24 August 2012

Puasa enam terbaik - Tunaikan secara berasingan

Oleh: Zuarida Mohyin

MENURUT Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fatah Wan Ismail, ibadat puasa mengandungi fadilat yang amat besar tanpa mengira sama ada ia wajib ataupun sunat.

Kenyataan ini, di sandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis Qudsi riwayat Imam Bukhari bermaksud: Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

"Hakikatnya, hadis ini menyebut secara umum, tanpa mengira puasa itu sunat ataupun wajib. Di antara fadilat paling besar yang terdapat di dalam puasa enam dan puasa yang lain, iaitu Allah s.w.t. menjauhkan orang yang melakukannya daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.

"Sabda Rasululullah s.a.w. dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim bermaksud: Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t., nescaya akan Allah menjauhkannya daripadanya api neraka sejauh tujuh puluh tahun.

"Maka jelaslah di sini, dengan berpuasa kita akan dapat menyelamatkan diri daripada azab Allah s.w.t., walaupun ia hanya puasa sunat," kata Wan Abdul Fatah sewaktu ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Tambah beliau, mereka yang melaksanakan puasa enam juga akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari pada bulan Syawal, maka pahalanya seperti ia berpuasa selama setahun genap.

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."

Manakala di dalam kitab Sabila al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Selain itu kata beliau, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini kita teruskan juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari.

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan hawa nafsu.

Malah dari sudut kesihatan, terang Wan Abdul Fatah lagi, pada bulan Ramadan sistem pencernaan kita berehat selama sebulan pada siang hari, iaitu tanpa menerima sebarang makanan ataupun minuman.
Kedatangan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah lagi amalan masyarakat kita suka mengadakan rumah terbuka.

"Oleh itu, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Menjawab waktu yang terbaik untuk berpuasa enam, kata Wan Abdul Fatah secara amnya waktu untuk seseorang itu berpuasa enam ialah bermula pada 2 Syawal sehingga tamat Syawal.

"Namun berdasarkan pendapat para ulama, waktu yang terbaik, ialah memulakan puasa enam pada 2 Syawal. Walau bagaimanapun, tidaklah disyaratkan berbuat demikian, bahkan tetap akan mendapat pahala sekiranya melakukannya pada hari-hari lain pada bulan Syawal," katanya yang terbaik puasa enam hendaklah dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj.

Menjelaskan beberapa salah faham yang sering kali wujud berkaitan puasa enam, akui beliau persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam di antaranya ialah; Adakah harus menggabungkan dua puasa, iaitu puasa qada dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal? Manakah yang lebih afdal, sama ada digabungkan kedua-duanya ataupun dibuat berasingan?

Dalam hal ini, kata Wan Abdul Fatah, di kalangan para ulama mempunyai beberapa pandangan di antaranya;

 i. Sudah cukup bagi seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada pada bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran, sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

 ii. Ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya.

 iii. ada yang menyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal pada bulan Ramadan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain pada bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam, sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah s.a.w. agar berpuasa pada bulan Syawal.

"Sebenarnya, bagi mereka yang mengqada puasa pada bulan Syawal dan berniat melakukannya bersama puasa enam, sememangnya telah mendapat pahala. Namun pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang melakukannya secara berasingan, iaitu melakukan puasa qada terlebih dahulu. Setelah selesai qada, baru dilakukan pula puasa enam.

"Ini kerana kita berbalik kepada hadis yang dinyatakan sebelum ini, iaitu mereka berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadan dan diikuti enam hari pada bulan Syawal, menyamai puasa selama setahun.

"Kemudian diperjelaskan lagi oleh hadis yang lain, iaitu berpuasa sebulan Ramadan sama dengan sepuluh bulan dan berpuasa enam hari pada bulan Syawal sama dengan dua bulan. Maka gabungan antara kedua-duanya menyamai setahun.

"Tapi bagi mereka yang meninggalkan puasa, sekalipun kerana uzur syarie dan tidak cukup bilangan hari seperti yang dinyatakan di dalam hadis, iaitu sebulan Ramadan dan enam hari Syawal, sudah tentulah tidak menyamai mereka yang berpuasa cukup bagi bilangan tersebut.

"Maka yang terbaik dilaksanakan ialah secara berasingan," kata Wan Abdul Fatah ini kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah s.w.t., memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan, sebagai seorang hamba mencari keredhaan Allah.

Beliau turut mengambil contoh lain seperti solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dua pahala sekali gus, iaitu bersama pahala solat tahiyatul masjid. Namun ia tidak menyamai dengan mereka yang terlebih dahulu solat tahiyatul masjid kemudian solat berjemaah.

Manakala dalam kes-kes yang pernah berlaku, iaitu seseorang telah meninggalkan puasa Ramadan yang besar bilangannya sehingga Syawal tersebut tidak memberikan kesempatan untuknya melakukan dua puasa yang berasingan. Maka yang manakah patut diutamakan, sama ada qada atau puasa enam.?

Kata Wan Abdul Fatah, menurut pendapat ulama dalam kitab Sabila al-Muhtadin, sekiranya masa tidak mencukupi untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal kerana mengqada puasa Ramadan, maka dia boleh mengqadanya dalam bulan Zulkaedah.

"Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa, sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah s.w.t," tegas beliau jelas.


2 comments:

Unknown said...

saya nak tanya berkenaan pokok zaitun tuan. ada lagi ker..? hubungi saya fathli 0129256500. saya berminat nak beli.

Unknown said...

Masih ada tapi saya pun dapat sepokok tu. Tapi saya ada dimaklumkan oleh sahabat maya pokok tu boleh diberli dari luar negara secara pos.