GST ... buat masa ini rakyat Malaysia ramai yang tidak suka dengan 3 huruf ini. 3 huruf ini buatkan ramai ahli ekonomi dan tukang cukai lahir di Malaysia secara tiba-tiba. Semua buat andaian dan ceramah dalam pelbagai media sosial ikut kefahaman.
Macam-macam yang saya baca, ada yang logik dan ada yang sangat merapu. Ramai juga yang beranggapan bahawa Kerajaan mengambil keputusan melaksanakan GST semalam (tiba-tiba)
Ramai juga yang tidak tahu apakah maksudnya 3 huruf tu.... Ramai yang dengan yakin mengatakan GST adalah Government Service Tax. Masih ramai juga yang tidak tahu bahawa GST telah diamalkan di hampir keseluruhan dunia. Paling memalukan ada yang mengatakan kenapa Malaysia tidak mengikut cukai seperti yang diamalkan oleh Singapura negara maju rantau ini. Sebelum saya berikan pandangan saya, apa kata kita lihat pengertian cukai.
Apa yang dimaksudkan dengan cukai?. Cukai adalah kaedah yang ditentukan oleh sesuatu Kerajaan bagi pengumpulan hasil daripada syarikat, kumpulan atau individu.
Kenapa cukai dikenakan oleh hampir semua negara?. cukai yang dikutip adalah bagi membiayai perbelanjaan negara dalam perbagai bidang seperti keselamatan, ekonomi, pembangunan fizikal dan sosial.
Bila mula sejarah cukai di negara ini?. Bila ya? Pernahkah anda membaca sejarah Kesultanan Melayu Melaka di mana dalam pemerintahan di zaman tersebut telah wujud jawatan Syahbandar di mana bertanggungjawab untuk memungut cukai (customs dues) di pelabuhan. Cukai yang dikutip dibalas semula dengan Kerajaan Melaka pada masa itu memberikan perlindungan kepada kapal-kapal
yang menggunakan selat dan perairan Melaka serta ianya juga merupakan bayaran kerana penggunaan kemudahan disediakan oleh Kerajaan. Inspirasi ini melahirkan duti kastam pada masa kini.
Apa manfaat cukai kepada kita?. Secara ideal kita boleh katakan bahawa cukai adalah dari rakyat kepada rakyat dan ianya manfaat dalam pelbagai bentuk. Paling mudah difahami adalah cukai pintu yang kita bayar diberikan semula dalam bentuk kebersihan kawasan rumah termasuk potong rumput, pungutan sampah dan sebagainya.
Banyak negara mengkaji cukai-cukai yang dikenakan dan berpendapat bahawa GST adalah kaedah cukai terbaik dan terkesan untuk rakyat. Di negara kita GST bukannya cukai baru atau cukai yang direka semalam, malahan bukan ciptaan Kerajaan Malaysia jadi pengertian GST adalah singkatan kepada Goods and Service Taxes atau Cukai Barangan dan Perkhidamatan.
GST juga di kenali dengan nama lain seperti VAT iaitu value added taxes (cukai nilai tambah). Macam yang sebukkan tadi GST bukan ciptaan Kerajaan Malaysia, jadi dari mana datangnya GST ini?. Yang sebenarnya GST telah mula diperkenalkankan di Perancis pada tahun 1954, oleh seorang ahli percukaian yang bernama Maurice Lauré. Maurice berpendapat GST perlu menggantikan sistem percukaian yang sangat bergantung kepada jualan bagi mengimbangkan dengan sistem cukai pendapatan yang tidak signifikan dan impak yang tidak jelas.
Maurice memperkenalkan cukai yang dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna - lebih tepat kita dikenakan cukai apabila menjadi pengguna. Kaedah cukai ini juga dikenali oleh ahli ekonomi sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax).
Pada amnya GST dipungut daripada pengguna oleh kerajaan, seperti yang disebutkan di atas pengguna terdiri daripada pengguna individu dan yang utama adalah dari pengilang, pemborong, pembekal dan peniaga yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai di bawah Akta GST. Secara khusus pula GST akan dikenakan oleh organisasi-organisasi perniagaan kepada pengguna dengan syarat tambahan selain dari berdaftar di mana jumlah jualan tahunan produk atau perkhidmatan melebihi jumlah yang ditetapkan. Di Malaysia, organisasi perniagaan tersebut hendalah mempunyai nilai jualan tahunan pada RM 500 000 ke atas.
Tidak seperti Sale Service Tax (SST), GST dikenakan cukai dalam setiap tahap urus niaga iaitu daripada pengilang, pemborong, pembekal dan akhirnya peniaga. Manakala jumlah jualan barangan dan perkhidmatan merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai. Maka, organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal atau bersetuju untuk membekal barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.
Semasa Kerajaan membentangkan Rang Undang-undang ini di Parlimen baru-baru ini, Kerajaan menegaskan sekiranya berlaku penyelewengan GST oleh peniaga, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.
Di samping itu ,harga bekalan yang dijual akan ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah diambil kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini juga dikenali sebagai “kredit cukai input”.
Banyak lagi maklumat tentang cukai dan GST ini dan insyallah saya akan sambung kemudian. Saya harapkan semua fahamkan dulu sesuatu isu itu sebelum melompat mengambil keputusan berhujah tanpa pengetahuan yang betul.
Jumpa lagi nanti....
No comments:
Post a Comment