Tabiat si comel yang memakan najis mereka sendiri dikenali sebagai Coprophagia. Kejadian sebegini sangat jarang berlaku pada kucing. Kami akan huraikan sedikit mengapa ia berlaku dan mencegah dan meghalang ia dari berterusan.
Bila terjadi?
Sebahagian kucing mungkin terjebak dengan masalah Coprophagia ni. Kebanyakannya terjadi pada kucing yang masih kecil. Kucing-kucing yang masih menyusu ibu, atau kucing yang kematian ibu pada usia muda. Juga sering terjadi pada kucing-kucing yang terperap di dalam satu keadaan yang menyebabkan mereka “stress” contohnya berada dalam satu kurungan yang kecil untuk jangkamasa yang agak lama.
Antara Punca-Punca.
Kebanyakan kucing mula memakan najis mereka sendiri bila mereka merana dek kerana kekurangan vitamin dan mineral dalam diet harian mereka. Sekiranya anda melihat masalah ini berlaku pada si comel anda, saranan pemeriksaan di klinik Veterinar amatlah digalakkan. Veterinar mungkin akan menjalankan beberapa ujian makmal jika perlu dan mula akan memberikan nasihat tentang kaedah pemakanan dan penjagaan yang sempurna.
Kucing-kucing yang dibela di dalam kawasan sempit dan tidak bersih untuk tempoh jangkamasa yang lama juga akan mula menunjukkan simptom-simptom masalah ini. Kekurangan makanan dalam diet mereka antara faktor yang menyumbang kepada terjadinya masalah sebegini. Bagi memastikan kelangsungan hidup berterusan, si kucing yang teraniaya akan mula memakan najis mereka sendiri.
Walaupun setelah diselamatkan dan dijaga dengan baik oleh tuan baru, tabiat sebegini mungkin akan berterusan untuk sesuatu tempoh sehinggalah kita berjaya mendidik dan melatih mereka untuk mengenal makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.
Masalah mental yang sering berlaku pada kucing muda atau kucing remaja juga mengundang kepada berlakunya masalah sebegini. Anak kucing yang pernah mengalami trauma akibat masalah tertentu pada bahagian otak mungkin akan terkeliru antara makanan harian dengan najisnya sendiri. Bagi kes sebegini, lawatan ke klinik veterinar untuk pemeriksaan amatlah disarankan.
Bagaimana Menghentikan?
Jika ada diantara si comel anda mula menunjukkan masalah sebegini, saranan utama adalah pemeriksaan awal di klinik veterinar untuk kenalpasti punca berlaku dan diberikan kaedah rawatan yang sewajarnya. Pengurusan kotak tinja yang efficient dapat membantu menghentikan masalah sebegini. Pastikan kotak tinja sentiasa dibersihkan selepas ia digunakan.
Penukaran diet pemakanan juga disarankan sekiranya veterinar mengenalpasti punca berlaku adalah dari kekurangan zat dalam makanan harian mereka. Selain itu, persekitaran yang bersih dan selamat juga disarankan bagi memastikan si comel yang bermasalah tidak mengulangi perbuatan memakan najis mereka sendiri.
Kesimpulan.
Coprophagia atau masalah si comel memakan najis sendiri boleh terjadi akibat ;
> Masalah kekurangan nutrisi dalam makanan harian
> Masalah mental - kurangan yg sempit dan kekurangan makanan mengakibatkan si comel mengambil tindakan drastik memakan najis untuk survival.
> Persekitaran yang kotor dan dirasakan tidak selamat oleh sicomel.
Pokok pangkalnya, masalah sebegini boleh diatasi dengan kaedah pengurusan yang lebih efisyen di rumah. Insyaallah.
Sumber: fb Helo Vet Disini
No comments:
Post a Comment