20 December 2014

Panduan memilih pasir kucing

PEMILIK disaran menggunakan pasir tidak berbau
berikutan deria bau kucing yang kuat
.
Oleh DR. ZURAIDAH GHADZALI

MEMILIH pasir tandas kucing adakalanya boleh membebankan penjaga si comel. Ini kerana terlalu banyak pilihan yang dikeluarkan oleh pengilang-pengilang barangan keperluan haiwan. Biasanya, pasir menggumpal merupakan pilihan yang paling popular. Bagaimanapun, pasir tandas tidak menggumpal masih digunakan dengan meluas. Saya akan mengupas lebih lanjut mengenai kebaikan dan kekurangan kedua-dua jenis pasir tersebut.

Pasir zeolit

Ia merupakan pasir yang paling murah dan mudah didapati di kedai-kedai peliharaan haiwan. Umumnya, pasir kucing jenis ini tersedia dalam beberapa ukuran seperti 1 hingga 3 milimeter (mm).

Terdapat juga pihak yang menghasilkan pasir ini sehingga berukuran 5mm. Bagaimanapun, pasir berukuran 5mm ini tidak jauh berbeza dengan pasir zeolit 3mm.

Zeolit adalah sejenis mineral yang diproses dengan keliangan yang tinggi dan poros. Ia membantu menyerap ammonia dan bau najis kucing. Tidak hanya menyerap dan melekat tetapi memerangkap dan memegang punca bau najis haiwan kesayangan. Sumber zeolit boleh didapati dengan mudah di kawasan gunung berapi.

Pasir jenis ini dijual pada harga sekitar RM55 bagi paket 20 kilogram (kg). Pasir ini sangat popular dalam kalangan pembiak dan penyelamat kucing. Walaupun mampu menyerap bau-bauan yang kurang enak, pasir ini kurang efektif dari segi menyerap lembapan atau cecair dek kerana terlalu poros. Hanya penggunaan yang banyak mampu mencegah cecair bertakung di bawah permukaan kotak tandas.

Pasir tanah liat

Pasir ini adalah jenis yang banyak dijual dan disukai oleh pemilik kucing. Terdapat pelbagai jenama dan kuantiti pembungkusan yang tersedia di pasaran sekali gus memudahkan pemilik kucing untuk membuat pilihan. Selain buatan tempatan, pasir jenis ini turut diimport dari China, Jepun dan negara lain. Pasir ini tersedia dalam dua jenis utama iaitu pasir menggumpal berbau wangi dan pasir menggumpal tidak berbau.

Pilihan tentu saja terserah kepada pemilik kucing, namun sebagai panduan, pemilik harus ingat bahawa deria bau kucing amat kuat dan sensitif. Deria bau haiwan ini 14 kali ganda lebih baik berbanding manusia. Sebaik-baiknya gunakanlah pasir menggumpal tidak berbau bagi mengelakkan sistem pernafasan kucing.

Kelebihan pasir jenis ini adalah sesuai namanya iaitu pasir menggumpal, maka pasir ini akan menggumpal dan meresap cairan dengan baik. Apabila pasir ini terkena cairan, dengan sendirinya pasir tersebut akan menyerap cairan dan menjadi gumpalan, begitu juga ketika kucing membuang air besar, lembapan di sekitar najis akan menarik pasir dan terus menutupinya.

Ekoran fungsi pasir ini dapat menyerap cairan dengan baik, bau-bauan daripada najis si comel dapat dikurangkan secara automatik. Bagi mereka yang tidak punya masa dan kesempatan mengemas, mencuci pasir, maka pasir jenis menggumpal adalah salah satu alternatif yang menyenangkan. Hanya perlu membuang gumpalan pasir yang membaluti najis dengan kekerapan minimum dua kali sehari iaitu sebelum dan selepas balik kerja. Namun, baki pasir di dalam kotak tandas wajib ditukar dan bekas najis perlu dicuci seminggu sekali bagi mengelakkan bakteria membiak di dalam bekas tersebut. Dari segi harga, adalah berpatutan.

Kami menyarankan agar anda menggunakan pasir menggumpal tidak berbau. Bagaimanapun, sekiranya anda lebih sukakan wangi-wangian, kami sarankan anda jauhi bauan oren dan epal. Kombinasi bau najis si comel dan bau-bau ini akan lebih merengsakan rongga hidung kita dan si comel. Bauan yang kami sarankan ialah lavender, lemon yang tidak terlalu kuat, jasmin atau bau bedak bayi.

Pasir kristal

Kami turut menyarankan anda memilih pasir ini. Pasir kristal sangat bagus digunakan bagi memudahkan pemilik kucing membuat pemerhatian pada najis si comel. Walaupun tidak berwarna dan tidak menggumpal, namun ia mempunyai kadar serapan cecair yang tinggi sekali gus sebarang perubahan warna, bentuk dan abnormaliti pada najis dapat dikesan dengan mudah.

Selain itu, pasir kristal tidak berdebu, tidak berbau dan mudah digunakan. Pasir kristal juga mampu menyerap cairan sampai 40 kali beratnya. Bayangkan betapa jimatnya penggunaan pasir seharian. Bagaimanapun, pasir kristal agak kurang menjadi pilihan kerana harganya yang agak mahal. Satu pek 1.8kg sahaja sudah mencecah hampir RM20. Dari segi wang, mungkin kita akan terasa bebanan tetapi, jika bijak menggunakan pasir jenis ini, pengurusan kebersihan si comel di rumah akan menjadi lebih jimat, efisien dan cepat.

Sumber: Kosmo Online

No comments: