27 April 2012

KISAH MENGENAI DAJJAL

Bayi malang ini sudah tentunya bukan dajjal 
Saya pernah membaca beberapa artikel tentang tanda besar akhir zaman antaranya tentang kemunculan dajjal, keluarnya ya'jud ma'jud, turunnya Nabi Isa a.s dan lahirnya Imam Mahdi ditambah dengan kelahiran seorang bayi bermata satu di Israel beberapa tahun yang lepas menjadikan saya dan dunia menjadi gempar. 


Ramai yang membuat ramalan bahawa inilah dajjal yang dijanjikan Allah melalui beberapa hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan dajjal di akhir zaman memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua orang dan melimpasi batas agama. Apatah lagi kini dunia hampir berada di hujung jalan. Tanda-tanda kecil kiamat sudah kerap kita lihat malahan sudah ditunjukkan keseluruhannya. Kini hanya menunggu keluarnya tanda-tanda kiamat yang besar.

Bagi masyarakat di nusantara, Dajjal sinonim dengan makhluk yang memiliki mata satu yang tumbuh di dahi. Daripada gambaran ini maka lahirlah cerita-cerita rakyat, malangnya gambaran seperti itu tersasar dari penerangan yang telah ditinggalkan oleh Rasulallah saw. Dalam post saya lebih awal, ada saya nyatakan sifat-sifat dajjal dan perbincangan mengenai keturunannya. Sila cari dan baca dulu.

Dajjal Disebut Dalam Hadis
Al-Quran tidak ada menceritakan tentang perihal dajjal, walau bagaimanapun kisah dajjal banyak disebut di dalam hadis Nabi yang sahih yang diriwayatkan oleh perawi-perawi hadis yang ternama. Cerita kemunculan dajjal adalah merupakan salah satu tanda besar hari kiamat. Namun begitu terdapat banyak juga hadis yang palsu mengenai dajjal akibat dari salah faham masyarakat.

Menurut pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd. Othman, banyak hadis yang salih menceritakan perihal dajjal yang lengkap termasuk untuk mengelakkan fitnah dajjal. Katanya berdasarkan dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, “Sesungguhnya dajjal adalah seorang lelaki yang pendek, berbadan gempal dan matanya rosak (mengecut). Kalau kamu masih ragu-ragu tentang Tuhan kamu. Sesungguhnya Tuhan kamu tidak rosak matanya.

Dari situ sudah jelas bahawa dajjal adalah manusia biasa yang diberikan Allah kekuasaan luar biasa. Setiap nabi yang diutus akan memberi peringatan berkenaan dajjal yang matanya rosak dan bersifat pembohong. Tambahnya lagi, dajal adalah manusia yang dikurniakan Allah keistimewaan kepadanya. Dajjal dipercayai telah hidup sejak zaman Nabi Muhammad saw lagi. Dia digelar al-Masihi ad-dajjal kerana matanya yang rosak dan kebolehan luar biasanya menghidupkan orang mati.

"Di dahinya tertulis dalam tulisan Arab perkataan, ‘Kaf-Fa-Ra’ (kafir). Tulisan itu boleh dibaca oleh semua orang Islam yang mengucap syahadah sama ada dia pandai membaca atau tidak.  Apa yang pasti dajjal adalah manusia yang ditangguhkan ajalnya oleh Allah, sehingga suatu masa dengan keizinan Allah dan dia akan muncul semula untuk menguji keimanan manusia,” jelas Fadlan.

Manakala hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah di dalam sahih Muslim bermaksud, “Dajjal ialah orang yang buta mata sebelah kirinya, lebat rambutnya serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya itu merupakan syurga dan syurganya pula adalah neraka.”

Apa Keistimewaan Dajjal

Allah memberikan dajjal beberapa keistimewaan untuk menguji keimanan manusia ketika di akhir zaman nanti. Semua itu telah dijelaskan di dalam hadis-hadis sahih. Di antara keistimewaannya adalah:


Inikah Tasik Tabariah?
1.   Menghidupkan orang mati; 

2.   Syurga dan Neraka. Dajjal akan menggunakan kedua-duanya untuk menguji keimanan orang Islam. Apa yang dajjal berikan sebagai syurga (air) sebenarnya adalah neraka. Dan apa yang diperlihatkan sebagai neraka (api) sebenarnya adalah syurga.

