Alhamdulillah hari ini semua umat Islam seluruh dunia telah berjaya menyempurnakan ibadat puasa di bulan Ramadan. kalau ada umur insayallah kita akan berjumpa lagi dengan Ramadan tahun hadapan.
Sama-sama kita menadah tangan memohon Allah meningkatkan ketaqwaan kita tanpa persoalan dalam melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t di dunia dan di akhirat.
Kita berada di dalam kerugi jika kita tidak menyedari atau terlupa bahawa puasa di bulan Ramadan adalah ibadat khusus bagi Allah s.w.t, khusus untukNya dan Dia akan membalasnya. Rasulullah s.a.w bersabda sepertimana tersebut sebuah hadis qudsi : Bermaksud : "Setiap amal ibadat anak Adam itu adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya."
Berasaskan hadis ini jelas menunjukkan kepada kita, bahawa ibadat ini dengan ibadat-ibadat yang lainnya tidak sama di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memberi ganjaran puasa itu dengan balasan mengikut kualiti puasa kita dan sejauh manakah keikhlasan dan kesempurnaan kita melaksanakannya. Oleh yang demikian, ganjaran bagi orang yang berpuasa itu di sediakan sebuah pintu khusus di dalam Syurga nanti yang di namakan "Al-Raayan". Rasulullah s.a.w bersabda : Bermaksud : "Di dalam Syurga ada satu pintu yang di panggil "Al-Raayan", yang di khususkan untuk orang yang berpuasa melaluinya, setelah mereka masuk pintu itu akan di tutup, tiada lagi orang yang akan masuk melalui pintu tersebut". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Lebih beruntung lagi bagi orang yang berpuasa dan dapat beribadat di malam Al-Qadr (malam agung dan mulia), iaitu satu malam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya menandingi seribu bulan malam-malam biasa. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadr itu, tahukah kamu apakah malam Qadar itu?, malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan". (Surah Al-Qadar:1-3)
Setelah kita berpuasa, kita perlulah bermuhasabah dan merenung kualiti puasa yang kita lakukan. Adakah rasa keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat atau masih seperti sebelumnya.
Kalaulah ini yang dicapai,bererti tanda amalan kita di terima oleh Allah s.w.t, samalah seperti ibadat seorang yang mengerjakan haji, jika ibadatnya selepas mengerjakan haji bertambah baik, itu menjadi tanda penerimaan Allah s.w.t terhadap hajinya itu dan ia beroleh Haji Mabrur. Sasaran berpuasa ialah untuk mendapat puasa yang di terima oleh Allah s.w.t. Jika tidak ada peningkatan antara ibadat sebelum dan selepasnya, ini jelas menunjukkan ibadat puasa kita tidak sampai ke matlamatnya.
Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah s.w.t menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran-ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri),
Rasulullah s.a.w bersabda : Bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun". (Hadis riwayat Muslim)
Berpuasa sunat Syawal itu sangat di tuntut. Rebutlah peluang yang berada di hadapan kita itu nanti, sebagai menampal kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa kita pada bulan Ramadhan, amalan sunat ini selalunya untuk mencukupi yang kurang di dalam yang fardhu. Ia boleh dikerjakan berselang seli di dalam bulan Syawal, tetapi mengerjakannya berturut-turut selepas hari raya pertama adalah lebih baik.
Berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda, oleh itu di samakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam hari di bulan Syawal itu di samakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa, maka dengan itu genaplah setahun.
Ini diperjelaskan lagi dengan sebuah hadis riwayat daripada Tsauban, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu di samakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal itu di samakan dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu jika di campurkan menjadi genap setahun".
No comments:
Post a Comment