Walaupun tak semua ahli keluarga saya dapat meraikan hari bahagia ini bersama-sama, namun bagi kami yang telah ada di kampong siap sedia untuk menyertai umat Islam yang lain untuk menunaikan Solat Sunat Aidil Adha tahun ini. Yang sebenarnya memang kurang meriah bila ada ahli keluarga yang tidak dapat pulang kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, insyallah tahun hadapan jika dipanjangkan umur mungkin kami dapat bertemu kembali. Kelihatan Amir (anak Ain) tidak ketinggalan menyertai kami.
Suasana di luar Masjid, menjadi meriah dengan kumjungan dari pelbagai peringkat penduduk di Felda Tun Abdul Ghaffar Bukit Senggeh. Saya suka dengan suasana begini, walaupun saya tidak mengenali semua penduduk di sini, tetapi dengan bersalaman dengan mereka yang sempat ditemui sudah memadai untuk saya. Maklumlah kalau tidak kerana ibadat ini sukar sekali untuk bersua muka.
Sempat juga saya dan adik-adik saya bergambar di dalam Masjid selepas selesai Solat Sunat Aidil Adha. Walaupun datang lewat, nasib kami sangat baik kerana masih ada beberapa lagi tempat kosong untuk kami. Walaupun barisan kami di barisan kedua akhir, namun kami tetap bersyukur kerana kami masih lagi dapat bersolat di dalam bangunan Masjid. Saya dan adik saya Ain.
Tidak seperti di bahagian tempat lelaki di mana mereka terpaksa bersolat di tepi tangga dan di halaman masjid. Beginilah keadaannya setiap kali menyambut Hari Raya Aidil Fitri maupun Aidil Adha, anak-anak yang bekerja di luar kampong akan balik beraya bersama keluarga, jadi tidak hairanlah kalau masjid penuh. Foto atas saya bersama dengan adik ipar saya Shima (isteri Adnan) selepas habis solat Aidil Adha.
Sempat berkenalan dengan 2 gadis sunti ni di Masjid, umur mereka lebih kurang dalam lingkungan 6 dan 10 tahun, rasanya anak orang kampong ini juga. Mulanya mereka agak malu-malu tetapi akhirnya menjadi peramah, amboi manisnya senyuman mereka, senyuman suci kanak-kanak yang bersih jauh dari dosa - Salam pengenalan dan Selamat Hari Raya.
No comments:
Post a Comment