Jika anda perasan, kebanyakan warna bendera negara-negara di Asia Tenggara berasaskan warna merah dan putih. Mengapa agaknya?
Jawapannya ialah Sang Saka.
Sang Saka merupakan nama yang digelar kepada bendera yang digunakan oleh kebanyakan kerajaan-kerajaan nusantara silam termasuk empayar Srivijaya dan Majapahit.
Asal-usul warna merah putih ini jika ditelusuri akan menemui legenda suku-suku Austronesia tentang mitos langit dan bumi.
Pada awalnya, kebanyakan Malay city-states seperti Sri Dharmaraja, Chih-tu dan Pan-pan menggunakan warna merah sebagai warna bendera mereka. Ayutthaya sekalipun selepas menyerap Sri Dharmaraja (berserta 12 wilayah negeri-negeri Melayu bawahannya) menggunakan warna merah warisan warna bendera dari kerajaan-kerajaan Melayu Segenting Kra.
Dua dinasti Melayu terkenal dalam rekod Khmer, Ketomala dan Sriwijayamala menggunakan warna merah pada bendera mereka. Ketomala adalah dinasti yang berasal dari Kedah Tua manakala Sriwijayamala berasal dari wilayah Patani-Kelantan sekarang. Hari ini kita boleh lihat bendera Kedah dan Kelantan masih memakai warna merah.
Warna putih mula digunakan selepas kemunculan empayar Srivijaya dan disambung oleh Majapahit. Di Borobudur (dibina ketika era Samaratungga, emperor Srivijaya) terdapat ukiran askar membawa panji-panji berasaskan warna gelap dan terang (bas-relief tidak berwarna). Ini diduga membawa warna merah putih.
Merah melambangkan keberanian manakala putih melambangkan kesucian. Saka bermaksud warisan atau turunan.
Di Indonesia, warna bendera merah putih ini digelar sebagai Sang Saka Merah Putih. Di Malaysia, ia digelar Sang Saka Malaya (digunakan oleh PKMM) dan Sang Saka Bangsa (digunakan oleh UMNO). Lihat, sama ada parti kiri dan kanan Melayu era kemerdekaan, mereka menggunakan tema warna yang sama.
Melalui warna bendera-bendera di Asia Tenggara sahaja, kita dapat membaca sejarah masa silam. Nenek moyang bukan sahaja mempertahankan sejarah melalui manuskrip, prasasti, bahasa dan budaya, malah melalui kod warna.
Ada pendapat yang mengatakan bendera EIC (The East India Company) mengambil warna bendera Majapahit atau umbul-umbul Majapahit yang berjalur merah putih. Ini memang menarik kerana terminologi 'White and Red Stripes' tiada dalam budaya Eropah.
Apabila bendera Malaysia mengambil warna merah putih di dalam kod warnanya, ia secara tidak langsung melambangkan darah dan kesucian suku-suku Austronesia purba termasuk sejarah bangsa Melayu dan empayarnya. Jadi pendapat bahawa bendera Amerika dan EIC mempengaruhi bendera Malaysia adalah boleh dipertikai sebab umbul-umbul Majapahit sebagai empayar terakhir nusantara memang beraroma 'White and Red Stripes'.
Saya rasa patut dikaji bagaimana EIC mengambil warna bendera Majapahit sebagai warna benderanya setelah menemui syurga perdagangan di sini bersama-sama VOC (Dutch East India Company).
~Srikandi - www.mistisfiles.blogspot.com
No comments:
Post a Comment