13 November 2011

Persahabatan: Aku dan Dia.......

Allah menjadikan manusia bukan untuk hidup sendirian, manusia perlu hidup dalam masyarakat. Begitu juga dengan beberapa haiwan yang juga tidak boleh hidup sendirian, kadang-kadang kita bertemu dengan manusia yang menjadi sahabat baik kepada haiwan seperti kuda, anjing, kucing dan sebagainya. Ada juga manusia yang lebih percaya kepada persahabatan dengan haiwan daripada manusia, apabila pernah dikecewakan oleh sahabat manusia mereka. Janganlah kita menjadi sahabat manusia yang ditinggalkan, jadilah seorang sahabat yang akan dirindui apabila jauh di mata dan didoakan apabila kembali ke rahmatulallah.


Oleh yang demikian apabila kita bersahabat, kita perlu memahami diri sahabat kita, tidak semua yang kita suka akan menjadi kesukaan sahabat kita itu. Apa yang sangat penting adalah jangan sekali-kali kita menikam sahabat kita dari belakang, percayalah bahawa walau bagaimanapun disimpan rahsia kecurangan tersebut, lambat laun Allah akan menunjukkan belang tersebut. Cuba fikir apa agaknya yang akan sahabat kita rasa apabila dia mengetahui perkara itu. Rasa marah yang timbul mungkin sedikit sahaja jika dibandingkan dengan rasa sedih dan pedih apabila dikhianati. Kalau dia seorang rakan yang masih ada rasa sayang kepada kita, dia hanya menjauhkan diri sahaja, sebaliknya jika marah menguasai diri perkara buruk akan terjadi. Akhirnya kedua-dua pihak akan kerugian dan kehilangan. Rugi rasanya kasih sayang yang dipupuk sekian lama berakhir begitu sahaja. Jadi sahabat-sahabatku jagalah persahabatan tersebut sebaik mungkin - jaga hatinya seperti yang kita harapkan dia menjaga hati kita.

No comments: