22 June 2013

KISAH PERLAWANAN ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS

Bukan pokok ini
Kebiasanya suami isteri yang memahami perasan dan keadaan akan hidup tenteram, namun begitu ragam kehidupan tidak pernah tidak dipukul badai. Meskipun sesebuah keluarga itu hidup dalam keadaan yang melarat, ada kalanya kehidupan mereka lebih bahagia sekiranya rumah tangga itu didirikan atas dasar ketaatan kepada perintah Allah swt. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan mengerjakan ibadah mereka dengan tekun sekali.

Ini ada sebuah kisah keluarga yang boleh dijadikan tauladan. Si Suami adalah seorang yang alim bertakwa dan bertawakal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Sang isteri memaksa suaminya agar mencari jalan keluar dari kehidupan yang melarat ini. Sang isteri membayangkan alangkah bahagianya hidup mereka jika segala-galanya serba cukup.

Akhirnya Sang suami, iaitu lelaki alim itu pun berangkatlah ke ibu kota dengan tujuan untuk mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan dia melihat sebatang pohon besar yang sedang dikerumuni oleh orang ramai. Dia mendekati kumpulan orang tersebut, ternyata kumpulan manusia itu sedang memuja pohon yang kononnya keramat dan sakti. Ramai juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang memohon dari pohon itu agar suami mereka setia atau dagangan mereka laris.

"Ini syirik," fikir lelaki alim tadi. "Ini harus dibanteras habis-habisan. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain daripada Allah." Maka pulanglah dia ke rumah dalam keadaan terburu-buru. Isterinya merasa hairan mengapa pula suaminya pulang secepat itu. Lebih menghairankan adalah apabila dia melihat suaminya mengambil sebilah kapak yang tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya namun lelaki itu tidak menjawab. Dengan segera lelaki itu menunggangi keldainya dan dipacunya cepat mungkin ke pohon tersebut. Malangnya sebelum dia sampai di pohon itu, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam, itulah iblis yang menyerupai manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis. Orang alim menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah oleh manusia syirik. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang pohon itu." Iblis menambah "Kamu tiada apa-apa hubungan dengan pohon itu, yang penting kamu tidak terikut-ikut dengan perbuatan syirik seperti mereka. Sudah pulanglah sahaja." Maka jawab lelaki alim dengan tegas: "Tidak boleh, kemungkaran mesti di banteras."

"Berhenti, jangan kamu teruskan!" bentak iblis dengan nada marah. Lelaki alim tidak mengendahkannya dengan berkata: "Saya akan teruskan juga!"

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau dilihat pada perbezaan saiz badan mereka, sudah tentu orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan oleh si iblis. Namun ternyata iblis akhirnya menyerah kalah dan memohon ampun. Kemudian dengan berdiri serta menahan kesakitan dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya tadi, saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah tuan ke rumah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila tuan selesai menunaikan solat Subuh, saya sediakan wang emas 4 dinar di bawah sejadah tuan. Pulanglah dan jangan diteruskan niat tuan itu".

Mendengar janji iblis mengenai wang emas 4 dinar itu, maka hancur berkecailah ketegasan si alim tadi. Di saat ini dia teringatkan akan isterinya yang sering merungut ketidakcukupan hidup. Jika setiap pagi dia memperoleh 4 dinar, maka dalam sebulan dia boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia tanpa mengambil tindakan untuk menumbangkan pohon tadi, dan hasratnya untuk membanteras kemungkaran lenyap begitu sahaja.

Keesokkan harinya setelah si alim selesai solat Subuh, maka diangkatnya sejadahnya di situ tergolek 4 dinar wang emas. Dia melompat keriangan, kegembiraan ini juga dikongsi bersama dengan isterinya. Begitulah yang berlaku seterusnya sehinggalah pada hari keempat dia mulai merasa kecewa kerana di bawah sejadahnya sudah tiada apa-apa kecuali tikar pandan yang buruk dan usang. Isterinya mulai marah-marah kerana wang yang diperoleh sebelum ini sudah kehabisan. Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal mendapat 8 dinar sekaligus."

Keesokkan harinya, dengan rasa bimbang dan cemas mereka mengangkat sejadah selepas solat Subuh, malangnya tiada wang emas yang ditunggu itu. Dengan perasaan marah si isteri membentak: "Kurang ajar. Penipu, awak pergilah tebang pohon itu". "Ya, memang dia telah menipu aku, aku akan menebang pohon itu sehingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si suami juga dalam keadaan marah.

Maka segera dia mengeluarkan keldainya sambil membawa kapak yang tajam, dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang disembah manusia ramai. Di tengah jalan si iblis yang berbadan tinggi besar tersebut menghalangnya sekali lagi. Katanya dengan suara yang kesat dan marah, "Mahu ke mana kamu?" maka jawab si alim dengan gagah berani: "Aku mahu menebang pohon itu". Iblis menahannya dan berkata: "Berhenti, jangan kau lanjutkan."

Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang kalah dan terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya dengan penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan aku, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"

Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu saja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah. Demi Allah, andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku tetap tidak akan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulanglah saja, jika tidak akan aku patahkan batang lehermu".

Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa sangat bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allahi. Dengan terhuyung-hayang dia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat untuk menebang pohon itu. Dia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan dan bukan kerana Allah, dan dia sedar bahawa perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari sia-sia yang berterusan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama. Ini bererti dia telah menyalahgunakan agamanya untuk kepentingan hawa nafsu kehidupan dia.

"Barang siapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."

Hadis Riwayat Muslim

P/S - Apakah tauladan yang kita boleh peroleh dari cerita ini dan adakah pasti kita tidak pernah mendahulukan dunia atau bisikan iblis? Jawablah sendiri dengan muhasabah diri.....

No comments: