Umrah Mac 2013 yang lalu saya dan emak mengikutinya selama 12 hari, boleh dikatakan jemaah umrah yang berada di kedua-dua kota memang ramai, sukar juga untuk mendapatkan ruangan solat di dalam masjid-masjid yang kami lawati. Semasa tawaf dan saie juga jemaah memenuhi ruang-ruang berkenaan. Setelah berbincang dengan emak, saya mencadangkan supaya emak melakukan tawaf dan saie umrah dengan mengupah seseorang untuk menolak mak dengan menggunakan kerusi roda.
Memandangkan pergerakan kami tidak sama, jadi saya terpaksa berpisah dengan emak. Mengikut kata Ustaz - mutawif kami, biasanya kerja tawaf dan saie yang diupah akan disempurnakan dengan cepat sekali. Tawar pertama saya lakukan dengan seorang sahabat baru iaitu Faezah dan ibunya.
Faezah dengan ibunya selepas kami sempurna melaksanakan tawaf umrah kami yang pertama. Masa ini sudah tengah malam. Namun begitu jemaah masih lagi terlalu ramai dan keadaan di hadapan Kaabah agak sesak juga.
Emak sedang berehat sambil penunggu Pak Arab untuk menolak emak mengerjakan tawaf dan saie umrah yang ketiga. Kali ini saya menyertai emak kerana kali saya terseliuh akibat terpijak lubang semasa balik dari solat subuh. Rupanya kita boleh melaksanakan tawaf dan saie dengan mengupah orang walaupun keadaan kita sihat walafiat. Patutlah dari dulu lagi saya pernah melihat ramai orang yang sihat walafiat mengubah orang menolak mereka.
Bersaie bersama-sama dengan jemaah dari pelbagai negara. Saya selalu melaksanakan saie seorang diri dan biasanya saya lakukan di tingkat bawah, di mana tingkah bawah adalah merupakan tingkat yang paling ramai pengunjung. Kali ini saya mengambil masa yang lama iaitu hampir setengah jam juga untuk menyempurnakan saie 7 kali dari Safa ke Marwah. Kalau dulu pada tahun 2006 saya mampu menyempurnakannya dalam masa 15 minit sahaja. Maklumlah usia pun dah meningkat......
Sambil berehat saya merakamkan gambar saya di Bukit Safa sebelum meneruskan saie yang seterusnya. Pada kali pertama saya ke sini, Bukit Safa ni tidak dikepung, oleh itu ramai orang yang memanjat dan duduk-duduk di atas batunya. Kini bukit ini telah dikepung dengan cermin.
No comments:
Post a Comment