3.   Dajjal akan pergi ke daerah yang kemarau, kebuluran dan hasil dagangan tidak menjadi, di sana dajjal akan menurunkan hujan sekiranya penduduknya mengaku beriman kepada dajjal. Daerah itu akan kembali subur dan hasil dagangan melimpah ruah. Manakala bagi daerah yang penduduknya tidak mahu mengaku dajjal sebagai tuhan, akan berada di dalam kebuluran, kekeringan, kemarau dan kesusahan.
Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud,“Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu nanti?” Rasulullah menjawab, “Mereka akan menjadi kenyang dengan tahlil, takbir, tasbih dan bertaubat. Zikir-zikir itu yang akan menjadi makanan mereka.”

4.   Dajjal boleh menjelajahi seluruh pelosok bumi di dalam masa 40 hari dengan kepantasan yang luar biasa. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan, “Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan perjalanannya di muka bumi ini? Nabi menjawab: “Kepantasan perjalanannya adalah seperti Al-Ghaist (hujan atau awan) yang dipukul angin kencang.” Hanya dua tempat saja yang tidak boleh dimasuki oleh dajjal iaitu Mekah dan Madinah.

Menurut Fadlan lagi, Nabi mengingatkan orang yang beriman supaya menghindarkan diri dari berjumpa dengan dajjal. Malah Nabi bersabda, hanya seorang lelaki dari Madinah yang dapat berdepan dengan dajjal. Lelaki itu akan mengatakan bahawa kamu adalah dajjal lalu lelaki itu dibunuh oleh dajjal. Kemudian dajjal menghidupkan semula lelaki itu. Lalu dajjal berkata tidakkah kamu percaya kepada aku. Lelaki itu menjawab, “Tidak, melainkan bertambah keimananku kepada Allah.” Kemudian dajjal cuba membunuh lelaki itu tetapi telah lelaki tersebut diselamatkan oleh Allah.

Bila dajjal Dilahirkan

Menurut Fadlan, dajjal telah ada di muka bumi ini sejak zaman Nabi lagi. Ia telah dipenjarakan di sebuah pulau seperti mana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah Qais, Nabi menceritakan tentang Tamin ad-Dahri yang beragama Kristian tetapi telah memeluk Islam. Tamin pernah bercerita padaku tentang satu perkara yang pernah aku ceritakan kepada kalian mengenai al-Masihi ad-dajal.

Tamin telah berlayar bersama 30 orang anak kapalnya. Tiba-tiba kapalnya dipukul rebut dan mereka terdampar di sebuah pulau. Di pulau itu ada seekor binatang yang lebat bulunya hingga tidak dapat dikenal yang mana ekor dan kepalanya. Binatang itu yang dinamakan al-Jassasah (si pencari berita). Di situlah bermulanya dialog antaraTamim dan al-Jassasah. (Kawan-kawan, memandangkan artikel ini saya ambil dari Majalah - maka cerita ini dipaparkan buat kali ke 3 dalam blog saya)

Al-Jassasah: Wahai manusia pergilah kamu berjumpa dengan lelaki itu.

Lalu Tamim dan kumpulannya masuk ke dalam hutan dan berjumpa dengan manusia yang dimaksudkan. Lelaki itu mempunyai saiz badan yang besar daripada manusia biasa, dirantai dengan rantai yang cukup kuat, tangannya diikat ke leher, di antara lutut dan buku lalinya dirantai dengan besi.

Tamim: Siapakah kamu?

Dajjal: Kamu akan tahu siapa aku nanti. Tapi siapa kamu?

Tamim pun jelaskan siapa dia sebenarnya dan kisah kapalnya yang dipukul badai lalu terdampar di pulau itu.

Tamim: Kami adalah orang Arab, kami sesat.

Dajjal: Beritahu aku tentang kebun-kebun kurma di Bysan. Adakah ia sedang berbuah?

Tamim: Ya.

Dajjal: sekejap lagi kebun itu tidak akan berbuah lagi. Beritahu aku tentang tasik Tabariah, adakah masih banyak airnya?

Tamim: Airnya banyak lagi.

Dajjal: Tidak lama lagi airnya akan berkurangan dan kering. Beritahu aku tentang mata air Zughar. Adakah masih banyak airnya dan digunakan oleh penduduk untuk bertani.

Tamim: Banyak dan masih digunakan oleh penduduk.

Dajjal: Tidak lama lagi air itu akan kering. Ceritakan padaku tentang nabi Arab yang buta huruf. Sudahkah dia keluar dari Mekah dan menetap di Madinah. Adakah orang Arab sudah memeranginya dan kemudian mentaatinya?

Tamim: Dia sudah keluar dari Mekah dan menuju Madinah. Orang Arab telah mentaatinya.

Dajjal: Betulkah itu? Sesungguhnya mentaatinya adalah lebih baik. Aku akan mengatakan pada kamu tentang diri aku. Aku adalah al-Masihi ad-dajjal, sesungguhnya masanya sudah semakin hampir aku akan diizinkan untuk keluar. Aku akan berjalan di muka bumi dan masuk ke seluruh daerah di dalam tempoh 40 hari kecuali Mekah dan Madinah. Kedua-dua negeri itu dilarang bagiku, setiap kali aku ingin memasukinya aku akan diadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan tajam menghambatku.

Di Mana Dajjal Tinggal?

Tentu kita tertanya-tanya di manakah pulau yang dijumpai oleh Tamim. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw menerusi sabdanya yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa dajjal berada di laut Syam dan laut Yemen… akan datang dari arah Timur (lalu baginda menunjukkan tangannya sebelah Timur).” – Riwayat Muslim.

Namun begitu terdapat satu lagi hadis yang menunjukkan dengan tepat dari mana dajjal keluar dan selepas itu akan disertai oleh pengikutnya yang terdiri dari orang perempuan dan kanak-kanak. Daripada Abu Bakr al-Siddiq, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Dajjal akan muncul ke bumi dari arah Timur bersama Khurasan.” Riwayat al-Tarmizi.

 Di dalam hadis yang lain pula daripada Anas bin Malik, bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dajal akan keluar dari kota Yahudi, Khurasan bersama 70,000 Yahudi dari Isfahan.” – Riwayat Imam Ahmad.

 Menurut Fadlan, "ketika keluarnya dajjal, ramai perempuan dan kanak-kanak akan menjadi pengikutnya. Sehinggakan orang lelaki terpaksa bertindak mengikat ahli keluarga perempuan mereka supaya tidak menjadi pengikut dajjal. Menerusi penyelidikan yang saya lakukan juga, didapati bahawa air tasik Tabaria yang terletak di sempadan Syria-Palestin dan mata air Zughar di Selatan Syria sudah semakin berkurangan". Adakah itu bermakna dajjal sudah semakin hampir dengan tempoh pembebasannya. Jika benar apakah persediaan kita untuk menghadapinya?

Jelas Fadlan lagi, Rasulullah saw telah memberikan beberapa tips kepada umatnya untuk mengelakkan fitnah dajjal, iaitu:

1.   Menghafal 10 ayat pertama surah al-Kahfi; dan

2.  Membaca doa ini sebelum salam setiap kali solat, “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahanam, azab kubur, ujian hidup dan mati dan kedahsyatan ujian al-Masihi ad-dajal.”.


Dajjal akan menjelajah seluruh dunia dan akan berakhir di Baitulmaqadis dan dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Seperti mana yang disebut di dalam sahih Muslim, “Dajal akan dibunuh oleh Nabi Isa, selepas Nabi Isa dan umat Islam bersolat di belakang al-Imam Mahdi, mereka berhadapan dengan dajjal dan tenteranya. Apabila dajjal melihat Nabi Isa a.s, dajjal akan mula cair. Akan tetapi Nabi Isa a.s dapat membunuhnya dengan menikamnya.”

Sumber: Al-Islam keluaran November 2010

No comments: