06 April 2013

Kisah Abu Talha al-Ansari - Part 2

Saya sambung cerita tentang Abu Talha...

Selepas perkahwinan itu, Abu Talha menjadi pengikut ikhlas kepada kepercayaan Islam, dan mempertaruhkan semua tenaga dan kebolehan beliau untuk agamanya. Beliau adalah antara 70 perwakilan yang berikrar kesetiaan mereka kepada Rasulullah saw di al-Aqabah, bersama-sama dengan isterinya, Ummu Sulaym.

Beliau juga adalah salah seorang daripada 12 lelaki yang dilantik oleh Rasulullah sallallahu alayhe wa sallam, sebagai pemimpin masyarakat Islam di Madinah. Kemudian dia berjuang dengan berani bersama dengan Rasulullah dalam semua pertempuran. Pertempuran yang paling berani oleh beliau adalah dalam peperangan Uhud bersama-sama dengan Nabi saw.

Cinta dan kesetiaan Abu Talha dirasai oleh Nabi sallallahu alayhe wa sallam. Dia tidak pernah bosan melihat, berbual dan bersama dengan Nabi sallallahu alayhe wa sallam, dia akan duduk di hadapan Nabi saw dan berkata: "Saya akan mengorbankan jiwa saya sendiri demi jiwa tuan, dan melindungi wajah tuan daripada bahaya dengan muka saya sendiri." Kata-katanya terbukti semasa peperangan Uhud di mana apabila semangat umat Islam jatuh apabila Nabi, sallallahu alayhe wa sallam tidak kelihatan di sekitar. Pada masa itu Abu Talha bersama dengan Rasulallah saw, tentera kafir mula menyerang beliau dari setiap arah. Sebatang giginya telah patah, dahinya luka, dan bibir beliau dipotong. Saat ini tersebar berita bahawa Rasulallah telah dibunuh, ini merupakan tipu daya yang dilakukan oleh musuh untuk mematahkan semangat dan keyakinan umat Islam.

Tipu daya musuh itu memang berhasil, apabila tentera Islam mendengar khabar angin tentang kewafatan Nabi saw, kebanyakan mereka lari dari medan perang, meninggalkan medan perang kepada musuh-musuh Allah. Hanya sekumpulan kecil orang Islam kekal dengan Nabi sallallahu alayhe wa sallam, sudah tentu salah seorang yang paling menonjol daripada mereka adalah Abu Talha sendiri. Abu Talha berdiri teguh di hadapan Rasulullah sallallahu alayhe wa sallam, melindungi Rasulallah dengan badannya dengan sendiri, seolah-olah dia adalah tembok yang menghalang sesiapa dari menyerang Nabi saw.

Kemudian Abu Talha memasang busurnya, beliau amat terkenal dengan pemanah tepat yang sentiasa dapat memanah sasarannya dengan tetap dengan menggunakan satu anak panah sahaja. Dengan berbekalkan senjata itu, beliau berdiri mempertahankan Rasulullah saw, menumbangkan musuh-musuh kafir satu demi satu. Diceritakan bahawa Nabi sallallahu alayhe wa sallam, mencuba untuk melihat serangan Abu Talha terhadap musuh yang ramai, tetapi setiap kali baginda cuba menjengok setiap kali itu juga Abu Talha menghalang baginda kerana bimbang akan  keselamatan baginda. Begitulah sayang dan setianya Abu Talhah kepada baginda Rasulallah saw. Abu Talhah pernah berkata: "Ya Rasulallah, saya lebih suka tekak dan dada saya sendiri ditembak dan saya akan mengorbankan diri saya untuk tuan." Begitulah kisahnya Abu Talha yang akan sentiasa berdiri untuk mempertahankan Rasulullah.

