Adakah labu ini yang dimaksudkan oleh Rasulallah saw |
Mengikut riwayat, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah berkata bahawa buah labu adalah berasal dari pohon saudaranya iaitu Nabi Allah Yunus as dan baginda telah mengangkat buah tersebut menjadikan hidangan yang sangat istimewa, lalu diikuti oleh para sahabat dan kini saya.
Kisah ini diceritakan oleh Anas bin Malik: "Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah dijemput ke jamuan makan oleh seorang tukang jahit dan aku pergi bersama baginda. Tuan rumah menghidangkan roti gandum, kuah berisi labu, dan daging. Aku melihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم mencari-cari labu di dalam piring hidangan. Sejak itu, aku menyukai labu." (Riwayat Muslim). Nabi SAW makan roti berkuah dengan daging dan buah labu. Baginda suka kepada buah labu dan mengatakan : "Bahawa labu itu pohon saudaraku Yunus AS".
Dalam kitab Al-Ghailaaniyyat diceritakan di mana isteri Rasulallah صلى الله عليه وسلم Aishah RA berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda "Hai Aishah apabila kau masak gulai, maka perbanyakkan dalamnya buah labu kerana labu itu menguatkan hati yang duka".
Labu Anugerah Kemenangan Nabi Yunus as
Allah s.w.t di dalam kalamNya (Al-Quran) ada mengisahkan mengenai ujian Nabi Yunus a.s di dalam perut Ikan Nun (Paus), lalu baginda merintih bertaubat. Tasbih yang kerap kali diucapkan oleh Nabi Yunus a.s bermaksud: "Ya Allah Ya Tuhanku, Sesungguhnya daku telah menzalimi diriku sendiri"
Allah sentiasa mendengar rintihan dan tasbih baginda as, lantas Allah memberikan keampunanNya kepada Nabi Yunus a.s dan melepaskannya dari perut ikan nun. Disebabkan Nabi Yunus as telah berada agak lama di dalam perut ikan nun, tubuh badan baginda as merasa amat lemah, dengan limpah kurnia dan kasihnya Allah swt kepada Nabi Ynus as maka Allah swt menghidupkan pohon labu berhampiran dengan tempat Nabi Yunus as terdampar. Maka dengan pohon ini Nabi Yunus as bernaung di bawahnya dan dengan buah dapat menyegarkan tubuh baginda. Allah swt telah menghadiahkan kemenangan kepada Nabi Allah Yunus a.s akan buah labu sebagai anugerah kemenangan.
Seperti mana dikisahkan di dalam Al-Quran: “Dan kami tumbuhkan untuk dia (Nabi Allah Yunus a.s) sebatang pohon dari jenis labu,” (Ash- Shaffat [37]: 146). Ayat ini menceritakan kisah Nabi Yunus setelah ditelan ikan paus lalu Allah s.w.t menyelamatkannya dan menumbuhkan pohon yaqtin atau labu.
No comments:
Post a Comment