Solat pada malam bulan Ramadhan disebut solat 'tarawih' kerana solatnya yang panjang, raka'atnya banyak dan orang yang melakukannya beristirahat pada setiap selesai menunaikan empat raka'at sebelum menyambungnya lagi. Oleh kerana adanya rehat ini maka ianya disebut "tarawih".
Ibnu Manzur dalam kitab 'Lisanul Arabi' menerangkan bahawa 'altarawih' adalah bentuk jamak daripada 'tarwihah' adalah isim marrah (isim yang menunjukkan makna satu kali) daripada 'ar-rahah'.
Jadi makna 'tarwihah' itu adalah satu kali istirehat. Hal ini sama dengan kata'taslimah' (satu kali salam) yang berasal daripada perkataan 'assalam'. Disebut 'tarawih' kerana orang yang melakukannya mengambil beberapa kali istirehat pada setiap kali selesai mengerjakan solat empat raka'at, kemudian dia menerangkan pula bahawa 'ar-rahah' itu ertinya lega atau segar adalah lawan daripada kata 'at-ta'ab' yang bererti penat.
Di dalam sebuah hadith ada diterangkan bahawa apabila masuk waktu solat, Nabi Muhammad s.a.w. berkata pada bilal: "marilah kita beristirehat dengan solat.'
Maksudnya ialah, azanlah untuk solat, wahai bilal! maka kita akan beristirehat dengan solat itu, istirehat Nabi Muhammad s.a.w. menerusi solat kerana di dalamnya sebagai munajat kepada Aallah s.w.t.. Hal ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "hatiku dan jiwaku menjadi tenteram ketika dalam solat."
Dengan demikian solat tarawih adalah sunnat yang dilaksanakan dalam kaitannya dengan ibadah pada malam-malam bulan Ramadhan al-mubarak sebagaimana yang akan diterangkan menerusi hadith-hadith dalam bab seterusnya.
Sumber: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/solattarawih.htm. Melalui sumber: Amalan Penting dalam Islam, Siri Bimbingan Mukmin (Safwan Fathy, Haji Suhaimee Yassin & Mohammad Zain)
No comments:
Post a Comment