Selain daripada keberaniannya, Abu Talha yang kaya raya ini juga adalah seorang yang pemurah, beliau akan membantu apa sahaja dengan harta bendanya demi agama dan Rasulallah saw. Abu Talha mempunyai kebun yang ditanam dengan plum dan anggur. Ia telah diketahui ramai bahawa kebunnya mempunyai pokok-pokok yang terbaik di Madinah, di mana hasil buah-buahan yang terbaik serta air yang paling tulen. Pada suatu hari Abu Talha mendirikan solat di bawah naungan pokok di kebunnya, perhatian beliau telah dicuri oleh siulan burung hijau dengan paruh merah dan kaki berwarna terang. Burung tersebut mula melompat riang dari salah satu dahan ke dahan yang lain. Tingkah laku burung itu diperhatikan oleh Abu Talha dengan minat sehingga beliau terlupa akan ibadat yang sedang dilaksanakan olehnya. Abu Talha tidak ingat berapa rakaat dia telah bersolat, adakah 2 atau 3 rakaat? Dia benar-benar tidak boleh ingat.

Cepat-cepat Abu Talha menyelesaikan solatnya dan dia terus mengadap Rasulullah, sallallahu alayhe wa sallam dan menceritakan tentang apa yang berlaku. Beliau menyatakan kepada baginda Rasulallah saw bahawa ibadatnya telah terganggu disebabkan oleh pokok-pokok rendang dusun beliau dan burung yang menyanyi. Kemudian Abu Talha berkata: "bersaksilah ya Rasulallah, sallallahu alayhe wa sallam, bahawa saya akan sedekahkan dusun itu untuk jalan Allah, gunakan ia dalam apa-apa cara pun untuk jalan Allah dan Rasulallah sallallahu alayhe wa sallam.

Sejarahwan zamannya melaporkan bahawa Abu Talha hidup selama 30 tahun selepas kewafatan Nabi sallallahu alayhe wa sallam. Allah mengurniakan beliau dengan umur yang agak lama, dan selama hidupnya itu beliau tidak jemu-jemu mengejar jihad ke jalan Allah. Beliau juga memperjuangkan kebebasan bagi memastikan Islam mudah diamalkan. Semasa pemerintahan Khalifah Uthman ibn Affan, pemerintah Islam memutuskan untuk mengadakan ekspedisi ketenteraan melalui laut. Mendengarkan berita itu tanpa membuang masa, Abu Talha membuat persiapan untuk menyertai tentera Islam tersebut, memandangkan usianya yang telah tua, anak-anaknya terpaksa menghalangnya dan mreka berkata: "Bapa, semoga Allah memberi rahmat kepada bapa, tetapi bapa tua, dan telah terbukti bahawa bapa telah menyertai banyak pertempuran bersama Rasulallah sallallahu alayhe wa sallam, Abu Bakar, dan Umar. Mengapa bapa tidak bersara sahaja, dan membolehkan kami untuk pergi ke pertempuran mengantikan bapa? " Abu Talha berkata kepada anak-anaknya "Demi Allah dan Kuasa-Nya yang menetapkan segalanya sama ada ringan atau berat bersenjata, sama ada tua atau muda, dan menegakkan Islam tidak menetapkan pada sesuatu umur" Dengan kata-kata itu, Abu Talha menyertai tentera Islam tersebut.

Semasa berada di laut, Abu Talha telah jatuh sakit dan tidak lama kemudian dia meninggal dunia. Rakan seperjuangnya mencari sebuah pulau yang menkebumikan jenazahnya tetapi mengambil masa selama 7 hari sebelum menjumpai kawasan yang sesuai. Semasa jenazahnya hendak disempurnakan, tubuh Abu Talha langsung tidak menunjukka perubahan, seolah-olah beliau sedang tidur dengan selesa. Akhirnya di tengah-tengah laut jauh dari keluarga dan tanah airnya, Abu Talha telah dikebumikan. Tentu beliau tidak merasakan sedih apabila tempat berehatnya yang terakhir, beliau terpaksa berada begitu jauh dari rumahnya dan orang-orang tersayang. Namun baginya apa yang penting adalah dia begitu dekat dengan Allah swt.

Sumber: Ummah Forum

No comments: