Gambar-gambar ini saya ambil semalam lebih kurang jam 11.00 pagi. Keadaan jerebunya semakin buruk menjelang tengah hari, kalau tidak silap saya Index Pencemaran Udara (IPU) adalah lebih kurang 200. Keadaan ini sangat membimbangkan saya kerana saya terpaksa terdedah dengan udara yang tidak sihat ini. Apa yang merisaukan saya adalah serangan asthma yang mungkin boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.
Menara Masjid Wilayah Persekutuan dan tiang lampu limpah Stadium Hoki nampak berbalam-balam sahaja, ini menunjukkan berapa tebalnya habuk, asap dan partikel terampai yang ada di dalam udara yang terpaksa disedut dan dihidu oleh warga Kuala Lumpur dan Selangor. Saya amat berharap agar pihak Kerajaan tidak leka, sebaliknya mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.
Begitu juga dengan ketiga-tiga bangunan Kerajaan yang berada di seberang sana, nampak berbalam-balam. Adakah ini melambangkan dunia sudah hampir sampai ke penghujung? Kerana salah satu alamat kiamat adalah asap hitam yang memenuhi ruang angkasa. Sudah tentunya kita bimbang dengan keadaan ini bukan? Apa lagi insaf dan bertaubatlah semasa kita masih lagi mampu berbuat demikian.
Matahari pagi di Kuala Lumpur.... nampak terlalu sakit. Sebagai manusia yang Allah kurniakan akal dan fikiran, manusia boleh menentukan keutamaan dalam mencari keuntungan dan kesejahteraan alam sejagat. Apa yang berlaku di Indonesia perlu ditangani bersama oleh semua ahli ASEAN. Kebakaran besar-besaran yang berlaku tidak patut disalahkan kepada negara tertentu sahaja, sebaliknya kajian dan penyelidikan perlu dilakukan.... apa yang sangat saya kesali adalah sikap ASEAN yang tidak mengambil ikhtibar daripada kejadian jerebu yang berlaku pada tahun 1997 dulu.
Saya maklum akan persetujuan dan resolusi yang terhasil di mana Pelan Tindakan Jerebu Serantau (1997) dicapai. Sayangnya negara Indonesia sahaja yang tidak menandatangani Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada tahun 2002, mengapa perkara ini berlaku?. Disebabkan asal jerebu boleh dikatakan bermula di Indonesia pada setiap tahun, namun banyak negara sepatutnya bertanggungjawab bersama kerana mereka mempunyai kepentingan dan keuntungan di negara itu. Maka ASEAN sepatutnya mencari jalan penyelesaian supaya perjanjian tersebut dipersetujui oleh semua negara anggota termasuk Indonesia. Ini bermakna Win Win situation di semua pihak.
Akibat daripada sikap ASEAN dapat kita lihat pada hari ini di mana pencemaran udara akibat kebakaran secara besar-besaran masih merupakan masalah pada hari ini. Maaflah kalau saya katakan bahawa ASEAN gagal dalam menangani isu alam sekitar akibat kebakaran tersebut.
Akibat daripada sikap ASEAN dapat kita lihat pada hari ini di mana pencemaran udara akibat kebakaran secara besar-besaran masih merupakan masalah pada hari ini. Maaflah kalau saya katakan bahawa ASEAN gagal dalam menangani isu alam sekitar akibat kebakaran tersebut.
No comments:
Post a Comment