28 December 2014

MASALAH "OVERACTIVE BLADDER"

Gambar hiasan - Kenangan Haji 2006 
Semasa melayari fb saya terjumpa dengan artikel dari fb rakan-rakan yang saya rasa amat perlu dikongsikan dengan para muslimat terutamanya yang bakal mengerjakan haji dan umrah. Jangan abaikan dan tolong baca kerana ianya amat penting terutamanya bagi yang telah berusia dan mempunyai penyakit yang sama. Apa kata kita baca bersama ...

Ketika menunaikan haji pada musim yang lepas, saya berkenalan dengan seorang hajjah berusia dalam lingkungan lewat lima puluhan. Beliau menceritakan, antara kegusaran utamanya sewaktu hendak menerima tawaran mengerjakan haji adalah kerana masalah kerap hendak buang air kencing, dan adakalanya tidak dapat dikawal. Bahkan alasan seperti ini adalah alasan utama ramai kaum wanita yang berusia teragak-agak untuk menunaikan haji.

Masalah yang dihadapi beliau adalah apa yang dipanggil pundi kencing yang terlalu aktif atau “overactive bladder”. Ia biasanya melanda wanita berusia, tetapi tidak jarang juga dideritai wanita yang lebih muda terutamanya yang mempunyai ramai anak.

Mereka yang mengalami overactive bladder terpaksa ke bilik air lebih daripada 7 atau 8 kali sehari dalam keadaan tergesa-gesa. Adakalanya mereka tidak sempat menyebabkan mereka terkencing di dalam seluar. Oleh kerana itu, kaum wanita yang menderita keadaan ini terpaksa bergantung kepada pemakaian tuala wanita hampir setiap hari, terutama mereka yang bekerja. Disebelah malam, mereka kerap terjaga tidur 1 atau 2 kali semalam untuk bangun kencing. Dari segi amal ibadat, sudah tentulah masalah ini amat dikhuatiri.

Apakah punca "overactive bladder"?

Ia berpunca dari saraf yang terlalu mudah menerima rangsangan (teruja). Saraf ini merangsang otot detrusor, otot bagi pundi kencing yang sepatutnya berkontraksi (mengepam) hanya apabila jumlah air kencing cukup banyak. Namun, didalam keadaan "overactive bladder", jumlah air kencing yang sedikit di dalam pundi sudah berupaya merangsang, menyebabkan pengidap terpaksa segera ke tandas.

Saraf yang teruja ini dikatakan berpunca dari jangkitan kuman ke atas saluran kencing, batu karang, kencing manis, kesan kecederaan akibat trauma atau pembedahan pelvik, angin ahmar, Parkinsonism dan kesan sampingan sesetengah ubat. Namun, terdapat banyak kes dimana puncanya tidak diketahui.

Bagaimana mengatasinya?

Bagi kes-kes yang tidak teruk, mengubah gaya pemakanan adalah satu langkah permulaan.

♡   Penjadualan pengambilan air. Walaubagaimanapun tidak perlu keterlaluan kerana air kencing yang sedikit dan pekat juga merangsang pundi kencing.

♡   Menjauhi minuman berkafein seperti kopi dan minuman berkarbonat. Kafein dikatakan berupaya merangsang saraf.

♡   Menjauhi makanan seperti tomato dan buah sitrus seperti oren dan anggur. Buah-buahan ini mengandungi asid sitrik yang boleh merangsang pundi kencing.

♡   Mengambil makanan berserat. Ini boleh mengelakkan sembelit yang juga boleh merangsang pundi kencing.

♡   Melatih diri sendiri dengan tidak melayan atau melewatkan ke tandas apabila terasa ingin kencing. Bagi sesetengah kes, ketakutan jika terkucil yang amat sangat sebenarnya mendorong kita tidak dapat mengawal perasaan ingin ke tandas.

♡   Pengidap digalakkan menunggu beberapa minit selepas membuang air kencing kali pertama, bagi membuang kali kedua agar pundi benar-benar kosong. Dan ini kita dapati bertepatan dengan salah satu adab di dalam Islam dalam membuang air kecil ialah istibrak secara berdehem-dehem selepas selesai. Ini bertujuan meningkatkan tekanan abdomen secara mengeraskan otot perut, yang dapat mengeluar saki baki air kencing di dalam pundi.

♡   Menjadualkan pembuangan air kencing setiap 2-3 jam adalah lebih baik dari ke bilik air hanya bila telah terdesak.

♡   Melakukan senaman otot lantai pelvik. Ada berbagai jenis senaman lantai, tetapi yang paling mudah saya gambarkan ialah mengesot ke hadapan dalam keadaan duduk dilantai dengan kedua-dua kaki dilunjurkan. Pergerakan ini melatih otot-otot pelvik yang menyokong pundi dan saluran kencing (uretra).

Dalam keadaan yang lebih serius di mana pengidap terlalu malu menghadapi situasi ini, adalah digalakkan berjumpa dengan doktor dimana rawatan secara pengambilan ubat dan pembedahan mungkin dicadangkan.

Sebaiknya wanita yang mengalami keadaan ini tidak terlalu risau dan memencilkan diri kerana keadaan ini dihadapi oleh ramai wanita. Dengan menjadualkan pemakanan dan kekerapan ke tandas, lama-kelamaan ia akan dapat di atasi.

Berbalik kepada kisah hajjah yang khuatir akan kelancaran ibadahnya, terutama dalam hal menyimpan wuduk bagi dua waktu solat (lantaran jarak masjid yang jauh dari tandas), beliau telah membawa satu beg besar dari Malaysia, yang hanya dipenuhi tuala wanita. Namun beliau sentiasa bersungguh-sungguh berdoa agar Allah mempermudahkan beliau. Berkat doa, dan panduan seperti yang saya ceritakan tadi, dengan izin Allah, beliau hanya menggunakan 10% dari jumlah tuala wanita yang dibawanya kerana ibadat beliau tidak terganggu dek overactive bladder, sekerap yang biasa beliau alami di Malaysia.

Ia menjadi pengajaran kepada saya. Jika kita mengalami situasi overactive bladder, berusahalah mengatasinya sebaik mungkin. Jangan jadikan ia alasan yang menghalang kita ke tanah suci kerana insya Allah, tetamu Allah dipermudahkanNya bagi banyak urusan.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Baca lanjut di www.imedik.org.

No comments: