Assalamualaikum dan selamat berpuasa sahabat-sahabatku dan salam sejahtera buat sahabat-sahabatku yang belum jumpa jalan kembali.... Ini 1 lagi artikel mengenai persediaan temuduga yang boleh diambil pelajaran daripadanya. Silakan baca...
Oleh Hazlinda Hamzah
PETALING JAYA, 7 Julai (Bernama) -- Dengan beratus-ratus orang memohon untuk mengisi jawatan yang sama, termasuk mereka yang baru menamatkan persekolahan, graduan dan mereka yang ingin bertukar majikan, peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga adalah tipis. Dan walaupun mereka dipanggil untuk menghadiri temuduga, melepasi proses saringan pula begitu sukar sekali.
Sementara majikan mempunyai begitu banyak pilihan dalam mengisi kekosongan, mereka yang berharap untuk diterima bekerja sering kali kecewa. Di mana silapnya?
Sekarang ini, persiapan rapi perlu serta kebijaksanaan dalam memohon jawatan dan melepasi proses saringan. Bagaimanapun, nasib juga memainkan peranan kerana beratus-ratus orang yang memenuhi segala syarat memohon jawatan yang sama.
PENAMPILAN PENTING
Tanggapan awal penting. Ini satu daripada syarat penentu yang pencari kerja perlu tahu sama ada dalam memohon jawatan atau menghadiri temuduga. Tanggapan awal ini bermula dengan surat permohonan yang ringkas, menyeluruh dan menarik yang akan menarik perhatian majikan dan menambah peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga.
Tetapi sekarang ini majikan lebih suka mengadakan temuduga terbuka dan dengan itu surat permohonan tidak lagi perlu.
Bagaimanapun, syarat itu kekal. Untuk meyakinkan bakal majikan, penampilan fizikal semasa menghadiri temuduga yang menunjukkan tanggapan pertama adalah penting.
Jadi calon-calon yang menghadiri temuduga dinasihatkan berpakaian elok - bersih dan kemas - sesuai dengan tuntutan jawatan dan status syarikat yang mereka mahu bekerja.
“Setiap kali anda berjalan masuk ke bilik temuduga, tanggapan awal tercetus secara automatik. Panel temuduga akan meneliti pakaian anda,” jelas Sujitha Rajaratnam, Pengarah Sumber Manusia Akzo Nobel Decorative Paints Malaysia baru-baru ini.
Tanggapan pertama ini membawa impak segera. Daripada pakaian yang dipakai, sehinggalah pada aksesori pelengkap dan cara seseorang itu berjalan atau duduk, akan diteliti apabila calon memasuki bilik temuduga.
“Semua orang bermula dengan cara yang sama, dan begitu juga saya. Saya pernah melihat mereka yang berpakaian elok dan mereka yang tidak kisah dengan faktor penampilan semasa temuduga. Mereka seharusnya tahu yang seluar jeans dan selipar tidak boleh dipakai untuk temuduga, katanya.
Pakaian kemas perlu diiringi sikap yang betul.
"Sikap yang betul adalah faktor penting bagi majikan dalam melakukan pilihan yang tepat,” jelas Sujitha lagi.
KOMUNIKASI LEBIH BAIK DIPERLUKAN
Sujitha yang terbabit dalam proses merekrut petugas, mengutarakan satu kelemahan serius yang sering diperhatikan pada calon semasa temuduga.
"Saya mendapati kelemahan dalam kemahiran berkomunikasi dalam kebanyakan temuduga yang dijalankan hari ini. Dan memperbetul kelemahan ini adalah penting. Kami sentiasa mencari bakat-bakat baru dan sesiapa sahaja boleh menikmati laluan kerjaya yang hebat di Akzo Nobel,” katanya.
"Sebagai pengamal HR, saya akan memberi penekanan yang lebih kepada kemampuan calon-calon untuk meyakinkan bakal majikan mereka apabila berkomunikasi semasa sesi temuduga,” kata Sujitha.
Calon-calon perlu meyakinkan panel yang membuat pemilihan akan kemampuan komunikasi mereka semasa temuduga.
Pemerhatian Sujitha juga menunjukkan graduan institut pengajian tinggi swasta nampak lebih terbuka dan menonjol semasa temuduga tidak seperti rakan-rakan mereka daripada institut pengajian tinggi awam.
“Saya mahu lihat lebih ramai graduan daripada universiti-universiti awam menunjukkan kemampuan mereka petah bercakap termasuk memberikan pandangan dan pendapat mereka terhadap perkara-perkara tertentu.
DOKUMEN
Semasa temuduga, ringkasan butiran peribadi atau curriculum vitae (CV) mesti disediakan untuk dirujuk oleh mereka yang mengendalikan temuduga. CV ini perlulah ringkas, padat dan lengkap.
Format CV paling sesuai adalah tidak lebih daripada dua muka surat dan harus mengandungi butir-butir seperti pengalaman kerja, kelayakan akademik dan maklumat terkini pekerjaan semasa mereka.
Pemohon juga perlu menyusun kemas dokumen-dokumen mereka di dalam folio, bersama-sama dengan CV dan sijl-sijil asal, selain membawa bersama mereka sebatang pen dan kertas kosong semasa temubual jika terdapat keperluan.
Selain daripada itu, mungkin terdapat keperluan untuk mengisi borang-borang sebelum temuduga bermula.
Ingat, tambah Sujitha, borang-borang ini perlu diisi lengkap kerana ia membantu penemuduga untuk mendapatkan butir-butir yang diperlukan oleh syarikat sekilas pandang.
“Seseorang perlu menulis semula. Jangan biarkan penemuduga untuk menghalusi CV panjang lebar sekali lagi. Pindahkan semua butiran yang perlu pada ruang-ruang yang disediakan pada borang. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk melengkapkannya,” tambah beliau.
BUATLAH SEDIKIT KAJI SELIDIK
Seseorang calon temuduga perlu tahu mengenai latar belakang syarikat yang berkenaan. Mereka perlu melakukan sedikit kaji selidik akan produk-produk keluaran syarikat itu dan industri.
Ia pasti berfaedah untuk mengetahui maklumat lanjut syarikat berkenaan dan bagaimana kedudukannya jika dibandingkan dengan penggiat industri atau pesaing berkaitan.
Calon-calon juga boleh melayari laman web syarikat untuk mengetahui mengenai pelanggan syarikat, selain tumpuan dan pendekatannya.
DISKRIPSI TUGAS
Satu lagi petua penting adalah untuk meneliti bidang tugas jawatan yang dipohon itu. Memahami bidang tugas akan membolehkan calon-calon lebih bersiap sedia untuk menghadapi temuduga, khasnya mengenai kesesuaian calon itu sendiri bagi jawatan berkenaan.
Dan akhir sekali, mereka yang menghadiri temuduga perlu berada di tempat yang sepatutnya tepat pada masa dan perlu berada dalam keadaan relaks semasa sesi temubual.
Graduan hari ini perlu mencari jalan meningkatkan peluang untuk mencari pekerjaan daripadak mengeluh yang mereka ketinggalan dalam persaingan mencari kerja.
Jadi apa pula kata mereka yang bersiap untuk memasuki pasaran kerja? Mohd Alif Osman, seorang penuntut tahun akhir program diploma seni hias dalaman yang berusia 23 tahun yakin akan masa depannya dalam industri itu.
“Sebelum ke temuduga, seorang graduan perlu mengetahui keperluan sebenar industri dan baca akan latarbelakang syarikat yang mereka berminat untuk bekerja. Ini pasti dapat membantu saya menghadapi temuduga dengan lebih baik,” jelas Mohd Alif.
Chun Ee Voon, 20, seorang penuntut Malaysian Institute of Arts juga menyuarakan kesediaannya untuk merebut apa-apa peluang pekerjaaan selepas menamatkan kursus dua setengah tahun.
Sekarang ini bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan, jadi mereka yang sedang mencari pekerjaan perlu menghargai setiap peluang temuduga dan berusaha ke arah menambah baik kemahiran komunikasi dan pengetahuan mereka untuk meyakinkan bakal majikan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment