuatan bunyi yang menggegarkan ketika matahari terbit. Islam agama lengkap yang mengajar segala urusan hidup termasuk berkaitan gender. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 36 yang bermaksud: “Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.” Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah menyelar golongan yang songsang iaitu lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. Abdullah bin al-Abbas berkata yang bermaksud: Rasulullah s.a.w melaknat orang lelaki yang berlagak seperti perempuan dan orang perempuan yang berlagak seperti lelaki. (Riwayat Al-Bukhari).Perbuatan yang melampaui batas memberi kesan negatif jika tidak diberi perhatian sewajarnya memandangkan budaya itu boleh merosakkan agama, jati diri, mental, emosi, psikologi, zuriat serta nilai akal dan budi.

Jika budaya itu terus berleluasa, ia akan membuka ruang kepada hubungan yang tidak terkawal, mengagungkan seks serta penyebaran penyakit kelamin yang berbahaya.Allah s.w.t mengingatkan manusia menjauhi amalan seks yang melampaui batas menerusi firman-Nya dalam surah Al-A’raaf, ayat 80-81 yang bermaksud: “Dan (Kami mengutus) Nabi Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya, mengapa kamu melakukan perbuatan keji yang belum pernah dilakukan seorang pun sebelum kamu (di dunia ini). Sungguh, kamu melampiaskan syahwatmu kepada sesama lelaki bukan kepada perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar berkata, segelintir golongan yang mengamalkan amalan keji itu hanya mahu memuaskan nafsu semata-mata.“Pada peringkat ini, syaitan akan mengambil peluang menggalakkan si pelaku melakukan perbuatan terkutuk itu. Selain itu, jika ada umat Islam yang terjebak dengan amalan itu, mereka sudah hilang panduan beragama.

“Perbuatan itu haram hukumnya. Malah jika mereka membenarkan perkara yang diharamkan Allah s.w.t, mereka terkeluar daripada Islam,” katanya.Beliau berkata, di Barat perkahwinan sesama jantina dibenarkan malah diberi pengiktirafan sehingga dalam upacara perkahwinan, mereka dirai dengan meriah.“Dalam Surah Hud ayat 89 yang bermaksud: “Wahai kaumku, janganlah pertentangan antara aku (dengan kamu), kamu tertarik berbuat dosa sehingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh, kaum Hud atau kaum Saleh. Dan kamu Luth tidak jauh daripadamu.” “Kisah kaum Luth itu perlu sentiasa dijadikan ingatan dan pengajaran. Nabi tidak mengaku umat jika seseorang lelaki cenderung atau minat kepada lelaki,” katanya.
Katanya, penting pendidikan dari kecil dengan mempersiapkan mereka dengan didikan agama dan panduan mengenai hukum halal dan haram dalam Islam.“Memang tepat ungkapan mencegah lebih baik daripada merawat.“Bagi mereka yang pernah melakukan kesilapan, kembalilah bertaubat. Itulah jalan dan cara terbaik selain dampingi individu yang boleh dipercayai,” katanya.Beliau berkata, pada zaman sekarang pelbagai cara dan saluran untuk membantu golongan yang tersasar jauh itu kembali semula ke jalan yang benar dan diredai Allah.“Setiap individu berperanan bagi memastikan ruang dan lubang maksiat untuk golongan ini bermaharajalela disekat dan ditutup serapat-rapatnya.

“Pihak berkuasa perlu sentiasa memantau dan menyediakan undang-undang berkesan supaya golongan ini sedar kesalahan yang mereka lakukan itu mengancam institusi kekeluargaan, agama, masyarakat dan negara,” katanya.Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zain berkata, golongan yang ingin menikmati hidup berkeluarga bersama pasangan sejenis adalah manusia yang rapuh imannya.“Walaupun ada yang mendapat pendidikan tinggi, dalam hati tiada jati diri sehingga hati mudah terpengaruh.“Fikirkanlah apa yang mereka sudah lakukan ke atas keluarga yang turut menanggung perasaan malu dan kecewa atas tindakan dan keputusan yang mereka buat.“Jika perbuatan itu tetap dilakukan, perumpamaan bukan lagi seperti menconteng arang di muka kaum keluarga tetapi ke tahap mencalit najis, malah mereka manusia tidak waras,” katanya.

Sumber:

No comments: