Di hari akhir-akhir kami di sini, seperti juga di Madinah saya memaklumkan kepada emak untuk bersolat sunat di dataran Masjidil Haram sahaja. Solat-solat lain kami masih lagi melaksanakannya di dalam Masjidil Haram, hanya kini kaum wanita tidak dibenarkan bersolat di tingkat 1 di mana kita boleh/ berpeluang memandang Kaabah.
Untuk solat di dalam Masjidil Haram, kaum wanita diarah untuk bersolat di tingkat bawah, kawasan yang sangat luas dan sangat selesa kerana hanya untuk wanita sahaja. Kalau bernasib baik kita mungkin akan dapat tempat di kawasan belakang tingkat 1, tetapi masih lagi tidak dapat memandang Kaabah. Kalau tidak silap saya 2 kali saya, emak dan sahabat dapat solat di sini tetapi semakin hampir masuk waktu, semakin itulah jemaah datang berduyun-duyun dan berhimpit-himpit.
Lain kisahnya kalau bersolat di halaman, kawasan yang sangat luas di sekeliling Masjidil Haram, kita boleh pilih di mana nak solat, di sini juga kawasan solat lelaki dan wanita diasingkan, walaupun masih ada lagi pasangan yang cuba bersolat bersama, tetapi pegawai bertugas mengarahkan jemaah lelaki beredar dari sini. Kalau dulu semasa tahun 2006, menjadi pemandangan biasa apabila lelaki dan wanita bercampur baur dalam 1 saf, tetapi kini keadaan semakin tersusun dan teratur.
Beginilah tenangnya kawasan halaman Masjidil Haram setiap kali selepas selesai waktu solat. Melihatkan foto ini, saya terasa macam nak terbang je ke sana.....
Sejurus sebelum azan subuh berkumandang, jemaah wanita dan mula ramai, dan masa ini jika untuk mencari ruang untuk solat agak sukar sedikit terutamanya yang datang berkumpulan kerana jika ada pun ruang untuk seorang dan di celah-celah saf. Untuk kawan-kawan yang akan ke sana nanti tidak mengapa kalau kita pergi awal sedikit untuk keselesaan dalam mengerjakan ibadat.
Bilalah lagi saya akan kembali ke sini? semoga dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki agar setiap tahun paling kurang sekali saya akan kembali... Ameen
No comments:
Post a Comment